Saturday, June 13, 2020

Belajarlah Sesuatu Dari Durian Musang King


Kenapa durian Musang King sangat mahal dan kenapa ia dinamakan King? Ada yang mengatakan ia adalah raja segala rasa durian. Tak percaya, cubalah dulu seulas, lepas tu baru anda tahu betapa tingginya langit.

Motivasi Musang King
Gambar hiasan.

Durian nombor dua terbaik adalah durian Udang Merah. Warnanya ada sedikit oren kemerahan. Mungkin sebab tu namanya Udang Merah.

Harga udang merah separuh lebih murah dari Musang King dan jika membeli Udang Merah dan Musang King, petuanya makan dulu Udang Merah, lepas tu baru makan Musang King.

Sebab, jika makan Musang King dulu, bila makan Udang Merah akan rasa tawar atau tiada rasa.

Kalau tak percaya, cubalah juga seulas, dah rasa nanti baru anda sedar betapa dalamnya lautan.

Kenapa Musang King Begitu Diminati dan Harganya Mahal?

1. Musang King isinya tebal, bijinya kecil dan banyak yang leper serta sangat kempis dan walaupun ada ulas yang kecil pada Musang King tetapi penuh dengan isi.

Jadi, kita dapat menikmati kenikmatan buah durian Musang King sepenuh hati dan jiwa.

Bayangkan, sedang durian biasa yang ulas besar-besar pun sudah terasa nikmatnya, apatah lagi si raja durian. Lagipun, buat apa biji besar? Bukannya kita makan biji pun. Kan?

Biji Musang King kecil dan leper. Mungkin itulah keajaibannya, mengorbankan diri agar menjadi isi yang boleh dinikmati sepenuhnya.

2. Isi durian Musang King juga langsung tak melekat pada biji, memaksimumkan 100% kenikmatan memakan isi durian tanpa meninggalkan lekat sedikit pun pada bijinya.

Kesimpulan apa yang boleh kita belajar dari Musang King adalah, apabila kita bekerja walau apa pun atau sekecil mana jawatan disandang, kita berilah yang terbaik, sehabis mampu untuk berkhidmat kepada manusia kerana Allah.

Kita dapat gaji, sedangkan Musang King tak dapat apa-apa pun tapi tetap memberikan yang terbaik sehinggakan begitu dihargai dan menjadi rebutan.

Musang King juga mengorbankan diri sehabis mungkin untuk memaksimumkan kepuasan kepada orang lain.

Dalilnya, Musang King isinya sangat tebal (untuk kita makan), tapi bijinya sangat kempis (untuk diri sendiri).

Ibaratnya, begitulah seseorang itu walaupun gajinya sedikit dan jawatan tak tinggi, tapi perkhidmatan dan kerjanya luar biasa berkualiti.

#Penulis ialah Izwan Haidar, Coach dan Perunding Kerjaya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon