Wednesday, May 15, 2019

Jackie Chan Sebenarnya Buta Huruf!


Semua orang kenal legenda seni bela diri dan pelakon hebat dan tangkas, Jackie Chan, yang walaupun bertubuh kecil, ia bukanlah penghalang kepadanya untuk berjaya dalam industri lakonan sehingga menembusi dunia filem Hollywood.

Legenda Jackie Chan
Jackie Chan.

Beliau yang tidak tahu membaca mahupun menulis, adalah contoh kepada masyarakat bahawa usaha dan kegigihan mampu membuahkan kejayaan.

Jackie Chan dilahirkan pada 7 April 1954 di Hong Kong kepada bapanya Charles dan ibunya Lee-lee Chan.

Ketika dilahirkan, bapanya yang tidak mampu membayar kos pembedahan terpaksa meminjam daripada rakan dan menolak tawaran doktor untuk mengambil Jackie Chan sebagai bayaran.

Bapanya merupakan seorang tukang masak di kedutaan Perancis di Hong Kong manakala ibunya seorang pembantu rumah.

Semasa zaman kanak-kanaknya, kehidupan Jackie Chan dihimpit kemiskinan yang sangat teruk. Bapa Jackie Chan akan mengejutkannya pada awal pagi dan mereka akan berlatih kung fu bersama-sama.

Charles percaya dengan belajar kung fu, ia akan membantu Jackie Chan dalam membina karekter, mengajar erti kesabaran, kekuatan dan keberanian.

Ketika di sekolah rendah, Jackie Chan bersekolah di Nah-Hwa Primary School yang mana dia gagal pada tahun pertama lalu diberhentikan sekolah oleh bapanya.

Wang yang diberikan untuk berulang alik ke sekolah sebaliknya digunakan untuk membeli makanan dan berjalan kaki pergi dan pulang dari sekolah serta kerap bergaduh dengan kanak-kanak kulit putih dalam perjalanan.

Ketika kanak-kanak lain lulus dan melangkah ke darjah 3, Jackie Chan yang gagal masih di darjah 1.

Melihat keadaan itu, bapanya menghantar Jackie Chan yang berusia 7 tahun ketika itu ke Akademi Drama China, sebuah Sekolah Opera Peking.

Ketika berjalan bersama ayahnya di sekolah itu, Jackie Chan terlihat kanak-kanak beraksi dan bermain pedang serta kayu.

Jackie Chan menceritakan ketika itu dia berasa sangat teruja dan bersemangat, serta tidak mahu ke sekolah akademik lagi.

Di sekolah tersebut, Jackie Chan mempelajari seni bela diri, akrobatik, menyanyi dan juga berlakon.

Pelajar sekolah ini diajar disiplin yang sangat tegas di mana mereka akan dipukul jika melanggar arahan atau membuat kesilapan.

Walaupun agak keras baginya, namun Jackie Chan tiada tempat untuk pergi kerana ketika itu ibu bapanya telah berpindah ke Australia dan dia dijaga oleh seorang Master.

Jackie Chan menamatkan pelajaran di akademi ini pada usia 17 tahun, namun ketika itu Opera China sudah tidak lagi popular membuatkannya serta rakan-rakan terpaksa mencari kerja dalam bidang lain.

Namun, ia sangat sukar kerana mereka tidak diajar membaca dan menulis ketika di akademi itu dan satu-satunya kerja yang boleh dilakukannya adalah kerja buruh atau aksi.

Ketika itu juga banyak filem di Hong Kong dihasilkan dan mereka memerlukan stuntman yang muda dan kuat.

Jackie Chan seorang yang sangat lincah dan sanggup mencuba apa saja untuk mendapatkan kerja.

Karier sebagai seorang stuntmat Jackie Chan bermula dengan filem Bruce Lee iaitu Fist of Fury pada dan Enter the Dragon pada tahun 1972 dan 1973, namun ia tidaklah semudah itu.

Kegagalan demi kegagalan dilalui Jackie Chan dan disebabkan kesukaran mencari kerja stuntman, dia berhijrah ke Australia dan tinggal bersama ibu bapanya di sana pada tahun 1976.

Jackie Chan kemudiannya menyambung pelajaran dan bekerja dalam bidang pembinaan.

Kerja dalam bidang pembinaan amat sukar dan membosankan bagi Jackie Chan, membuatkannya tidak gembira tinggal di Australia.

Namun, nasib menyebelahi Jackie Chan apabila penyelamatnya iaitu Willie Chan muncul dalam hidupnya.

Willie Chan yang bekerja dalam industri perfileman Hong Kong sedang mencari seorang bintang untuk filem terbaru Lo Wei (pelakon dan direktor yang popular di Hong Kong).

Willie yang pernah melihat bakat dan aksi Jackie sebagai stuntman berasa kagum, dan telah bertemu dengannya. Ketika ini Jackie Chan belum mengetahui bahawa Willie akan menjadi rakan baik serta pengurusnya.

Jackie Chan kemudiannya pulang ke Hong Kong untuk membintangi filem "New Fist of Fury" ketika berusia 21 tahun.

Namun, filem ini tidak begitu berjaya kerana bakat yang ada pada Jackie Chan tidak digunakan dengan betul.

Kejayaan mula menampakkan bayangnya hanya apabila Jackie Chan menyumbangkan ideanya yang menggabungkan unsur lawak ke dalam filem seni bela diri.

Tidak lama selepas itu, Jackie Chan mula menjadi bintang terkenal, dengan kejayaan dalam filem "Snake in Eagle's Shadow", diikuti dengan filem blockbuster iaitu "Drunken Master".

Filem pertama yang diarahkan oleh Jackie Chan juga mendapat sambutan hangat iaitu "Fearless Hyena".

Jackie Chan tidak berhenti disitu apabila dia mula bereksperimentasi dengan watak komiknya.

Perubahan ini memberikan perspektif baru kepada genre ini yang mana kemahiran yang dipelajari di sekolah opera telah digunakan sepenuhnya oleh Jackie Chan.

Selepas kematian Bruce Lee, pencarian pelakon baru yang boleh menginspirasikan penonton seperti mana dilakukan Bruce Lee, lalu setiap ahli seni bela diri muda diberikan peluang.

Jackie Chan yang tidak mahu meniru gaya dan hidup dalam bayang-bayang Bruce Lee telah menghasilkan gaya tersendiri dalam lakonannya.

Dalam menyempurnakan gayanya yang tersendiri, pelbagai kecederaan yang dialaminya termasuklah patah hidung sebanyak 3 kali, buku lali, hampir kesemua jari, tulang pipi serta tengkorak kepalanya.

Kini, Jackie Chan adalah antara legenda seni bela diri terbaik di dunia setaraf dengan Bruce Lee.

Jackie Chan bukan sahaja sangat popular di Asia malah juga di Hollywood dan banyak filem-filem beliau mendapat sambutan hangat di Hollywood termasuklah Rush Hour dan Shanghai Noon.

Walaupun menerima pendidikan yang sangat minima, Jackie Chan telah dianugerahkan gelaran doktor kehormat sains sosial oleh Hong Kong Baptist University dan rakan kehormat oleh Hong Kong Academy of Performing Arts.

Tidak mampu membaca dan menulis, Jackie Chan masih mampu mencapai kejayaan sebegitu besar disebabkan ketekunan dan kegigihannya dalam bidang yang diceburi.

Usaha inovatifnya menambah elemen komik dalam filem seni bela diri terbukti berkesan dan memberikan impak besar kepada dunia perfileman sehingga ke hari ini.

Pada tahun 2015, majalah Forbes menganggarkan kekayaan Jackie Chan sebanyak RM1.5 bilion.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon