Thursday, January 03, 2019

Apa Sebenarnya Badi Mayat, Badi Haiwan Dan Badi Tumbuhan?


Badi merupakan satu malapetaka dan musibah yang selalunya dianggap berpunca dari binatang, tumbuhan dan mayat, berlaku angkara gangguan penjaga dari golongan jin atau makhluk halus yang sering berlaku keganjilan dan keanehan apabila menghadapi situasi berkenaan.

Apa itu Badi
Gambar hiasan.

Orang tua-tua percaya bahawa, sebahagian binatang hutan mempunyai badi, oleh itu berbagai-bagai petua diamalkan terutamanya ketika ingin menjerat pelanduk, ayam hutan, kancil, rusa, kijang, burung wakwak dan lain-lain lagi.

Begitu juga dengan pohon herba ubat-ubatan seperti kacip fatimah, tongkat ali, buluh perindu dan lain-lain lagi.

Badi merupakan suatu penyakit yang mempunyai hubungan khusus dengan spiritual dan roh manusia.

Kesan daripada badi ini akan menyebabkan seseorang itu hilang kestabilan diri, perasaan yang tidak menentu dan berubah-ubah, rasa lemah, takut, fikiran bercelaru, tidak dapat tidur dan sebagainya yang membawa kepada perubahan tingkahlaku dan perwatakan seseorang.

Antara jenis badi adalah seperti badi mayat dan badi binatang seperti badi ayam hutan, monyet, buaya, rusa, pelanduk, ular dan lain-lain.

Badi mayat misalnya dihadapi apabila seseorang itu melihat mayat dijalan raya akibat kemalangan jalan raya, mengiringi dan memandikan jenazah, memangku mayat orang yang membunuh diri dan lain-lain yang berkait dengan mayat manusia.

Manakala badi binatang sebagai contohnya, ketika seseorang itu pergi berburu dan telah menembak mati seekor ayam hutan bertenggek di atas sebuah banggol tanah.

Apabila pulang berlaku perubahan tingkah laku dan dia berkelakuan seperti ayam, berkokok, mematuk-matuk dan sebagai. Itu dinamakan sebagai terkena badi ayam hutan tersebut.

Situasi ini terjadi kerana kita selaku manusia tidak mampu untuk melihat jin tetapi apa yang dilihat oleh kita adalah rupa bentuk zahir sahaja sama ada binatang dan sebagainya.

Dalam kepercayaan sesetengah orang pula, orang yang sakit tidak boleh dilawati oleh orang yang lemah semangat kerana akan terkena badi.

Badi Mayat

Menurut kepercayaan turun temurun, istilah BADI MAYAT ialah pengaruh gangguan di mana berpindahnya kejahatan makhluk halus dari seseorang yang telah meninggal dunia.

Antara tanda-tanda paling ringan apabila terkena badi mayat ialah sakit bahagian belakang badan selepas melawat orang mati.

Sebenarnya, badi mayat adalah kesan gangguan jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk yang berdamping dengan seseorang yang telah meninggal dunia atau tipu daya makhluk ghaib yang sedang berkeliaran di sekitar kawasan jenazah.

Perlu diingatkan bahawa di antara saat dan ketika jin mudah menganggu dan memasuki ke dalam tubuh manusia ialah ketika manusia terlalu sedih, terlalu gembira, terlalu marah, terperanjat atau terlalu takut.

Justeru, istilah badi mayat digunakan bagi seseorang yang mendapat gangguan makhluk halus ketika berada dalam keadaan terlalu sedih, terperanjat atau takut apabila menziarahi seseorang yang baru meninggal dunia.

Istilah-istilah BADI ini hanyalah sekadar pada “perkataan” atau “nama” yang diberikan oleh datuk nenek kita sejak zaman dahulu.

Hakikatnya, ia adalah penganiayaan dan tipu daya jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk yang mengambil kesempatan untuk menganggu dan merosak akidah umat manusia.

Kesemua ciri-ciri gangguan jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk adalah sama sahaja.

Selagi kita sentiasa mendirikan yang wajib, perbanyakkan yang sunat, bertasbih dan berzikir kepada Allah, jin, syaitan dan iblis laknat terkutuk ini tidak akan dapat mendekati kita.

Tanda-tanda Terkena Badi

Terdapat petanda awal terkena badi, disusun secara peringkat iaitu tanda-tanda awal badi biasanya:
  • Terasa lenguh atau sakit di belakang badan.
  • Tidak boleh tidur malam.
  • Hilang selera makan.
  • Terbayang sesuatu sama ada mayat atau binatang buruan atau pokok herba yang dikumpulkannya itu.
  • Tidur ditindih bayang.
  • Demam panas.
  • Terketar-ketar.

Petua Mengelak Badi

Menurut kepercayaan orang-orang tua, untuk mengelak terkena badi mayat ialah dengan menukar pakaian terlebih dahulu sebelum balik ke rumah atau sebelum masuk ke dalam rumah.

Kalau boleh terus mandi atau sekurang-kurangnya membasuh muka dan kaki, lebih baik lagi jika berwuduk atau mandi hadas besar sebelum masuk rumah.

Ini kerana dipercayai makhluk halus itu mengekori seseorang selepas menziarahi mayat atau selepas berburu dan selepas mencari herba tumbuhan di hutan.

Adalah dipercayai jika seseorang itu kuat semangat, maka makhluk halus itu akan mengganggu isi rumah orang tersebut

Doa Mengelak Badi

Tips untuk mengelak dari terkena badi dengan izin Allah SWT, sebelum masuk hutan atau menziarahi mayat atau merawat pesakit badi baca:
  • Baca Al-Fatihah.
  • Ayat Kursi.
  • Muawwizatain (Surah An-nas, Al-Falaq dan Surah Al-Ikhlas).

Baca ayat di atas dalam kedudukan menghadap kiblat sambil memohon perlindungan dari Allah.

Jika baru pulang dari hutan atau rumah jenazah, baca ayat berkenaan sebelum masuk rumah.

Jika terasa sukar atau tersangkut-sangkut bacaannya ketika sampai di rumah, eloklah rehat di luar dahulu, minum air atau solat sunat di luar rumah.

Baca sekali lagi dan jika tiada sangkut-sangkut, maka bolehlah masuk ke dalam rumah dengan membaca doa ini:

ﺍﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺇِﻧِّﻲ ﺃَﺳْﺄَﻟُﻚَ ﺧَﻴْﺮَ ﺍﻟْﻤَﻮْﻟُﺞِ ﻭَﺧَﻴْﺮَ ﺍﻟْﻤَﺨْﺮَﺝِ ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﻭَﻟَﺠْﻨَﺎ ﻭَ ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠَّﻪِ ﺧَﺮَﺟْﻨَﺎ ﻭَﻋَﻠَﻲ ﺍﻟﻠﻪِ ﺭَﺑِّﻨَﺎ ﺗَﻮَﻛَّﻠْﻨَﺎ

Dan diakhiri dengan salam.

CARA RAWATAN JIKA TERKENA BADI

Rawatan asas terkena badi Anda Boleh Lakukan Pada Keluarga Anda Sendiri.

Badi Mayat:

Ambil tanah tempat dikubur mayat tersebut, letak di tapak tangan dan baca Al-Fatihah serta doa penggerak lalu di sapu ke bahagian muka.

Doa penggerak ialah:

ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺍﻟَّﺬِﻱْ ﻻَ ﻳَﻀُﺮُّ ﻣَﻊَ ﺍﺳْﻤِﻪِ ﺷَﻲْﺀٌ ﻓِﻲ ﺍﻷَﺭْﺽِ ﻭَﻻَ ﻓِﻲ ﺍﻟﺴَّﻤَﺎﺀِ ﻭَﻫُﻮَ ﺍﻟﺴَّﻤِﻴْﻊُ ﺍﻟْﻌَﻠِﻴْﻢُ .

Dalam masa yang sama ketika sapu itu, dibaca doa penyembuh tanah iaitu:

ﺑِﺴْﻢِ ﺍﻟﻠﻪِ ﺗُﺮْﺑَﺔُ ﺃَﺭْﺿِﻨَﺎ ﺑِﺮِﻳْﻘَﺔِ ﺑَﻌْﻀِﻨَﺎ ﻳَﺸْﻔِﻲْ ﺳَﻘِﻴْﻤُﻨَﺎ ﺑِﺈِﺫْﻥِ ﺭَﺑِّﻨَﺎ

Badi Haiwan/Tumbuhan:

Sama seperti di atas bezanya cuma tanah yang diambil itu mestilah tanah jalan masuk ke hutan.

Jika simptom berlarutan sehingga tahap meracau, maka tanah tadi di ambil 3 genggam untuk dimandikan.

Kaedahnya sama seperti di atas tetapi bezanya tanah tadi dibuat mandi.

Mandi selepas waktu maghrib sebanyak 3 maghrib berturut-turut.

Untuk meredakan mereka yang terkena badi dari meracau tidak tentu masa, cuma berselawat sahaja di telinganya.

Selawat sama ada selawat thibb, selawat tafrijiah, selawat Ibrahimiah, selawat anwar, selawat fatih dan lain-lain selawat.

Kemudian urut perlahan-lahan bahagian kejang seperti mata, telinga, kaki, kepala, leher, badan, belakang badan dan lain-lain lagi.

ﺍَﻟﻠَّﻬُﻢَّ ﺻَﻠِّﻰ ﺻَﻼﺗًﺎ ﻛَﺎﻣِﻠَﺔً، ﻭِﺳَﻠِّﻢْ ﺳَﻠَﺎﻣًﺎ ﺗَﺂﻣًﺎ ﻋَﻠَﻰ ﺳَﻴِّﺪِﻧَﺎ ﻣُﺤَﻤَّﺪِﻥِ ﺍﻟَّﺬِﻱ ﺗَﻨْﺤَﻞُّ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﻌُﻘَﺪُ، ﻭَﺗَﻨْﻔَﺮِﺝُ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﻘُﺮَﺏُ، ﻭَﺗُﻘْﻀَﻰ ﺑِﻪِ ﺍﻟْﺤَﻮَﺁﺋِﺞُ، ﻭَﺗُﻨَﺎﻝُ ﺑِﻪِ ﺍﻟﺮَّﻏَﺂﺋِﺐُ، ﻭَﺣُﺴْﻦُ ﺍﻟْﺨَﻮَﺍﺗِﻴﻢِ، ﻭَﻳُﺴْﺘَﺴْﻘَﻰ ﺍﻟْﻐَﻤَﺎﻡُ ﺑِﻮَﺟْﻬِﻪِ ﺍﻟْﻜَﺮِﻳْﻢ، ﻭَﻋَﻠَﻰ ﺍَﻟِﻪِ ﻭﺻَﺤْﺒِﻪِ ﻓِﻲ ﻛُﻞِّ ﻟَﻤْﺤَﺔٍ ﻭَﻧَﻔَﺲٍ ﺑِﻌَﺪَﺩِ ﻛُﻞِّ ﻣَﻌْﻠُﻮْﻡٍ ﻟَﻚَ

Rawatan lanjut

Bagi seseorang yang mendapat gangguan badi tersebut, sila dapatkan rawatan dari pakar-pakar alternatif atau pakar yang arif tentang perubatan spiritual.

Segeralah berjumpa perawat Islam yang diyakini dalam merawat masalah tersebut.

Jangan dibiarkan begitu sahaja tanpa usaha serta ikhtiar dan yakinlah setiap penyakit pasti ada penawarnya.

BADI DALAM KAJIAN PERUBATAN MODEN

Walter William Skeat (1835-1912) merupakan seorang ahli akademik yang memegang jawatan Elrington and Bosworth Professor of Anglo-Saxon di Christ’s College, Universiti Cambridge.

Berikut adalah terjemahan hasil kajiselidik W.W. Skeat mengenai badi yang terkandung dalam bab ‘Medicine’ yang dipetik dari buku beliau, Malay Magic – Being An Introduction To The Folklore And Popular Religion Of The Malay Peninsula, terbitan MacMillan & Co., London pada tahun 1899.

***

Salah satu daripada upacara yang wujud dalam amalan perubatan tradisional adalah upacara mengubat pesakit yang telah dirasuk atau disampuk.

Tubuh seorang pesakit mungkin terkena sampukan tanpa disedari apabila memegang binatang atau burung yang mati, tatkala badinya masih belum keluar dari tubuh binatang itu.

Pesakit ini dikatakan disampuk Raja Hantu (king of the spirits) – dan adakalanya oleh Hantu Pemburu (wild huntsman) atau Batara Guru.

Golongan pawang yang mengamalkan cara perubatan tradisi ini menamakan elemen jahat (atau “satu kuasa jahat”) badi, yakni sebuah elemen yang akan mengacau semua makhluk hidup.

Badi bukan hanya datang dari benda bernyawa (manusia dan binatang) sahaja, malah badi boleh datang dari pokok, batu atau bahan-bahan galian yang juga dianggap oleh pawang-pawang ini sebagai benda yang bernyawa.

Von der Wall di dalam penulisannya menggambarkan badi sebagai “sesuatu yang mempunyai daya tarikan atau pun menggerunkan”, seperti gerun seekor harimau (gerun ini boleh dilihat pada pengamal penggerun yang selalunya dari golongan pendekar atau panglima), rasa takut apabila melalui pokok yang beracun atau air liur dari seekor anjing gila.

Pendek kata, suatu ‘semangat’ yang mendatangkan kemudaratan.

Upacara pembuangan badi ini bukan sesuatu yang dipandang remeh oleh orang Melayu, malah ianya suatu upacara yang amat mustahak di zaman dahulu kala.

Ini adalah kerana badi berkait rapat dengan elemen tidak baik yang datang dari benda yang telah mati.

Dipercayai adanya seratus sembilan puluh jenis badi, manakala ada yang mengatakan seratus sembilan puluh tiga.

Asal-usul Badi

Terdapat pelbagai versi asal-usul badi ini.

Ada yang mengatakan bahawa badi pertama muncul dari tiga titik darah Nabi Adam a.s. yang menitis ke bumi.

Ada pula yang percaya badi asalnya datang dari biawak disusuli oleh badi-badi yang wujud sekarang.

Asal-usul badi juga dikatakan oleh pawang-pawang dan bomoh-bomoh yang ianya datang dari hati atau ulur kayu balak (heart of timber) dan dari Mambang Kuning (langit yang kekuningan di waktu matahari terbenam).

Asal-usul badi ini dapat dilihat dalam jampi serapah berikut:
“Wahai kejahatan, ibu segala kejahatan,
Kejahatan sebanyak seratus sembilan puluh,
Kami tahu asal-usul kamu,
Kejahatan biawak asal-kamu,
Hati ulur balak asal kamu,
Sinar kuning Mambang Kuning asal kamu.”

Ada juga cerdik pandai perubatan Melayu menyatakan bahawa badi yang pertama adalah anak kepada Jin Ibn Ujan, yang mendiami kawasan gua-gua, awan di langit dan di lurah-lurah bukit.

Oleh kerana badi ini bukan sahaja berada didalam benda-benda bernyawa (termasuk binatang seperti gajah dan badak sumbu), malah dalam benda yang tidak bernyawa (seperti tanah, busut semut, kayu, air, batu), dikatakan tangkal azimat rusa dapat mengembalikan kesemua badi ini ke tempat asal-usulnya.

Sebagai contoh, badi biawak balik ke biawak, badi Mambang Kuning kembali ke Mambang Kuning dan sebagainya.

Nota tambahan:
  • Tangkal Gajah juga dikenali sebagai Badiyu, Mak Badi, Badi Panji atau Mak Buta.
  • Tangkal Rusa juga dikenali sebagai Ah Badi, Mak Badi, Hei Badi Serang, Badi Mak Buta, SiPanchur atau Mak Tuli.

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon