Tuesday, June 09, 2020

Kisah Pandemik Selesema Sepanyol 1918 Yang Menjangkiti 500 Juta Manusia!


Pandemik selesema Sepanyol yang berlaku pada tahun 1918 adalah wabak paling dahsyat dalam sejarah, menjangkiti kira-kira 500 juta orang di seluruh dunia iaitu kira-kira satu pertiga daripada penduduk Bumi pada ketika itu dan telah membunuh kira-kira 20 juta hingga 50 juta mangsa.

Selesema Sepanyol 1918

Selesema 1918 mula dikesan di Eropah, Amerika Syarikat dan beberapa bahagian Asia sebelum berleluasa ke seluruh dunia.

Ketika itu tiada ubat atau vaksin yang berkesan untuk merawat selesema ini dan orang ramai hanya diarahkan untuk memakai topeng muka.

Sekolah, teater dan perniagaan ditutup manakala mayat bertimbunan di rumah mayat sebelum virus ini lenyap.

Apa itu selesema?

Influenza atau selesema adalah virus yang menyerang sistem pernafasan dan ia sangat mudah berjangkit.

Apabila seseorang yang dijangkiti batuk, bersin atau bercakap, titisan pernafasan dihasilkan dan dihantar ke udara, kemudiannya boleh dihirup oleh sesiapa sahaja yang berdekatan.

Selain itu, seseorang yang menyentuh sesuatu benda yang mempunyai virus ini dan kemudian menyentuh mulut, mata atau hidungnya boleh dijangkiti.

Wabak selesema berlaku setiap tahun dan berbeza dari segi bahaya, bergantung kepada bahagian jenis virus yang tersebar, juga boleh bermutasi dengan begitu pantas.

Selesema Sepanyol

Wabak influenza ini tidak terhad kepada Sepanyol dan ia sebenarnya bukanlah berasal dari Sepanyol.

Penyelidikan oleh Olson et al (2005), menunjukkan bahawa wabak itu berasal dari New York kerana bukti gelombang pra-pandemik virus ini di bandar tersebut.

Tetapi, ia dinamakan sedemikian kerana Sepanyol adalah negara neutral dalam Perang Dunia Pertama (1914-18), yang bermaksud ia bebas melaporkan tahap keterukan pandemik ini.

Manakala negara-negara yang terlibat dengan perang cuba menyembunyikan laporan tentang bagaimana influenza ini memberi kesan kepada penduduk mereka bagi mengekalkan semangat perang dan tidak kelihatan lemah di mata musuh.

Wabak selesema ini bermula di Hemisfera Utara pada musim bunga tahun 1918, tersebar dengan cepat dan akhirnya sampai ke seluruh pelusuk dunia, di mana satu epidemik berubah menjadi pandemik.

Gejala Selesema Sepanyol

Gelombang pertama pandemik 1918 berlaku pada bulan Mac 1918, ketika Perang Dunia Pertama sedang berlangsung.

Pesakit akan mengalami gejala selesema biasa seperti menggigil, demam dan keletihan, biasanya pulih selepas beberapa hari dan jumlah kematian yang dilaporkan adalah rendah.

Walaupun tidak diketahui di mana virus pertama muncul, ia merebak dengan pantas ke Eropah barat dan menjelang Julai, ia telah merebak ke Poland.

Gelombang pertama influenza ini agak sederhana. Walau bagaimanapun, pada musim panas, jenis penyakit yang lebih maut diiktiraf dan bentuk ini muncul sepenuhnya pada bulan Ogos 1918.

Individu yang dijangkiti meninggal dunia dalam masa beberapa jam atau hari selepas mengalami gejala, kulit mereka berubah menjadi biru dan paru-paru mereka dipenuhi dengan cecair yang menyebabkan mereka mati lemas.

Hanya dalam tempoh setahun pada 1918, jangka hayat purata di Amerika menurun sebanyak 12 tahun.

Kematian disebabkan Selesema Sepanyol 1918

Terdapat beberapa anggaran kematian yang disebabkan oleh pandemik dan yang tertinggi adalah seramai 50 juta orang.

Pada hari pertama, sebanyak 651 kematian dicatatkan, bertambah kepada 3,600 kematian menjelang 7 hari dan melonjak kepada 17,920 kematian hanya dalam masa sebulan.

Menjelang hari ke-100, seramai 770,760 nyawa telah terbunuh akibat wabak selesema dahsyat ini di seluruh dunia.

Wabak selesema ini berlaku di hampir setiap bahagian dunia yang didiami, bermula di pelabuhan, kemudian tersebar dari bandar ke bandar sepanjang laluan pengangkutan utama.

India dipercayai telah mengalami sekurang-kurangnya 12.5 juta kematian semasa pandemik ini.

Apa yang lebih menakutkan adalah, virus ini akhirnya samapi ke tempat yang sangat jauh seperti padang gurun Alaska, New Zealand dan Samoa yang terletak di tengah-tengah pulau Pasifik.

Kebanyakan kematian di seluruh dunia berlaku semasa gelombang kedua dan ketiga yang sangat dahsyat.

Melawan Selesema Sepanyol

Apabila selesema 1918 melanda, doktor dan saintis tidak pasti apa yang menyebabkannya atau bagaimana untuk merawatnya.

Tidak seperti hari ini, tiada vaksin, antivirals atau ubat-ubatan yang berkesan untuk merawat selesema ini.

Vaksin selesema berlesen pertama hanya muncul di Amerika Syarikat pada tahun 1940.

Pada dekad berikutnya, pengilang dapat menghasilkan vaksin secara rutin yang dapat membantu mengawal dan mencegah pandemik yang akan datang.

Malah, hospital-hospital di sesetengah kawasan mengalami kesesakan pesakit selesema sehinggakan sekolah-sekolah, rumah-rumah persendirian dan bangunan-bangunan lain terpaksa ditukar menjadi hospital sementara yang mana sebahagiannya dikendalikan oleh para pelajar perubatan.

Pegawai di sesetengah komuniti mengenakan kuarantin, memerintahkan rakyat mereka memakai topeng dan menutup tempat awam, termasuk sekolah, gereja dan teater.

Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan berjabat tangan dan tinggal di dalam rumah, perpustakaan menghentikan peminjaman buku dan peraturan melarang meludah diluluskan.

Menurut The New York Times, semasa pandemik ini, Boy Scouts di New York City mendekati orang yang meludah di jalan dan memberi mereka kad yang berbunyi, "Anda melanggar Kod Kebersihan."

Berakhirnya pandemik paling dahsyat

Menjelang musim panas tahun 1919, pandemik selesema dahsyat ini telah berakhir, dengan mereka yang dijangkiti sama ada mati atau tahap imun mereka menjadi semakin kuat.

Hampir 90 tahun kemudian iaitu pada tahun 2008, para penyelidik mengumumkan bahawa mereka telah menemui apa yang menyebabkan selesema 1918 sangat membunuh.

Jawapannya ada sekumpulan tiga gen membolehkan virus itu melemahkan tiub dan paru-paru bronkus mangsa dan memudahkan berlakunya radang paru-paru bakteria.

Sejak tahun 1918, terdapat beberapa pandemik influenza yang lain namun tidaklah sehebat Selesema Sepanyol ini.

Pandemik selesema dari 1957 hingga 1958 membunuh kira-kira 2 juta orang di seluruh dunia dan pandemik dari 1968 hingga 1969 membunuh kira-kira 1 juta orang.

Selesema Sepanyol vs Covid-19

Apabila membandingkan COVID-19 dengan selesema Sepanyol, terdapat beberapa perbezaan penting yang harus dipertimbangkan.

Kedua-duanya bukanlah penyakit yang sama dan virus yang menyebabkan penyakit ini sangat berbeza.

Virus yang menyebabkan COVID-19 adalah coronavirus, bukan virus influenza yang menyebabkan selesema Sepanyol dan pandemik influenza lain yang disebutkan di atas.

Kadar kematian dari segi kumpulan usia juga sangat berbeza. Selesema Sepanyol pada tahun 1918 tersangat bahaya terhadap bayi dan juga kanak-kanak.

Coronavirus yang baharu ini menyebabkan COVID-19 kelihatan seperti sangat berbahaya kepada warga emas dan mereka yang menghidap penyakit kronik.

Pada tahun 1918, dunia hanya dihubungkan dengan landasan kereta api dan kapal pengangkut.

Hari ini, pesawat boleh membawa orang dan virus ke banyak penjuru dunia dalam masa yang sangat singkat. Perbezaan dalam sistem dan infrastruktur kesihatan juga penting.

Selesema Sepanyol melanda dunia pada zaman sebelum antibiotik dicipta dan banyak kematian tidak disebabkan oleh virus influenza itu sendiri tetapi oleh jangkitan bakteria sekunder.

Morens et al (2008) mendapati bahawa ketika selesema Sepanyol, "Kebanyakan kematian kemungkinan disebabkan secara langsung dari radang paru-paru bakteria sekunder yang disebabkan oleh bakteria saluran pernafasan atas yang biasa."

Dan bukan sekadar sistem kesihatan yang berbeza, tetapi juga keadaan kesihatan dan kehidupan penduduk global.

Pada tahun 1918, populasi dunia yang besar adalah sangat miskin di mana sebahagian besar penduduk kurang mendapat zat.

Di kebanyakan tempat di dunia, penduduknya hidup dalam keadaan yang sangat miskin dan sangat sesak, sanitasi yang kurang baik serta standard kebersihan yang rendah adalah perkara biasa.

Tambahan pula populasi di banyak bahagian dunia menjadi lemah disebabkan oleh perang global.

Sumber awam adalah sangat kecil dan banyak negara membelanjakan sebahagian besar sumber mereka untuk perang.

Walaupun sebahagian besar dunia lebih kaya dan sihat sekarang, kebimbangan hari ini juga adalah bahawa ia adalah orang termiskin yang akan menjadi golongan yang paling terkesan dengan wabak COVID-19.

Selesema Sepanyol mengingatkan kita betapa besarnya kesan pandemik, walaupun di negara-negara yang telah berjaya dalam meningkatkan kesihatan penduduk.

Patogen baru boleh menyebabkan kehancuran yang dahsyat dan mengakibatkan kematian berjuta-juta.

Oleh sebab itu, selesema Sepanyol telah digelar sebagai amaran dan sebagai motivasi untuk mempersiapkan diri untuk wabak lebih besar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:
sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon