Tuesday, May 21, 2019

Tahukah Anda Sejarah Permulaan Insurans?


Anda pernah disapa atau didatangi ejen insurans? Pasti anda merasa jengkel kerana cara sesetengahnya cuba melakukan jualan, sehinggakan pekerja-pekerja industri insurans membawa persepsi yang agak buruk di kalangan masyarakat.

Sejarah Ejen Insurans

Walau bagaimanapun, tidak dapat kita nafikan insurans (atau takaful) memberikan perlindungan yang sangat berfaedah tatkala kita benar-benar memerlukannya.

Bagaimanapun, stigma masyarakat terhadap perniagaan ini sangat sukar untuk diperbaiki kerana insurans merupakan satu bentuk perniagaan yang sangat bergantung kepada keterbukaan penerimaan seseorang.

Tahukah anda, insurans sebenarnya mempunyai sejarah yang sangat panjang, sudah pun bermula beribu tahun lamanya?

Insurans kerugian dalam bentuk awal

Secara asasnya, insurans merupakan satu bentuk pemindahan risiko daripada satu pihak kepada satu pihak lain.

Tindakan ini sebenarnya sudah dimulakan oleh pedagang-pedagang di China sejak tahun 3,000BC dengan peniaga-peniaga ketika itu akan membahagikan muatan kargo mereka kepada beberapa buah kapal, bagi meminimakan kerugian sesama mereka seandainya ada kapal gagal sampai ke destinasi.

Dalam era yang sama di Babylon, peniaga-peniaga di situ pula mengamalkan satu sistem yang digelarkan 'bottomry' di mana sebarang pinjaman yang sudah dikeluarkan kepada peniaga, akan dianggap langsai seandainya berlaku insiden semasa barangan peniaga itu hilang di lautan.

Kod Hamurrabi

Bermula sekitar tahun 1,750BC dengan pengenalan Kod Hamurrabi, undang-undang atau peraturan berkenaan pemindahan risiko dan kerugian ini mula dicatatkan secara rasmi.

Kod 100 hingga 107 dalam Kod Hamurrabi menerangkan secara ringkas berkenaan peraturan urus niaga, kontrak serta siapa yang patut menanggung kerugian, sekiranya urusan gagal diselesaikan ekoran bencana.

Berikutan pengenalan kod Hamurrabi ini, idea 'bottomry' mula berkembang ke seluruh masyarakat dunia ketika itu, seiring dengan peningkatan hubungan ekonomi di antara negara-negara yang ada.

'Bottomry' mula berkembang

Sekitar tahun 1,200BC, pedagang-pedagang Phoenician (kini Lebanon) mula memindahkan risiko perjalanan mereka kepada pihak penanggung risiko.

Penanggung risiko akan menanggung risiko seandainya kargo atau kapal milik pedagang hilang atau karam di lautan disebabkan bencana atau serangan lanun.

Pedagang pula perlu membayar sejumlah wang yang sudah dipersetujui sekiranya perjalanan kapal itu selamat sampai ke destinasi.

Sekiranya pedagang gagal membayar yuran yang telah ditetapkan, undang-undang Phoenicia membenarkan penanggung risiko merampas kapal milik pedagang.

Penggunaan laluan laut yang semakin kerap menyebabkan sistem yang diamalkan bermula di Greek dan diperkemaskan di Phoenicia ini semakin popular, mula berkembang di sekitar kepulauan Meditteranean dan Asia bermula tahun 400BC.

Undang-undang yang diperkenalkan diperkemaskan lagi oleh masyarakat Itali sekitar abad ke 14 di Genoa.

Individu-individu kaya yang memiliki tanah dan pengaruh mula bekerjasama berkongsi menjadi penanggung risiko, meletakkan hartanah mereka sebagai jaminan tanggungan kerugian.

Kontrak rasmi insurans yang dipercayai pertama di dunia dibuat menerusi sebuah perjanjian di Genoa pada tahun 1347.

Bagaimana pula dengan insurans nyawa?

Kisah insurans nyawa sedikit berbeza, namun sejarahnya tetap panjang dan bukti pertama wujudnya kerjasama anggota masyarakat dalam menanggung risiko kematian bermula sejak tahun 2500BC di Mesir.

Keluarga-keluarga pengukir batu yang kerjanya berisiko tinggi bersama-sama mengumpulkan wang dan harta bagi membolehkan mereka sama-sama menanggung kos pengebumian ahli keluarga yang terkorban.

Idea itu ditambah baik oleh masyarakat Greek dan Rom sekitar tahun 3BC dengan kewujudan kumpulan masyarakat yang bersama-sama menanggung beban belanja pengebumian.

Selain itu, wang yang dikumpulkan mereka juga akan disedekahkan kepada keluarga si mati sebagai satu bentuk bantuan hidup.

Polisi insurans nyawa pertama dunia dipercayai ditulis pada penghujung abad ke 16 di England.

Penubuhan kumpulan pekerja serta ahli masyarakat yang berkongsi dana menanggung kematian berlaku dengan pesat, namun kebanyakannya gagal bertahan lama disebabkan kelemahan pengurusan serta kerugian yang terlalu besar.

Kerugian ini sebenarnya berpunca daripada kegagalan mereka menganggar dengan lebih baik usia kematian seseorang.

Masalah sama turut sama dihadapi oleh beberapa syarikat terawal insurans yang rata-ratanya mengenakan bayaran sama kepada setiap orang, tanpa mengambil kira usia dan risiko.

Tahap risiko kematian seseorang mula diambil kira sekitar tahun 1693 dan sedikit sebanyak membantu menyelesaikan masalah ini.

Sekitar tahun 1762, Society for Equitable Assurances on Lives and Survivorships - sebuah syarikat pengendali insurans nyawa yang mengambil kira usia dan risiko seseorang berjaya ditubuhkan dan menjadi syarikat insurans moden pertama di dunia, menjadi batu asas kepada penubuhan banyak syarikat insurans lain di serata dunia.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon