Sunday, May 17, 2020

'Industri Hiburan Malaysia Gagal, Tiada Keberkatan'


Pelakon Zul Yahya, mencetuskan kontroversi apabila menyeru pekerja industri filem dan drama kalangan kru produksi dan teknikal belakang tabir di Malaysia untuk mengubah haluan kerjaya yang diceburi mereka selama ini.

Zul Yahya kata industri hiburan tidak berkat

Menerusi perkongsian video berdurasi tiga minit di Instagram TV (iGTV), Zul berkata, sudah tiba masanya mereka melakukan perubahan dalam kehidupan untuk mencari rezeki lebih berkat di sisi Allah.

Walaupun tidak dapat dipastikan punca gesaan tersebut dilakukan namun ia difahamkan kerana terlalu banyak ketidakadilan yang berlaku kepada para pekerja industri tersebut ketika ini.

"Jom ubah kehidupan kita. Industri ini (hiburan) tak bawa ke mana pun, tak ada keberkatan. Dapat banyak pun (wang) tak pernah cukup.

"Dalam industri ada banyak kaki ampu, berpuak-puak, pentingkan diri sendiri dan rasuah. Begitu juga salah guna kuasa untuk peroleh sesuatu diingini.

"Nasib kru (pekerja belakang tabir) yang kerja susah payah tak ikut tempat, semua ceruk diredah dan makan tak menentu, pihak atasan tak nampak pengorbanan ini. Apa yang mereka nampak adalah keuntungan," katanya.

Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Yahya juga mendakwa penerbit, pengarah, stesen TV dan banyak pihak tak ambil berat soal keberkatan.

Katanya, apa yang ditayangkan pun tak berkat, apatah lagi yang mengusahakan produk terbabit. Justeru, Zul menyeru kepada pekerja terbabit untuk ambil peluang ubah cara hidup dan undur diri.

"Kerja dalam industri ini, EPF (Kumpulan Simpanan Wang Pekerja) pun tak ada. Insurans ada yang boleh bayar, ada tak mampu.

"Jadi, hadirnya Covid-19 ketika ini, ia sebagai ujian untuk kita buka minda dan ambil peluang itu untuk ubah kehidupan.

"Undur diri, cari rezeki lebih berkat. Biar sedikit, asalkan cukup. Rezeki Allah ini luas dan kena berubah. Lagi pun, industri (hiburan) kita ini gagal," katanya.

Menurut Zul, apa yang dikongsi itu berdasarkan pengalaman pernah dilaluinya menceburi kerjaya seni selama 20 tahun.

Katanya, melalui pengalaman terbabit membuatkan dia akhirnya nekad mengundur diri meninggalkan industri seni dan berubah mencari rezeki lebih berkat.

'Industri tiada keberkatan'

Perkara ini menurutnya berlaku kerana cara industri yang diceburi mereka ketika ini diuruskan dengan terlalu banyak kesalahan oleh mereka yang berada di dalamnya.

Perkara ini secara tidak langsung menurut penerangan yang diberikan Zul menjadikan industri tersebut bukanlah pilihan yang baik sekiranya seseorang itu mahu menjalani pekerjaan yang diberkati tuhan.

"Industri yang tiada keberkatan, dapat banyak mana pun kita tak akan pernah rasa cukup.

"Dapat banyak mana pun cepat habis sebab cara industri ini dipimpin sangat-sangat lari dari kehendak Allah SWT."

'KAMI BUKAN PELAKON FILEM LUCAH'

"Menyatakan sesuatu pekerjaan sebagai tidak berkat adalah satu tindakan tidak sepatutnya, memandangkan ramai yang mencari rezeki dalam industri seni ini," kata pelakon, Azrel Ismail.

Ia susulan kenyataan pelakon, Zul Yahya yang menyeru penggiat industri filem dan drama dalam kalangan kru produksi untuk mengubah haluan kerjaya diceburi yang dianggap tidak berkat.

Azrel yang juga pelakon drama Korban Kasih berkata, adalah tidak adil kenyataan sebegitu ditujukan kepada penggiat seni tempatan.

"Kami bukan berlakon atau bekerja untuk hasilkan filem lucah. Kalau dilihat, banyak karya tempatan yang menjurus kepada kisah keagamaan. Paling tidak pun, akan ada mesej positif disampaikan menerusi sesuatu karya.

"Jadi, tidak adil sekiranya dia menempelak kerjaya sebagai pekerja seni seperti kru produksi dan teknikal sebagai satu kerja yang tidak berkat," katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Azrel tetap menghormati pelakon itu yang dianggap sebagai senior.

"Saya menonton karya lakonannya sejak kecil lagi. Walaupun tidak pernah bekerjasama, sehingga ke hari ini saya menghormatinya sebagai orang yang terlebih dahulu bekerja dalam industri.

"Namun, saya terpaksa akui bahawa saya tidak bersetuju dengan pendapatnya kali ini," katanya.

Menurut Azrel, banyak syarikat produksi yang menitikberatkan soal agama walaupun sibuk di lokasi penggambaran.

"Saya pernah bekerja dengan beberapa syarikat produksi dan kebanyakannya menitikberatkan soal agama seperti waktu solat dan sebagainya.

"Selain pelakon dan kru, pekerja seni hiburan juga antara lain adalah artis nasyid dan sebagainya.

"Jadi, tak bolehlah nak labelkan industri seni hiburan ini sebagai satu kerja yang tidak berkat.

"Kalau kita lihat, ramai juga pendakwah yang pernah berlakon. Jadi, takkan mereka sebagai orang Islam nak berlakon sekiranya kerja sebagai pekerja seni ini tidak berkat?" katanya.

Sementara itu, pelakon, Yana Samsudin menerusi status di Facebook menyatakan syarikat produksi masih mementingkan tuntutan agama Islam.

"Lain padang lain belalang. Sepanjang saya berlakon boleh saja berhenti untuk solat. Bilik solekan dan salin baju pun asing daripada lelaki.

"Makanan daripada katering orang Melayu dan halal. Ada waktu rehat untuk solat Jumaat dan waktu rehat seketika untuk menghormati azan dan ada juga produksi yang bercuti pada setiap Jumaat," katanya.

Menurutnya, setiap skrip untuk karya yang ditawarkannya juga ada menyebarkan mesej positif dalam jalan cerita.

"Saya nak baca skrip pun duduk dalam kereta seorang diri. Tak bertepuk tampar dengan lelaki bukan muhrim pun. Setiap skrip mesti ada moralnya. Kalau tidak, mana-mana stesen TV takkan luluskan.

"Saya pun bukan sempurna juga, tapi lama-lama, kita berubah ke arah kebaikan. Asalkan kerja halal, tidak mencuri dan merompak," katanya.

Yana juga menegaskan bahawa tidak adil untuk pekerjaan sebagai pekerja seni dilabel sebagai tidak berkat.

"Saya tegaskan, ia adalah ilmu hidup dan teras agama diri sendiri. Bukan faktor pekerjaan seseorang. Tak adil untuk orang yang betul-betul mencari rezeki bagi menyara hidup dan masih mengekalkan jati diri orang Islam, tapi dilabel sedemikian.

"Habis tu, haramkah hasil kami selama ini?" tulisnya.

Yana juga turut menyentuh mengenai isu caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibangkitkan Zul.

"Mengenai KWSP, saya carum sendiri, buat pelaburan dan insurans semua secara sendiri. Alhamdulillah, dari muda saya dah buat. Dapat bayaran, saya masukkan ke dalam akaun Amanah Saham Berhad (ASB). Insurans dari umur 21 tahun saya dah buat," katanya lagi.

SIAPA KATA KERJA KAMI TAK BERKAT?

Sementara itu, Pelakon Sharifah Shahora menegaskan kerja penerbitan dan penggambaran bukanlah pekerjaan yang melalaikan dan tiada keberkatan.

Shahora berkata, perkara yang melalaikan itu bergantung kepada keperibadian setiap individu yang bekerja.

"Kerja yang melalaikan itu mengikut pembawakan individu, bukan hanya kerja dalam penggambaran saja. Budaya kerja produksi penggambaran lebih kurang sama saja dengan kerja lain.

"Ketika azan, kita akan hentikan penggambaran, tak kiralah sama ada itu produksi Cina atau India. Waktu solat, kita solat," katanya.

Shahora menerusi status di Facebook berkata, kru produksi juga menunaikan solat di lokasi.

"Ramai di set penggambaran yang menunaikan solat berjemaah dan sendiri. Penolong pengarah akan berikan masa untuk kita menunaikan solat sebab nak cuci solekan atau bersiap semula.

"Tak ada sesiapa yang menghalang pelakon atau kru untuk melakukan kebaikan," katanya.

Menurut Shahora, dia tidak menafikan terdapat individu di lokasi penggambaran yang terkait dengan perkara yang tidak berfaedah.

"Ada juga yang tak solat, ada yang terkait dengan benda yang tak elok, tak tutup aurat dan gelak tak kira masa. Tapi, itu bukan sebagai pekerjaan itu salah. Sebaliknya salah individu itu sendiri," katanya.

Dalam masa sama, Shahora juga menyentuh beberapa perihal mengenai sistem kewangan dan bayaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

"Semua terima gaji dulu. Penerbit pun terima bayaran dari stesen (TV) dua hingga tiga bulan selepas itu.

"Kalau panggung, enam hingga 12 bulan selepas tayangan. Kalau nak kenang pengorbanan, 30 orang dalam tu kita kena kenang.

"KWSP untuk yang bekerja sendiri perlu dimohon sendiri kerana kalau kita ikat kontrak bekerja sebulan dengan produksi A, takkan setiap bulan produksi A nak kena bayarkan KWSP kita sampai 55 tahun sebab kita kerja ikut kontrak. Insurans pun produksi sediakan mengikut masa kita bekerja," katanya.

Shahora menutup kenyataannya dengan meminta pihak tertentu untuk menghormati pekerjaan orang lain.

"Ramai tersinggung kalau dikatakan hasil pekerjaan kita ini tak berkat. Pilihan di tangan kita. Kalau kita rasa kecewa dengan industri, kita boleh pilih kerja lain. Tapi, kalau pekerjaan ini boleh membawa rezeki kepada keluarga, teruskan.

"Apa pun, bukan salah pekerjaan itu sendiri. Tetapi, bagaimana kita membawa diri kita dalam pekerjaan itu. #hormatkerjaorang," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon