Sunday, June 09, 2019

5 Punca Kenapa Kucing Membunuh Anak Baru Lahir


Sekiranya anda membela kucing atau seorang peminat kucing, pasti pernah mendengar satu fenomena pelik dimana seekor ibu kucing membunuh anaknya sendiri. Kalau difikirkan secara logik, bagaimanakah tergamaknya seekor ibu kucing sanggup membunuh anak yang baru dilahirkan?

Kucing makan anak

Sekiranya pernah bertanya soalan ini kepada pemilik dan pencinta kucing, anda pasti pernah mendengar beberapa jawapan popular bagi menjawab peristiwa yang dianggap pelik ini.

Kali ini, kami ingin berkongsi 5 teori sebab mengapa seekor ibu kucing sanggup membunuh anaknya sendiri.

Sengaja kami gelarkannya "teori" memandangkan kebanyakannya adalah andaian pemilik kucing itu sendiri berdasarkan beberapa alasan atau pemerhatian yang dilakukan.

1. Anak kucing sudah mati sejak dilahirkan

Seekor ibu kucing biasanya akan memilih tempat yang tersembunyi daripada orang ramai untuk melahirkan anaknya.

Kebiasaannya tempat sunyi seperti dalam kotak, belakang almari dan bawah katil menjadi tempat pilihan untuk melakukan proses kelahiran.

Disebabkan pemilik kucing sendiri kebanyakannya tidak melihat dengan mata sendiri proses kelahiran tersebut, terdapat kemungkinan sebenarnya anak kucing yang dilahirkan memang sudah tidak bernyawa lagi sebaik sahaja dilahirkan.

Dalam erti kata lain, anak kucing memang sudah mati ketika dilahirkan dan bukannya dibunuh oleh ibu kucing itu.

2. Anak kucing mempunyai kecacatan

Seperti manusia, ibu kucing juga mempunyai naluri keibuan terhadap anaknya sendiri. Sesetengah pendapat mengatakan bahawa ibu kucing sebenarnya mempunyai naluri bahawa anaknya sakit atau mempunyai sebarang kecacatan yang menyebabkannya tidak mampu untuk meneruskan kehidupan.

Oleh itu, ibu kucing mengambil pendekatan untuk membunuh anak kerana tidak mahu anaknya terseksa dan beranggapan anaknya tidak mampu untuk bertahan lama.

Dengan membunuh anaknya itu, ia dapat menghalang anaknya yang lain turut dijangkiti penyakit yang sama.

3. Bau tangan manusia

Kita seringkali mendengar larangan daripada pemilik kucing agar tidak memegang anak kucing kerana dikhuatiri bau tangan manusia akan melekat pada anak kucing tersebut.

Sekiranya bau tangan manusia melekat pada anak kucing, ibu kucing mungkin tidak lagi mengenali anaknya lalu bertindak membunuhnya kerana menganggapnya sebagai makanan atau ancaman kepada anak-anaknya yang lain.

Teori ini mungkin benar memandangkan kucing sangat sensitif terhadap bau, termasuklah bau anak-anaknya untuk mengenali mereka.

Sekiranya anda sebagai pemilik terpaksa memegang anak kucing disebabkan perkara-perkara tertentu, disarankan menggunakan kain atau sarung tangan.

Selain itu, pemilik kucing juga dilarang sama sekali untuk menyentuh hidung anak kucing yang baru dilahirkan kerana menjadi salah satu punca ibu kucing membunuhnya.

4. Terpaksa bunuh untuk meneruskan kehidupan sendiri

Teori ini mungkin logik bagi kucing-kucing jalanan yang hidup mereka umpama kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.

Kesukaran mendapatkan makanan menyebabkan ada ibu kucing yang sanggup membunuh anak sendiri dan menjadikannya makanan bagi membolehkan ibu kucing itu terus hidup.

Di luar negara terutamanya ketika musim sejuk dimana kucing jalanan sukar mendapatkan makanan, mereka mungkin membunuh dan memakan anaknya sendiri kerana beranggapan anaknya itu tidak mampu hidup di kawasan yang terlampau sejuk dan ibu kucing itu sendiri terdesak untuk mendapatkan makanan untuk terus hidup.

5. Dibunuh bapa kucing kerana berasa terancam

Terdapat juga kemungkinan bahawa anak kucing tersebut bukan dibunuh oleh ibu kucing sebaliknya oleh kucing jantan yang lain atau bapa kucing itu sendiri.

Secara umumnya, kucing jantan dewasa memiliki pangkat tertinggi dalam hierarki kucing dan bersifat seperti Raja.

Terdapat pendapat kucing jantan dewasa akan membunuh anak-anak kucing kerana beranggapan mereka seperti sebuah ancaman yang akan menggganggu gugat kedudukan mereka sebagai raja.

Kucing jantan juga mungkin membunuh anak kucing untuk mengurangkan persaingan merebut kawasan dan pasangan untuk mengawan.

Walau apa pun sebabnya seekor ibu kucing membunuh anak mereka, itulah lumrah alam seekor kucing. Teori-teori di atas mungkin juga terguna pakai untuk haiwan-haiwan yang lain juga.

Sekiranya anda membela kucing pastikan kucing peliharaan anda mendapat perhatian secukupnya sekiranya mereka bunting dan bakal melahirkan anak.

Sekiranya anda tidak mampu memelihara kucing dalam jumlah yang ramai, pastikan anak-anak kucing tersebut diberikan kepada orang lain dan bukannya sewenang-wenangnya membuangnya di pasar, tempat pelupusan sampah dan sebagainya.

Jadilah pemilik kucing yang bertanggungjawab dan sekiranya tidak mahu kucing anda terus beranak, dinasihatkan untuk mengkembiri kucing tersebut agar tidak banyak lagi kucing-kucing domestik yang terpaksa menjadi kucing jalanan akibat sifat tidak 'berperikucingan' pemiliknya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon