Thursday, January 24, 2019

Raja Yang Hilang Takhta Kerana Cinta


Setakat ini sudah banyak diperkatakan tentang abdikasi atau tindakan turun takhta oleh Sultan Muhammad V dari jawatan Yang di-Pertuan (YDP) Agong namun, perlembagaan negara dan adat istiadat diraja memastikan segalanya akan kembali seperti biasa dan YDP Agong baharu akan menaiki takhta.

Sultan Muhammad V

Untuk ruangan ini saya cuba secara sepintas lalu menceritakan sedikit perihal raja-raja di sana sini dalam menghadapi cabaran ketakhtaan dan hal-hal hati nurani.

Jika Queen Beatrix di negara Belanda turun takhta secara sukarela pada tahun 2013 dan meletakkan puteranya di takhta sebagai pengganti, Raja Nepal pula hancur takhtanya apabila Putera Mahkota baginda, akibat terlalu marah dihalang dari mengahwini wanita yang dikasihinya, menembak baginda dan ahli-ahli keluarga terdekat. Ranaplah takhta diraja di situ.

Kini, Nepal menjadi sebuah Republik. Itu akibat satu dentuman hati nurani diraja.

Sebaliknya pada tahun 1936 di England, King Edward Vlll pada usia 42 senang-senang turun takhta kerana ditegah mengahwini wanita yang baginda cintai.

Berlainan dengan Putera Mahkota Nepal itu, yang berhasrat berkahwin dengan seorang gadis, King Edward Vlll memilih bakal permaisuri untuk Empayar British seorang janda dua kali.

Dalam usia bujangnya yang lanjut itu terselit kisah seorang kasanova dan romeo yang sentiasa mendampingi wanita-wanita cantik.

Namun, pilihan baginda itu mencerminkan bagaimana kerenah hati manusia ini tidak dapat diduga malah segalanya mungkin.

'Takhta kutendang demi jantung hati yang tersayang’. Itulah agaknya yang memaut sanubari baginda.

Bagaimanapun, takhta Inggeris terus tegap, sudah diduduki 70 orang raja sejak tahun 802, lebih 1,200 tahun dulu.

Raja terakhir Mesir yang bernama King Farouk selepas diturunkan dari takhta pada awal 1950-an berkata secara gurauan, "Saya percaya satu hari nanti king yang tinggal ialah king daun pakau: King Spade, King Diamond, King Clover, King Heart dan King of England."

Rujukan kepada King of England itu menunjukkan begitu mendalamnya hati orang Inggeris terhadap king atau queen mereka, seolah-olah tidak mungkin tergugat oleh apa saja.

Gara-gara hati nurani bererti perasaan yang mencakup antara kasih sayang dengan marah meradang.

Untuk ini tidak ada contoh yang lebih baik daripada King Henry Vlll di England, yang beristeri enam orang, bertakhta selama 38 tahun dari 1509 hingga 1547.

Apabila Mazhab Roman Khatolik melarang baginda menceraikan isteri pertama untuk berkahwin sekali lagi, baginda mengarahkan penubuhan Mazhab Anglican di bawah baginda. Bebaslah baginda daripada cengkaman Khatolik.

Anehnya dua daripada enam permaisurinya itu berakhir dengan kepala masing-masing dipenggal, termasuk Anne Boleyn, ibu Queen Elizabeth l.

Ada sebab-musababnya yang diada-adakan. Berdasarkan tahun-tahun yang king itu bertakhta, nescaya Sultan Mansor bertakhta pada masa yang sama di Melaka sebelum ditewaskan oleh Albuquerque dari Portugal pada tahun 1511.

King Emanuel di Portugal melaporkan kepada Pope di Rom bahawa Melaka mempunyai 30 ribu buah rumah yang diduduki oleh orang Islam (dipanggil Moors, kependekan daripada Moslem).

Jika lima orang dalam sebuah rumah, maka penduduk Melaka berjumlah 150,000 orang, lebih ramai daripada penduduk London pada waktu itu.

Emanuel bagai terlupa Melaka juga mempunyai raja. Beliau lebih memberi tekanan kepada hakikat bahawa sebuah kota besar Islam telah jatuh ke tangan Kristian Khatolik.

Albuquergue mengulas bahawa tidak terdapat strategi keselamatan di Melaka yang terbuka bebas untuk perdagangan.

Pengawal-pengawal bergajah hanya bersenjatakan lembing dan keris, itu pun hanya menjaga keselamatan raja apabila bergerak, ataupun sebagai santeri di sekeliling istana.

Kesimpulan itu menggalakkan beliau menyerang Melaka dengan hanya beberapa buah kapal.

Menjelang merdeka 1957 Raja Pahag Almarhum Sultan Abu Bakar dan permaisuri baginda Tengku Azam telah dihantar ke seberang laut sebagai bakal YDP Agong pertama.

Akhirnya Tuanku Abdul Rahman, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, yang dipilih oleh Majlis Raja-Raja.

Bekas PM Tunku Abdul Rahman mengaku dalam ruangan mingguannya di sebuah harian Inggeris dalam tahun1980-an bahawa beliau menasihati raja-raja tentang perlunya peruntukan Islam dihormati memandangkan Islam ialah agama rasmi Malaya yang merdeka.

Maksudnya, Almarhum menghadapi soal had poligami. Terlepaslah takhta YDP Agong. Perlu diulangi: fakta ini daripada sumber hitam putih Tunku, bahan tatapan umum.

Dalam penungguan, rakyat Malaysia penuh antisipasi sukacita mengalu-alukan DYMM SPB YDP Agong yang ke-16.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

1 comment

  1. Kerana cinta kuturutkan" biarla orang Nak kata apa.

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon