Friday, September 13, 2019

Konflik Yaman, Perang Antara Sunni Dan Syiah Yang Tiada Kesudahan


Konflik Yaman yang menemukan perang saudara dan perang proksi melibatkan aktor dalaman dan kuasa-kuasa luar telah berlangsung bertahun lamanya tanpa kelihatan tanda-tanda akan selesai dalam masa terdekat, malah telah menunjukkan kemunculan perkembangan-perkembangan baharu.

Perang Yaman

Dalam naratif utama yang dikemukakan pihak berkepentingan terutama Arab Saudi, isu yang difokuskan ialah kemaraan Iran dan Syiah, yang dijadikan sebab utama pakatan negara-negara diketuai Riyadh memasuki Yaman dan memulakan kempen ketenteraan.

Naratif kemaraan Iran, yang akhirnya mendorong perang, paling utama dikemukakan oleh Israel dan Arab Saudi, yang paling jelas diperhatikan melalui ucapan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Kongres Amerika Syarikat pada 3 Mac, 2015 dan serangan ke atas Yaman dimulakan tidak lama selepas itu, pada 26 Mac.

Ancaman Iran ini menjadi hampir keseluruhan cerita tentang konflik Yaman ini, sehingga hampir semua berita utama yang mencetuskan kegemparan di dunia Islam terutamanya mengaitkan Iran dan Syiah, dengan pembingkaiannya melibatkan ancaman Syiah yang berleluasa hingga mengancam Makkah.

Walau bagaimanapun, berita terutama dari media Barat kini turut menumpukan pada kebertanggungjawaban Arab Saudi dalam perang ini, yang telah mengorbankan ribuan nyawa dan menjadi punca satu krisis kemanusiaan yang dahsyat di Yaman.

Hakikatnya, konflik Yaman ini ialah sebahagian percaturan geopolitik Riyadh dalam persaingannya dengan Iran, yang mendorong naratif ancaman Iran dan Syiah dijadikan isu utamanya, seperti halnya konflik di Syria yang isu mazhab dimunculkan sebagai isu dasar dan penentu.

Perhatian pada naratif yang diolah pihak berkepentingan itu mengabaikan beberapa perkara utama dalam konflik ini - terutama perkara-perkara kompleks yang membentuk politik dalaman Yaman - melibatkan aktor-aktor penting yang kekal berperanan kritikal mencorakkan persaingan dan berusaha mencapai matlamat tersendiri.

Naratif Sunni-Syiah menenggelamkan hampir sepenuhnya peranan penting Ali Abdullah Saleh - seorang Syiah Zaidiyah - keluarga berpengaruh al-Ahmar dan gerakan al-Islah yang berpengaruh dan penting dalam politik dalaman Yaman dan melebihi pengaruh Houthi yang lebih mendapat perhatian.

Ali Abdullah Saleh ialah salah satu punca konflik terkini tercetus di Yaman, melalui hubungan baiknya dengan pihak tentera negara itu yang masih setia dengan beliau hasil pemerintahan panjang selama 33 tahun sejak sebelum penyatuan Yaman Utara dan Selatan pada tahun 1990.

Ali Abdullah Saleh mengekalkan kuasanya selama ini antaranya melalui hubungan baiknya dengan tokoh-tokoh utama keluarga al-Ahmar - terutama Syaikh Abdullah Husayn al-Ahmar semasa hayatnya - yang menubuhkan pakatan Islah dan kekal menjadi pemain berpengaruh dalam gabungan puak utama Hashid dan dalam politik Yaman.

Selepas disingkir pada 2011, bekas presiden ini menjalin kerjasama dengan Emiriyah Arab Bersatu - selain Arab Saudi - dan kumpulan Houthi yang diperanginya sepanjang memerintah Yaman, dalam usaha untuk merampas kembali kuasa dan mematahkan kemaraan Islah yang dikuasai Ikhwanul Muslimin daripada menguasai politik Yaman.

Islah yang menggabungkan Ikhwan, Salafi dan puak-puak berpengaruh secara tradisinya ialah sekutu Saudi dan juga Saleh, yang berdepan pengaruh sosialis sejurus penyatuan dan juga bagi menangani tentangan politik lain terhadap pemerintah.

Islah pada 2011 bertindak meninggalkan Saleh dan berpihak kepada penentang dan akhirnya dengan kerjasama Qatar dan kuasa lain, bekerjasama dalam menamatkan pemerintahan Saleh, yang diganti oleh Abdrabuh Mansur Hadi.

Saleh juga dilemahkan apabila ketua tenteranya, Ali Mohsen al-Ahmar yang sangat berpengaruh berpaling tadah terhadapnya.

Hubungan terjejas Saleh dengan al-Ahmar menjadi penyumbang utama kepada kelemahan beliau.

Mohsen kini memegang jawatan naib presiden, dilantik untuk mengukuhkan pemerintah Yaman yang teruk diancam oleh pakatan Saleh dan Houthi.

Usaha Saleh untuk kembali kemudian membawa pada kemaraan Houthi ke Sanaa pada hujung September 2014, menjelaskan kompleksiti kesetiaan politik di Yaman, melibatkan Houthi, Islah dikuasai Ikhwan dan paling utama Saleh.

Hadi disingkir pakatan Saleh dan Houthi tetapi tindakan diketuai Saudi telah mengembalikan beliau, di kedudukan yang lemah dan terhad, pada masa persaingan sengit terus berlangsung dan kuasa-kuasa asing semakin berpengaruh.

Kemaraan Houthi yang berpakat dengan Saleh pada mulanya memenuhi beberapa kepentingan Saudi, Emiriyah dan juga Iran walaupun hanya pada tahap yang minima, tetapi kemudian Houthi telah membawa haluan yang berbeza dan bertentangan kepentingan kuasa-kuasa Arab serantau.

Kenyataan mengejutkan Saleh yang pernah mengajak untuk memerangi Houthi dan menunjukkan kesediaan berunding dengan Arab Saudi menandakan pengaruh beliau yang masih kuat dan berpotensi menyaksikan satu lagi perubahan dalam politik dalaman Yaman.

Pertempuran antara pemberontak dengan pasukan Saleh juga telah tercetus, menandakan satu lagi perubahan kesetiaan politik dalam politik kompleks Yaman.

Kenyataan Saleh telah pun mendapat sokongan Saudi, yang menyambut gesaan untuk memerangi Houthi, walaupun berbeza haluan sebelum ini dan Riyadh memasuki Yaman dengan satu matlamat meletakkan kembali pemerintahan Hadi yang disokongnya.

Yaman juga selain menjadi medan Saudi menunjukkan kuasanya dalam menghadapi Iran, melalui pakatan ketenteraan yang terlibat dalam kempen ketenteraan, juga menjadi medan penting perluasan kuasa jangka panjang Emiriyah.

Sekitar masa yang sama seruan Saleh untuk memerangi Houthi disambut oleh Riyadh, timbul cerita mendakwa Emiriyah kini mendesak Saudi untuk meninggalkan Hadi dan berpihak pada Saleh.

Hadi dan Emiriyah bertembung dalam banyak hal kebelakangan ini dan presiden Yaman itu juga membuat satu kenyataan mengejutkan apabila mendakwa Emiriyah "menjajah" negaranya.

Satu isu yang mencetuskan pertembungan ialah penguasaan Emiriyah di wilayah selatan Yaman, yang membentuk Yaman Selatan sebelum penyatuan.

Abu Dhabi didakwa mahu memisahkan Yaman Selatan, ekoran tindakannya sejak menguasai bahagian selatan sejak Jun 2015 dan kelihatan semakin mendominasi sejak kebelakangan ini hingga turut berbeza pandangan dengan Riyadh.

Walaupun dakwaan mahu memisahkan Yaman Selatan itu mungkin berlebihan, hakikatnya Emiriyah sudah pun menguasai bahagian selatan negara itu, melalui ketenteraan dan juga pelbagai bantuan kewangan dan pembangunan.

Pada masa dunia tertumpu pada peranan Arab Saudi hingga mencetuskan kritikan hebat pelbagai pihak seluruh dunia, Emiriyah perlahan-lahan menguasai selatan Yaman dan kekal berhubungan baik dengan pakatan politik yang menguasai selatan.

Emiriyah telah mengumumkan berakhirnya penglibatannya dalam operasi ketenteraan utama dan menumpukan pada bantuan kemanusiaan.

Kini, kos politik terutama melibatkan serangan mengorbankan orang awam ditanggung hampir sepenuhnya oleh Riyadh, walaupun Emiriyah sebenarnya masih terlibat dalam memerangi Houthi - pada masa sama Abu Dhabi meluaskan penguasaan dan disanjung penduduk selatan.

Usaha dilakukan Emiriyah menunjukkan matlamat jangka panjang yang akan mengukuhkan lagi kuasa dan pengaruhnya di seluruh rantau sekitar.

Satu usaha yang dilaporkan dilaksanakan ialah pembangunan melibatkan bandar-bandar dan pelabuhan sepanjang pesisir dari Laut Merah ke Laut Arab, termasuk Mokha, Aden, dan Mukalla.

Penguasaan kawasan ini menjadi faktor usaha Emiriyah untuk menguasai bandar pelabuhan Hodeidah dan peranannya di wilayah Taiz, yang terletak di laut Merah.

Emiriyah juga kini menguasai Pulau Perim dekat Bab al-Mandab dan dilaporkan membina infrastruktur tentera udara di lokasi strategik itu.

Emiriyah turut menumpukan bantuan pada Kepulauan Socotra yang strategik di Laut Arab, menjadikannya lokasi penempatan ketenteraan.

Dilaporkan selepas dilanda taufan pada November 2015, Emiriyah, melalui Persatuan Bulan Sabit Merah negaranya, menyalurkan lebih AS$1 bilion untuk pemulihan pulau-pulau itu.

Perkembangan ini menunjukkan satu gambaran kepentingan geopolitik Emiriyah melibatkan penguasaan laluan dari Laut Merah, melalui Bab al-Mandab, hingga ke perairan dan pelabuhan di Laut Arab yang terletak dalam wilayah selatan.

Selari dengan perluasan kehadiran Emiriyah di Tanduk Afrika meliputi Eritrea dan Somaliland, kehadiran di Yaman bermakna Abu Dhabi memperolehi kedudukan selesa di kedua-dua belah Tanduk Afrika dan Yaman yang di tengah-tengahnya terletak laluan penting bab al-Mandab.

Konflik di Yaman telah berlangsung selama beberapa tahun, mengorbankan nyawa orang awam dan meletakkan negara itu dalam krisis kemanusiaan yang akan memberi kesan jangka panjang, pada masa kuasa-kuasa asing giat mempergunakannya sebagai medan perluasan kuasa.

Pada masa sama, selepas Syria, Yaman menjadi satu lagi perang dalam dunia Islam yang dijadikan pembakar sentimen persengketaan mazhab dalam kalangan umat Islam, menenggelamkan agenda sebenar pihak-pihak berkepentingan.

Kanak-kanak Maut Setiap 10 Minit

Perang di Yaman menyaksikan keadaan yang paling dahsyat dan tragis ketika ini.

Sudah ribuan nyawa melayang, rakyatnya kurus kering kerana tidak mendapat makanan yang cukup, kediaman hancur malah dilaporkan setiap 10 minit kanak-kanak Yaman meninggal dunia berpunca daripada jangkitan penyakit kolera.

Menurut Ketua Koordinasi dan Hubungan Antarabangsa NGO Bonyan Development Foundation Abdul Karim Al-Matari, menjelaskan apa yang boleh beliau gambarkan di sana adalah Yaman 'bukan sebuah negara lagi dek kerana kehancuran dan kemusnahan yang terjadi berpunca daripada perang.

Peperangan yang berlaku ini telah hampir memusnahkan Yaman, gerak perang berlaku secara menyeluruh, rakyat awam, kanak-kanak, orang tua, sekolah, hospital, masjid, lapangan terbang dan kemudahan asas telah menjadi sasaran.

Pada hakikatnya serangan ini dilakukan mengikut telunjuk daripada Amerika-Israel dan peperangan ini telah mengorbankan hampir 40,000 rakyat Yaman daripada pelbagai lapisan kanak-kanak sehingga orang tua.

Peperangan yang berlaku ke atas Yaman ini bukan hanya bersifat serangan roket, bom dan sebagainya bahkan juga melibatkan sekatan ekonomi terhadap negara ini.

Perbatasan Yaman dikawal, pelabuhan ada yang ditutup dan ada yang dihancurkan, lapangan terbang ada yang ditutup dan juga dihancurkan.

Yang tinggal hanyalah sisa hasil bumi, selain daya sumber manusia yang masih bersemangat mempertahankan tanah air.

22 juta rakyat Yaman juga sedang menghadapi krisis kemanusiaan yang maha dahsyat iaitu melibatkan tiga aspek.

Pertama, mereka kekurangan bahan makanan, ubat-ubatan dan tempat tinggal dan 8 juta terancam dengan kebuluran.

Justeru katanya, sebagai NGO yang sudah dua tahun menjadi tulang belakang kepada rakyat Yaman, Abdul Karim sangat berharap agar perang di negaranya berakhir.

Kami ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Malaysia, di mana tindakan kerajaan yang menarik tentera di sana amat kami hargai.

Kami juga sangat menghargai keprihatinan rakyat Malaysia, terima kasih, katanya.

Sementara itu menurut Presiden Pertubuhan kebajikan Rakyat Sejagat (Sejagat) Syed Sheikh Alattas Syed Hassan berkata, besar harapannya agar rakyat Malaysia terus menghulurkan bantuan kepada rakyat Yaman agar mereka terus dapat meneruskan kehidupan.

Katanya, keperluan makanan, tempat berteduh, ubat-ubatan amat-amat diperlukan ketika ini.

Mereka dalam keadaan yang amat memerlukan bantuan kita, supaya rakyat Malaysia turut membantu meringankan beban mereka.

Kepada mereka yang berniat untuk menyalurkan bantuan anda boleh hulurkan sumbangan menerusi no akuan NGO Sejagat: MAYBANK 564810009147.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon