Friday, September 27, 2019

10 Pulau Menarik Di Semporna Lokasi Percutian Bersama Keluarga


Keindahan gugusan pulau di Semporna, Sabah, bukan sahaja dinikmati rakyat Malaysia, tetapi juga mendapat liputan antarabangsa dan dinobat sebagai antara kawasan menyelam skuba terbaik di dunia dengan banyak anugerah pelancongan berprestij telah diraih.

Disebabkan ini, Sabah turut digelar sebagai Maldives Asia Tenggara kerana keindahan pulau-pulaunya yang tersangat memukau dipandang mata.

Tidak perlu berfikir lama-lama ke mana ingin pergi untuk percutian akan datang, pilih sahaja mana-mana pulau di Semporna, Sabah seperti yang disenaraikan ini untuk menikmati percutian yang diselaputi keindahan yang penuh keaslian.

1. Pulau Sipadan

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Sipadan adalah salah satu destinasi menyelam skuba terbaik di dunia sehingga pernah mendapat liputan di dalam media antarabangsa seperti Discovery Channel dan National Geographic.

“I HAVE SEEN OTHER PLACES LIKE SIPADAN 45 YEARS AGO. NOW WE HAVE FOUND AGAIN AN UNTOUCHED PIECE OF ART.” – JACQUES-YVES COUSTEAU

Selain itu, kalau anda nak tahu, ekosistem lautan sekitar Pulau Sipadan ini sangat kaya dengan pelbagai spesies batu karang dan ikan yang dianggarkan lebih daripada 3000 jenis.

Jika anda menyelam ke dasar laut Pulau Sipadan juga, mata anda akan didedahkan kepada kawasan ‘perkuburan’ penyu iaitu dasar laut yang dipenuhi dengan cengkerang penyu yang telah mati.

Pulau Sipadan adalah lokasi menarik yang setiap orang wajib lawati sekali seumur hidup.

2. Pulau Timba Timba

Pulau Menarik Di Semporna

Keindahan perairan di sekitar pulau yang diberikan nama Pulau Timba Timba, Semporna ini cukup mengujakan. Nilai estetika yang dihasilkan daripada air dengan 3 lapisan warnanya ini cukup luar biasa.

Pulau yang terletak berhampiran dengan Pulau Mataking Kecil dan Pulau Mataking ini juga menjadi tempat persinggahan penyu.

Lautannya pula, kaya dengan hidupan laut seperti moray eels, barakuda, udang kara, sotong besar dan banyak lagi.

3. Pulau Sibuan

Pulau Menarik Di Semporna

Sebahagian daripada Taman Marin Tun Sakaran, Pulau Sibuan adalah sebuah pulau di Sabah yang terindah di permukaan Laut Sulawesi.

Untuk menuju ke arah permata indah ini dari Semporna hanyalah mengambil masa 40 minit perjalanan bot.

Tiba sahaja di pulau ini, jangan buang masa lagi! Terus sahaja menyelam skuba untuk mendekati hidupan marin makro yang dikatakan antara yang terbaik di Malaysia.

Anda dapat melihat kehadiran pelbagai spesies fauna seperti kuda laut, ikan singa, ikan kala jengking dan banyak lagi.

Namun begitu, tiada sebarang penginapan ditawarkan di pulau ini dan lokasi penginapan terdekat boleh ditemui di Pulau Pom Pom dan Pulau Mataking.

4. Pulau Mataking

Pulau Menarik Di Semporna

Jika daya tarikan utama di pulau lain adalah kekayaan alam semula jadinya, Pulau Mataking pula ada nilai bonus yang tersendiri.

Kalau anda nak tahu, di Pulau Mataking ini terdapat Pejabat Pos Dalam Air yang pertama dan satu-satunya di negara ini.

Ia wujud bukanlah kerana motorsikal ‘mat despatch’ yang tenggelam di dasar lautan, tapi adalah disebabkan kapal kargo kayu lama yang sengaja ditenggelamkan pihak resort untuk mewujudkan kawasan terumbu buatan yang dalam masa yang sama menjadi pejabat pos bawah air.

Mesti anda tertanya-tanya bagaimana pula surat diposkan di dalam air? Anda boleh meletakkan surat ke dalamnya dengan melindungi surat anda menggunakan beg kalis air. Unik bukan?

Selain itu, pulau ini turut kaya dengan kawasan-kawasan menyelamnya yang dikatakan terdapat lebih daripada 30 buah.

Kesemua lokasi menyelam ini kaya dengan hidupan laut yang dapat dilihat jelas melalui air yang jernih dan sekiranya anda merancang untuk menyelam skuba, waktu yang terbaik adalah dari bulan April hingga Jun.

5. Pulau Bum Bum

Pulau Menarik Di Semporna

Terletak berdekatan dengan Pekan Semporna, Pulau Bum Bum hanyalah 1 km dari daratan Sabah.

Pulau yang dikatakan memiliki saiz yang tidak jauh bezanya daripada negara Singapura ini merupakan destinasi percutian pulau yang cukup murah jika dibandingkan dengan pulau-pulau Sabah yang lain, namun keindahannya menjadi pujaan hati pengunjungnya.

Air yang jernih menjadikan ia lokasi hebat untuk bersnorkeling dan menyelam skuba untuk menikmati aneka hidupan marin yang bergerak bebas di dalam air.

Keindahan pemandangan sekitarnya juga membuatkan ia destinasi yang menarik untuk menajamkan bakat fotografi anda.

7. Pulau Bohey Dulang

Pulau Menarik Di Semporna

Dalam bahasa Bajau, Bohey bermaksud ‘air’ dan Dulang pula bermaksud ‘kolam’. Pulau ini mungkin diberi nama berdasarkan kewujudan beberapa buah kolam berbentuk bujur di sepanjang laluan air sungai di pulau ini.

Terletak sekitar 35 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Bohey Dulang dikatakan menyimpan kisah legenda tersendiri.

Bukan sahaja menyimpan kisah yang menarik, Pulau Bohey Dulang turut menjadi tarikan ramai kerana kewujudan kawasan puncak bukitnya yang menyajikan pemandangan yang sungguh menakjubkan keseluruhan pulau.

8. Pulau Pom-Pom

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Pom-Pom sebenarnya terbahagi kepada Pom Pom Besar dan Pom Pom Kecil, namun secara totalnya pulau ini tidaklah sebesar mana untuk dijejaki kawasan sekitarnya. Masa diambil untuk menghabiskan pusingan perjalanan hanyalah dalam 30 minit.

Untuk pengetahuan anda yang ingin ke sini untuk menyelam skuba, lautannya cukup kaya dengan hidupan marin makro ataupun fauna bersaiz kecil yang sangat seronok untuk dilihat.

Pulau ini menawarkan kepelbagaian hidupan laut yang rare atau sukar ditemui. Apa lagi? Sediakan kamera kalis air anda sebelum ke sini!

Di samping itu, pulau ini turut menjadi tempat penetasan telur pilihan penyu sisik dan penyu hijau.

Dikatakan, penyu hijau akan datang menetaskan telur di sini sepanjang tahun namun musim kemuncaknya adalah dari bulan Mei hingga September. Manakala, kehadiran penyu sisik pula agak kurang jika dibezakan dengan penyu hijau.

9. Pulau Mabul

Pulau Menarik Di Semporna

Pulau Mabul antara pulau terkenal di Sabah kerana kedudukannya yang terletak berdekatan dengan Pulau Sipadan, merupakan salah satu kawasan menyelam yang terbaik di dunia.

Tarikan lain di pulau Mabul adalah pilihan penginapannya yang cukup banyak mengikut kesesuaian bajet anda, dari penginapan dengan kemudahan asas hinggalah kepada penginapan mewah.

Namun begitu, magnet tarikan utama di Pulau Mabul ini sebenarnya adalah kerana ia merupakan salah satu destinasi yang sangat kaya dengan hidupan marin yang penuh warna-warni.

Pelbagai jenis ikan dan sotong eksotik dapat dilihat melintas di depan mata jika anda menyelam skuba di sekitar lautan pulau ini.

Apa lagi yang boleh dibuat di sini? Anda boleh memenuhkan aktiviti di sini dengan melawat perkampungan masyarakat Bajau Laut, menikmati pemandangan matahari menaik dan terbenam yang sungguh mengujakan dan apabila malam menjelma, anda boleh bersantai di tepi pantai sambil menikmati pemandangan cahaya bintang galaksi dari langit sekitar pulau ini. Cukup mengagumkan.

10. Kapalai Island

Pulau Menarik Di Semporna

Mengambil masa 30 minit perjalanan bot dari Semporna, Pulau Kapalai adalah sebuah destinasi yang cukup fotogenik dan unik.

Sebaik mendekati kawasan pulau ini, anda akan melihat kehadiran chalet-chalet terapungnya yang berdiri di atas air laut sejernih Kristal.

Menghubungkan penginapan-penginapan ini adalah jambatan papan yang boleh dilalui untuk menikmati panorama air di sekitar yang jelas memaparkan hidupan marin yang penuh dengan warna-warni.

Sedihnya, hakisan pantai di pulau ini telah meningkatkan aras laut yang memberi kesan kepada ketinggian pulau ini yang kian berkurangan. Jadi, janganlah tangguh rancangan percutian anda ya?

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon