Wednesday, April 01, 2020

Hilang Deria Bau Mungkin Tanda Anda Dijangkiti Covid-19!


Ramai yang sudah sedia maklum bahawa sebahagian daripada pesakit Covid-19 tidak mengalami sebarang simptom dan apa yang lebih menakutkan adalah, mereka boleh menyebarkan jangkitan tersebut tanpa disedari!

Hilang Deria Bau Simptom Covid-19

Namun, saintis telah menemui satu gejala yang mungkin boleh digunakan sebagai tanda awal pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Simptom tersebut dikenali sebagai anosmia (hilang keupayaan bau) atau hiposmia (kurang keupayaan bau).

Berita Palsu?

Walau bagaimanapun, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), berita tersebut adalah palsu.

Namun, pakar kesihatan di seluruh dunia sebenarnya masih lagi cuba untuk mengkaji kebenaran fakta ini dan anda boleh membaca artikelnya disini, https://www.livescience.com/odd-coronavirus-symptom-smell-loss.html.

Pesakit Covid-19 Boleh Alami Masalah Bau Pada Peringkat Awal

Analisis data berkenaan dengan masalah anosmia yang dilakukan di beberapa buah negara berkaitan dengan pesakit positif Covid-19 menunjukkan dapatan yang agak mengejutkan.

Di Jerman, menurut bancian yang dijalankan terhadap pesakit, 2 daripada 3 kes pesakit Covid-19 mengalami masalah dengan deria bau.

Begitu juga dengan pesakit di Korea Selatan. Kira-kira 30% daripada jumlah keseluruhan pesakit mengalami simptom tersebut.

Pada awalnya, anosmia berlaku tanpa menunjukkan simptom saluran pernafasan. Ini bermakna pesakit cenderung untuk tidak mengendahkan masalah anosmia jika tiada simptom batuk, demam dan selesema.

Di Iran, kadar peningkatan kes berkaitan dengan masalah anosmia meningkat hari demi hari. Keadaan ini turut dialami oleh pesakit di Perancis, Itali Utara dan Amerika Syarikat.

Jika anosmia merupakan salah satu tanda yang perlu diberi perhatian, kita akan menghadapi masalah.

Ini berikutan protokol Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) terhadap individu yang perlu menjalani ujian saringan adalah mereka yang mengalami simptom Covid-19.

Individu yang mengalami masalah anosmia bukan sahaja tidak memenuhi kriteria ujian saringan, mereka juga tidak boleh sewenang-wenangnya diletakkan dalam kuarantin.

Jika mereka sememangnya pesakit yang mempunyai virus Covid-19, penularan wabak boleh berlaku.

Pelbagai jenis situasi yang boleh menggambarkan masalah simptom Covid-19 ini:
  • Seorang ibu yang telah dijangkiti Covid-19 tidak boleh terbau lampin anaknya yang penuh dengan najis.
  • Tukang masak yang dahulunya berupaya untuk membezakan pelbagai jenis rempah ratus, tidak dapat membezakan bau di antara daun kari dan halia.
  • Pesakit tidak dapat mengesan bauan syampu semasa sedang menggunakannya.

Peningkatan jumlah pesakit dalam kalangan pakar ENT yang dijangkiti Covid-19

Menurut Profesor Claire Hopkins, Presiden Persatuan Rhinologikal British, pesakit yang mengalami masalah kurang deria bau perlu memaklumkannya sebelum berjumpa dengan pegawai kesihatan.

Jika disahkan positif Covid-19, mereka perlu mengisolasikan diri selama 7 hingga 10 hari bagi mengelakkan penularan wabak.

Perkara ini boleh menyumbang kepada kawalan transmisi jangkitan wabak dan seterusnya menyelamatkan banyak nyawa.

Beliau bersama dengan Presiden Persatuan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT), United Kingdom (UK), Profesor B Nirmal Kumar telah mengisukan saranan agar kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) dipakai semasa memeriksa pesakit dengan simptom anosmia.

Prosedur endoskopi sinus juga tidak sepatutnya dijalankan dan harus ditangguhkan ini berikutan, Covid-19 boleh mengalami proses replikasi pada hidung dan tekak pesakit.

Prosedur tersebut boleh menyebabkan pesakit batuk dan bersin menyebabkan doktor pemeriksa terdedah kepada virus.

Virus Korona Boleh Tersebar Dalam Jarak 2 Meter?

Jumlah pakar ENT di China, Itali dan Iran yang dijangkiti oleh Covid-19 semakin meningkat.

Oleh sebab tiada pendidikan khusus kepada orang ramai berkenaan dengan anosmia sebagai salah satu simptom virus korona baharu, doktor ENT mempunyai risiko yang tinggi untuk dijangkiti.

Pesakit tidak tahu bahawa masalah anosmia tersebut merupakan tanda awal COVID-19 dan akibatnya, mereka tidak akan mengkuarantinkan diri sendiri.

Kuarantin untuk semua, bukan hanya pesakit virus korona

Perintah kawalan pergerakan yang telah dilakukan oleh kerajaan pada pertengahan bulan Mac bukan sahaja bertujuan untuk mengelakkan pertambahan kes baharu malah untuk memastikan kadar penularan dalam masyarakat berkurangan.

Pesakit virus Covid-19 yang mengalami simptom ringan boleh diisolasikan di rumah masing-masing atas kebenaran pegawai perubatan dan individu sihat perlu melalui proses ala kuarantin.

Amalan Jarak Sosial, Kuarantin Dan Isolasi: Apa Bezanya?

Pergerakan keluar perlu diminimumkan dan semua penduduk digalakkan untuk tidak keluar dari rumah melainkan terdapat kecemasan atau hal mustahak yang tidak dapat dielakkan.

Penggunaan topeng muka perlu dihadkan kepada orang sakit. Jika anda mengalami simptom anosmia atau hiposmia, seeloknya anda memakai topeng muka apabila bergerak ke tempat awam seperti pasar raya.

Jika anda ingin pergi ke hospital sebagai pesakit, pastikan anda memberitahu perihal simptom anda kepada sesiapa yang menjaga di bahagian pendaftaran.

Lebih elok jika anda boleh menghubungi talian hotline (03-88810200, 03-88810600, 03-88810700) sebelum pergi ke fasiliti kesihatan dan nyatakan masalah berkaitan anosmia, hiposmia yang sedang anda hadapi.

Perkara yang paling penting adalah cuci tangan anda secara kerap.

Apabila anda mengalami masalah sukar untuk mengesan bau, anda cenderung untuk menyentuh hidung anda dengan lebih kerap.

Pastikan anda membawa hand sanitizer ke mana sahaja anda berada sebagai persiapan jika tiada air atau sabun.

Konklusi

Anosmia merupakan satu simptom pesakit yang mungkin mempunyai kaitan dengan jangkitan Covid-19.

Walaupun pelbagai kajian telah dibuat, kita masih tidak tahu banyak perkara berkenaan dengan virus ini.

Apa yang boleh kita lakukan untuk membantu membendung jangkitan adalah dengan mempraktikkan apa yang telah disarankan oleh pihak kerajaan.

Patuhi perintah kawalan pergerakan dan pastikan anda mengamalkan langkah pencegahan dan jika anda seorang pesakit, pastikan anda mematuhi arahan isolasi.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: hellodoktor

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon