Tuesday, March 05, 2019

Khasiat Kismis Dan Manfaatnya Untuk Kesihatan Yang Ramai Tidak Tahu


Kismis (Raisin) adalah anggur yang dikeringkan dan kaya dengan sumber tenaga, vitamin, elektrolit serta mineral semula jadi dan lebih menarik, ia mempunyai jumlah serat, vitamin, mineral dan antioksidan yang jauh lebih tinggi berbanding anggur segar.

Khasiat Kismis

Walaupun kering, kismis mengekalkan rasa manis semula jadi dan bagi setiap 100 gram kismis hanya mempunyai 249 kalori, sesuai untuk mereka yang menjaga pemakanan dan mengawal berat badan.

Sama seperti anggur, kismis mengandungi sejenis bahan fitokimia dipanggil resveratrol iaitu sejenis antioksidan yang memiliki sifat antiradang dan antikanser selain mampu menurunkan kandungan kolesterol dalam darah.

Kajian mendapati resveratrol mampu melindungi tubuh daripada kanser kulit, kolon dan prostat selain membantu menjaga kesihatan jantung, melindungi dari masalah kemerosotan fungsi saraf, strok, Alzheimer dan jangkitan kulat atau virus.

Kismis yang dihasilkan daripada anggur berwarna merah dan ungu memiliki kandungan antioksidan lebih tinggi. Pada masa sama, kandungan seratnya yang tinggi membantu memenuhi keperluan serat dalam diet setiap hari seterusnya boleh membantu menurunkan berat badan dan melindungi daripada masalah sembelit.

Setiap hari kira-kira 20 hingga 35 gram serat diperlukan untuk memastikan tubuh berfungsi pada tahap optimum dan ia boleh diperoleh melalui kismis.

Serat sangat penting dalam memastikan kandungan gula dalam darah stabil dan kismis adalah sejenis makanan yang tinggi dengan serat.

Kismis juga baik untuk kesihatan jantung dan jika kita lihat pada fakta kesihatan di seluruh dunia, penyakit jantung antara penyebab utama kematian.

Kandungan antioksidan yang tinggi dalam kismis boleh membantu diri lebih awet muda dan menjaga penglihatan, menjaga kesihatan perut, saluran kencing dan melawan masalah gusi serta gigi.

KANDUNGAN DAN KEGUNAAN KISMIS
  • Bebas daripada toksin gluten dan boleh dimakan sebagai alternatif bagi mereka yang tidak boleh bertoleransi terhadap gluten.
  • Kaya dengan kalsium, zat besi, mangan, magnesium, fluoride dan zink.
  • Mengandungi elektrolit dan potasium yang mampu menurunkan kesan sodium, menurunkan tekanan darah dan mengelak strok serta masalah jantung.
  • Memiliki vitamin B kompleks.
  • Boleh dinikmati sebagai snek tanpa merosakkan kesihatan.
  • Boleh dimakan bersama apa saja hidangan termasuk salad, pencuci mulut dan dicampurkan dalam masakan.
  • Menjadi pengganti gula dalam penyediaan bakeri dan coklat.
  • Tiada lemak, sodium dan kolesterol.
  • Mengandungi fruktos iaitu gula semula jadi yang mudah dihadam untuk memberi tenaga yang cepat.
  • Kaya dengan serat dan menjadi sumber tenaga berpanjangan.

MENYINGKIRKAN TOKSIN

Mengandungi serat yang baik, kismis juga membantu menyingkirkan lebihan air dalam perut seterusnya mengurangkan kembung dan angin perut.

Dengan kandungan potassium dan magnesium yang tinggi, kismis juga membantu menyingkirkan toksin dalam badan dan mencegah penyakit seperti gout, batu karang dan jantung.

KULIT CANTIK DENGAN KISMIS

Untuk mereka yang mementingkan kesihatan kulit, kismis adalah salah satu caranya. Tidak seperti krim pelembap biasa, kismis memelihara kulit dari dalam dengan melindungi sel kulit dari sebarang kerosakan.

Penuh dengan antioksida, ianya juga melindungi kolagen dan keanjalan kulit seterusnya melambatkan penuaan, kedutan dan menghapuskan bekas jerawat.

Kismis hitam pula bertindak meningkatkan fungsi hati untuk mendetofikasikan badan dengan menyingkirkan toksin untuk kulit yang bersih dan berseri.

KAITAN ANTARA KISMIS DAN ANAK YANG BIJAK

Jika anda tertanya-tanya sama ada betul ke kismis mampu membuatkan anak anda membesar dengan bijak, kami telah menemui jawapannya dan nampaknya, memang kismis mampu membuatkan anak anda membesar menjadi seorang yang lebih bijak!

Menurut laporan The Telegraph, kismis bukan saja bagus untuk dimakan oleh anak anda, malah ia juga boleh dijadikan sebagai satu makanan untuk melihat sama ada anak anda akan jadi bijak atau tidak bila mereka mencapai usia 8 tahun!

Bagaimana caranya?

Caranya adalah dengan meletakkan kismis di dalam mangkuk dan memberitahu anak anda untuk tidak memakannya dalam tempoh tertentu.

Apa kaitan permainan kismis ini kebijaksanaan anak anda?

Menurut pakar, ramai kanak-kanak menggemari kismis kerana kemanisan yang dirasainya. Oleh itu, mereka tidak mampu untuk menahan diri daripada memakan kismis ini.

Permainan kismis dan kebolehan menahan diri

Profesor Dieter Wolke dari University of Warwick adalah pakar yang mengetuai kajian berhubung permainan kismis dan kebijaksaan anak ini.

Menurut Wolke, kanak-kanak (berusia 2 tahun ke atas) yang dapat menahan diri daripada memakan kismis tersebut akan mempunyai tahap tumpuan dan kecemerlangan dalam akademik yang lebih tinggi apabila berusia 8 tahun.

Yang pasti, kanak-kanak bukan perlu menahan diri selama berjam-jam pun. Cukuplah sekadar 1 minit dan ia amat membantu dalam kecemerlangan akademik mereka.

Malah, kanak-kanak yang gemar makan kismis dan berjaya menahan diri daripada memakannya apabila disuruh, akan mempunyai IQ 7 kali lebih tinggi daripada kanak-kanak yang tak berjaya menahan dirinya!

Kajian tentang tumpuan kanak-kanak

Kajian tentang kelebihan kismis untuk menjadikan kanak-kanak lebih bijak ini tidak terhenti di situ saja. Pada tahun 1985, kajian Bavarian Longitudinal Study yang dilakukan di Jerman telah mengaitkan permainan kismis ini dengan tumpuan kanak-kanak yang lahir secara pramatang.

Hampir 558 kanak-kanak diminta untuk menahan diri daripada mengambil kismis yang telah diletakkan dalam mangkuk.

Kanak-kanak yang lahir pramatang akan cenderung mengambil kismis dalam mangkuk “lebih awal” daripada jangkaan. Mereka tidak dapat mengawal diri mereka, malah tidak dapat memberi tumpuan pada arahan yang diberi.

Kajian seterusnya mendapati kanak-kanak ini juga tidak terlalu cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

Apa yang boleh kita belajar daripada kajian ini?

Nampaknya, kanak-kanak sendiri amat menggemari kismis yang bagus untuk minda ini.

Dan permainan kismis yang boleh ibu bapa buat di rumah itu adalah salah satu permainan bagus yang boleh mengasah kemahiran kognitif dan tumpuan kanak-kanak.

KHASIAT LAIN KISMIS

1. Meningkatkan Daya Pemikiran Otak

Gula ringkas dalam kismis telah dikenalpasti dapat meningkatkan daya pemikiran otak. Ini kerana otak memerlukan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak untuk berfungsi dengan baik dan kismis dapat menyediakan keperluan gula ringkas dalam kuantiti yang banyak dan cepat.

Dalam Islam, kismis sudah lama disaran untuk pemakanan kanak-kanak kerana ia adalah makanan tambahan yang mampu merangsang minda dalam melahirkan generasi genius.

2. Kaya Antioksida

Kajian mendapati fenol yang terdapat dalam kismis adalah antara sumber yang membolehkan ia dikategorikan sebagai antioksida. Antioksida melindungi tubuh daripada radikal bebas selain menjaga kesihatan kulit supaya cantik berseri.

3. Gigi Sihat Dan Kuat

Selalunya bahan manis akan menyebabkan gigi rosak,tetapi tidak pada kismis. Ia langsung tidak menyebabkan berlakunya kaviti dan penyakit gusi, bahkan akan menyebabkan gigi menjadi sihat dan kuat kerana mengandungi ia mengandungi asid oleanolik. Asid ini sangat efektif dalam membunuh bakteria.

Penelitian Christine D.Wu dari Universiti Illinois, Chicago, Amerika Syarikat mendapati kismis mengandungi antioksidan yang dapat melawan bakteria penyebab kerosakan gigi dan gusi.

4. Mengurangkan Sembelit

Serat yang tinggi dalam kismis adalah sangat bermanfaat untuk pencernaan berjalan dengan lancar. Satu cawan kismis mengandungi kira-kira 10g serat yang boleh membantu anda mengeluarkan bahan-bahan toksik yang berbahaya dengan membersihkan usus dan melawaskan pembuangan air.

5. Mengurangkan Tekanan Darah Tinggi

Kajian juga mendapati kismis yang kaya dengan potassium dan rendah dalam sodium membantu mengurangkan tekanan darah tinggi.

6. Menguatkan Tulang

Selain itu juga, kismis mengandungi fiber dan asid tartaric. Ia juga baik untuk kesihatan tulang dalam badan anda.

Punyalah banyak khasiat kismis ni, jadi mak ayah perlu mengubah persepsi bahawa kismis hanya bahan makanan yang dimakan sewaktu menjelang peperiksaan, atau dimasukkan ke dalam roti atau kek.Sebaliknya jadikan kismis ini sebagai makanan ringan, snek yang sihat untuk anak-anak.

Mak ayah boleh bekalkan kismis ketika ke sekolah atau boleh jadi lebih kreatif dengan mencampurkan ia dalam pelbagai hidangan lain bubur, sup, yogurt atau sayur-sayuran yang biasa dimakan oleh anak-anak.

Namun jika anak-anak, sangat tidak suka dengan rasa kismis yang manis ini, sekurang-kurangnya 'wajibkan' diambil secara sedikit, dalam bilangan nombor ganjil 3, 5 atau 7 biji setiap hari.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2 | 3

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon