Wednesday, January 02, 2019

15 Spesies Haiwan Paling Terancam Di Malaysia


Malaysia adalah sebuah negara yang cukup kaya dengan khazanah alam kerana terdapat pelbagai jenis spesies flora dan fauna yang sentiasa melata dalam habitat semula jadi mereka namun, apa yang menyedihkan adalah kerakusan manusia meneroka dan mengejar pembangunan telah mengakibatkan haiwan-haiwan ini berada dalam keadaan yang terancam.

Mungkin ramai tidak sedar bahawa haiwan-haiwan di Malaysia kini diancam masalah kepupusan yang serius. Data Bank Dunia menunjukkan 70 daripada 336 spesis mamalia terancam di Malaysia tercatat pada 2014 dan menjadikan ia ketujuh tertinggi di dunia dalam kategori ini.

Di Asia Tenggara, Malaysia menduduki tempat kedua selepas Indonesia apabila mempunyai 184 spesies mamalia terancam.

Di sini, kami senaraikan beberapa spesies haiwan yang semakin terancam di Malaysia.

1. Tenggiling

Haiwan Paling Terancam

Tenggiling (Malayan Pangolin) ialah salah satu daripada haiwan yang terdapat di Malaysia. Nama saintifiknya adalah Manis javanica.

Tenggiling adalah sebahagian daripada haiwan yang paling dilindungi di dunia, kerana terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab ingin mengambil mereka untuk sisik, daging dan kulit, yang dipercayai mempunyai manfaat perubatan.

2. Harimau Malaya

Haiwan Paling Terancam

Harimau Malaya (Panthera tigris malayensis/Panthera tigris jacksoni) atau dikenali sebagai Harimau Belang merujuk kepada sub-spesis harimau yang hanya wujud di Semenanjung Malaysia.

Kawasan yang paling utama adalah Taman Negara Endau-Rompin dan Taman Negara Belum Temenggor.

Pada tahun 2015, haiwan ini telah disenaraikan antara haiwan yang terancam. Dengan jumlah sebanyak 3,000 ekor pada tahun 1950, kini Harimau Belang hanya tinggal 300 ekor sahaja.

3. Black Shrew

Haiwan Paling Terancam

Black Shrew adalah mamalia yang kelihatan seperti tikus yang hanya terdapat di Kota Kinabalu, Sabah.

Serangga merupakan makanan asas haiwan ini dan mereka boleh bertidak secara agresif sesama mereka.

Akan tetapi, kerana haiwan ini hanya tertumpu kepada satu kawasan, tidak pasti sama ada haiwan ini benar-benar terancam atau sudah pun pupus.

4. Tenuk Malaysia (Tapir)

Haiwan Paling Terancam

Tenuk Malaysia (Tapirus indicus), merupakan tenuk terbesar di dunia dan hanya spesis tenuk inilah satu-satunya berasal dari Asia.

Tenuk Malaysia menetap di Asia Tenggara khususnya Malaysia, selatan dan bahagian tengah Sumatera (Indonesia), Myanmar (latitud selatan pada titik 18° U) dan Thailand (sepanjang sempadan barat hinggalah ke selatan sempadan Thailand-Malaysia.

Selain itu, tenuk turut kelihatan di kawasan selatan Kemboja dan Vietnam, namun masih tidak dapat disahkan. Tenuk Malaysia hanya tinggal di kawasan pergunungan terpencil dan habitat asalnya sudah pupus akibat diburu manusia dan pembangunan.

Bilangan tapir semakin merosot disebabkan oleh pelbagai faktor, antaranya ialah habitat asal dimusnahkan untuk tujuan pembangunan, sekali gus mengganggu proses pembiakan dan akhirnya menyumbang kepada kepupusan

Menurut rekod Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), anggaran minimum populasi tapir di seluruh Semenanjung Malaysia adalah di antara 1,100 hingga 1,500 ekor.

5. Orang Utan

Haiwan Paling Terancam

Orang Utan ialah dua spesis Hominidae yang tinggal di Asia Tenggara terutamanya di Pulau Sumatera dan Borneo.

Orang Utan adalah antara haiwan yang paling bijak di dunia, mereka dapat menggunakan pelbagai alat yang kompleks dan membina sarang dengan menggunakan kayu dan daun.

Mereka dapat memahami bahasa-bahasa manusia dan juga dapat menggunakan bahasa isyarat walaupun mereka tidak boleh bercakap.

Spesies Orang Utan dikategorikan sebagai “terancam” oleh IUCN oleh kerana kemusnahan habitat.

Terdapat beberapa organisasi yang ingin menyelamatkan haiwan ini seperti Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok.

5. Gajah Kerdil Borneo

Gajah Kerdil Borneo

Gajah Kerdil Borneo atau nama saintifiknya Elephas maximus borneensis atau juga dikenali sebagai Gajah Kalimantan di Indonesia, merupakan satu sub-spesies Gajah Asia yang tinggal di Pulau Borneo.

Penyelidikan oleh Universiti Colombia menunjukkan DNA gajah kerdil Borneo itu mempunyai persamaan genetik dengan kelompok asal tanah besar Asia dan Sumatera, dan oleh itu merupakan sub-spesies gajah Asia. Gajah ini boleh didapati di timur Sabah dan utara Kalimantan.

Terdapat empat kumpulan besar yang dikenal pasti iaitu:-
  • Hilir Kinabatangan 110 ekor.
  • Hulu Kinabatangan berhampiran sempadan Kalimantan 900 ekor.
  • Rizap Hidupan Liar Tabin 300 ekor.
  • Hulu Kaluntang 100 ekor.
  • Pedalaman Kabupaten Nunukan 400 ekor.

Gajah pigmi Borneo yang berusia enam bulan mempunyai ketinggian 1.5 meter, sementara gajah dewasa yang berusia lima tahun berukuran 2.4 meter.

Mempunyai berat kurang dari 2 tan dan jangka hayat selama 70 tahun, ia hidup secara berkumpulan dan selalunya terdapat berhampiran sungai Kinabatangan, kerana ia sensitif kepada cuaca panas.

Sehingga kini, terdapat pihak yang tidak bertanggungjawab ingin mengambil gading mereka dan permintaan yang tinggi terhadap minyak sawit menyebabkan habitat mereka terancam.

6. Badak Sumbu Sumatera

Badak Sumbu Sumatera

Badak Sumbu Sumatera adalah spesies badak yang terkecil saiznya di dunia serta merupakan salah satu haiwan terlindung.

Ia terdapat dari kaki gunung Himalaya sehingga ke Myanmar, Thailand, Indonesia dan Malaysia. Nama saintifiknya adalah Dicerorhinus sumatrenesis.

(Kemaskini)

Iman Badak Sumbu Terakhir
Iman.

Selepas menderita penyakit kronik sejak lima tahun, badak sumbu Sumatera terakhir, Iman, dilaporkan mati pada jam 5.35 petang, pada 23 November 2019 yang lalu.

Badak betina itu merupakan satu-satunya spesis badak sumbu Sumatera yang masih hidup di Malaysia selepas pasangannya yang dikenali sebagai Tam, mati pada 27 Mei 2019, akibat uzur dan kegagalan organ dalaman.

7. Kera Bekantan

Kera Bekantan

Bekantan, monyet belanda atau bayau (Nasalis larvatus) merupakan sejenis monyet yang mendiami pokok dan endemik di pulau Borneo.

Oleh kerana bilangannya turun sebanyak 80% dalam tiga dekad yang lalu dan sekarang dianggarkan hanya sebanyak 7,000 ekor, ia telah disenaraikan sebagai haiwan yang terancam sejak tahun 2000.

9. Kancil

Haiwan Paling Terancam

Kancil merupakan haiwan bijak yang selalu muncul dalam kisah-kisah penglipur lara rakyat Malaysia.

Dengan saiznya yang sangat kecil, haiwan ini hanya memakan buah dan juga daun-daun dan boleh ditemui di Malaysia (Borneo) dan Indonesia.

10. Kambing Gurun

Kambing Gurun

Kambing gurun yang hidup dan berkeliaran di kawasan bukit berbatu selain dijadikan makanan, turut diburu untuk menghasilkan minyak yang kononnya untuk tujuan perubatan padahal ia hanya suatu mitos yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

11. Seladang

Haiwan Paling Terancam

Sekitar 10 atau 20 tahun lalu, pelancong yang berkunjung ke Malaysia, mudah bertemu seladang kerana haiwan bovin besar dan berkulit gelap seakan-akan berminyak ini hidup liar di habitatnya dalam hutan hujan tropika Asia Selatan dan Asia Tenggara.

Kini, seladang semakin pupus, gara-gara pemburuan tidak terkawal, hanya sebilangan kecil ditempatkan di hutan simpan atau zoo untuk tatapan umum, sekali gus dianggap antara haiwan warisan negara.

12. Ungka Tangan Putih

Ungka Tangan Putih

Ungka Tangan Putih terancam kerana diburu untuk dagingnya dan ada juga ungka dewasa dibunuh untuk menangkap anak-anaknya bagi dijadikan binatang kesayangan.

Walau bagaimanapun, kehilangan habitat merupakan bahaya yang terbesar. Dengan pantasnya, hutan-hutan Asia Tenggara telah dibasmi untuk dijadikan ladang dan penempatan manusia.

Walaupun terdapat taman-taman negara dan kawasan-kawasan perlindungan, tempat-tempat itu sering tidak diawasi dengan baik dan undang-undang perlindungan yang tersedia jarang dikuatkuasakan.

13. Burung Botak Upeh

Burung Botak Upeh

Mungkin segelintir pencinta burung telah menyedari bahawa burung botak upeh yang dianggap unik ini sebenarnya sedang diancam kepupusan.

Burung ini sering ditemui di Kuala Gula, Daerah Kerian Perak dan menjadikan kawasan tersebut sebagai habitatnya dan dengan ancaman yang dihadapi, ia bagaikan satu mimpi mengerikan bagi spesies tersebut.

Sejak tahun 1980an lagi, burung tersebut telah dipantau perkembangannya namun, tinjauan yang dilakukan mendapati bilangannya semakin menurun.

14. Penyu

Penyu di Malaysia

Selain hidupan di darat, hidupan di laut juga antara spesies reptilia yang dipercayai turut terancam akibat perbuatan rakus manusia.

Pelbagai ancaman yang boleh menimpa seekor penyu. Selain terkena kipas bot, tersangkut pada pukat nelayan, termakan plastik juga antara punca utama haiwan itu tidak hidup lama.

Selain itu, aktiviti penjualan telur penyu secara haram juga turut menjadi kebimbangan kepada spesies reptilia itu.

Ia kerana aktiviti haram itu masih lagi berleluasa di sesetengah tempat yang menjadi tumpuan haiwan itu menetaskan telur.

15. Dugong

Dugong diancam kepupusan

Sejak penemuannya pada lewat 1960-an, dugong merupakan haiwan yang semakin terancam saban tahun. Mamalia yang jarang ditemui ini, dilaporkan hanya tinggal 100 ekor sahaja di Malaysia pada 2016 di seluruh negara.

Hakikatnya, bilangan populasi mamalia akuatik itu amat sedikit dengan kebanyakannya didapati di perairan negeri Johor, Sarawak dan Sabah.

Dianggarkan hanya tinggal 40 hingga 50 ekor di Johor, manakala 20 hingga 30 ekor di Sabah dan Sarawak.

Kesimpulan

Berikut antara senarai haiwan-haiwan lain yang terancam di Malaysia:
  • Gajah
  • Tapir
  • Tenggiling
  • Banteng
  • Kambing Gurun
  • Burung Botak Upeh
  • Burung Botak kecil
  • Rusa Sambar
  • Beruang Matahari
  • Kubung
  • Beruk Kentoi
  • Ungka
  • Siamang
  • Kongkang
  • Serigala
  • Kucing Tulap
  • Harimau dahan
  • Harimau bintang
  • Kucing dahan
  • Memerang
  • Burung Merak Hijau
  • Burung Merak Pongsu
  • Burung Kuang Gunung

Kita berharap semua pihak terutama kerajaan dan masyarakat dapat meningkatkan kerjasama bagi mengurangkan risiko berlakunya masalah kepupusan hidupan liar di Malaysia supaya ia dapat dinikmati oleh generasi akan datang.

Apa guna Malaysia mempunyai undang-undang termasuk Akta Perlindungan Hidupan Liar 2010; Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 dan Akta Taman Negara 1980 jika ia tidak dapat melindungi flora dan fauna kita daripada pupus.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon