Friday, May 08, 2020

Benarkah Kod E Pada Label Makanan Mempunyai Kaitan Dengan Lemak Babi?


Untuk makluman, KOD E ialah kod untuk bahan tambahan (aditif) dan ianya selalu digunakan pada label makanan di negara Kesatuan Eropah, iaitu bahan yang selamat dimakan dan ditambah secara sengaja ke dalam makanan.

Kod E Label Makanan

Bahan ini digunakan bagi mempengaruhi kualiti penyimpanan, pemprosesan, penyediaan dan pembungkusan makanan.

Skim penomboran ini adalah mengikut Sistem penomboran Antarabangsa (International Numbering System @ INS) yang telah ditentukan oleh Jawatankuasa Codex Alimentarius.

Ia adalah koleksi pelbagai standard, kod praktis, panduan antarabangsa yang diiktiraf berkaitan dengan makanan, pemprosesan makanan dan keselamatan makanan bertujuan untuk menjaga kesihatan manusia dan memastikan kod perdagangan yang beretika dijalankan.

Bagi Kesatuan Eropah, Kod E ini adalah merujuk kepada aditif yang boleh dimakan kerana hanya sebahagian daripada bahan aditif yang dibenar untuk digunakan.

Nombor E juga digunakan pada label pemakanan di Australia, New Zealand, Amerika Utara dan Kanada.

PENGKELASAN NOMBOR E MENGIKUT JENIS BAHAN ADITIF:-
  • E100 – E199: Warna
  • E200 – E299: Pengawet
  • E300 – E399: Oksidan, Fosfat, Antioksida, Pengawal Asid
  • E400 – E499: Pemekat, Pelembap, Penstabil, Emulsifier
  • E500 – E599: Garam, Regulator Asid, Agen Penghalang Kerak
  • E600 – E699: Penambah Perisa
  • E900 – E999: Pemanis, Bahan-bahan lain
  • E1000- E1999: Bahan Kimia Tambahan

Tidak semua nombor E yang digunakan untuk membuat sesuatu produk makanan adalah berasaskan dari sumber yang HARAM.

Bahan-bahan aditif ini boleh bersumberkan tumbuhan, sintetik, mikrob, semulajadi, kimia dan haiwan.

Contoh Nombor E yang paling kerap ditanya oleh orang ramai adalah E471. Ia adalah sejenis pengemulsi iaitu mono dan digliserida.

Sumbernya adalah dari lemak sintetik yang terhasil dari gliserol dan asid lemak semulajadi, terutamanya dalam tumbuhan (contohnya minyak kelapa sawit) atau lemak haiwan.

Ramuan ini secara umumnya ialah sebatian pelbagai bahan dengan kandungannya hampir sama dengan lemak semulajadi yang boleh dihadam.

Dalam memastikan sumber yang di makan adalah terjamin, masyarakat harus peka mengenai jenis aditif makanan dan tahap kandungan yang dibenarkan untuk digunakan dalam sesuatu produk makanan.

Pihak industri makanan dan barang gunaan pula bertanggungjawab untuk mengenal pasti status sumber aditif makanan yang digunakan supaya tidak menimbulkan keraguan kepada para pengguna Islam.

Manakala Bahagian Hab Halal, Jakim/Main/Jain akan memastikan syarikat yang memohon sijil halal wajib mengisytihar kesemua ramuan termasuk aditif makanan yang digunakan beserta dokumen yang kukuh (seperti sijil halal yang diiktiraf dan analisis makmal).

Sehubungan itu, sekiranya produk tersebut merupakan produk tempatan atau luar negara dan mendapat sijil Pengesahan Halal Malaysia atau Sijil Pengesahan Halal Luar Negara yang diiktiraf oleh JAKIM, maka ia boleh digunakan tanpa was-was sekalipun mempunyai Kod E.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon