Friday, January 11, 2019

Disebalik Perbalahan Kaum Di Malaysia


Adakah orang Melayu pemalas? Persoalan yang sama boleh ditanya sama ada, adakah orang India kaki mabuk atau gangster? Adakah orang Cina semua kaya? Inilah stereotaip yang sering dipromosi dalam masyarakat kita di Malaysia.

Perbalahan Kaum

Mengenai isu malas. Biasanya majikan dan juga masyarakat amnya menganggap mereka yang buat kerja 8 jam itu malas berbanding dengan mereka yang buat kerja lebih masa (OT).

Walaupun hujah kita bahawa seseorang harus mendapat gaji yang munasabah dengan hanya bekerja 8 jam, tetapi naratif majikan dan kelas pemerintah adalah mereka yang bekerja 8 jam ini malas.

Maka, mereka mewujudkan persaingan antara pekerja yang mahu kerja OT dengan pekerja yang hanya mahu bekerja 8 jam.

Berbalik kepada isu orang Melayu pemalas, pada zaman penjajahan, British mendapati amat sukar untuk memaksa orang Melayu bekerja di lombong timah dan bekerja di ladang.

Bukan kerana orang Melayu tidak mahu bekerja tetapi mereka pada masa itu selesa dengan kehidupan sebagai petani, pesawah dan nelayan. Mereka dapat menampung kehidupan mereka.

Maka British berjaya membawa masuk Orang Cina dan India yang mengalami masalah kemiskinan di negara mereka sendiri untuk bekerja di lombong-lombong dan tanah-tanah ladang demi untuk memperkayakan empayar British.

Mereka juga mengamalkan polisi pecah dan perintah. Samalah modus operandi apabila Mahathir Mohamad bercakap orang Melayu malas, ia sebenarnya mewujudkan satu persaingan dengan kaum-kaum yang lain.

Sistem kapitalis memang dalam nalurinya mewujudkan persaingan dan akan menggunakan pelbagai perpecahan di kalangan masyarakat seperti agama, etnik dan budaya untuk memastikan kekayaan maksimum.

Agenda ini tidak berbeza dari agenda penjajah British dulu. Hari ini musuh untuk pekerja Malaysia adalah pekerja asing. Naratif ini terus digunakan.

Maka sekarang pekerja asing yang membuat kerja 3D – kotor, sukar dan bahaya – dilihat sebagai pekerja yang rajin manakala setiap majikan bercakap mereka mahukan pekerja asing.

Agenda majikan sebenarnya adalah, polisi gaji murah dan untuk memaksimkan keuntungan.

Namun, apa yang mereka katakan adalah pekerja Malaysia malas, tidak mahu buat kerja itu dan terlalu manja.

Pecah dan perintah antara masyarakat kita ataupun antara kita dengan pekerja asing hanyalah agenda keuntungan ekonomi segelintir kecil pihak kapitalis.

Segelintir kecil ini boleh jadi orang Cina, India, Melayu, Jepun, Eropah atau sesiapa pun.

RUSIA YANG HILANG

Dalam tahun 1892-94 seorang pengembara Rusia, mungkin juga seorang askar upahan (siapa tahu adalah perisik) bernama Vasily Mamalyga, telah membantu Lombok menentang askar Belanda.

Lombok kalah, dan Mamalyga (juga kadang kala dieja sebagai Memelige dan WP Mamalyga) dipenjarakan selama empat tahun di dalam penjara Belanda.

Beliau dibebaskan kemudiannya dan diminta ke Moldavia dalam tahun 1899.

Dua tahun kemudian, anehnya, Mamalyga kembali ke alam Melayu kali ini sebagai tukang masak di atas sebuah kapal wap Rusia.

Kapal ini berlabuh di Singapura pada tahun 1901. Ia sepatutnya belayar ke Jawa tetapi Mamalyga tidak dapat meneruskan perjalanan kerana rekodnya yang masih buruk dalam tangan Belanda.

Di Singapura, gerak geri Mamalyga diawasi oleh Baron Kister, Konsul Rusia di pejabat Konsulat Rusia Tsar, sekurang-kurangnya dalam dua insiden iaitu pada bulan Ogos 1901, dan Oktober 1902.

Keberadaan Mamalyga di alam Melayu ini pernah menjadi tumpuan Elizaveta lvanovna Gnevusheva, seorang pensyarah di Universiti Moscow dalam tahun 1965, yang kemudian menarik pula perhatian sejarawan Anthony Reid dalam tahun 1966, yang ketika itu sedang berkhidmat di Universiti Malaya.

Harus dinyatakan di sini pada waktu itu Kelantan sudah pun bebas (walaupun tidak sepenuhnya) dari pengaruh Siam. Pun tradisi menghantar Bunga Mas ke istana Siam masih berjalan.

Penjajah British berminat untuk menguasai penuh Kelantan dan Terengganu (juga Kedah) tetapi sangat berhati-hati untuk tidak memprovokasi Siam yang mana mempunyai hubungan yang erat dengan Perancis.

Tambahan pula Inggeris baru sahaja mencampuri urusan Perak yang berperang dengan Kesultanan Reman (yang berpusat di Gerik, Perak hari ini).

Tidak ramai yang tahu mengenai Kesultanan Reman yang mahu memerdekakan diri dari Patani pada tahun 1810 iaitu apabila Tuan Tok Nik Tok Leh menolak dari menjadi sebahagian jajahan Patani. Reman turut berperang dengan Perak kemudiannya.

Pada tahun 1899, ekoran perang yang panjang, Reman dan Patani menjadi lemah kedua-duanya dan Siam mengambil peluang meluaskan pengaruh. British mengiktiraf kedudukan istimewa Siam tersebut.

Jadi apa yang berlaku di Kelantan? Apa pula yang dilakukan seorang Rusia di Kota Baharu?

Semuanya kerana kuasa Siam semakin mencekam kembali. Ini terjadi apabila Siam melantik Phya Sukhom sebagai gabenor Songkhla dalam tahun 1897.

Phya tidak menggunakan gaya lama untuk menggasak Kelantan dan Patani.

Kaedah Phya jauh lebih sofistikated dan sistematik iaitu dengan memperkenalkan pada tahun 1897 sehingga 1901, antara lain komisioner, pejabat pos, bot kawalan perang dan penjaga sempadan yang diupah dari Denmark. Ini menyebabkan kehadiran Siam jauh lebih dirasai.

Kerabat diraja Kelantan dan Patani mulai resah kerana Raja Senik (yang nampaknya memilih menggunakan nama dan gelar Sultan Muhammad IV (1899-1920), kurang berbuat apa-apa dan tampak tidak berdaya dalam menangani pemerintahan seharian.

Kelemahan ini gara-gara kegagalan baginda menyelesaikan pertikaian sesama kerabat raja yang berlarutan sejak pemerintahan Sultan Muhammad III (bapa Raja Senik) dan Sultan Mansur sehingga memberi ruang pada kerajaan Siam untuk meluaskan semula pengaruh di Kelantan.

Malah, di satu peringkat, Raja Senik ikut meminta bantuan Siam semasa proses peralihan kuasa selepas kemangkatan Sultan Mansur.

Bantuan penjajah tiba

Agar tidak dihambat Siam dan takhtanya pula tidak direbut oleh kerabat lain, Raja Senik, atau seperti yang baginda suka - Sultan Muhammad IV - perlu meminta bantuan asing. Maka Inggeris pun dihampiri.

Ketakutan Sultan Muhammad IV kian besar apabila Siam menahan pemerintah Patani, Raja Abdul Kadir pada bulan Februari, 1902. Isteri Raja Abdul Kadir Patani, adalah ibu saudara Sultan Muhammad IV.

Bantuan penjajah tiba. Sultan Muhammad IV lega sementara. Inggeris akhirnya berjaya menundukkan Siam agar menerima seorang Inggeris sebagai Residen Siam di Kelantan di bawah Perjanjian Siam-Kelantan pada bulan Oktober 1902.

Pun pada bulan Mei 1902, Sultan Muhammad IV melawat Singapura dan merayu supaya Frank Swettenham bagi pihak British menentang Siam.

Frank Swettenham ingin meminimumkan perang, sementara Melayu ingin berperang.

Untuk menenangkan sultan Kelantan yang begitu goyang itu, Frank Swettenham menghantar 100 orang Sikh terlatih untuk mengiringi baginda pulang ke Kota Baharu.

Pada bulan Ogos, kesemua mereka berlayar pulang dengan SS Flevo untuk mengawal takhta Sultan Muhammad IV dari Siam dan sebarang perbalahan dalaman, khusus yang mungkin dibangkitkan oleh Raja Ismail dari Selangor.

Siapa pula Raja Ismail ini? Apa pula kaitannya dengan seorang Rusia yang licik?

Raja Ismail bin Raja Abdullah sudah pun dikenali melalui Perang Saudara di Selangor antara tahun 1866-74.

Ayahandanya Raja Abdullah, telah disingkirkan sebagai penguasa Kelang oleh Raja Mahdi dan Raja Ismail bangkit bergabung tenaga dengan Tengku Kudin untuk merebut posisi.

Inggeris bagaimanapun mengiktiraf Tengku Kudin dan bukan Raja Ismail pada tahun 1874.

Tentulah Raja Ismail berduka lantas merayu agar diberi tempat dalam pentadbiran Selangor. Inggeris tidak mengendahkannya.

Raja Ismail membawa rajuk dan mulai membawa diri menempel kepada Sultan Abu Bakar di Johor.

Raja Ismail (Selangor) dan Sultan Abu Bakar (Johor) nampaknya kurang senang dengan pilihan Kelantan untuk mendekatkan diri dengan Inggeris.

Raja Ismail telah mendapatkan bantuan Mamalyga, sang Rusia misterius di Singapura ini dalam tahun 1902.

Bersama-sama 100 orang, Mamalyga berangkat ke Kelantan sebagai kuasa bebas.

Beliau membawa sama surat daripada Raja Ismail untuk memujuk Sultan Muhammad IV agar menerima bantuannya.

Raja Ismail berharap Sultan Kelantan waktu itu akan tertarik dengan orang Rusia.

Baron Kister, konsulat Rusia di Singapura dengan segera menghubungi Raja Ismail dan cuba memberitahu agar tidak mempercayai Mamalyga.

Rusia pada waktu itu berhasrat menghindar diri dari terlibat dalam pertikaian yang sudah cukup rusuh di rantau Melayu antara kuasa Inggeris, Belanda, Perancis dan Sepanyol.

Raja Ismail menolak permintaan Baron Kister dan membalas bahawa Mamalyga adalah seorang Rusia yang budiman dan orang Melayu mempercayainya.

Usaha mencegah Mamalygin ke Kelantan dengan kapal Flevo pada Ogos 1902 gagal.

Terpukau akan Inggeris

Mungkin sahaja Mamalyga tiba di Kelantan serentak dengan Sultan Muhammad IV bersama-sama 100 orang Sikh bekalan Frank Swettenham.

Mujur mereka tidak bertempur, jika tidak lebih banyak nyawa rakyat terkorban demi mempertahankan kuasa.

Kesimpulannya, Sultan Muhammad IV Kelantan pada tahun 1902 tidak terpesona dengan seorang Rusia. Baginda lebih terpukau akan Inggeris.

Kehadiran 100 orang askar Sikh sebagai wakil British itu berjaya menakutkan Siam dan mungkin Raja Ismail sendiri.

Tiada tahu apa yang terjadi kepada Mamalyga yang diupah Raja Ismail apabila ia tiba di Kelantan. Nama Mamalyga hilang begitu sahaja dari sejarah.

Mungkin Mamalyga berkahwin dengan mana-mana mek di Tumpat atau menyamar belajar fikah masuk pondok di Pulau Melaka.

Tiada rekod dari Konsulat Rusia Tsar di Singapura mengenai Mamalyga sehingga setakat ini.

Beberapa tahun kemudian termeterailah Perjanjian Inggeris-Siam 1909, empat negeri di bawah naungan Siam diserahkan kepada Inggeris.

Bertakhtalah Sultan Muhammad di Kota Bharu dengan bahagianya dan selamat.

Apakah pelajaran untuk kita?

Hari ini, segelintir generasi kita sering mengkhayalkan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya gemilang.

Malangnya, mereka mengabaikan sejarah mengenai perang demi perang saudara, percaturan politik raja-raja Melayu yang salah pada waktu dahulu dan juga campur tangan kuasa asing di rantau ini.

Mereka tergila-gilakan pemerintahan Melayu-Islam yang kononnya berteraskan raja dan ulama yang saling akrab memadu kasih. Perangai meromantikkan episod sejarah dahulu kala ini harus dibanteras di akar umbi.

Tidak, pemerintahan Melayu-Islam dahulu kala bukanlah sama sekali model untuk kita hari ini.

Malah, seperti yang diperlihatkan di atas, keadaan pada waktu itu amatlah celaru sehingga nyaris seorang Rusia pun ikut masuk dalam istana.

Jelas sekali mereka, orang dahulu kala mempunyai masalah dan pergolakan sendiri yang kompleks.

Mereka punya ketakutan yang khusus sehingga kadang membuat pilihan nanar dan tidak ada sebab kita harus menjadi seperti mereka.

Hari ini kita juga punya masalah yang haru. Sehingga tahun 2018, telor masing-masing umat Melayu masih di hujung tanduk ditentukan oleh kancah demi kancah perangai peribadi serta bidak niaga dan kuasa.

Mujurlah ada sebahagiannya mengenal demokrasi pada 9 Mei 2018.

Bolehlah kita berpijak di bumi nyata dan belajar untuk menguruskan negeri menurut realiti hari ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon