Monday, May 11, 2020

Kisah Tiye: Isteri Firaun Paling Berkuasa Dalam Sejarah


Tiye adalah isteri raja Agung Amenhotep III, firaun Mesir yang sering dibandingkan dengan Louis XIV, manakala puteranya, Akhenaten, merupakan seorang pencetus kontroversi terbesar dalam sejarah firaun di Mesir.

Ratu Tiye

Tiye juga merupakan nenek kepada Tutankhamun dan saudara perempuan kepada Ay. Beliau adalah salah seorang wanita yang paling berpengaruh dalam Mesir Purba namun, namanya hilang dalam lipatan sejarah berkurun-kurun lamanya.

Tiye, juga dikenali sebagai Taia, Tiy dan Tiyi, dipercayai hidup pada suatu tempoh antara tahun 1398 – 1338 SM.

Kisah hidupnya diselubungi misteri, sama seperti figura-figura sejarah lain yang hadir dari zaman ini.

Dunia kehidupannya tumbang bersama ibu kota yang diperintah oleh puteranya, Akhenaten, iaitu Amarna.

Menurut inskripsi-inskripsi purba, Tiye adalah puteri kepada Yuya dan Tuya, juga merupakan saudara perempuan kepada firaun Ay.

Sebahagian ahli kaji Mesir purba berpendapat bahawa tiada kaitan yang wujud di antara Ay dan Tiye.

Namun, kedudukan saudaranya itu (yang juga dikenali sebagai Anen) dilihat menjadi bukti – Ay adalah Paderi Kedua Amun dan banyak mewarisi gelaran daripada Yuya.

Selain daripada faktor-faktor ini, tiada sebab lain yang dapat menerangkan bagaimana Ay boleh meraih kedudukannya di dalam istana diraja.

Dalam erti kata lain, beliau mempunyai kaitan (pertalian darah) dengan Yuya, Tuya dan Tiye.

MUMIA BERAMBUT CANTIK

Semasa Victor Loretin menemui sebuah kamar yang menempatkan mumia-mumia pada tahun 1898, beliau menemui mumia wanita yang memiliki rambut yang mengurai panjang lagi cantik – suatu ciri yang amat jarang dilihat pada seorang mumia.

Pada tahun 2010, ujian-ujian DNA yang dijalankan oleh pasukan dari Supreme Council of Antiquities, National Geographic dan Siemens mendapati bahawa 'Wanita Tua' cantik yang ditemui di KV35 ini adalah Ratu Tiye.

Penyelidikan juga mendapati bahawa mumia wanita itu adalah nenek kepada Tutankhamun, ibunda kepada Akhenaten dan seorang mumia wanita lain yang ditemui di KV35, yang digelar 'Cik Puan Muda'.

Mumia Ratu Tiye
Mumia Ratu Tiye, kini disimpan rapi di Muzium Mesir.

Mumia Ratu Tiye ini ditemui dalam keadaan tidak berbalut atau berbungkus. Jasadnya mengalami kerosakan teruk akibat petualangan pencuri-pencuri purba yang menceroboh makamnya.

Seluruh abdomen bahagian depan, termasuklah rongga dadanya mengalami kerosakan.

Mumia beliau ditemui dan diperincikan oleh G.E. Smith sebagai wanita berusia pertengahan yang ditemui dalam keadaan tangannya mengulur atau menegak di sisinya, dengan tapak tangan kanan diletakkan di peha kanan.

Namun, tangan kirinya pula disilangkan ke atas dada sekali gus mengisyaratkan bahawa beliau berkemungkinan memegang sesuatu semasa dikebumikan.

Perincian ini adalah petanda awal yang mengisyaratkan bahawa beliau adalah seorang ratu.

Gigi dan rambutnya berada dalam keadaan yang sangat terpelihara. Pun begitu, mumia ini dikebumikan semula di KV35 tanpa membawa bersama sebarang barangan pengebumian.

Bahkan, pihak yang menguburkannya semula langsung tidak membalut atau membungkus semula jasadnya.

Ratu Tiye berkemungkinan pada asalnya dikebumikan di Amarna, makam diraja Akhenate.

Akhenaten dan Maetaten (cucunya) dikebumikan di sisinya.

Kuil pengebumian bersepuh emas tempat di mana Tiye ditemui berada bersama Akhenaten ditemui di makam KV55 9 (pemakaman terakhir Akhenaten).

Namun, shabtis beliau ditemui di makam WV22 – makam milik Amenhotep III.

PENASIHAT DAN ORANG KEPERCAYAAN YANG BIJAK

Tiye diyakini sebagai seorang penasihat yang berkhidmat untuk Amenhotep III dan Akhenaten.

Kedudukannya di istana kedua-dua firaun ini agak tinggi. Beliau berkahwin dengan Amenhotep pada tahun kedua pemerintahannya.

Ketika itu, mereka berdua masih kanak-kanak namun meluangkan seluruh kehidupan secara bersama.

Tiye muncul dalam sejarah sebagai seorang penasihat yang bijak dan wanita paling penting dalam istana Amenhotep.

Beliau turut menjadi individu yang penting semasa zaman pemerintahan puteranya.

Patung besar Amenhotep III

Amenhotep dan Tiye mempunyai beberapa orang anak, namun tidak dapat diketahui bagaimana kebanyakan anak mereka melepasi usia kanak-kanak.

Tiye juga berkemungkinan merupakan ibunda kepada puteri tertua firaun, iaitu Sitamun.

Tiye diangkat kedudukannya sebagai Isteri Diraja Agung semasa zaman pemerintahan Amenhotep.

Antara puterinya yang lain termasuklah Isis, Henuttaneb dan Nebetah (yang mungkin adalah individu yang sama dengan puteri Baketaten).

Beliau setidak-tidaknya mempunyai dua orang putera, zuriat bersama Amenhotep.

Putera pertama adalah Thutmose si Paderi Tinggi Ptah manakala putera kedua pula dilahirkan sebagai Amenhotep IV, namun dikenali dalam sejarah sebagai seorang raja yang mencetuskan revolusi, iaitu Akhenaten.

Amenhotep merupakan seorang firaun yang lasak, banyak meluangkan masanya di luar dan amat bertuah kerana dikurniakan seorang isteri yang sanggup mengikutnya.

Istana mereka dilimpahi kekayaan, dan semasa hayat Tiye, Mesir kelihatan seolah-olah sebuah tapak pembinaan yang besar.

Diyakini bahawa hubungan yang terjalin antara pasangan ini tidak hanya sekadar berpasak pada perkongsian zuriat.

Tiye merupakan seorang wanita yang berpendidikan, selayak seorang raja. Beliau merupakan penasihat dan orang kepercayaan suaminya, tersenarai dalam lingkungan kecil kepercayaan Amenhotep III.

Sumber-sumber yang ada menunjukkan bahawa beliau adalah seorang yang bijaksana, yakin diri dan amat berpengaruh.

Tiye memainkan peranan yang aktif dalam politik Mesir, hubungan antarabangsa dll.

Beliau adalah ratu pertama Mesir yang dikenali, namanya muncul dalam tindakan-tindakan rasmi kerajaan.

Sejarahwan mendapati bahawa pemerintah kerajaan Mitanni yang bernama Tushratta pernah berutus surat dengan Tiye.

Terdapat sejumlah makam suci yang dibangunkan sebagai dedikasi untuknya. Terdapat juga tasik buatan yang dibina pada tahun ke-12 pemerintahan Amenhotep khusus untuknya.

PENAMAT HIKAYAT

Lembah Raja-Raja
WV22.

Tatkala Amenhotep mangkat selepas memerintah selama 39 tahun, Tiye menguruskan pengebumiannya di Lembah Raja-Raja, di sebuah makam yang kini dikenali sebagai WV22.

Tiye sendiri kemudiannya mangkat, diperkirakan pada tahun ke-12 pemerintahan Akhenaten (sekitar 1338SM).

Dipercayai bahawa punca kemangkatannya adalah disebabkan oleh wabak penyakit.

Pada waktu-waktu sekitar yang sama itu jugalah, ramai figura sejarah yang sezaman dengan Tiye hilang dari lembaran sejarah.

Ratu Tiye, yang suaminya, Amenhotep III mungkin digambarkan berada di sebelahnya pada patung yang telah hancur ini.

Beliau mangkat pada usia sekitar 50 tahun. Tidak lama selepas kemangkatannya, Akhenaten kehilangan autoriti pemerintahannya dan bandarnya mula hilang pengaruh.

Zaman tersebut masih memegang banyak rahsia untuk diungkapkan oleh sejarah, namun sejarahwan meyakini bahawa Tiye adalah individu penting dalam istana Mesir purba.

Berikutan kemangkatannya, sebuah zaman pun menemui penamatnya. Kemangkatan Tiye boleh dianggap sebagai petanda berakhirnya kegemilangan Dinasti Ke-18.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon