Sunday, March 10, 2019

Sambutan Hari Penolong Pegawai Perubatan


Sambutan Hari Penolong Pegawai Perubatan Malaysia yang disambut pada 10 Mac setiap tahun sejak 2011 lalu dan sebelumnya adalah sambutan Hari Pembantu Perubatan telah termaktub didalam kalendar tahunan Kementerian Kesihatan Malaysia.

Hari Penolong Pegawai Perubatan

Penolong Pegawai Perubatan adalah antara profesion terawal wujud di Malaysia dan ia kini menjangkau lebih daripada 230 tahun.

Terdapat profesion yang hampir sama dengan Penolong Pegawai Perubatan di luar negara seperti Physician Assistant di Amerika Syarikat, Barefoot Doctor di Australia, Kanada, Rusia, China serta di beberapa negara membangun seperti Filipina dan sebagainya.

Kini seramai hampir 17,000 Penolong Pegawai Perubatan sedang menaburkan jasa dalam pelbagai bidang dan kepakaran kepada rakyat di seluruh negara.

Sambutan ini diadakan bagi menghargai kesungguhan Penolong Pegawai Perubatan untuk meningkatkan profesionalisma dan berkhidmat dengan penuh dedikasi bagi memastikan kesejahteraan masyarakat.

Sebagai salah satu profesion di barisan hadapan dalam perkhidmatan kesihatan negara ini, peranan Penolong Pegawai Perubatan adalah sangat penting bagi memastikan kesihatan rakyat terjaga dan mereka mendapat perkhidmatan terbaik.

Peranan dan tanggungjawab Penolong Pegawai Perubatan dalam penjagaan kesihatan sebelum ini hanya sebagai pembantu sahaja.

Kini, peranan Penolong Pegawai Perubatan menjadi lebih penting dan meluas, di mana ianya dikembangkan sebagai rakan kongsi kepada Pegawai Perubatan, bekerjasama sebagai sebuah pasukan bersama dengan profesion perubatan yang lain dalam menjalankan prosedur dan rawatan kepada pesakit.

Lembaga Pembantu Perubatan telah membangunkan Pelan Pembangunan Profesion Penolong Pegawai Perubatan 2016-2030 atau dikenali sebagai 6P yang mana ianya telah dijadikan blue print.

Pelan 6P yang komprehensif ini meliputi segala aspek dalam membangunkan profesion Penolong Pegawai Perubatan untuk memantapkan peranan Penolong Pegawai Perubatan sebagai anggota kesihatan yang dinamik, pembangunan pendidikan, kemajuan kerjaya, sumber manusia dan kolaborasi antarabangsa.

Bagi mencapai matlamat dan objektif Kementerian Kesihatan Malaysia, Penolong Pegawai Perubatan perlu menerapkan ciri-ciri kepimpinan cemerlang untuk menjayakan dan meningkatkan lagi motivasi sesebuah pasukan.

Pelan 6P dijangka akan dapat menyuntik anjakan paradigma bagi profesion yang penting ini dan mencerminkan peranan sebenar Penolong Pegawai Perubatan sejajar dengan pelan transformasi kesihatan nasional ke arah negara yang sihat sejahtera.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: kpkesihatan

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon