Friday, August 09, 2019

SBDJ Siri 100: Orang Tua Misteri


Kami pun terus berlari melanggar tunggul-tunggul buruk, melanggar akar yang menjalar di bumi. Matlamat kami mahu sampai segera ke tepi jalan raya yang jaraknya bukan dekat. Dua tiga kali kami jatuh dan setiap kali jatuh kami segera bangun.

Toyol jadi-jadian

Apa yang menakjubkan diri saya, setiap kali saya bangun dari jatuh, saya rasa seperti ada orang membantu saya.

Selain dari itu, saya juga merasai seperti ada orang yang mengikut atau menemani perjalanan kami.

Saya tanyakan perkara tersebut pada Najib. Dia juga merasakan seperti apa yang saya alami.

Akhirnya, kami sampai di tepi jalan raya Batu Hampar-Taiping. Seluruh tubuh kami dibasahi dengan pelih.

Kami terpaksa berehat sebentar di bangsal tempat orang menanti bas. Bila rasa penat sudah hilang, perjalanan pulang ke rumah akan disambung kembali.

"Eh, kamu tak mahu tengok orang pengsan tepi jalan?”, seorang lelaki yang berbasikal melintasi di depan bangsal tempat kami berhenti rehat.

"Di mana?" jerit Najib.

“Di depan sana,” jawab lelaki itu tanpa mahu berhenti.

Siapa pula hamba Allah yang malang itu? Ini sudah pasti jadi korban kenderaan yang lari.

Memang, pemandu yang tidak bertimbang rasa patut dihukum. Fikir saya dalam hati.

“Mari kita tengok Tamar.”

"Jom, siapa pula yang malang tu."

"Kita tengok dulu baru kita tahu siapa orangnya."

"Cakap kamu betul Najib."

"Ah, sudahlah. Marilah", Najib segera menarik tangan saya.

Dan kaki saya pun melangkah menuju ke arah tempat yang dikatakan oleh lelaki yang berbasikal tadi.

SAMPAI

Dari jauh saya dan Najib nampak orang ramai berkerumun tidak jauh dari tiang telefon.

Ada beberapa buah kenderaan yang berhenti tetapi bergerak kembali sesudah melihat apa yang berlaku.

Kami sampai ke tempat orang ramai. Tanpa membuang masa kami terus bergabung dengan mereka.

Saya dan Najib terkejut. Kami segera berpandangan. Memang tidak kami duga orang ramai sedang mengerumuni Amjal Kamal yang terlentang atas rumput.

Di tubuhnya tidak terdapat sebarang luka atau kecederaan. Anehnya Amjal Kamal tetap mengeluh dan mengadu sakit.

Sepasang kelopak matanya berkeadaan separuh terbuka. Amjal Kamal memberitahu orang ramai yang mengelilinginya, kulit tubuhnya terasa pedih seperti kena bahang api yang cukup kuat. Sesekali dia membengkokkan badannya.

"Siapa orangnya?" terdengar seseorang bertanya.

"Aku tak berapa kenal, tapi pernah melihat rupanya sekali dua masa di pekan," terdengar suara dari seseorang.

"Ah, ketua Udin Tarzan kepala judi dan penyamun. Biarkan dia di situ. Dia dah menerima balasan dari Allah kerana kejahatannya," jawab seseorang dari arah kanan saya.

Amjal Kamal meracau tidak tentu arah. Kata-kata yang dituturkan sukar difahami. Mungkin Amjal Kamal bertutur dalam bahasa Nepal, bisik batin saya.

Dua tiga orang yang berada di situ turut ketawa, bila mereka melihat Amjal Kamal menggerakkan badannya atas rumput macam ular sambil mengunyah rerumput yang hijau.

“Jangan ketawakan dia, kita harus melakukan sesuatu,” seorang tua muncul dari arah belakang saya.

Seluruh perhatian orang ramai tertumpu pada orang tua itu.

“Mengetawakan orang yang sedang sakit, bukan perbuatan orang yang beriman,” lanjut orang tua itu.

Dia segera menerpa ke dada jalan raya lalu mengangkat tangan kanannya menahan kereta yang lalu. Sebuah kereta berhenti.

“Kenapa?” tanya pemandu kereta.

“Tolong bawakan orang ini ke hospital.”

“Hospital Taiping?” tanya pemandu kereta Ford Escort yang berwarna hitam. Orang tua itu anggukkan kepala.

Pemandu kereta termenung sejenak. Dia agak keberatan untuk memenuhi permintaan orang tua tersebut. Amjal Kamal masih terkapar atas rumput.

“Bawalah dia ke hospital, kamu tak rugi menolongnya. Lagipun dia tak sakit kuat, kereta kamu tak kotor kerana tubuhnya tak berdarah, lepas kamu hantar ke hospital, kau tinggalkan saja dia di situ. Kerja semudah ini kamu keberatan menolongnya?” soal orang tua itu.

“Sudahlah, jangan banyak cakap. Masukkan dia di belakang,” suara pemandu kereta bersuara lantang.

Amjal Kamal pun segera diangkat ke dalam kereta.

“Ada sesiapa yang nak ikut ke Taiping?”, tanya pemandu kereta pada orang ramai yang berada di situ.

Bila mata pemandu kereta tertumpu ke wajah saya, dia menghadiahkan senyum.

Rasanya saya pernah melihat wajahnya tetapi di mana? Saya kurang pasti.

“Itu Wak Juno, patutlah bahasa Jawanya pekat,” kata Najib.

“Ya, aku ingat sekarang. Dia dari Kampung Talang, selalu datang ke tempat kita, menjaja tikar mengkuang, tudung saji dan bakul, lama juga aku nak mengingatinya," Najib.

“Kamu lemah ingatan,” sindir Najib.

Kami ketawa serentak. Orang ramai yang berada di situ merenung ke arah kami.

"Biar saya yang menemaninya", orang tua itu membuat keputusan.

Tanpa membuang masa lagi, dia masuk ke perut kereta. Beberapa minit kemudian kereta yang dipandu oleh Wak Juno terus bergerak meninggalkan kami. Orang ramai segera bersurai.

Saya dan Najib kembali ke bangsal untuk menanti bas. Rasa cemas mula mengganggu perasaan saya. Macam-macam perkara buruk terbayang dalam tempurung kepala.

Bas yang dinanti pun tiba. Saya dan Najib segera naik. Kami memilih tempat duduk tidak jauh dari pemandu bas.

Saya menoleh ke kanan. Saya terlihat orang tua yang menahan kereta Wak Juno berada di situ.

"Tadi pak cik ikut kereta Wak Juno?" tanya saya.

"Hum", kata orang tua itu sambil gelengkan kepala.

"Maafkan saya kerana tersalah orang", saya tersipu sipu malu.

"Tak mengapa, salah silap perkara biasa dalam kehidupan manusia. Awak dah jumpa Agam?" orang tua itu mengajukan pertanyaan.

Matanya merenung ke arah pepokok di kiri kanan jalan.

Saya dan Najib sering sahaja membengkokkan badan ke kiri atau ke kanan bila bas menempuh selekoh yang tajam, tetapi orang tua itu tetap tidak bergerak.

Satu persoalan timbul dalam hati saya. Bagaimana orang tua ini mengetahui pertemuan saya dengan Agam? Siapa dirinya yang sebenar?

"Pakcik ini siapa?" soal Najib. Bas terus meluncur.

Penumpang bas tidak begitu ramai jumlahnya. Banyak bangku yang kosong.

"Aku ni Datuk pada Agam."

"Berapa umur pakcik sekarang?"

"Seratus tujuh puluh tahun."

“Huh”, kata saya separuh menjerit.

Semua mata yang berada dalam bas tertumpu ke arah saya. Mana ada manusia yang berusia selanjut itu.

Kalau ada pun, pasti tidak mampu melangkah, apalagi bergerak ke sana ke mari.

“Mustahil," kata Najib.

“Tidak ada yang mustahil, kalau Allah mengizinkannya,” ungkap orang tua itu tenang.

Saya terdiam. Bas terus meluncur dengan laju. Saya masih meragui kebenaran dari kata-kata yang diluahkan oleh lelaki tua itu.

Ketika bas melalui selekoh yang agak tajam, orang tua itu bangun lalu menekan loceng bas.

“Aku dah sampai, ingat tentang kebesaran Allah, bila kita ingatkan kebesaran Allah, tidak ada sesuatu yang mustahil di dunia.

"Tidak ada manusia yang boleh mengukur kelebihan Allah, cubalah mengenali diri sendiri,” orang tua menujukan kata-kata itu pada saya.

Memang terasa diri saya disindir. Pemandu bas cuma tersenyum sahaja.

“Di sini hutan tebal, mana ada kampung di sini," Najib bersuara lalu merenung ke arah hutan tebal di kiri kanan jalan raya.

Keadaannya amat menyeramkan dengan pokok-pokok besar. Apa yang terdengar ialah bunyi suara reriang rimba dan suara ungka liar.

“Orang yang buta hati dan perasaan saja yang tak nampak kampung halaman makhluk lain.

"Orang yang hatinya suci dan hidupnya direstui Allah akan menemui makhluk lain selain dari manusia, selamat jalan.”

“Haa, menyindir kami," kata saya.

“Tidak, aku bercakap sesuatu yang benar,” orang tua itu menolak tuduhan saya.

Dia pun melangkah turun dari perut bas. Bas pun bergerak. Dari jendela bas saya lihat orang tua itu masuk ke dalam hutan tebal seperti orang berjalan di atas jalan raya.

Dia melambaikan tangan ke arah para penumpang yang berada dalam bas.

HAMPAR

Saya masih ingat, tempat orang tua itu turun tidak jauh dari pekan kecil Batu Hampar.

Khabarnya, di situ kini sudah dijadikan pintu jalan untuk masuk ke pusat Darul Arqam.

Agaknya, di kawasan Darul Arqam itu suatu ketika dulu adalah kawasan perumahan orang tua misteri yang saya temui dalam bas satu ketika dulu.

"Di dalam sebulan, dua kali orang tua itu turun dan naik di sini,” jawab Mat Tupai dalam loghat Kedah.

“Dia pergi ke mana?” desak Najib.

“Kadang-kadang dia turun dekat pekan Air Terjun, kadang-kadang dekat tempat yang disebut Bendung Siam. Tapi, tempat yang dia turun itu semuanya kawasan hutan.”

“Selain dari dia, ada orang lain yang naik?"

"Ada, orang perempuan, selalunya orang perempuan naik bas yang terakhir. Kadang-kadang...", Mat Tupai tidak meneruskan kata-katanya.

Dia terus memaut stereng bas dengan tenang dan aman.

"Kadang-kadang apa?" saya cuba mencungkil rahsia.

"Masa mereka naik, selalunya penumpang tak ramai. Paling tinggi dua orang. Bila dia ada dalam bas, satu bas jadi wangi. Mereka tak banyak cakap, mereka bayar duit tambang kemudian terdengar mereka berzikir."

"Ramai yang naik tu?"

"Kira-kira antara sepuluh hingga lima belas orang."

"Hum," kata saya lalu termenung panjang.

"Perkara macam ini, memang perkara biasa buat kami", kata Mat Tupai.

Dia terus memandu bas, merempuh beberapa selekoh tajam. Mat Tupai senyum bangga.

Menjelang waktu senja baru saya sampai di rumah. Datuk sudah menanti di kepala tangga. Wajahnya nampak serius sekali.

"Kamu dari mana Tamar?"

"Dari...", saya berhenti bercakap.

"Dari hutan Air Terjun."

"Ha he...", saya tidak dapat memberikan jawapan segera.

Rasa serba salah mula datang ke dalam diri. Memang pada awalnya saya mahu bercakap bohong dengan Datuk.

Tetapi bila sudah begini keadaannya, saya tidak berdaya untuk berbohong.

"Ya, saya ke sana tuk."

"Kamu berjudi?"

"Tidak, saya cuma nak tengok saja tuk."

"Apa yang kamu dapat?"

“Susah nak cakap tuk.”

“Lagi sekali kamu pergi ke situ, aku serahkan kamu kepada polis, biar kamu kena lokap,” suara Datuk cukup garang.

Dia meninggalkan saya sendirian di kepala tangga. Datuk menuju ke masjid.

Tanpa membuang masa saya naik ke rumah. Saya segera mengambil kain basahan lantas menuju ke perigi.

Kalau saya tidak mahu kemarahan Datuk berlarutan, saya mesti menghadirkan diri di masjid, mesti sembahyang Maghrib bersama para jemaah yang lain-lain.

“Eh, mandi di telaga”, saya mula terdengar suara dalam keadaan hari yang beransur gelap.

Saya toleh kiri, toleh ke kanan. Orang yang bersuara tidak juga saya temui. Saya persetan tentang suara itu dan saya terus mandi.

“Kamu berkawan dengan dia.”

Saya pasti itu suara Amjal Kamal.

Dugaan saya tepat sekali, Amjal Kamal berdiri di depan saya sambil berpeluk tubuh.

“Eh, kenapa?” tanya saya, serentak dengan itu batang tubuh Amjal Kamal terus hilang.

Apa yang kedengaran ialah suara ketawanya yang memanjang dan nyaring.

Saya terasa tubuh dilempar dengan tanah liat keras yang datangnya dari setiap penjuru.

Tanpa membuang masa saya terus lari naik ke rumah dengan rasa cemas yang amat sangat.

Nenek ketawa besar melihat telatah saya yang lucu. Apa yang dialami saya ceritakan pada nenek.

Saya merasa hampa dan kecewa sekali. Nenek tidak dapat menerimanya dan menuduh saya lemah semangat.

Nenek terus menggesa saya supaya segera pergi ke masjid. Saya tidak ada pilihan dan terus patuh pada perintahnya itu.

Saya bersyukur, bila sampai di masjid, kemarahan Datuk terus reda. Dia masih mahu senyum dengan saya.

Malah, selesai sahaja sembahyang Isyak, saya dan Datuk pulang bersaing. Seperti selalu, bila jalan berdua-duaan dengan Datuk, dia tidak pernah sunyi memberikan nasihat dan petua pada saya.

PERTEMUAN

Tiga hari kemudian, tanpa disangka-sangka saya terserempak dengan Wak Juno di depan dewan orang ramai.

Dia berhenti di situ kerana mempamerkan barang-barang dagangannya seperti tikar, tudung saji, bakul, nyiru dan lain-lain.

Ada sesuatu yang saya rasakan aneh pada Wak Juno.

Selalunya, dia lebih banyak bercakap tentang barang-barang yang dijualnya.

Ada waktunya, dia bercerita pengalaman pahitnya menentang tentera Belanda di Jawa Tengah, terutama di daerah Solo tetapi, kali ini dia menceritakan pengalamannya membawa Amjal Kamal.

Menurutnya, setelah Amjal Kamal naik kereta dengan ditemani oleh orang tua, dia terus memandu keretanya dengan tenang.

Sepanjang perjalanan, orang tua tersebut terus memandang wajah Amjal Kamal tanpa berkata apa-apa.

Cuma Amjal Kamal sahaja menjerit minta tolong dan ampun pada orang tua itu, seperti ada sesuatu yang dilakukan oleh orang tua itu ke tubuh Amjal Kamal, padahal anggota tubuh orang tua itu tidak bergerak.

Sesekali Amjal Kamal berjanji dan bersumpah tidak akan mengulangi perbuatannya yang lalu dan bersedia mahu bertaubat.

Setiap kali Amjal Kamal menjerit dia pasti akan terkencing. Akibat terlalu kerap menjerit dan kencing, bau air kencing itu bercampur dengan bau najis.

Anehnya, Wak Juno tidak dapat menyatakan perkara yang tidak disenanginya itu pada orang tua tersebut.

Setiap kali dia mahu bersuara, kerongkongnya seperti tersumbat. Macam ada sesuatu yang melekat di situ.

“Bila saya berhenti depan hospital, orang tua terus buka pintu dan keluar. Saya tengok dia bercakap sendiri seperti mengeluarkan perintah pada seseorang yang tiada di depannya”, Wak Juno bercerita sambil angkat tangan ke kanan dan ke kiri. Air liurnya mercik ke arah orang yang berada di depannya.

Saya bertambah minat untuk mendengarnya lalu duduk bersila di tepi dewan orang ramai.

“Selesai saja dia bercakap, saya lihat dua orang pekerja hospital bawa pengusung lalu mengangkat orang yang sakit ke bilik pemeriksaan”, lanjut Wak Juno, wajahnya nampak resah.

Dia renung kiri dan kanan. Bimbang kalau orang tua tersebut muncul cara mengejut. Dalam nada suara yang merendah, Wak Juno terus bersuara.

“Saya bersungut pada orang tua itu tentang keadaan kereta yang penuh dengan air kencing dan bau najis.

"Orang tua itu tersenyum lalu menumbuk pintu kereta belakang saya dua kali berturut-turut."

“Lepas tu apa yang jadi?” tanya seorang perempuan tua yang boleh dipanggil mak cik.

“Bau air kencing dan najis hilang, kereta saya kembali bersih.

"Orang tua itu bersalam dengan saya sambil menghulurkan wang. Saya tolak pemberiannya. Orang tua itu mengucapkan ribuan terima kasih. Dia hilang depan mata saya sendiri,” sambung Wak Juno.

Semua biji mata orang ramai yang berada di situ separuh terbeliak. Ramai di antara mereka yang menggelengkan kepala.

Di wajah mereka terbayang rasa takjub yang amat sangat.

Wak Juno mengakui peristiwa yang terjadi di depan matanya itu membuat dia cemas dan badannya menjadi seram sejuk. Akhirnya, dia menggeletar.

Wak Juno segera mencari pekerja hospital yang mengusung Amjal Kamal tadi.

Dengan diiringi pekerja hospital, Wak Juno dibawa ke wad Amjal Kamal ditempatkan. Pekerja hospital itu terkejut besar. Katil Amjal Kamal kosong.

“Ke mana dia pergi?” pekerja bertanya pada orang berdekatan.

“Tadi ada orang tua datang, beri dia minum segelas air," jawab orang yang ditanya.

“Lepas itu apa dah jadi?” desak pekerja hospital.

“Saya tengok si sakit terus baik dan minta ampun pada orang tua. Orang tua tu tampar mukanya sekali. Dia bangun dan terus keluar dari wad ini.”

“Orang tua tu pergi ke mana?” tanya Wak Juno.

“Dia hilang dengan sekelip mata saja.”

Pekerja hospital dan Wak Juno saling berpandangan.

Tanpa mengucapkan sesuatu, pekerja hospital meninggalkan Wak Juno sendirian di situ.

Beberapa minit kemudian Wak Juno pun meninggalkan wad tersebut dengan seribu keanehan yang berserabut dalam tempurung kepalanya.

“Sejak kejadian tu saya selalu rasa takut, bawa kereta seorang diri pun rasa cemas. Saya rasa macam ada orang yang ikut,” begitulah Wak Juno membongkar pengalamannya pada para pelanggannya.

"Sekarang ni awak ingat orang tua tu ada tak dekat sini?” satu pertanyaan nakal dari pelanggan Wak Juno.

Bukan pertanyaan yang ikhlas. Orang itu mempersendakan Wak Juno.

Sebagai orang yang kaya dengan pengalaman dan karenah kehidupan manusia, Wak Juno hanya tersenyum sahaja.

“Bagi orang yang tak pernah mengalaminya tentu tak mahu percaya, terpulanglah,” Wak Juno merendah diri.

Dia terus mengemaskan barang-barang dagangannya untuk dimuat ke dalam kereta.

MUNCUL

"Wak Juno”, jerit Udin Tarzan yang muncul secara tiba-tiba.

Keadaan diri Udin Tarzan kali ini agak berbeza dari apa yang pernah saya lihat. Bercakap agak sopan, tidak membanggakan diri.

Dari wajahnya, saya lihat dia sedang menghadapi tekanan perasaan yang amat sangat. Sentiasa resah dan cemas.

Kali ini Udin Tarzan memakai baju Melayu potongan Teluk Belanga warna merah jambu serta bersongkok lebai warna hijau.

Sekali pandang, memang dia nampak macam orang alim atau orang baik-baik.

Mungkin kerana jarang bertemu atau tidak pernah bertemu dengan orang yang menyebut namanya, membuat Wak Juno termenung sejenak seperti mengingati sesuatu.

“Ya, saya dah lupa, di mana kita pernah berjumpa? Apa khabar sekarang?”, Wak Juno hulurkan tangan pada Udin Tarzan.

Tetapi Udin Tarzan seperti keberatan untuk menyambut huluran tangan dari Wak Juno.

Akhirnya, Udin Tarzan terpaksa menyambutnya dengan perasaan separuh hati.

“Wak mungkin tak kenal dengan saya, tapi, saya kenal dengan Wak maklumlah Wak orang berdagang”, ujar Udin Tarzan.

Wak Juno terus mengedutkan dahinya.

“Saya ingat. Awak pernah cekak leher baju saya, awak tekan mata pisau belati ke leher saya, kemudian awak ambil duit jualan tikar saya, kira-kira dua ratus ringgit,” suara Wak Juno tersekat-sekat.

Tamat Siri Bercakap Dengan Jin 100/284

BACA: SBDJ Siri 99: Kaki Berbulu
BACA: Siri Bercakap Dengan Jin (Koleksi Lengkap)

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon