Wednesday, March 11, 2020

Tumbung Kelapa Pelik Menyerupai Wajah Manusia Memakai Tengkolok


Batu kecil berukuran lebih kurang sebesar telapak tangan berwarna putih seakan-akan batu kapur ini yang mempunyai tunas sepanjang hampir empat sentimeter ini kelihatan pelik, kerana tunasnya seakan-akan wajah manusia memakai tengkolok.

Tumbung Kelapa Pelik

"Asalnya benda ni ialah tumbung kelapa. Ada juga yang panggil geliga kelapa. Semasa mula-mula ditemui lebih 10 tahun dulu, ia berupa hanya seketul batu kecil.

"Tapi lama kelamaan saiznya makin bertambah dan tunas mulai tumbuh dengan rupa aneh begini," kata pemilik geliga kelapa ini, Ustaz Jamil Hussain.

Menurut beliau yang juga merupakan pengetua Madrasah Kota Tauhid di Kalumpang, Selangor, tumbung itu ditemuinya lebih 10 tahun yang lalu, sewaktu dia dan beberapa rakannya sedang berguru dengan seorang alim ulama di Gunung Jerai, Kedah.

"Masa itu lebih kurang pukul 1 pagi. Ada satu upacara untuk kami diuji berdekatan dengan kawasan batu kapal di puncak gunung itu. Sebiji kelapa yang dibawa dihempaskan ke tanah hingga pecah," cerita Ustaz Jamil.

Ketika kelapa itu berderai pecah, Ustaz Jamil perasan ada satu objek yang agak bersinar keluar dari kelapa itu. Apabila diamati, ia rupa-rupanya adalah tumbung kelapa tersebut.

Entah kenapa, hatinya kuat menyuruh untuk mengambil tumbung yang seperti sebiji batu kecil itu. Ia dibawa pulang dan disimpan dalam sebuah kotak kecil.

Selepas itu, Ustaz Jamil seakan-akan terlupa dengan tumbung itu sehinggalah beberapa tahun kemudian, dia teringat semula.

Tumbung Kelapa Pelik Ustaz Jamil
Ustaz Jamil.

"Setelah bertahun-tahun menyimpannya, saya tergerak hati nak melihatnya semula. Bila saya buka semula kotak tu, saya terkejut kerana rupa tumbung itu dah berubah.

"Ia semakin besar, keras dan tak ubah seperti batu. Lebih aneh ia bertunas dan rupa tunas itu pula seperti orang yang memakai tengkolok.

"Saya tak tahu apa fungsinya. Saya tunjukkan pada rakan-rakan dan tiada yang tahu apa kegunaannya.

"Ramai juga yang tawarkan hendak membelinya, tapi waktu itu saya belum terbuka hati hendak menjualnya. Walaupun saya bukan penggemar barang-barang pelik, tapi saya simpan saja tumbung aneh ini," jelasnya lagi.

Ketika itu ramai yang menawar hendak memiliki tumbung itu. Bahkan, ada yang sanggup membayar jutaan ringgit kerana kata mereka, tumbung ini boleh dijadikan 'ibu duit' atau sebagai 'penarik' harta karun.

Disebabkan itu juga Ustaz Jamil enggan menjualnya kerana tidak mahu ia digunakan untuk amalan yang salah.

Dia juga teringat pesan seorang ulama yang ditemuinya yang menyuruhnya jangan terburu-buru untuk menjual tumbung ini. Tunggu sampai satu ketika apabila firasat datang.

Kata Ustaz Jamil, kesibukannya dengan kuliah dan kelas agama membuatkan dia terlupa tentang tumbung itu.

Tumbung Kelapa

Baru-baru ini, Ustaz Jamil agak sibuk dengan perancangan untuk membina sebuah madrasah baharu bagi golongan pelajar lelaki.

"Nak bina madrasah perlukan dana yang besar. Ketika sibuk mencari dana inilah, saya mendapat firasat dari mimpi, tumbung ini boleh menjadi maharnya.

"Jika ada yang sudi membelinya, hasil jualan itulah yang akan saya gunakan untuk membangunkan madrasah baru kelak," kata Ustaz Jamil yang berharap impiannya untuk menubuhkan sebuah lagi madrasah akan tercapai.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: mstar

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon