Tuesday, December 11, 2018

Bagaimana Umat Islam Boleh Bersatu Dengan Tali-tali Allah?


Allah telah menyediakan satu kaedah yang khusus untuk bersatu padu melalui firman-Nya yang bermaksud, “Berpeganglah kamu dengan tali-tali Allah dan jangan kamu berpecah belah.” (Ali Imran: 103)

Umat Islam Bersatu

Dapat difahami dari ayat ini, kalau umat Islam mahu bersatu, mereka perlu berpegang pada tali Allah. Kita perlu diikat kepada Allah yang Esa. Tetapi, apakah tali Allah itu?

Ada ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai syariat Allah. Maknanya kita umat Islam perlu sama-sama menerima dan mengamalkan segala hukum hakam Allah sama ada yang wajib, yang sunat, yang haram, yang makruh dan yang harus (mubah). Dengan itu hati kita akan terikat di antara satu sama lain.

Ada juga ulama yang mentafsirkan tali-tali Allah itu sebagai rasa cinta dan rasa takut kepada Allah. Kalau semua umat Islam sama-sama dapat rasa cinta dan rasa takut kepada Allah, nescaya hati-hati mereka akan sama-sama terikat kepada Allah yang Esa dan mereka akan berkasih sayang dan bersatu padu di antara satu sama lain.

Dalam pada itu perpaduan manusia ada dua bentuk. Ada perpaduan yang berbentuk sementara dan ada perpaduan yang kekal.

Perpaduan yang berbentuk sementara seperti kita menghadapi musuh yang sama. Bila musuh sudah tidak ada, kita berpecah semula. Atau kita sama-sama menghadapi sesuatu musibah. Bila musibah sudah tidak ada, kita berpecah.

Atau kita sama-sama keluar negara. Semasa di luar negara kita berpadu kerana kita berada di negara orang dan semuanya berbeza dengan adat resam kita. Tetapi setelah kembali ke tanah air, kita berpecah.

Hanya ada satu bentuk perpaduan yang kekal iaitu perpaduan yang disebabkan kerana Allah.

Allah itu kekal dan sesiapa yang berkasih sayang dan bersatu padu kerana Allah maka kasih sayang dan perpaduan yang dicapai itu akan turut kekal sampai bila-bila.

Dalam Islam segala sesuatu ada rukunnya, maka rukun bersatu itu boleh dibahagi kepada 5 bahagian:

1. Bersatu Aqidah

Keyakinan dan pegangan kita mesti tepat sebagaimana yang dikehendaki dalam iktiqad Ahlus Sunnah Wal Jamaah, iaitu meyakini enam rukun Iman dengan sebenarnya.

Yakin kepada ALLAH dan semua sifat-sifat-Nya yang wajib, mustahil serta yang jaiz bagi ALLAH. Yakin kepada 10 malaikat sebagaimana yang diceritakan dalam Al Quran. Yakin kepada kitab-kitab yang diturunkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul-Rasul. Yakin kepada 25 Rasul yang disebutkan dalam Al Quran. Yakin kepada hari akhirat dan yakin kepada qada' dan qadar, semuanya datang dari ALLAH Taala.

Kalau ada yang beriktiqad atau beraqidah selain Ahlus Sunnah Wal Jamaah sudah pasti tertolak, sepertimana yang telah dijelaskan dalam hadis Baginda Rasulullah SAW.

“Bahawasanya bani Israel telah berfirqah sebanyak 72 firqah dan akan berfirqah umatku sebanyak 73 firqah, semuanya akan masuk Neraka kecuali satu.”

Sahabat-sahabat yang mendengar ucapan ini bertanya, “Siapakah yang satu itu Ya Rasulullah?” Nabi menjawab, ”Yang satu itu ialah orang yang berpegang sebagai peganganku dan pegangan sahabat-sahabatku.” (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam Tirmizi, lihat Sahih Tirmizi, juz 10, awal surat 109)

2. Bersatu dalam bersyariat

Bersatu syariat itu ialah bersatu dalam menerima dan melaksanakan hukum-hukum ALLAH, iaitu wajib, sunat, haram, makruh dan harus.

Dalam kegiatan hidup kita sehari-hari, kita tidak dapat melepaskan diri dari salah satu hukum tersebut melalui kerja apa pun baik kerja yang kecil mahupun kerja yang besar.

Mari kita dalami takrif rukun-rukun tersebut:

Wajib: Dilaksanakan mendapat pahala dan ditinggalkan berdosa, maka dalam hal ini wajib dilaksanakan.

Sunat: Dilaksanakan diberi ganjaran pahala dan jika ditinggalkan tidak berdosa, maka kedudukannya eloklah dilaksanakan.

Haram: Dilaksanakan berdosa dan ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya wajib ditinggalkan.

Makruh: Jika dilaksanakan(larangannya) tidak berdosa (tapi ALLAH benci) dan jika ditinggalkan mendapat pahala, maka kedudukannya elok ditinggalkan.

Harus: Suatu perbuatan yang kedudukannya tidak berdosa dan tidak mendapat pahala jika dilaksanakan atau ditinggalkan, maka perbuatan tersebut boleh dilaksanakan dan boleh ditinggalkan, sesuai pilihan hati.

Walau bagaimanapun, dalam Islam perbuatan yang harus itu, dapat memberi manfaat kepada kita atau dengan kata lain dapat menjadi ibadah dan mendapat pahala kalau kita laksanakan dengan mematuhi lima syarat:

Niat yang benar dan tepat (kerana ALLAH), perbuatan yang dilaksanakan itu dibolehkan oleh syariat (tidak bertentangan dengan syariat), pelaksanaannya mengikuti syariat, natijahnya (hasilnya) mesti betul (untuk tujuan meninggikan syiar Islam dan tidak bercanggah dengan syariat) tidak meninggalkan atau mengabaikan ibadah yang asas (yang terkandung dalam fardhu ain).

Jadi, bila kita diperintahkan bersatu dalam syariat, bererti kita diperintahkan menerima segala ketetapan lima hukum tersebut.

Menerima di sini maksudnya memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya. Maksudnya yang lebih jelas ialah perbuatan yang wajib dan sunat itu hendaklah difahami, diyakini, diamalkan dan diperjuangkan.

Semua perbuatan yang haram dan makruh hendaklah difahami, diyakini dan ditinggalkan serta diperjuangkan untuk menghapuskannya. Dan selanjutnya semua perbuatan yang harus, difahami, diusahakan serta digalakkan supaya menjadi ibadah.

Supaya lebih jelas lagi, perhatikan contoh berikut ini:

Hal-hal yang berhubungan dengan akidah, ibadah, akhlak, jihad, tarbiah, siasah (politik) dan lain-lain adalah perbuatan wajib, maka umat Islam harus menerimanya sebagai hukum wajib serta berusaha memahami, mengamalkan dan memperjuangkannya supaya ditegakkan secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.

Sebaliknya, hal-hal yang berhubungan dengan arak, zina, korupsi, judi, buka aurat, pergaulan bebas, riba dan lain-lain adalah perbuatan haram, maka seluruh umat Islam harus bersama-sama meyakininya sebagai hukum haram dan berusaha meninggalkannya serta memperjuangkannya supaya tidak diamalkan oleh masyarakat dan berusaha menghapuskannya secara bersama-sama dan bersungguh-sungguh.

Apabila yang wajib dan sunat, sama-sama diterima, lalu diamalkan umat Islam, maka di situlah kita bersatu.

Begitu juga kalau yang haram dan makruh, sama-sama diterima, lalu dijauhkan oleh umat Islam, maka di situlah kita bersatu.

3. Bersatu dalam berakhlak

Bersama-sama berusaha memiliki akhlak yang baik. Mencontohi akhlak Rasulullah SAW dalam segala hal, seperti cara makan, pakaian, sifat sabarnya, ikhlasnya, tawadhuknya, zuhudnya, dermawannya, pemaafnya, bicaranya, bergaulnya, kebersihannya, ibadahnya dan lain-lain yang menjadi sunnah hidupnya.

Di samping itu hendaklah kita bersama-sama berusaha membuang semua akhlak yang buruk dan keji seperti sombong, bakhil, penakut, cinta dunia, pemarah, hasad dengki, keluh-kesah dan mazmumah lain yang bersarang dalam hati manusia.

Jika ini dapat dilaksanakan umat Islam, maka kita akan bersatu, begitulah sebaliknya.

4. Bersatu dalam Perkara-perkara Khilafiah

Bersikap terbuka, lapang dada dan tegang rasa dalam masalah khilafiah. Hendaklah kita fahami bahawa Islam memperboleh dan membenarkan adanya perbezaan pendapat dalam masalah furu'iyah tanpa mengganggu atau merosak persoalan asas (pokok) Islam itu sendiri.

Nabi SAW pernah bersabda, bermaksud, “Perbezaan pendapat di antara umatku adalah mendatangkan rahmat.“ (Riwayat A1 Baihaqi)

Dalam hadis yang lain dari Ibnu Abbas bermaksud, “Perbezaan di antara sahabatku bagi kamu adalah suatu rahmat.“ (Ehya’)

Kerana itu sikap kita terhadap hal-hal khilafiah hendaklah sama-sama kita terima dan jangan dijadikan isu sensitif dan sebab persengketaan.

5. Bersatu Dalam Menilai Kawan Dan Lawan

Islam telah menetapkan siapakah kawan dan lawan, sahabat dan musuh. Maka hendaklah kita sama-sama dapat mengenalinya.

Yang menjadi musuh sama-sama kita jadikan sebagai musuh dan menolaknya tanpa ragu sedikitpun.

Kawan dan sahabat hendaklah kita jadikan sebagai sahabat dan sama-sama menerima sebagai sahabat, bergaul dengannya, mempertautkan kasih sayang dengannya serta bermuafakat dalam urusan agama.

Sekiranya ada pihak yang mencuba untuk menghancurkannya, harus kita pertahankan.

Dalam Al Quran ALLAH menjelaskan kepada kita siapa musuh dan siapa sahabat atau saudara kita sebagai orang mukmin.

Firman ALLAH tentang musuh: “Dan tidak akan redha oleh orang-orang Yahudi dan Nasrani itu selama-lamanya kepada kamu hingga kamu mengikuti millah (cara hidup) mereka.“ (Al Baqarah: 120)

Firman ALLAH tentang sahabat dan saudara: “Sesungguhnya orang-orang mukmin itu adalah bersaudara satu sama lain, oleh kerana itu berusahalah mendamaikan kedua saudaramu yang bertikai dan bertakwalah kepada ALLAH supaya kamu mendapat rahmat.“ (A1 Hujuraat: 10)

Demikianlah pengertian dan konsep bersatu dalam lslam. Dengan konsep itu Islam memanggil dan menyeru seluruh bani insan bernaung di bawahnya tanpa melihat bangsa, warna kulit, bahasa, keturunan, daerah, negara dan perbezaan lahiriah lain yang palsu, yang direka oleh manusia untuk mempertahankan statusnya yang bersifat sementara itu.

Walaupun pada lahirnya ada perbezaan bangsa, bahasa dan warna kulit di antara manusia itu, tapi apa yang ALLAH jadikan itu semata-mata mempunyai hikmah yang amat besar untak manusia itu sendiri, iaitu untuk tujuan saling kenal-mengenal.

Firman ALLAH: “Hai manusia! sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal dan mengadakan hubungan." (Al Hujuraat: 13)

Islam menyatukan seluruh manusia sedunia di bawah namanya dengan lima ikatan yang kukuh dan sejati sambil membebaskan mereka dari segala kungkungan keduniaan yang sempit dan pura-pura.

Kalau semua umat Islam menerima konsep itu serta mempraktikkannya, maka itulah kekuatan hakiki yang menjamin kejayaan perjuangan yang sedang kita usahakan dan lalui ini.

Sudahkah Bersatu?

Dalam soal aqidah, dalam satu jamaah, atau parti, ada yang berpegang sebenar-benar Ahlus Sunnah Wal Jamaah, ada yang sekadar mengaku Ahlus Sunnah Wal Jamaah, sebenarnya tidak begitu, ada yang beraqidah syiah, muktazilah, mujassimah dan lain-lain.

Dimana bersatunya? Sedangkan yang dijamin selamat oleh Rasulullah SAW, dari 73 firqah itu hanya Ahlus Sunnah Wal Jamaah.

Dalam soal syariat pula, bersatu yang dimaksudkan di sini ialah bersama-sama dalam menerima hukum-hukum ALLAH.

Itu bererti kalaupun berada dalam satu organisasi atau persatuan kalau masih berbeza atau tidak sama-sama menerima hukum-hukum ALLAH yang wajib dan sunat serta menolak yang haram dan makruh, maka hakikatnya belum bersatu.

Contohnya menutup aurat hukumnya wajib. Kalau dalam satu persatuan itu ada anggotanya yang tidak menutup aurat dan yang lain menutup aurat, maka di antara anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu.

Riba hukumnya haram. Kalau masih ada anggotanya makan riba atau pun mendukung institusi riba dengan memberikan riba, sementara yang lainnya tidak makan riba atau menentang riba, maka anggota-anggotanya masih dianggap belum bersatu. Demikian juga dengan persoalan-persoalan yang lain.

Berdasarkan contoh di atas, jelaslah kepada kita bahawa umat Islam yang ada hari ini belum lagi bersatu termasuk anggota atau mereka yang menjadi anggota organisasi atau badan politik, kebajikan sampai badan dakwah sekalipun masih belum bersatu, walaupun berada di dalam satu wadah.

Kita dapat melihat sekarang ini mereka sama-sama tidak sembahyang, masih menerima fahaman sekular, tidak menutup aurat, terlibat dengan sistem ekonomi riba, terlibat dengan perzinaan, arak, judi, pergaulan bebas dan segala macam maksiat.

Secara tidak langsung mereka itu menentang ALLAH walaupun kadang-kadang lidahnya berbicara tentang Islam.

Sesama Islam mereka juga bermusuhan, sebaliknya dengan musuh mereka saling menolong dan bersahabat baik. Musuh dianggap kawan dan kawan dianggap musuh. Kebaikan dianggap kejahatan dan kejahatan dianggap baik. Ini hakikat.

Kalau pun kelihatan mereka itu bersatu tetapi mereka itu bersatu adalah sebagaimana yang digambarkan oleh ALLAH dalam Al Quran:

"...mereka itu sebahagian di antara sebahagian yang lain saling membantu menyuruh membuat kemungkaran dan melarang dari berbuat ma'ruf..." (At Taubah: 67)

Ataupun bersatu seperti yang digambarkan oleh ayat Al Quran: "Kamu lihat mereka itu bersatu padu, tetapi hati mereka berpecah belah." (Al Hasyr: 14)

Bergabung bukannya bersatu

Itulah hakikatnya yang terjadi sekarang ini, bahawa sesungguhnya umat Islam belum lagi bersatu secara mutlak. Apa yang terjadi ialah perpecahan di segala aspek hingga timbul peperangan dan pertumpahan darah.

Kalau kita lihat keadaan umat hari ini, bagaikan mustahil untuk bersatu. Ramai yang mengajak "bersatu", hakikatnya mengajak bergabung, bukan bersatu.

Kumpulan A di ajak bergabung dengan kumpulan B. Kalau sekadar itu belum bersatu lagi, mengikut definisi Islam. Kerana bersatu itu mesti berpegang pada tali Allah (rukun-rukun bersatu).

Namun, Rasulullah SAW telah membuktikan bahawa umat ini boleh bersatu. Baginda mulakan dengan mengajak umat ini mengenal Allah, mencintai Allah. Mereka beraqidah dengan aqidah yang benar.

Kemudian, Rasul ajarkan peraturan syariat, sama-sama mereka tegakkan. Lalu Rasul menunjukkan contoh dan akhlak yang mulia, mereka mencontohi baginda. Rasul ingatkan agar berlapang dada, jangan berkrisis dalam perkara khilaf dan remeh temeh, mereka taat.

Dan Rasul mengenalkan mereka siapa kawan dan siapa musuh, mereka berukhwah dengan kawan bagaikan adik beradik, dan mereka bermusuh dengan musuh, kerana musuh-musuh itu adalah musuh Allah. Maka, Rasulullah berjaya.

Insyaa-Allah kita juga akan berjaya jika kita mengikut apa yang telah ditunjukkan Rasulullah SAW.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: FB

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon