Friday, June 12, 2020

'Picit Challenge' Untuk Mereka Yang Tiada Rasa Malu


Bergambar memeluk isteri sambil memicit punggung? Itu cabaran media sosial yang dikenali sebagai #picitchallenge yang mula tular sejak sambutan Aidilfitri lalu, mengundang pelbagai persepsi umum termasuk kecaman daripada warganet.

Picit Challenge memalukan agama

Cabaran berkenaan menampilkan suami memicit punggung isterinya dan gambar berkenaan dimuat naik di laman sosial serta meletakkan tanda pagar #picitchallenge.

Walaupun secara prinsipnya, isteri adalah hak terhadap suaminya namun adakah sesuatu yang wajar gambar kurang sopan berkenaan dikongsi di akaun media sosial seolah-olah sudah hilang perasaan malu.

Bermesraan antara suami dan isteri selepas berkahwin adalah sesuatu yang dihalalkan. Ia adalah anugerah Allah SWT kepada hamba-Nya yang mempunyai naluri untuk memiliki dan dimiliki.

Justeru, menzahirkan rasa cinta kepada pasangan masing-masing melalui sentuhan dan kata-kata adalah perkara biasa.

Bagaimanapun, Islam amat memberi perhatian terhadap isu kehormatan dan maruah suami dan isteri.

"Iman itu ada 70 lebih cabang. Dan rasa malu salah satu cabang daripada iman." (Riwayat Muslim, no. 35)

Rasa malu menurut Imam an-Nawawi RH adalah, "Akhlak terpuji yang mendorong seseorang untuk meninggalkan sesuatu yang buruk dan mencegahnya daripada kelalaian dalam memenuhi hak pemiliknya."

Dalam hal lain, beliau juga menyebutkan antara perkara yang menjatuhkan maruah adalah mencium isteri di khalayak ramai.

Justeru, perbuatan suami isteri bercumbu hendaklah dielakkan di khalayak umum dan di media sosial kerana ia bukan akhlak Muslim dan jauh sekali daripada adab ketimuran yang kita junjung selama ini.

Tanpa sedar juga, perbuatan berkongsi gambar suami memicit punggung isterinya bukan hanya menjatuhkan maruah, malah perkara itu mengundang imaginasi orang yang melihatnya.

Bagaimana maruah seorang isteri walaupun si isteri itu bersifat 'reda' dengan kelakuan suaminya dan berkongsi gambar untuk menjadi tontonan umum di media sosial.

Adakah perkara berkenaan hanya mengejar 'kebanggaan' dan bagaimana pula adab pasangan suami isteri yang bergelar penganut Islam?

"Sesungguhnya sifat malu tidaklah mendatangkan apa-apa kecuali hanya kebaikan." (Riwayat al-Bukhari, no. 6117)

Satu petikan kenyataan daripada Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad menyatakan bahawa perbuatan berkongsi keintiman dengan khalayak adalah dilarang dan perbuatan itu perlu disesuaikan dengan tempat yang sepatutnya.

Islam sangat mengutamakan adab, setiap langkah, kata-kata dan perbuatan ada tempat yang lebih sesuai walaupun seseorang itu bergelar suami isteri namun masih perlu mengutamakan tatasusila membabitkan gambar yang ingin dikongsi dengan umum.

Apa yang berlaku bagi segelintir umat Islam hari ini yang melihat semua itu sebagai 'normalisasi baharu' walaupun pada kaedah pemikiran akal adalah sangat bertentangan, malah mengundang terbukanya pintu fitnah.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hmetro

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon