Saturday, July 06, 2019

Benarkah Harga Tokek Gecko Sangat Mahal Dan Mampu Menyembuhkan AIDS?


Beberapa tahun yang lepas, reptilia yang lebih dikenali dengan nama panggilan Tokek Gecko menjadi sumber kekayaan baharu bagi mereka yang mahu menjadi kaya dengan cara yang pantas. Semuanya bermula dengan kepercayaan bahawa enzim dari air liur Tokek Gecko ini dapat menyembuhkan AIDS, barah dan juga selesema H1N1.

Tokek mahal
Tokek Gecko.

Internet kemudiannya dipenuhi dengan lambakan artikel, rangkaian perbualan dan forum yang memaparkan perbincangan mengenai keuntungan lumayan yang boleh diperolehi melalui penjualan Tokek Gecko.

Artikel di internet memaparkan stok, bagi memenuhi permintaan yang melonjak naik daripada pelanggan yang mudah ditipu yang kebanyakannya dari Malaysia dan Singapura.

Bagi mereka yang percaya, Tokek Gecko boleh bernilai di antara beberapa ribu hingga beberapa juta ringgit seekor.

Apabila perdagangan ini disiasat oleh rangkaian pemantauan hidupan liar dikenali sebagai Traffic, rupa-rupanya gembar-gembur dalam talian hanyalah sembang kosong dan semua pengiklan haiwan tersebut langsung tidak menjual Tokek Gecko.

Adakah ini scam internet yang sangat besar?

Pengarang laporan "The Trade in Tokay Geckos (Gekko gecko) In South-East Asia: With A Case Study On Novel Medicinal Claims In Peninsular Malaysia" berpendapat sedemikian.

Mereka menyatakan bahawa penemuan mereka menyokong dakwaan oleh peniaga persendirian yang juga bersetuju dengan pendapat tersebut.

Sebelum penipuan besar-besar ini berlaku, Tokek Gecko berharga tidak lebih daripada RM76 di perdagangan haiwan peliharaan antarabangsa namun pada akhir tahun 2009, pihak berkuasa di seluruh Asia Tenggara mula merampas spesismen hidup yang didagangkan secara haram.

Akhbar-akhbar dilimpahi dengan laporan bahawa menangkap atau menternak cicak ini menjadi pendapatan sampingan yang baharu dan sangat lumayan bagi orang kampung.

Penyiasatan oleh Traffic dengan bertemu ramai peniaga, yang kebanyakannya bertaburan di seluruh negeri Kedah dan Kelantan, yang mengakui bahawa setiap Tokek Gecko dijual mencecah harga puluhan ribu ringgit.

Seorang peniaga mendakwa bahawa semasa puncak perdagangan (di antara 2009 dan 2011), beliau menjual 100 Tokek Gecko seminggu kepada pembeli di Singapura, Malaysia dan juga Eropah, sebagai rawatan kanser.

Dia mengenakan bayaran sebanyak RM19,000 bagi seekor Tokek Gecko dan menyatakan bahaya mengenai perdagangan ini, termasuk ditangkap dan dirompak ketika urusan jual beli.

Beliau berkata bahawa, sindiket yang pernah menjadi majikannya telah kehilangan lebih RM100,000 kepada peniaga Thai dan Laos yang cerdik.

Sifat tamak telah membuatkan perniagaan ini semakin pesat membangun, ditambah pula dengan harga yang melonjak naik.

Juga dikhabarkan bahawa Tokek Gecko lebih besar, yang mana beratnya 400 gram atau lebih, boleh menghasilkan "enzim" yang mampu menyembuhkan AIDS.

Tokek-tokek ini dikatakan bernilai lebih RM3 juta setiap seekor dam untuk menjadikan seekor Tokek Gecko mencapai berat ini, ada peniaga sengaja menyuntik silikon atau memaksa haiwan ini memakan kepingan logam.

Ini kerana, para penyelidik berasa ragu jika Tokek Gecko mampu mencapai berat itu secara semulajadi.

Traffic juga tidak menemui apa-apa yang menyokong kredibiliti dakwaan tersebut dan apa yang dapat dipastikan adalah, berlaku ketidaktentuan yang besar dalam harga jualan Tokek Gecko.

Sesetengah penjual meletakkan harga RM580 seekor dan ada yang menjual dengan harga RM50,000.

Ini menunjukkan bahawa tiada nilai pasaran sebenar bagi "komoditi" ini, yang mana seterusnya menyokong teori bahawa ia sememangnya tidak bernilai dan hanya bermula dengan satu penipuan licik.

Tokek Gecko yang dijual untuk penghasilan ubat-ubatan baru nampaknya diperoleh daripada hutan liar di Thailand, Laos dan Myanmar, yang kemudianya diangkut melalui jalan darat ke Malaysia.

Satu laporan berita memperincikan bagaimana lebih daripada 1,000 Tokek ditemui di dalam bonet kereta.

Namun kini, kita boleh menarik nafas lega kerana zaman kegemilangan ubat ajaib Tokek Gecko telah berakhir.

Dakwaan perubatan tersebut langsung tidak berasas dan Tokek Gecko hanyalah seekor cicak yang mempunyai rupa bentuk serta warna yang menarik.

Bermula tahun 2011, Tokek Gecko menjadi salah satu haiwan yang dilindungi di Malaysia dan memerlukan lesen untuk pemilikan dan perdagangan, selepas ia dimasukkan ke dalam Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 yang baru.

Walaupun populasi setempat yang berkurangan (di Bangladesh) dianggap disebabkan oleh perdagangan Tokek Gecko untuk ubat baru, namun bagi skala serantau, jumlah haiwan yang ditangkap dari hutan untuk tujuan ini nampaknya agak kecil.

Memandangkan terdapat pelbagai jenis dan banyak spesies haiwan ini, perdagangan Tokek Gecko untuk ubat-ubatan baru tidak mungkin menimbulkan ancaman serius kepada populasi Tokek liar.

Tokek Gecko telah lama diperdagangkan untuk perubatan tradisional, yang mana sekitar 15 juta ekor Tokek kering telah dieksport ke Taiwan sejak 2004, 71% daripadanya berasal dari Thailand dan yang lain dari Jawa, Indonesia.

Pada tahun 2011, penghantaran sebanyak 1.2 juta ekor Tokek Gecko yang ditangkap secara haram berjaya dipintas dari Jawa dalam perjalanan ke Hong Kong.

Tidak seperti perdagangan perubatan baru yang kebanyakannya berlaku di Semenanjung Malaysia dan Singapura, perdagangan untuk perubatan tradisional di negara-negara Asia Timur, seperti China, Hong Kong, Vietnam dan Taiwan, berada pada skala yang sangat besar.

Tokek Gecko digunakan dalam perubatan Cina tradisional untuk merawat penyakit kulit, asma, kencing manis dan kanser.

Ujian klinikal pada tikus telah menunjukkan bahawa terdapat sumber dari Tokek Gecko mempunyai ciri-ciri anti-tumor.

Walau bagaimanapun, pakar telah mengkritik kajian ini kerana melakukan ujian dengan kawalan yang tidak baik, saiz sampel yang tidak mencukupi dan memindahkan keputusan berdasarkan satu spesies (Gekko japonicas) kepada yang lain (Tokek Gecko).

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyatakan bahawa tidak terdapat bukti saintifik bahawa Tokek dapat menyembuhkan AIDS atau kanser dan tidak ada maklumat mengenai keselamatan terhadap pendedahan kepada Tokek Gecko.

Namun, perdagangan Tokek Gecko untuk perubatan baru seolah-olah sedang berkembang pesat.

Walaupun secara meluas dianggap sebagai spesies biasa, beberapa kajian populasi sebenarnya telah dilakukan terhadap Tokek Gecko, yang mempunyai penampilan menarik, berwarna biru-kelabu, dengan bintik-bintik yang berkisar dari kemerahan-oren hingga kuning keputihan.

Status pemuliharaannya belum dinilai oleh Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam.

Namun, daripada sedikit kajian yang telah dilakukan, bilangan reptilia ini secara umum telah didapati menurun. Ini berlaku di Jawa, Indonesia dan utara-timur Thailand, dan pada masa lalu, di tanah besar China.

Di Nepal, Tokek Gecko dianggap sangat jarang dan di Vietnam, ia disenaraikan sebagai spesies terancam. Status haiwan ini masih belum didokumentasikan di negara lain.

Lebih banyak penyelidikan diperlukan untuk mengukur tahap perdagangan dan jumlah Tokek Gecko yang ditangkap dari hutan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon