Monday, September 16, 2019

SBDJ Siri 109: Ilmu Suhaimi Keraba


Saya dan Datuk terpaksa mengubah haluan jalan. Kami terus ke kawasan kebun getah. Keadaannya cukup bersih tidak sesemak dusun durian Mat Prai. Di celah-celah nirai getah itu di tanam dengan pokok koko yang tingginya baru separas lutut orang tua.

Toyol jadi-jadian

Melihat keadaan kebun getah tersebut, saya yakin pemiliknya adalah seorang yang cukup rajin.

"Bila tengok pokok-pokok getah ni, teringat pula aku dengan kebun getah kita," Datuk bersuara. Saya segera anggukkan kepala.

"Hati-hati Tamar, ular kapak bodoh suka duduk di bawah daun kering," Datuk mengingatkan saya yang melangkah tanpa mahu merenung ke arah permukaan bumi.

"Macam mana rupanya ular kapak bodoh tu tuk?"

"Warnanya macam daun getah kering, dia selalu duduk berlingkar di bawah timbunan daun getah, tersepak atau terpijak dia terus mematuk."

"Bisa patutkannya tuk?"

"Boleh membawa maut, kalau tak maut boleh jadi tokak," jelas Datuk sambil melihat pucuk-pucuk koko yang menghijau dan melintuk-liuk disentuh angin.

Kami terus melangkah sambil menikmati nyanyian burung-burung pagi di reranting getah.

"Aku sudah memberikan kamu petua berjalan di tempat-tempat semacam ini. Aku juga sudah memberikan doa bila berjumpa dengan binatang berbisa. Kenapa tidak kau amalkan," mendadak sahaja Datuk bersuara.

Saya tahu, dari nada suaranya itu ternyata ada rasa kesal bermain dalam diri Datuk.

"Kadang-kadang saya jadi lupa."

"Bukan lupa, kamu tak bertanggungjawab, tidak tahu memanfaatkan benda berharga yang diberikan kepada kamu," kali ini suara Datuk cukup tinggi.

Saya jeling wajahnya. Dari air mukanya ternyata dia sedang marah. Saya terus membisu.

"Jangan melangkah Tamar, diam di situ jangan bergerak, kalau bergerak mati," kata Datuk separuh menjerit.

Saya patuh dengan cakapnya. Badan saya menggeletar, seekor ular melintas di depan saya.

Bila ular tedung hilang dari pandangan barulah saya melangkah kembali.

Datuk berhenti dekat sebatang pokok getah di bucu nirai. Datuk membelek-belek kulit pohon getah itu dengan teliti.

"Nampaknya pokok-pokok getah ini masih muda, kulitnya lembut. Setahun dua lagi baru boleh ditoreh," Datuk memberikan komentar.

"Saya rasa pun macam tu juga. Umurnya tak jauh beza dengan pokok getah kita."

"Ya," Datuk mengangguk.

Kami meneruskan perjalanan dan saya berharap Datuk tidak akan melencong ke mana-mana. Saya mahu segera sampai ke pondok.

Sambil melangkah saya membayangkan yang Mat Prai sedang membuat kopi untuk kami.

Saya juga membayangkan yang isterinya menghantar nasi lemak atau kuih ke pondok untuk habuan perut saya.

Saya tersenyum sendirian, bila saya gambarkan dalam kepala yang kami bertiga sedang menikmati sarapan pagi dengan wajah yang tenang.

"Oooppp..."

Datuk melompat tinggi melepasi kepala saya. Bila berdiri tegak saya lihat tangan kanannya ada dahan getah. Datuk mencampakkan dahan itu ke pangkal pokok getah.

"Nasib baik aku terdengar bunyinya masa dahan itu masih ada di atas. Aku melompat menyambarnya, kalau aku lambat dah tentu dahan patah menimpa tengkuk kamu. Tengkuk kamu boleh patah Tamar."

Datuk melepaskan nafas tercungap-cungap, mukanya nampak merah padam.

"Terima kasih tuk."

"Aku tak mahu semuanya tu, Tamar. Apa yang aku mahu, kamu mesti pandai mendengar sesuatu dari setiap arah. Tidak kira sama ada sesuatu itu digerakkan angin, air dan manusia."

"Macam mana caranya tuk."

"Sekarang ini, kamu mempelajarinya dari aku secara tidak langsung."

"Sulit," saya mengeluh.

Memang sulit untuk mempelajari sesuatu tanpa diberitahu terlebih dulu. Lebih-lebih lagi, jika tidak ada persediaan yang secukupnya. Bagaimana mahu saya katakan perkara ini pada Datuk.

"Tidak sulit, kalau kamu mahu berusaha. Manfaatkan mata, hidung, telinga, otak dengan sebaik mungkin," cetus Datuk.

"Berapa lama saya mesti berbuat macam tu?"

"Selagi aku masih ada," Datuk tersenyum sambil meraba pangkal dagunya berkali-kali.

Entah macam mana, saya mula dapat mengesan langkah Datuk yang rancak beransur perlahan. Macam ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.

Saya amati, gerak mata Datuk sentiasa tertumpu ke arah dedaun yang bergerak mengikuti arah angin.

"Assalamualaikum."

Seorang lelaki muncul dari balik pohon getah. Bentuk tubuhnya tegap dengan rambut panjang hingga jatuh atas sayap bahunya. Dahinya dililit dengan kain merah selebar dua jari.

Ketika saya asyik merenung ke arah lelaki itu, lelaki itu enggan menyambutnya.

Datuk masih memperlihatkan sikap kemesraan. Dengan langkah yang teratur, lelaki itu menghampiri Datuk.

"Kamu berdua ni dari mana?"

Dalam nada suara yang sombong lelaki itu mengajukan pertanyaan.

Hati saya berdebar, ketika lelaki itu memusingkan tubuhnya ke kanan, saya terlihat ada benda menonjol dalam baju labuhnya yang dibuat mengikut fesyen baju orang Pakistan.

Mungkin benda menonjol itu golok atau parang? Mungkin pistol dan mungkin, benda tajam yang mengancam keselamatan kami.

"Kami sampai malam tadi. Kami bermalam di pondok Mat Prai," jelas Datuk.

"Kamu berdua, adik-beradiknya."

"Ya," angguk Datuk.

"Adik-beradik rapat atau jauh."

"Rapat," jawab Datuk dalam nada suara yang kurang senang.

"Berapa lama berada di sini?" soal lelaki itu lagi.

"Selama mana, kami sanggup."

"Hisss..."

Lelaki itu mula menatap wajah Datuk. Dia merasakan jawapan yang Datuk berikan adalah sindiran yang tajam.

Tindak balas yang dilakukan oleh lelaki itu pada Datuk ialah menjuihkan bibirnya sambil meludah ke kanan.

"Kurang ajar," bisik saya dalam hati.

"Kamu maki aku," lelaki itu segera menjegilkan biji matanya ke arah saya.

Serta merta saya gelengkan kepala.

"Eh, budak setengah masak, kau jangan nak menipu."

"Tipu?" saya pura-pura terkejut.

"Saya tak cakap apa-apa dengan awak," saya makin berani.

"Dengan aku, kamu jangan nak tipu. Apa yang ada dalam hati kamu dapat aku baca," lelaki itu semakin berani, mulutnya kian lancang mengutuk diri saya.

Dia buat tidak kisah dengan Datuk yang berdiri dekat saya.

HARAPAN

Saya terus merenung ke arah Datuk dengan harapan Datuk dapat melindungi dari saya, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini.

"Kalau nak tunjuk lagak ayam jantan, jangan masuk kampung orang ikut suka hati," lelaki itu menghalakan kata-kata itu ke arah Datuk.

Dia mula menendang apa sahaja yang ada dekatnya. Lagaknya memang mahu mencari gaduh.

Datuk tidak ambil peduli dengan sikap lelaki itu. Datuk tetap memperlihatkan sikap persahabatan.

"Kami tak mahu mencari musuh, biarlah kami pergi," Datuk menundukkan kepalanya dan terus melangkah.

Lelaki itu tidak puas hati dengan sikap Datuk.

"Ah...," terdengar suara lelaki itu meninggi.

Dia lari mengelilingi pokok getah dan berhenti di depan Datuk. Belum pun sempat Datuk mengucapkan sesuatu, lelaki tu mengeluarkan golok pendek dari dalam bajunya.

"Saya tak mahu gaduh," rayu Datuk sambil menyuruh saya mencari tempat berlindung.

Belum pun sempat saya mencari tempat yang selamat, lelaki itu terus menyerang Datuk bertalu-talu dengan goloknya.

Datuk lebih banyak mengelak dari melakukan serangan. Dia tidak melepaskan buah silat yang kemas dan tajam.

Ini berlainan dengan lelaki itu yang kelihatan bersungguh-sungguh mahu membunuh Datuk.

"Sudahlah saudara, saya tak mahu bergaduh, kita tidak pernah bermusuh, kenapa mesti berkelahi," dalam keadaan termengah-mengah Datuk bersuara.

Semuanya tidak dipedulikan oleh lelaki itu. Dia terus menyerang dan melepaskan tetakan ke arah Datuk.

Dalam satu tetakan yang kencang, Datuk berjaya mengelak, mata golok terkena akar getah dan terus terlekat di situ.

Kesempatan itu Datuk gunakan untuk melarikan diri. Saya terus mengekori Datuk berlari dengan kencang.

Masa berlari itu saya gunakan telinga untuk mendengar sesuatu dari arah depan dan belakang.

Saya terdengar bunyi dengung yang panjang memburu langkah saya. Dengan cepat saya menoleh ke belakang, saya lihat seketul kayu betul-betul dekat batang leher saya.

"Appp..."

Serentak dengan suara itu saya rebahkan badan dan ketuk kayu itu hingga terkandas di pohon getah lalu patah dua.

Rupanya, lelaki itu menggunakan semua kekuatannya membaling ketul kayu itu ke arah saya.

Bila saya bangun, Datuk ketawa kecil. Ternyata Datuk lebih cekap dari saya, dia lebih awal dapat mengesan bunyi itu dan tahu apa yang mesti dilakukan.

Dia segera berlindung di balik pokok tempat kayu yang dibaling oleh lelaki itu terkandas.

"Lelaki itu tak memburu kita, kita tak perlu lari lagi," ujar Datuk.

"Siapa lelaki itu tuk?"

"Entah, agaknya orang gila. Usah pedulikan tentang dirinya."

"Boleh jadi orang gila, boleh jadi hantu," saya terus merungut panjang.

Datuk tidak memberikan sebarang pendapat terhadap komentar yang saya luahkan. Datuk terus berjalan dengan laju.

"Kenapa lambat?"

Dari kaki tangga pondok Mat Prai mengajukan pertanyaan. Dia menatang talam kecil. Manakala di atas pondok, isterinya duduk berjuntai kaki.

Dua orang anaknya membaling biji dan kulit durian ke mana sahaja, sesuka hati mereka.

"Seronok mandi embun," jawab Datuk.

Mat Prai ketawa lalu meletakkan talam kecil atas pelantar. Dia terus duduk bersila di situ.

"Mari minum," ajak Mat Prai, dia terus tuangkan air kopi ke dalam cawan.

"Sekarang dah dekat pukul lapan, sepatutnya kita minum pagi pukul tujuh lebih," sambung Mat Prai.

Datuk hanya tersenyum dan terus duduk di pelantar. Isteri Mat Prai turun dari pondok, membuka bungkusan kuih dan diletakkan dalam piring.

"Dah sejuk goreng pisang ni," rungutnya.

"Tak mengapa asalkan barang-barang tersebut boleh dimakan. Kita ini terjumlah orang-orang yang bernasib baik kerana dapat makan pagi," ujar Datuk dengan tenang.

"Ya," angguk Mat Prai. Dia terus menghirup air kopi.

"Kamu Tamar, ambillah. Apa main tengok-tengok aje," isteri Mat Prai ajukan pertanyaan.

Dia segera menghulurkan cawan kopi segera saya sambut.

"Cepatnya berhenti, kenapa tak makan pisang goreng," Mat Prai renung muka Datuk.

"Memang menjadi kebiasaan saya, sebelah pagi minum kopi saja," Datuk menolak piring goreng pisang yang dihulurkan oleh Mat Prai kepadanya.

"Ada pantang larang agaknya," soal isteri Mat Prai.

"Tak ada pantang larang, agaknya ini sudah menjadi kebiasaan saya," jelas Datuk dan segera bangun.

Datuk segera pergi menemui kedua-dua anak Mat Prai di belakang pondok.

Entah apa yang dicakapkan oleh Datuk kepada kedua kanak-kanak itu hingga mereka berhenti melemparkan biji dan kulit durian ke arah semak-semak dekat pondok.

Saya, Mat Prai dan isterinya terus memerhatikan gelagat Datuk melayani kedua kanak-kanak itu.

"Apa yang dibualkannya tu," isteri Mat Prai juihkan bibir ke arah Datuk.

"Entah," balas saya.

"Agaknya Datuk kamu ni memang sukakan kanak-kanak," tanya Mat Prai sambil mengeliat. Matanya tetap meraut wajah saya.

"Dia memang suka dengan budak-budak kecil, dia suka menasihati budak-budak sambil bercerita kisah binatang," jawab saya penuh jujur.

Mat Prai dan isterinya terus anggukkan kepala.

Bila isteri Mat Prai melihat Datuk memisahkan diri dengan anak-anaknya, dia segera tersenyum.

Dengan suara yang lantang dia menyebut nama kedua-dua anaknya. Bagaikan dikejar sesuatu kedua kanak-kanak itu menerpa ke arahnya.

"Kenapa emak?"

"Tak ada apa-apa, emak cuma nak tanya apa yang Datuk tu cerita pada kamu berdua."

"Macam-macam, Datuk tu pesan dalam dunia ni, kita mesti buat baik dengan manusia dan binatang."

"Bagus, kamu berdua mesti ingat pesannya, sudah, mari kita balik ke rumah," tambah perempuan dua anak yang tidak pernah membantah sebarang perintah dari suaminya.

"Sekarang juga mak?" tanya salah seorang dari anaknya.

"Ya, kamu ingat bila?" isteri Mat Prai jegilkan biji mata ke arah anak yang bertanya.

Si anak tidak berani bertanya lagi, apa lagi menentang mata si ibu. Mereka hanya menurut perintah sahaja.

"Semoga anak-anak kamu akan jadi manusia, Mat," ujar Datuk ketika melihat kedua-dua anak Mat Prai melangkah meninggalkan kawasan pondok durian.

Mereka berlari kecil di kiri dan kanan denai.

"Berilah didikan agama secukupnya dan jangan pula kau didik mereka membenci dunia," sambung Datuk.

"Ya, saya ingat pesan Ayah Alang tu."

"Sekadar ingat saja, tak memberi kesan tetapi, aku mahu kau melaksanakannya. Anak-anak harus dibentuk ketika rebung."

"Saya setuju dengan Ayah Alang dalam hal ini, saya mahu memimpin mereka supaya menjadi manusia berguna pada bangsa, agama dan tanah air," itu azam yang diluahkan oleh Mat Prai yang disambut dengan rasa bangga oleh Datuk.

Saya segera menegakkan ibu jari kanan bila Mat Prai segera beralih tempat duduk.

Dari pelantar ke atas bangku yang dibuat dari kayu bulat di bawah pokok rendang. Datuk juga turut berubah tempat tetapi, saya masih bertahan di pelantar. Membiarkan peluh-peluh yang meruap di dahi mengalir ke pipi.

Tidak lama Datuk duduk di kayu bulat kerana Mat Prai mengajak Datuk melihat buah durian yang dikumpulkannya.

"Ayah Alang dengan Tamar pergi mandi embun, saya pula kumpulkan wang, cuba tengok," suara Mat Prai lantang.

"Banyak juga jumlahnya," kata Datuk.

"Boleh tahan juga," jawab Mat Prai lemah.

"Kau nak jual pada peraih."

"Ya tapi bukan semua, enam tujuh biji saya nak buat nasi durian. Kita tunggu sampai peraih datang, kemudian kita ke rumah," Mat Prai mengemukakan permintaan dan Datuk tidak keberatan memenuhi permintaan itu.

"Tapi, bila kita balik, siapa pula nak kutip durian yang jatuh," secara mendadak Datuk mengajukan pertanyaan.

"Budak yang balik malam tadi ambil alih tugas saya," dalam senyum Mat Prai menjawab. Datuk anggukkan kepala.

BANDARAYA

Lebih kurang pukul sepuluh setengah pagi, peraih dari bandaraya George Town pun sampai ke pondok Mat Prai dengan sebuah lori kecil tanpa bumbung.

Peraih berbangsa Cina itu cukup fasih bercakap bahasa Malaysia loghat Pulau Pinang. Orangnya cukup peramah.

Setelah membeli durian Mat Prai dia segera pergi ke dusun durian orang lain pula.

Tepat pukul sebelas pagi, kami pun meninggalkan pondok durian Mat Prai.

Sebaik sahaja sampai dekat rumpun buluh kuning, kami terserempak dengan dua pemuda yang diupah oleh Mat Prai menjaga dusun duriannya.

Badan mereka basah dengan peluh. Masing-masing membawa buluh kuning yang panjangnya kira-kira enam kaki.

Bahagian hujung buluh dipecahkan. Kenapa mereka berbuat demikian, saya sendiri tidak tahu, ulu golok yang tersangkut di tali pinggang dari kulit kerbau nampak terbuai-buai.

"Apa macam malam tadi bang? tak ada apa-apa yang datang," tanya salah seorang dari mereka.

Mat Prai segera merenung ke arah Datuk. Kemudian dia bersuara.

"Susah nak cakap."

"Kenapa bang?" soal pemuda yang lagi satu.

"Hum," Mat Prai mengeluh.

"Dinding perigi kita dah hangus terbakar," tambah Mat Prai lagi.

Kedua-dua pemuda itu berpandangan sama sendiri.

"Siapa yang membakarnya bang?" desak kedua-dua pemuda serentak.

Mat Prai cuma tersenyum. Dia menyuruh saya dan Datuk meneruskan perjalanan.

Kedua-dua pemuda tadi meneruskan langkah ke pondok durian.

"Heeiii..."

Kami bertiga berhenti melangkah. Di depan kami terpacul seorang lelaki berbadan tegap memakai lilit kepala dari kain batik.

Memakai seluar hitam dan berkasut capal. Kain pelekat berkotak kecil terselempang dari atas bahu ke dada.

Dia menghunus keris panjang ke arah kami. Muka Mat Prai kelihatan pucat.

Saya alihkan pandangan ke arah Datuk, serentak dengan itu saya kenyitkan mata ke arahnya.

Datuk segera anggukkan kepala tanda faham dengan maksud hati saya, bahawa lelaki yang berdiri di depan tu adalah lelaki yang menyerang saya dan Datuk di kebun getah, beberapa jam tadi.

Apakah dia akan membunuh saya dan Datuk? timbul pertanyaan dalam hati.

"Adik beradik kamu?"

Dengan wajah yang garang lelaki itu jegilkan biji mata ke arah Mat Prai. Tidak ada jawapan yang diberikan oleh Mat Prai.

"Adik beradik kamu?" jerit lelaki itu.

"Ya," sahut Mat Prai.

"Beritahu dia jangan nak intip tempat duduk aku. Kalau dibuat lagi sekali, kedua-duanya aku bakar hidup-hidup," sambil bercakap lelaki itu menghalakan hujung keris ke arah saya dan Datuk.

Rambut panjangnya sengaja dijatuhkan ke atas kedua belah bahunya. Dua tiga kali dia mengacukan penumbuk kiri ke arah saya.

Apa yang boleh saya lakukan ialah tunduk berlagak macam orang bodoh.

"Eh, orang sekampung, beritahu adik-beradik kamu," untuk sekian kalinya lelaki itu mengherdik Mat Prai.

"Saya bagi pihak kaum keluarga saya minta maaf," ujar Mat Prai.

"Hum, ingat pesan aku, kalau dilanggar dusun dan tanah kamu jadi padang jarak," dengan nada suara yang meninggi lelaki itu mengeluarkan ancaman. Gerak-gerinya bagai pahlawan.

"Saya ingat," kata Mat Prai.

"Hum..."

Lelaki itu masukkan keris panjang ke sarung lalu diselitkan ke pinggang. Kemudian dia terus bertepuk tangan dengan sekuat hati.

Bunyi tepukannya itu macam bunyi petir. Lubang telinga saya terasa bengang.

"Haiii..."

Dia menjerit sekuat hati sambil membuka silat macam silat Kung Fu.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 109/284

BACA: SBDJ Siri 108: Nisan Bergerak
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon