Saturday, May 30, 2020

SBDJ Siri 146: Bertarung Di Batanghari


Hati saya menjadi kecut gadis yang nampak lemah lembut dan penuh sopan santun rupa-rupanya menguasai Cakar Kera dan Bangau Putih. Ini sungguh hebat, saya tak boleh main kasar dengannya, kalau main kasar alamat gigi saya tercabut atau tulang terkehel. Dia bukan gadis sembarangan.

SBDJ siri 139

Celakanya, hati saya sudah terpaut dengan wajahnya yang bujur sirih. Dan gadis-gadis yang terlekat di hati terus padam dari ingatan saya.

"Nurul Hayat, kau cantik," jerit batin saya sambil menggigit lidah dan menelan air liur.

Mata nakal saya sering saja merenung ke arah tingkap dapur dan mengharapkan Nurul hayat segera keluar membawa minuman untuk kami.

Saya jadi resah, tidak tentu arah.

"Kenapa kamu nampak gelisah," tidak saya duga itu yang diungkap oleh Haji Mat Nor di saat sepasang anak matanya menerpa ke wajah saya. Dia tersenyum sinis.

"Agaknya dia nak minum, sabarlah," tingkah Fuad Hassan.

Satu sindiran yang amat tajam untuk saya. Datuk tidak memberi sebarang komen, dia hanya tunduk saja.

"Aku jadi sewa bot kamu, ini baki dari duit pendahuluan dulu," Haji Mat Nor hulur wang kepada Fuad Hassan.

Saya lihat Fuad Hassan seperti keberatan mahu menerima wang tersebut. Dia nampak resah semacam sambil merenung ke arah saya.

"Bila nak bertolak?" tanya Fuad Hassan.

"Lepas sembahyang zuhur," jawab Datuk.

Perbualan terhenti sebentar kerana memberi kesempatan pada Nurul Hayat mengaturkan kopi dan hidangan di depan kami.

Kesempatan itu saya gunakan dengan sebaik mungkin untuk menatap wajah bujur sirih yang dilindungi selendang sutera warna kemerah-merahan.

Mata nakal saya terus mengenyit ke arahnya sebaik saja dia meletakkan cawan.

Saya kira kenyitan itu pasti mendapat balasan dengan senyuman, perkiraan saya tidak tepat.

Saya menerima kerlingan tanda marah yang dituruti dengan jegilan sepasang mata yang bersinar garang dan secara tidak langsung memperlihatkan ciri-ciri pendekar.

Lagi sekali jantung saya berdegup dan terus merenung lantai.

Nurul Hayat meninggalkan kami di pelantar. Sebagai anak muda, ekor mata saya yang nakal terus menyorot langkah dan lenggang-lenggok Nurul Hayat. Hati kecil saya sudah terpikat dengannya.

"Minumlah cepat, apa menung-menung," sergah Datuk.

Saya tersipu-sipu malu, kerana di saat Datuk menyebut perkataan tersebut biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tertumpu ke arah saya.

Bagi menghilangkan rasa malu, kopi segera saya hirup. Biji mata Haji Mat Nor dan Fuad Hassan tidak lagi tertumpu ke wajah saya.

Mereka terus mengunyah kuih dan menghirup kopi, perasaan saya jadi aman dan tenteram.

"Aku memilih menyewa bot kamu kerana itu kemahuan Nakhoda Amirul. Katanya, kamu boleh berlebih kurang dan arif dengan selok-belok Sungai Batanghari," Haji Mat Nor terus menjentik badan cawan dengan kuku jari telunjuk untuk beberapa kali.

Kemudian menghirup sisa kopi yang masih ada untuk kali terakhir.

"Puas hati dengan bayaran sewa? Kalau tak puas hati cakap terus-terang, biar aku sampaikan dengan Nakhoda Amirul.

"Kalau kamu memerlukannya sangat-sangat, boleh aku dulukan duit aku," cukup tenang Haji Mat Nor bersuara.

"Ah, ini pun dah lebih dari cukup, lagi pun Nakhoda Amirul banyak membantu aku," sahut Fuad Hassan.

"Kalau begitu biar kami balik dulu," Haji Mat Nor tepuk bahu Fuad Hassan. Saya dan Datuk berpandangan.

"Macam mana kalau kita makan tengah hari di sini," permintaan dari Fuad Hassan yang tidak berapa saya senangi.

Saya kira Datuk juga keberatan untuk memenuhi permintaan tersebut.

"Minta maaf saja," jawab Haji Mat Nor.

"Bagaimana dengan awak pula?"

"Saya juga minta maaf, lagi pun dah janji nak makan tengah hari di rumah sahabat saya ni," Datuk meluruskan jari telunjuk ke arah Haji Mat Nor. Cepat-cepat Haji Mat Nor anggukkan kepala.

"Lagi pun saya belum berkemas," tambah Datuk lagi.

Dan saya lihat Fuad Hassan anggukkan kepala mendengar alasan yang diberikan oleh Datuk dan kami pun berangkat meninggalkan kawasan rumah Fuad Hassan.

Bila sampai dekat pokok bunga tanjung yang besar dan rimbun, saya menoleh ke arah rumah yang berbumbung limas itu dengan harapan Nurul Hayat akan muncul di jendela untuk memberikan senyuman terakhir.

Harapan saya tidak menjadi kesampaian dan dalam putus asa itu, saya terus melangkah sembarangan.

Entah macam mana kaki kanan tersepak seketul kayu. Akibatnya saya tersungkur ke bumi.

"Ke mana mata kamu? Orang berjalan merenung ke bumi, bukan renung ke sana ke sini macam rusa masuk kampung," rungut Datuk dengan wajah yang kurang menyenangkan.

Dan terasa diri serba salah, hayun tangan dan langkah kaki semuanya tidak menjadi.

Lebih menghampakan lagi bila terlihat Haji Mat Nor tersenyum sinis ke arah saya. Terasa tebal kulit muka.

Apa mahu dikata, itulah nasib diri yang sudah di amuk mabuk kepayang terhadap Nurul Hayat. Langkah saya teruskan.

BERANGKAT

Setelah selesai makan dan sembahyang zuhur, Haji Mat Nor pun mengajak saya dan Datuk ke pengkalan bot Kuala Tungkal.

Sebaik saja kami sampai ke jeti (pengkalan), dari jauh sudah kelihatan Fuad Hassan berada di atas bot.

Dia melambaikan tangan ke arah kami sambil menjerit nama Haji Mat Nor dengan lantang. Langkah kami panjangkan untuk mendekatinya.

Bila hampir dengannya saya dapati botnya cukup besar. Bahagian badan bot dicat dengan warna biru macam air laut. Bahagian atas pula dicat dengan warna putih.

"Saya harap awak selesa dengan bot ini," katanya sebaik saja saya dan Datuk berdiri di atas botnya. Haji Mat Nor masih lagi berdiri di atas jeti.

"Selain dari kami tak ada orang lain," mulut nakal saya mengajukan pertanyaan.

Datuk gigit bibir sambil menggelengkan kepala dengan pertanyaan yang saya kemukakan kepada Fuad Hassan.

Memang tidak saya sangka sama sekali Haji Mat Nor yang berada di atas jeti dapat mendengar pertanyaan tersebut. Dia tersenyum lucu.

"Kenapa kau tanya macam tu, Tamar?" soal Haji Mat Nor.

"Sengaja nak tanya."

"Tak salah dia bertanya, biar saya berterus terang. Bila saya hantar mereka ke Jambi, masa balik bot saya kosong. Saya perlukan kawan maklumlah keadaan sekarang bukannya bagus sangat," kata-kata yang keluar dari mulut Fuad Hassan membuat saya tersentak begitu juga dengan Haji Mat Nor dan Datuk.

"Siapa dia kawan yang kamu bawa?"

Fuad Hassan tersenyum dengan sepasang matanya merenung tajam ke arah Haji Mat Nor yang berdiri atas jeti dalam panas terik.

Badan saya sudah berpeluh, rasa panas cukup perit menggigit kulit muka. Angin dari Selat Bengkalis tidak dapat menyejukkan seluruh tubuh.

Datuk tetap tenang merenung ke arah ombak laut yang beralun.

"Siapa dia kawan kamu tu, Fuad?" ulang Haji Mat Nor.

Perhatian saya dan Datuk mula tertumpu kepada Fuad Hassan. Berdebar menanti jawapan darinya.

"Saya yang nak temankan ayah."

Bila mata saya dan Datuk tertumpu ke arah hujung bot, Nurul Hayat berdiri di situ dengan kain selubung yang menutupi sebahagian dari wajahnya.

Saya tergamam untuk beberapa saat sebelum saya menghadiahkan senyum untuknya.

Nurul Hayat segera kembali masuk ke perut bot. Saya menarik nafas hampa.

Saya kira alangkah baiknya kalau Nurul Hayat mahu berdiri di situ selama lima minit sambil menjatuhkan kain selubungnya untuk saya tatap wajahnya.

"Haji, sekarang kamu dah tahu siapa kawan aku."

"Apa kamu yakin dia dapat menolong kamu kalau di serang orang jahat?"

"Aku yakin dia boleh menolong. Kalau masa pergi ada perompak nak rampas bot aku tak bimbang, sebabnya kami ada berempat. Apa yang aku bimbangkan bila masa nak balik nanti."

"Kalau kamu dah yakin dengan kemampuannya, dengan izin Allah kamu boleh mengalahkan musuh," kata haji Mat Nor sambil mengesat peluh di dahi dengan belakang tangannya.

"Aku harap kawan kita dari semenanjung tidak kecil hati dengan cara ni. Kalau dia kecil hati aku minta maaf. Aku terpaksa buat demi keselamatan aku."

Saya tahu kata-kata itu ditujukan oleh Fuad Hassan untuk Datuk.

"Saya tak kecil hati, tak marah. Saya megah kerana awak beringat sebelum kena. Memang menjadi budaya kita orang Melayu, sediakan payung sebelum hujan, beringat sebelum kena," sahut Datuk dengan spontan.

Datuk dan Fuad Hassan berbalas ketawa penuh mesra dalam sinaran matahari yang kian menggigit, Haji Mat Nor tumpang senyum dari jauh.

"Rasanya waktu yang baik untuk bertolak, matahari dah condong angin pun tak berapa kuat," kata Datuk sambil merenung ke dada langit melihat awan gemawan yang bergerak perlahan-lahan ke arah utara.

"Saya mengikut saja," jawab Fuad Hassan.

"Biarlah kami pergi dulu," jerit Datuk ke arah Haji Mat Nor.

"Silakan, semoga Allah menyelamatkan perjalanan kamu semua, diharapkan tak ada halangan yang menghalang, elakkan diri dari musuh kecuali sudah terpaksa," nasihat Haji Mat Nor.

Fuad Hassan menyelinap ke dalam perut bot. Beberapa minit kemudian terdengar bunyi enjin bot.

Air dipinggir bot nampak berbuih dan bergelombang. Fuad Hassan keluar dari perut bot, bersalaman dengan Haji Mat Nor.

Bot mula bergerak memisahkan badannya dengan jeti.

MEMUSINGKAN

Setelah memusingkan badannya, bot pun menghalakan haluannya ke arah yang ingin ditujui.

Bunyi jentera bot makin kuat, ombak dan alun buritan bot kian hebat.

Saya dan Datuk masih lagi merenung ke arah pelantar, begitu juga dengan Fuad Hassan.

Kami berbalas-balas lambaian tangan dengan Haji Mat Nor.

Tiba-tiba saya terfikir siapa yang mengemudi bot yang kami naiki, sedangkan Fuad Hassan yang sepatutnya memandu bot masih berdiri di kanan Datuk. Dada saya berdebar.

"Siapa yang bawa bot?"

Serentak dengan pertanyaan itu, wajah Fuad Hassan saya tenung lama-lama.

Dia tersenyum lalu membongkok mengambil sesuatu di atas lantai bot dan terus dibaling ke laut.

"Iya, siapa yang bawa bot, tak mungkin bot berjalan sendiri," Datuk yang mula perasan dengan apa yang saya katakan terus mengeluarkan pertanyaan.

"Siapa lagi kalau bukan Nurul Hayat," kata Fuad Hassan.

"Nurul Hayat," kata saya.

"Iya, anak saya tu serba boleh, kalau calang-calang orang lelaki tak dapat mengatasi kebolehannya," saya kira kata-kata itu adalah sindiran yang tajam untuk saya.

Makin lama makin jauh jeti Kuala Tungkal kami tinggalkan, bot-bot yang berlabuh di situ nampak berbalam-balam dan akhirnya terus ghaib dari kuasa mata saya.

Kami berselisih dengan beberapa bot yang sedang menuju ke Selat Bengkalis atau pergi ke Kuala Tungkal.

Datuk dan Fuad Hassan sudah masuk ke perut bot, mereka tidak kuasa menentang matahari yang terus memancar keras.

Walaupun badan sudah berpeluh tetapi saya masih rasa selesa berdiri atas bot. Terhibur rasa hati menatap kehijauan pepokok yang tumbuh di kiri kanan tebing sungai.

Kicau burung adalah nyanyian yang terindah buat saya.

Sesungguhnya menyusuri Sungai Batanghari yang panjang itu sungguh mengasyikkan. Saya rasa terhibur dan damai sekali.

Rasanya saya tidak akan turun ke bahagian perut bot untuk baring atau duduk di situ.

Angin dari Sungai Batanghari menghalau rasa panas dari tubuh saya.

Di tengah-tengah keghairahan menatap panorama alam sekitar, saya terlihat kemunculan sebuah bot kecil dari sebelah kanan tebing.

Bot kecil yang laju itu memburu dan memintas bot yang kami naiki. Tiga orang lelaki yang berada di dalamnya menjerit menyuruh kami berhenti.

Fuad Hassan dan Datuk segera keluar dari perut bot dan berdiri di sisi saya. Enjin bot dimatikan.

Sebaik saja bot kecil itu rapat ke bot yang kami naiki dua orang lelaki melompat ke atas bot.

Lelaki yang melilit kain merah di kepala menyandang senjata api, manakala yang memakai topi koboi membawa parang panjang memperlihatkan keramahan dan persahabatan.

"Bawa senjata api?" tanyanya

Fuad Hassan gelengkan kepala.

"Makanan?"

"Tak ada," jawab Datuk.

"Awak orang luar?"

Datuk anggukkan kepala.

"Biasanya orang luar banyak wang dan bawa emas, bila mahu ke Jambi. Awak orang Tanah Melayu?"

"Benar, saya dari Tanah Melayu. Saya tak bawa wang dan emas. Saya mahu ke Jambi nak jumpa sanak saudara," kata Datuk dengan sopan dengan lemah lembut.

Si topi koboi ketawa berdekah-dekah sambil gelengkan kepala. Tidak percaya dengan apa yang Datuk katakan.

RENUNG

Bila ketawanya berakhir si topi koboi renung muka Fuad Hassan. Macam tadi juga dia memperlihatkan rasa persahabatan dan kemesraan, macam orang baik-baik.

"Orang ni sewa bot kamu?"

"Iya?"

"Duit sewanya mana, aku mahu duitnya."

"Tinggal di rumah, di Kuala Tungkal."

"Aku nak ambil bot ni."

"Itu tak patut, kerja saya dengan pelanggan belum selesai. Tak elok saya biarkan orang yang menyewa bot saya susah."

"Begini, kita buat perjanjian."

"Perjanjian apa?" Fuad Hassan terkejut.

"Begini, kamu boleh hantar pelanggan kamu ke Jambi, masa balik nanti kamu di sini, masa tu kau serahkan saja bot ni kepada kami.

"Sekarang kami nak periksa dulu, mana yang patut kami ambil."

Belum pun sempat Fuad Hassan memberi jawapan, kedua-dua lelaki itu terus masuk ke bahagian perut bot dengan wajah yang bengis.

"Siapa mereka?" tanya Datuk kepada Fuad Hassan.

"Orang jahat, lanun sungai," kata Fuad Hassan.

"Hai, jangan buat kurang ajar," terdengar suara Nurul Hayat meninggi.

Datuk dan Fuad Hassan berpandangan dengan wajah yang cemas.

"Anak kamu Fuad," nada suara Datuk lemah.

Tidak ada jawapan dari Fuad Hassan. Wajahnya gusar sekali.

Saya melangkah dengan niat untuk menolong tetapi ditegah oleh Datuk.

Dalam saat perasaan yang serba salah itu, saya lihat Nurul Hayat berlari ke arah kami.

Dua orang perompak terus memburunya, sebaik sampai di tempat lapang Nurul berhenti, bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dari kedua-dua lelaki itu.

"Dia ni siapa?" lelaki bertopi koboi mengajukan pertanyaan kepada Fuad Hassan.

"Anak saya."

"Dia kurang ajar."

"Kenapa kata macam tu?"

"Dia tak mahu menyerahkan gelang, cincin dan rantai yang dipakainya. Bila nak rampas dia melawan. Sekarang kamu suruh dia serahkan barang-barang emas kepada kami, kalau dia mahu hidup."

"Saya tak mahu masuk campur, itu urusannya. Sudah semestinya dia mempertahankan haknya."

"Kamu mahu anak kamu mati?"

"Kalau janji Allah dia mati di tangan kamu, saya relakan," jawapan dari Fuad Hassan membuat si topi koboi naik angin.

Tanpa membuang masa dia menerpa ke arah Nurul Hayat dengan parang panjang tergenggam di tangan.

Saya jadi cemas bila melihat mata parang berkilau di terpa sinar matahari. Satu pandangan yang cukup mendebarkan hati dan saya berharap Fuad Hassan tidak akan membiarkan anaknya bersendirian.

"Bantu dia," kata saya kepada Fuad Hassan.

"Biar dia selesaikan sendiri."

"Dia perempuan tentu tak boleh lawan orang lelaki, bantu dia Datuk," saya merayu kepada Datuk.

"Ah, kamu selalu sibuk, duduk diam di situ," herdik Datuk kepada saya.

Tidak dapat saya gambarkan betapa kecewanya hati dengan sikap Datuk itu.

Tetapi, mata saya tetap tertumpu ke arah si topi koboi yang menyerang Nurul Hayat bertalu-talu.

Dengan ilmu pertahanan diri yang dimilikinya Nurul Hayat berjaya menepis serangan.

Dalam satu gerakan yang pantas Nurul Hayat berjaya melepaskan tendangan di pangkal bahu sebelah kanan si topi koboi.

Tubuh yang tegap itu terhuyung-hayang lalu terkandas pada bendul bot. Parang panjang yang tergenggam di tangan terlucut lalu jatuh ke dalam sungai.

Si topi koboi tidak mudah mengaku kalah. Dia melompat tinggi dengan sebelah kaki kanannya diluruskan untuk memberi pukulan maut dipangkal leher Nurul Hayat.

Sebaik saja dia melepaskan tendangan, Nurul Hayat menyambar pergelangan kaki si topi koboi lalu dipulas dan dipusing dengan sekuat hati di udara.

Sekujur tubuh Nurul Hayat turut berpusing macam gasing. Kemudian saya lihat Nurul hayat melepaskan tumbukan kencang dari tangan kiri ke bahagian kemaluan si topi koboi.

Terdengar jeritan dan serta merta Nurul hayat melepaskan kaki yang dipegang.

Tubuh si topi koboi bagaikan terbang dan melayang lalu terjunam ke dalam sungai.

Melihat keadaan kawannya itu, lelaki yang melilitkan kain merah di kepala segera bertindak dengan menghalakan senapang kampung berlaras dua ke arah Nurul Hayat.

Belum sempat dia menarik picu senapang, Fuad Hassan menerpa ke arahnya untuk merampas senjata api. Satu pergelutan berlaku.

Semasa pergelutan terdengar bunyi ledakan dan saya lihat yang kepalanya dililit kain merah terkapar atas lantai bot. Darah keluar dari dadanya.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 146/284

BACA: SBDJ Siri 145: Ilmu Si Bangau Putih
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon