Sunday, May 19, 2019

Sejarah Dusun Liwan Di Sabah


Suku Liwan, merupakan salah satu suku Dusun paling berpengaruh di Sabah, memiliki peranan penting dalam pembentukan sejarah lama di negeri itu, merupakan salah satu suku terbesar dalam rumpun Dusunic.

Sejarah Dusun Liwan
Tarian Sumazau.

Suku Liwan merupakan kelompok Dusun pedalaman yang berasal dari Ranau, sebelum tersebar ke Tambunan, Tamparuli, Keningau, Papar, Sook, Tenom dan sebagainya.

Dialek Dusun Liwan merupakan salah satu dialek yang berpengaruh dan tersebar secara meluas di Sabah, kerana lebih mudah difahami oleh suku-suku Dusun lain.

Menurut kisah, istilah Liwan belum wujud pada zaman Nunuk Ragang, walaupun kelompok "de facto" Liwan sudah ada di Nunuk Ragang.

Ketika populasi Nunuk Ragang bertambah ramai, maka nenek moyang kaum Liwan telah berhijrah mencari penempatan baharu.

Kelompok penghijrah ini telah melahirkan puak-puak Liwan yang nama mereka berasal dari nama-nama tumbuhan ketika dipakai untuk membuat tempat berteduh, rumah.

Puak-puak Liwan tersebut adalah seperti Kogosingan, Tuhawon, Polupuh, Gana, Pulutan, Tibabar, Tolinting dan sebagainya.

Di antara puak-puak asal Liwan ini, ada yang berhijrah sampai ke Sarayo Ranau (hulu) hingga bertembung dengan Dusun Bundu yang datang berhijrah dari Tamparuli.

Pertembungan ini menghasilkan istilah "Liwan," konotasi yang diberikan pada puak-puak yang berseberangan dengan suku Bundu.

Akhirnya, istilah Liwan ini kekal di antara kaum Dusun di Sarayo Ranau, maka puak-puak yang memiliki dialek sama dengan Dusun Sarayo juga mulai disebut Liwan.

Pada zaman pre-kolonialisme, puak-puak Liwan terkenal sebagai suku yang kuat.

Antara suku Liwan yang paling agresif adalah dari puak Kogosingan, yang pada zaman dahulu mendiami rumah panjang, gemar melakukan 'head hunting' dari Ranau sampai ke Paitan dan Kota Marudu, melawan kaum Tinagas, Lingkabau, Rungus, Kimaragang, Talantang dan sebagainya.

Suku-suku Lingkabau, Tinagas dan Rungus dikatakan pernah bersekutu untuk melawan puak Kogosingan dan salah seorang pahlawan Kogosingan yang terkenal pada zaman dahulu adalah Aki Lontogon.

Daerah Kota Marudu akan menjadi huru hara setiap kali Aki Lontogon muncul, kerana dia akan menyerang rumah-rumah panjang kaum lain sesuka hatinya tanpa satu orang pun dapat mengalahkannya.

Satu hal yang menarik lagi adalah mengenai asal usul istilah "Lotud" yang kononnya berasal dari sebutan orang Liwan terhadap orang-orang Bontoi Tamparuli yang kalah perang dengan orang-orang Liwan, sehingga mereka mulai disebut "Dusun Lotud."

Suku Lotud berperang sampai ke Kudat, Pitas, Kota Marudu, Kota Belud, Ranau dan Rundum, tapi di Ranau mereka mengalami kekalahan dalam satu pertempuran dengan kaum Liwan, sehingga memaksa mereka berundur ke Tamparuli.

Antara puak Lotud yang menyerang Ranau adalah puak Kohub, puak yang pakar membuat terowong bawah tanah.

Pada zaman British, kaum Liwan terus mewarnai perjalanan sejarah Sabah dan menjadi salah satu suku yang berperanan penting ketika menentang British.

Sekitar tahun 1897, Mat Salleh telah disokong kuat oleh suku kaum Liwan Ranau dan Tambunan dalam menentang British.

Kaum Liwan berperang bersama-sama Mat Salleh di Ranau, mempertahankan kubu mereka.

Orang kanan Mat Salleh yang terpenting iaitu Mat Sator, merupakan pahlawan dari kaum Dusun Liwan, Ranau.

Mat Sator kemudian menjadi pemimpin pasukan Mat Salleh di Ranau dan Tambunan.

Mat Sator inilah yang mendirikan Kubu di Kepayan Tambunan yang dipanggil "Kota Mat Sator."

Dalam perang Tambunan, pihak Liwan terbahagi kepada dua, iaitu Liwan yang berpihak pada Mat Salleh dan sebahgian lagi menentangnya.

Secara prinsipnya, kaum ini kaum yang damai, tetapi pantang ditindas dan sebab kaum Liwan Mukim Sunsuron, Tambunan menentang Mat Salleh adalah kerana mereka merasa dimanipulasi.

Suku Liwan yang memilih melawan Mat Salleh adalah kaum Liwan di kawasan Sunsuron sehingga Tontolob.

Mereka mendirikan Kubu di Sunsuron dan berperang secara gerila melawan Mat Salleh.

Menurut sejarah, ketika British datang menyerang, kaum Liwan yang menentang telah membantu pihak British, sementara yang lain membantu Mat Salleh.

Sewaktu kubu Mat Sator diserang dan ditakluk pada 21 Januari 1900, Mat Sator sempat melarikan diri.

Pada 28 April 1900, Mat Sator memimpin 400 pasukan Dusun, Iranun dan Bajau menyerang Kudat; turut ikut serta adalah Kamunta dan Mat Daud.

Beberapa pahlawan Liwan juga melakukan penentangan terhadap British, tapi kisah mereka tidak tertulis dalam buku sejarah; salah satu maklumat menyebut, Genda dan Gontodon yang dikatakan tinggal di utara Tambunan, melakukan penentangan terhadap British.

Demikianlah kisah singkat mengenai suku Liwan dalam peta sejarah North Borneo.

Pakaian Tradisi

Dalam hal pakaian tradisional, suku Dusun Liwan memilliki beberapa pakaian tradisional wanita seperti Sinombayaka, Gonob, Pinolongon dan Lapoi yang selalunya dihiasi dengan Sunduk/Kulu dengan aksesori seperti Tangkong/Sinsing, Betungkat/Limpogot, Giring-Giring, Babagas, Haboi dan Sinaggalloi dan sebagainya.

Lelaki suku Dusun Liwan pula memakai baju dari kulit pokok, cawat (santut), kogos dan sebagainya.

Dalam seni tari pula, terdapat beberapa tarian Dusun Liwan, tapi yang paling popular adalah tarian "Modtomu Sumirid".

Tarian ini adalah tarian untuk mengirim dan menyambut para pahlawan, juga ditarikan pada saat pertemuan untuk perdamaian (Modtomu).

DUSUN LIWAN KETURUNAN PEMBESAR KERAJAAN BRUNEI KUNO?

Versi 2

1. Penghijrahan Suku Kaum Dusun

Menurut legenda, sekitar 800 tahun dahulu, sebahagian suku kaum Dusun menetap di Brunei dan sebahagian menetap di Sabah. Mereka mendirikan kerajaan Boni kuno yang berpusat di Teluk Brunei, kerajaan ini juga digelar “poguni”, yang mungkin berasal dari akar kata “pogun”, ertinya “negeri” atau “daerah”.

Pada zaman ini, suku kaum Melayu belum wujud di Brunei. Melanau, satu bangsa Dayak di Sarawak yang ketika itu berada di bawah pengaruh Majapahit, telah mengumpulkan sekutunya lalu menyerang wilayah kerajaan Boni; serangan ini dipercayai atas bantuan Sambas dan Majapahit. Raja Tugau berjaya mengalahkan Maharaja Boni yang ketika itu menguasai sekitar 14 negeri, kerajaan ini disebut “Fo-Ni” (Brown 1978:45-56).

Beberapa penulis barat merujuk sumber dari catatan China mengatakan pada tahun 1345, kerajaan Boni diperintah oleh penguasa yang digelar Sri Maharaja (Groeneveldt 1880:39). Pada abad ini (1300an), Boni mengalami tekanan dari dua pihak, satu daripada Sulu yang dikatakan telah menyerang wilayah Brunei dan bahkan ibu kota Brunei.

Setelah Sulu diusir dan wilayah Boni aman selama beberapa waktu, muncul serangan baru yang lebih besar dari Kerajaan A-Lako dari Dayak Melanau yang ketika itu diperintah oleh Raja Tugau (juga dikenali sebagai Raja Makatunau dalam hikayat Visaya).

Raja Tugau berjaya menakluk Bintulu, Baram dan sampai ke Tutong Brunei. Cukup menarik, kerana di kalangan penduduk di Limbang dan Lawas Sarawak hari ini, masih ada legenda kaum Dusun yang telah bertukar etnik atau menyembunyikan identiti mereka, bagi mengelakkan dibunuh oleh musuh.

Maka, kaum Dusun di Baram dan Brunei telah melakukan penghijrahan, bergabung dengan kaum Dusun di Sabah. Mereka melakukan pelayaran dengan menyusuri laut, kemudian belayar ke arah Timur Sabah dan masuk ke pedalaman dengan melalui Sungai Labuk ke Sungai Liwogu (Shim [peta] 2007:18).

2. Datu Gorodong, pengasas sub suku Dusun Liwan, iaitu Liwan Pahu

Rombongan penghijrah ini terdiri dari 9 orang datu dan 1 orang pangeran, salah satu daripada 9 datu itu adalah Datu Gorodong.

Menurut legenda Dusun, Datu Gorodong merupakan salah satu daripada pemimpin kaum Dusun, puak yang dipimpinya kelak akan dipanggil “Dusun Liwan” yang telah membawa puaknya ke satu kawasan, yang terletak di selatan Ranau dan di utara Tambunan, di mana dia kemudian mengasaskan Kampung Pahu.

Dusun ini kelak akan dipanggil dengan nama “Dusun Liwan Pahu”. Keturunan puak ini kemudian tersebar di kawasan selatan Ranau dan utara Tambunan, mereka menjadi salah satu dari cabang puak Dusun Liwan.

Salah satu daripada puak Liwan, iaitu puak Tuhawon, merupakan sub-suku Liwan yang berhijrah ke wilayah selatan Tambunan dan tersebar ke kawasan Mukim Sunsuron, Mukim Nambayan dan sampailah ke Mukim Monsorulung.

3. Kelahiran pemimpin besar Liwan

Setelah beberapa ratus tahun berlalu, populasi suku Dusun Liwan dari sub Pahu mula berkembang. Banyak di kalangan mereka berkahwin campur dengan suku Dusun Bundu yang datang dari Tamparuli dan Ulu Tuaran.

Pada zaman ini, tidak ada sistem pemerintahan bercorak kerajaan di pedalaman, puak-puak Dusun dipimpin oleh pemimpin lokal dan mereka bertahan hidup dengan menjalankan hubungan antara sesama puak dan dengan suku Dusun yang lain, kerana pada zaman ini kegiatan head hunting menjadi budaya dan endemik di kalangan beberapa suku Dusun.

Pada sekitar tahun 1820an, berkahwinlah Gubau dan Konditim dari suku Liwan Pahu dan suku Bundu, Konditim melahirkan anak yang mereka namakan Bungkar; anak ini lahir pada tahun 1830.

Pada sekitar tahun 1844, di usia sekitar 14 tahun, anak muda Pahu ini telah pergi ke Kampung Sayap untuk mempelajari ilmu mempertahankan diri. Ia menamatkan pelajarannya pada usia 17 tahun, kemudian ia pulang ke Pahu.

4. Bungkar menjadi “Paramount Leader” untuk suku Dusun Liwan

Bungkar, mewarisi jiwa dan wibawa kempimpinan Datu Gorodong. Puak Pahu ketika itu mendiami kawasan yang agak kecil di wilayah utara Tambunan. Untuk menjamin survivaliti puak, mereka perlukan tanah dan jaminan keselamatan.

Untuk itu, Gubau dan Konditim, dua tokoh Pahu yang terkenal kerana pemikiran bijaksana mereka telah mengambil langkah bijak dengan menjodohkan anak mereka dengan anak ketua puak Liwan terbesar di tambunan, iaitu, Liwan dari sub Tuhawon.

Gubau dan Konditim bersama rombongan dari Pahu telah pergi ke Sunsuron dengan tujuan melamar anak ketua kampung.

Ketua kampung Sunsuron ketika itu menerima dengan berbesar hati, kerana ketika itu mereka menghadapi konflik dengan suku Tagahas dan memerlukan sekutu untuk menjaga keselamatan puak mereka. Bungkar akhirnya dinikahkan dengan anak ketua kampung Sunsuron yang cantik jelita bernama Enuoi.

Setelah Bungkar dan Enuoi berkahwin, Bungkar dan keluarganya sebanyak 7 orang telah berpindah ke Sunsuron dan mendirikan penempatan di tempat bernama “Borotutuan”, berdekatan kampung Sunsuron dan mengusahakan sawah padi.

Penempatan ini dikatakan dikubui dengan “rudang”, tembok yang diperbuat dari bambu dan kayu yang diruncingkan bagi menghadapi sebarang kemungkinan serangan musuh.

Setelah itu, ramai puak Pahu yang mengikuti jejak Bungkar, menetap di Sunsuron dan berkahwin campur dengan puak Tuhawon, sehingga suku Liwan Sunsuron menjadi bertambah ramai, sehingga menjadi perkampungan terbesar di Tambunan ketika itu.

Ketika konflik terjadi antara suku Liwan dan Tagahas, rumah Bungkar diserang oleh suku Tagahas, suku Dusun yang terkenal gagah perkasa dan pemberani.

Bungkar dan beberapa saudaranya melakukan serangan balas dan berjaya membunuh ramai musuh.

Kerana Bungkar terkenal hebat dalam ilmu pertempuran, maka suku Liwan Sunsuron mengangkatnya menjadi pemimpin mereka, ketika itu Bungkar baru berusia sekitar 22 tahun.

Bermula daripada Datu Gorodong, suku Liwan Pahu telah melahirkan seorang pemimpin besar yang bernama Bungkar.

Ketika peperangan semakin meluas ke seluruh daerah, puak-puak Liwan membentuk sekutu di bawah pimpinan Bungkar Gubau, puak-puak Tagahas pula membentuk pakatan di bawah pimpinan Sambatang.

Perang head hunting antara kedua suku berterusan selama bertahun-tahun; dan hanya berhenti ketika Bungkar Gubau berjaya membunuh Sambatang.

Terdapat dua versi kisah kematian Sambatang, satu kisah mengatakan dia dibunuh ketika Bungkar dan pasukannya mengepung kubu Sambatang di Kampung Tibabar, Sambatang terbunuh ketika mempertahankan kubu mereka di Tibabar.

Satu kisah lagi menceritakan, Sambatang terbunuh ketika Bungkar dan pasukannya menyerang Sambatang di rumahnya di Minodung.

Serangan ke atas Minodung ini bertujuan untuk membalas dendam atas kematian kakak Bungkar yang dipotong kepalanya oleh Sambatang.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon