Thursday, June 18, 2020

Potensi Halia Hitam Lumayan Di Tanam


Halia Hitam atau nama saintifiknya Kaempferia parviflora, merupakan sejenis tanaman cekur yang sangat bernilai tinggi dan digunakan secara tradisional sebagai aphrodisak dan tonik serta mempunyai ciri-ciri antiradang, antigastrik dan antiobesiti yang telah dibuktikan melalui kajian saintifik.

Kunyit Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati di bahagian timur laut Thailand dan sangat popular di kalangan kaum lelaki kerana ia dikenali sebagai viagra semula jadi dan telah disahkan tiada kesan sampingan.

Di samping itu, halia hitam dikatakan dapat memberi kekuatan dan tambahan tenaga.

nota: Halia hitam dengan nama saintifknya Kaempferia parviflora, adalah berbeza dengan Kunyit Hitam (Curcuma Caesia).

Potensi Herba

Kebimbangan terhadap kesan sampingan akibat penggunaan bahan kimia sintetik dan tanggapan positif terhadap produk berasaskan bahan semula jadi menyebabkan peningkatan dalam industri penanaman herba.

Permintaan terhadap produk berasaskan bahan semula jadi meningkat secara mendadak dan pengusaha seluruh dunia berlumba-lumba untuk menghasilkan pelbagai produk yang didakwa berasaskan bahan semula jadi.

Produk ini dihasilkan untuk pelbagai tujuan seperti penjagaan kesihatan tambahan (suplement), ubat-ubatan, kosmetik dan penjagaan diri.

Di Amerika contohnya, permintaan terhadap produk kosmeseutikal sahaja meningkat hampir 11% setiap tahun dan nilainya pada tahun 2008 mencapai USD7 bilion.

Di Malaysia, industri pasaran produk berasaskan herba dianggar bernilai lebih daripada RM4.5 bilion dan dijangka akan terus meningkat.

Kajian

Hasil kajian di Thailand menunjukkan halia hitam mempunyai kandungan antioksida yang sangat tinggi, antidiabetik, meningkatkan kepadatan sperma dan antidepresi yang sesuai untuk kesihatan dan telah lama digunakan untuk tujuan perubatan.

Walaupun permintaan produk herba terus meningkat kebelakangan ini, penghasilan produk berasaskan halia hitam masih dipandang sepi berikutan kekurangan bahan tanaman untuk penghasilan secara berskala besar.

Peluang ini membolehkan MARDI untuk memperkenalkan tanaman halia hitam yang merupakan tanaman berpotensi dan bernilai tinggi yang perlu dieksploitasi dengan kadar segera.

Produk berasaskan halia hitam ini boleh diaplikasi dalam bentuk makanan kesihatan, makanan tambahan herba, (campuran produk bersama kopi) kosmetik dan farmaseutikal yang telah banyak dihasilkan di Thailand.

Berasaskan penemuan terdahulu oleh penyelidik Thailand, halia hitam didapati selamat untuk dimakan malah terbukti keberkesanannya serta mempunyai nilai yang tinggi dan dijangka mampu memberi keuntungan lumayan.

Ia berpotensi sebagai tanaman yang dapat memberi pulangan yang tinggi kepada negara jika dihasilkan pada skala yang besar dan selari dengan R&D yang dilakukan.

Pembangunan produk berasaskan herba dan nilai tambahnya, bukan sahaja akan menggalakkan pertumbuhan industri herba, tetapi juga menyediakan peluang penjagaan kendiri kepada orang ramai.

Permasalahan dalam pengeluaran produk halia hitam ialah tidak ramai yang mengetahui khasiat dan kebaikannya.

Secara saintifiknya, khasiat halia hitam telah dibuktikan oleh kajian yang telah dilaporkan di dalam beberapa jurnal.

Namun begitu, kekurangan bahan tanaman ini di Malaysia menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan merupakan faktor utama halia hitam tidak popular seperti tanaman lain.

Malah, aktiviti R&D di Malaysia masih tidak menghasilkan banyak produk berasaskan tanaman halia hitam walaupun banyak institusi penyelidikan dan universiti yang mengetahui potensi besar tanaman ini.

Kesukaran untuk mendapatkan rizom sebagai bahan utama dalam penghasilan produk merupakan masalah utama.

Harga rizom yang terlalu mahal mencecah sehingga RM6,000/kg telah menyukarkan pengusaha industri herba untuk mengeksploitasi dan memperkenalkan tanaman ini dalam pasaran industri herba.

(Sumber: Buletin Teknologi MARDI)

HALIA HITAM BERHARGA RM200 SEKILO!

Rizom Halia Hitam
Halia Hitam.

Tumbuhan herba ini terdiri daripada kumpulan halia yang didapati secara meluas ditanam di Thailand berbanding di negara ini.

Mungkin faktor itulah yang menyebabkan ramai dalam kalangan masyarakat kurang mengenali apatah lagi mengetahui khasiatnya.

Situasi itu turut diakui pembekal dan pengedar anak benih pokok buah-buahan dan herba, Othman Saidon.

Katanya, dari segi fizikal tanaman itu hampir serupa dengan halia biasa, namun bentuk ubinya berbeza dan berwarna ungu hitam walaupun saiz seakan-akan sama.

"Ketika ini sukar memperoleh benih halia hitam kerana ia tidak terdapat di pasaran atau nurseri. Biasanya saya mendapatkan benihnya dari Thailand pada RM200 sekilogram.

"Halia hitam mempunyai nilai komersial yang tinggi kerana rizom (akar berisi) dan daunnya digunakan sebagai bahan bagi tujuan pengeluaran produk kesihatan, kosmetik, makanan tambahan dan perubatan," katanya.

Othman berkata, berbanding di Thailand, penghasilan produk berasaskan halia hitam di pasaran tempatan sangat terbatas berikutan kekurangan bahan tanaman itu dan hanya segelintir pengusaha yang menanamnya secara berskala besar.

Tidak hairanlah di negara gajah putih itu terdapat produk berasaskan halia hitam yang diaplikasikan dalam pelbagai bentuk makanan kesihatan tambahan selain kosmetik.

"Kekurangan halia hitam di negara ini menyebabkan ia sangat sukar untuk diperoleh dan menjadi faktor utama ia tidak popular seperti pokok herba lain antaranya tongkat ali dan kacip fatimah."

Beliau turut mengakui halia hitam mudah ditanam sama ada di atas tanah, dalam pasu atau menggunakan beg semaian.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon