Sunday, December 01, 2019

Top Ittipat, Kisah Kejayaan Seorang Bilionaire Rumpai Laut


Perjalanan kehidupan seseorang mungkin penuh liku, namun selalunya ia tetap ada penghujungnya. Kejayaan adalah impian semua orang. Liku-liku kehidupan pasti akan berakhir dengan kejayaan jika dijalani dengan ketabahan hati dan kerja keras.

Top Ittipat jutawan rumpai laut

Demikianlah kisah kehidupan seorang pemuda bernama Top Ittipat dalam menjalani perniagaannya dan mengedar Tao Kae Noi, produk snek rumpai lautnya ke serata dunia.

Seperti kebanyakan belia sebayanya, Top pernah ketagih dengan game online ketika berumur 16 tahun dan menyebabkannya mengabaikan persekolahan.

Ini sudah tentunya bukan sesuatu yang baik, tetapi sejak itulah beliau diperkenalkan kepada dunia perniagaan.

Top mendapat wang hasil jualan senjata-senjata miliknya di game online dan dengan perniagaannya itu, dia berjaya mendapat hasil sebanyak 1 juta Baht sehingga mampu membeli kereta berharga 600 ribu Baht (sekitar RM65, 000).

Tetapi oleh kerana perniagaannya salah di sisi undang-undang, maka ia sudah pasti tidak tahan lama. Akaun game online-nya di block kerana didapati melakukan kegiatan jual beli.

Pada masa yang sama, perniagaan ibu bapanya muflis dan kerana kemalasannya di sekolah selama itu, Top tidak berjaya mendapat tempat di pusat pengajian tinggi awam dan terpaksa memasuki pusat pengajian swasta.

Dengan baki wang yang dimilikinya, Top beralih ke perniagaan DVD Player, namun Top ditipu bulat-bulat sebab semua DVD Player-nya adalah tiruan dan wangnya tidak mendapat pulangan.

Top juga berusaha mencari pinjaman wang dari bank untuk memulakan perniagaan baru, tetapi pihak bank tidak mudah untuk meluluskannya.

Ketika itulah Top menyedari kesalahannya kerana telah lalai dalam persekolahan dan pengajiannya. Ketika itu juga Top mula merasai kesusahan dunia perniagaan.

Hutang yang mengikat perniagaan orang tuanya yang mencapai 40 juta Baht memburukkan lagi keadaan. Kemudian rumah mereka turut disita oleh Bank.

Dalam kesempitan itu Top tetap berusaha keras. Setelah berjaya mendapat pinjaman dari Bank, dia mencuba pelbagai perkara. Top cuba menceburi perniagaan kacang (chesnut) bersama bapa saudaranya.

Dia mula memikirkan strategi jualan agar kacangnya lebih laris daripada penjual lain yang telah berjaya.

Dia melakukan eksperimen untuk mendapatkan resepi terbaik untuk produk kacangnya sehingga ia mempunyai rasa yang istimewa dan unik.

Top akhirnya membuka kedai di pusat membeli belah dan belajar mencari lokasi yang strategik. Ini kerasa lokasi merupakan salah satu faktor yang menentukan keberhasilan penjualan sesuatu produk.

Ketika Top mula memajukan perniagaan chesnutnya secara besar-besaran, timbul pula satu masalah lain apabila mesin pembuat kacang gorengnya mengeluarkan asap dan mengotorkan siling pusat membeli belah tersebut sehingga ia perlu berhenti beroperasi dan pihak pengurusan pusat tersebut membatalkan kontrak kedainya. Ketika itu Top hampir putus asa.

Orang tuanya pun mengambil keputusan untuk berhijrah ke China. Top tetap berkeras untuk tinggal di Thailand dan meneruskan perniagaannya.

Dari perniagaan menjual kacang, Top beralih ke perniagaan rumput laut goreng. Top mendapat inspirasi daripada Lin, kekasihnya, yang meminati snek rumpai laut.

Inspirasi boleh datang dari mana saja, walaupun akhirnya kisah cinta mereka tidak berakhir dengan kenangan manis sebab ditinggalkan oleh kekasihnya, kerana Top terlalu memberi tumpuan terhadap perniagaan.

Top pun berusaha gigih untuk meneruskan perniagaannya dengan mencari rumpai laut, kemudian belajar cara menggoreng rumpai laut. Kos yang dikeluarkan untuk mempelajarinya bernilai lebih 100 ribu Baht.

Selain itu Top juga harus mempelajari cara untuk menjadikan rumpai lautnya tahan lama dan tidak basi jika disimpan untuk beberapa hari.

Dalam tekanan yang begitu hebat, Top berusaha mempelajari strategi penjualan dan ilham pun datang kembali untuk menjual produknya di kedai 7-Eleven.

Sekali lagi, ianya tidak semudah menadah tangan. 7-Eleven mempunyai standard tinggi yang harus dipenuhi untuk membolehkan produk Top memasuki pasaran. Pelbagai usaha dilakukan oleh Top tetapi dia menghadapi kebuntuan.

Top hampir-hampir mengambil keputusan untuk berhijrah ke China tetapi sebelum ini terjadi, Top mengambil langkah terakhir demi memenuhi syarat pihak 7-Eleven dan usaha terakhirnya kali ini tidak sia-sia.

Cabaran yang muncul bermula dengan menghasilkan bungkusan produk, sehinggalah Top perlu memiliki kilang untuk pengeluaran dalam jumlah yang besar. Dengan susah payah semuanya dapat dipenuhi.

Nasib baik ada pejabat kecil milik keluarganya yang tinggal, yang diubah oleh Top menjadi sebuah kilang kecil.

Dengan itu Top berjaya memenuhi syarat serta kuota yang ditetapkan. Dua tahun kemudian Top berjaya membayar hutang keluarganya dan berjaya mendapatkan semula rumah keluarganya.

Perjuangan Top, segala kegagalan, getir dan pahit serta rasa duka dalam membangunkan sebuah perniagaan kini meletakkan Top di puncak kejayaan.

Sekarang ini di Thailand, siapa yang tak kenal Tao Kae Noi, produk snek rumpai laut terlaris di Thailand, bahkan telah dieksport ke negara-negara jiran termasuk Malaysia.

Dengan hasil 800 juta Baht setiap tahun dan 2,000 pekerja, Top Ittipat, yang nama penuhnya Top Aitthipat Kulapongvanich, telah berjaya meletakkan dirinya sebagai “A young billionaire from Thailand“.

Top Ittipat meraih kejayaannya setelah berkorban jiwa, raga, waktu, kesenangan menjadi gamer, termasuk berkorban cinta terhadap kekasihnya.

Seperti kata ibu Top, “Sesuatu itu akan datang kepadamu, namun sebahagian yang lain akan menjauhimu.”

Kejayaan dalam perniagaan tidak semudah menadah tapak tangan. Sabar, bersyukur, terus berjuang, pantang menyerah kalah dan berdoa adalah rahsianya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: usahawan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon