Wednesday, June 17, 2020

Asal-usul Istilah 420 Sebagai Kod Untuk Menghisap Ganja


Kebanyakan golongan 'bani tenang' tidak mengetahui asal usul perkataan '420' kerana ada segelintir dari mereka percaya bahawa 420 adalah jumlah bahan kimia aktif yang terdapat di dalam ganja, manakala yang lain pula merujuk nombor tersebut sebagai masa minum petang di Belanda.

420 Marijuana Code

Ada juga yang percaya 420 merujuk kepada hari ulang tahun kelahiran Adolf Hitler iaitu 20 April 1889 namun, cerita sebenar di sebalik nombor 420 adalah mengenai pengembaraan lima orang remaja yang masih bersekolah di California.

Mereka menghabiskan masa dengan duduk melepak di kawasan luar Sekolah Tinggi San Rafael, tempat pertemuan bagi kumpulan yang dipanggil sebagai Waldos.

Semuanya bermula pada musim gugur tahun 1971, apabila kumpulan Waldos yang dianggotai oleh pelajar sekolah telah 'menemui' satu peta rahsia ke tempat penanaman ganja yang dimiliki oleh seorang pengawal pantai yang telah dilarang untuk menanam tanaman tersebut.

Malah, ada yang menyatakan bahawa peta itu diberikan sendiri oleh tuan tanah itu.

Setiap minggu, mereka akan bertemu di luar kawasan sekolah atau lebih tepat lagi di bawah patung Louis Pasteur, seorang ahli biologi, ahli mikrobiologi dan ahli kimia yang terkenal dari Perancis.

Pertemuan mereka membawa kepada satu misi, iaitu mencari 'harta karun' yang ditinggalkan.

Patung Louise Pasteur
Patung Louise Pasteur Di San Rafael High School.

Jam berapa mereka akan berkumpul?Jawapannya ialah 4:20 petang, selepas latihan, kerana kelima-lima pelajar ini adalah atlet di sekolah.

Kumpulan Waldos terlebih dahulu akan duduk melepak di dalam kereta, menghisap ganja dan seterusnya menjelajahi Hutan Point Reyes bagi menjalankan misi mereka untuk mendapatkan tanaman ganja yang ditinggalkan.

Salah seorang anggota Waldos, Steve Capper, berkata kepada Huffington Post, "Kami akan saling mengingatkan antara satu sama lain yang kami akan berkumpul pada jam 4:20.

"Pada mulanya ia dipanggil dengan nama 4:20-Louis, tapi kami akhirnya membuang Louis."

Istilah Terkenal 420

Namun, selama melakukan misi pencarian 'harta karun' tersebut, mereka telah gagal menemui tanaman ganja yang ditinggalkan.

Tetapi mereka tidak gagal untuk mencipta sesuatu yang bertahan sehingga ke hari ini, iaitu istilah 420 yang sering digunakan oleh anak-anak disekitar Amerika Syarikat dan Eropah sebagai kod untuk menghisap ganja tanpa diketahui oleh ibu bapa.

Waldos

TIGA AHLI KUMPULAN WALDOS. (DARI KIRI) MARK GRAVITCH, DAVE REDDIX DAN STEVE CAPPER DENGAN BENDERA ASAL 420 – HISTORY/CARLY SCHWARTZ.

Tetapi, bagaimana pertemuan kecil lima orang pelajar di bawah patung Louis Pasteur mampu menyebarkan satu kod rasmi yang diguna pakai oleh semua penghisap ganja di seluruh dunia?

Jawapannya ada pada kumpulan rock tahun 1965, iaitu Grateful Dead, kerana kumpulan Waldos mempunyai hubungan yang baik dengan kumpulan ini.

Ayah kepada salah seorang ahli kumpulan Waldos adalah individu yang bertanggungjawab menguruskan harta salah seorang ahli kumpulan rock tersebut.

Manakala kakak kepada salah seorang ahli kumpulan Waldos adalah teman baik kepada pemain bass Grateful Dead.

Capper memberitahu Huffington Post bahawa Grateful Dead antara kumpulan yang bertanggungjawab menyebarkan kod ini dikalangan peminat mereka.

Salinan akhbar San Rafael

SALINAN AKHBAR SEKOLAH TINGGI SAN RAFAEL DENGAN RUJUKAN 420. – HISTORY/CARLY SCHWARTZ.

"Ada tempat bernama Winterland dan kami selalu berada di belakang pentas atau bahagian panggung.

"Kami menggunakan kod tersebut apabila seseorang memberi tanda atau berkata sesuatu seperti, "Hei, 420."

"Jadi dari situ, ia mula tersebar ke seluruh komuniti itu," kata Capper.

Selain itu, Steven Bloom, wartawan di High Time Magazine juga adalah antara individu yang bertanggungjawab menyebarkan dakyah 420.

Pertama kali dia mendengar ungkapan 420 adalah pada hujung minggu tahun 1990 ketika konsert kumpulan Grateful Dead di Oakland, California.

Pada hari konsert tersebut, Bloom berasa pelik apabila sesetengah hippies dan peminat kumpulan Grateful Dead berkumpul awal sebelum konsert itu bermula.

Salah seorang peminat Grateful Dead menyerahkan poster kepada beliau yang tertulis, "Kami akan berkumpul pada pukul 4:20 di tarikh 4/20 untuk 420 di Marin County, tempat matahari terbenam Bolinas Ridge di Mt. Tamalpais."

Setelah mengetahui maksud di sebalik makna 420, Bloom mengambil inisiatif dengan mengeluarkan risalah berkenaan pertemuan rahsia itu pada tahun 1991 di High Time Magazine.

Tidak lama kemudian, nombor itu dikenali di seluruh dunia sebagai kod ganja dan pada tahun 1998, kebanyakan media mengakui bahawa kumpulan Waldos adalah pencipta kod 420.

Hari ini, budaya ini disambut di seluruh dunia dengan Universiti Colorado di Bounlder dan Universiti California di Santa Cruz berusaha keras untuk menolak dakyah 420 yang semakin popular di kalangan pelajar.

Mereka dilaporkan telah memohon para pelajar untuk tidak menyertai mana-mana sambutan 420, tapi arahan ini langsung tidak mendapat sambutan.

Kod ini juga telah dirujuk dalam beberapa filem klasik seperti Pulp Fiction, di mana jam di dalam filem tersebut telah ditetapkan pada jam 4:20.

Manakala di TV pula, di dalam rancangan Price Is Right, nombor yang ditetapkan hanya melibatkan 420 – iaitu $420 atau $1,420.

Malah, kartun Nickelodeon, Rocko's Modern Life yang dikeluarkan pada tahun 1990-an turut memaparkan jam yang menunjukkan waktu 4:20.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thevocket

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon