Thursday, December 13, 2018

Akhirnya Terbongkar Tabung Haji Dirompak!


Berita buruk yang sangat luar biasa mengenai agensi dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) tidak memeranjatkan lagi kerana sejak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara daripada BN pada 9 Mei 2018 lalu, satu demi satu skandal kewangan terbongkar.

Skandal Tabung Haji

Semakin hari apa yang ditakuti semakin menjadi kenyataan iaitu dibawah telunjuk bekas perdana menteri, Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil, Mohd Najib Abdul Razak, kerosakan berlaku secara sistematik dan meluas.

1MDB, Felda, FGV dan sekarang Tabung Haji (TH) dan daripada apa yang kita dengar, senarai ini akan menjadi lebih panjang.

Felda tenat kerana Mohd Najib, atas nasihat konco-konconya yang tamak, menjual harta Felda dengan melakukan tawaran awam permulaan (IPO) melalui Felda Global Ventures Berhad (FGV) pada tahun 2012.

Tujuan tersiratnya adalah mengumpul dana untuk pilihan raya umum 2013 bagi pihak BN sambil mengisi kocek konco, kawan dan rakan.

Ladang dan aset Felda yang dulunya digunakan untuk menjana pendapatan tambahan bagi membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh dipindahkan kepada FGV.

Oleh sebab kaedah korporat yang tidak lestari serta penyelewengan oleh pengurusan, harga saham FGV jatuh merudum – daripada harga IPO RM4.55 kepada 77 sen sekarang – dan ia gagal menjana pendapatan tambahan untuk Felda.

Akibat manipulasi korporat melalui FGV inilah Felda mengalami kerugian besar dan hilang kemampuan untuk membantu peneroka ketika harga kelapa sawit dan getah jatuh. Sebaliknya Felda kini terpaksa menjalani proses pembersihan dan pembinaan semula.

Giliran Tabung Haji

Sekarang giliran TH pula. Apa lagi hendak kita katakan apabila tabung simpanan untuk mengerjakan haji dan memperkukuhkan ekonomi umat Islam pun dinodai, diperkosa depan umat Islam yang asyik bercakaran.

Buat sekian lama kita mendengar berita dan dakwaan mengenai penyelewengan dan pelanggaran urus tadbir dalam TH, khususnya apabila orang kesayangan keluarga Najib, Abdul Azeez Abdul Rahim, dilantik menjadi pengerusi pada bulan Julai 2013.

Tetapi semuanya dinafikan dan orang yang membuat pendedahan, 5 waktu secara berjemaah dikutuk dan dikenakan tindakan.

Media massa arus perdana turut bersubahat menghebahkan yang salah dan membenamkan yang benar. Ularmak-ularmak tersohor di Malaysia mendiamkan diri. Takut dibuang kerja.

Daripada kenyataan media Dr Mujahid Yusof, menteri di Jabatan Perdana Menteri pada 10 Disember 2018, kita dapati sebaik saja Abdul Azeez menerajui TH, pelanggaran urus tadbir mula berlaku.

Dasar duit tunai adalah raja (cash is king) atau lebih tepat amalan menggunakan duit tunai bagi membeli undi mula diamalkan dengan membelakangkan undang-undang tubuh TH sendiri.

Hibah (dividen) diisytihar dan dibayar walaupun tidak memenuhi syarat. Sejak tahun 2014 hingga tahun kewangan 2017, hibah dibayar walaupun dua syarat wajib tidak dipenuhi.

Dua syarat wajib itu adalah (1) aset (harta) tidak boleh kurang daripada liabiliti (hutang) dan (2) ada keuntungan yang boleh diagihkan.

Inilah yang diingatkan oleh Zeti Akhtar Aziz ketika beliau menjadi gabenor Bank Negara.

Dalam surat kepada pengurusan TH pada tahun 2015, Zeti memberi ingatan bahawa TH tidak lagi boleh membayar hibah kerana hutangnya melebihi harta. Masa itu nisbahnya adalah 98 sen harta bagi setiap RM1 hutang.

Namun begitu, bukan saja peringatan sukarela beliau itu tidak dihiraukan sebaliknya disanggah oleh para penyokong dan penggilap apel Najib seperti ketua pemuda Umno sekarang, Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Kewangan TH

Akaun tahun kewangan 2017 TH yang dibentangkan di Parlimen pada 10 Disember 2018 menunjukkan, aset keseluruhan TH sebanyak RM70.3 bilion manakala liabiliti (hutang/tanggungan) RM74.4 bilion. Ini bermakna TH mengalami defisit (kekurangan) RM4.1 bilion pada 31 Disember 2017.

Sehubungan itu, kata Dr Mujahid, pengisytiharan dan pembayaran hibah bagi tahun 2017 (yang dibuat Februari lalu) melanggar Akta Tabung Haji 1995.

Najib Razak, Bapa Penyamun Malaysia, ketika mengalu-alukan pengisytiharan hibah itu dilaporkan berkata bahawa, kecekapan pengurusan TH membolehkan kadar yang lebih tinggi dibayar.

Kata Mujahid, “TH telah mengisytiharkan hibah sejak 2014 dan ia tidak mengikut akta kerana asetnya kurang daripada liabiliti.”

“Berdasarkan keadaan semasa TH ketika ini, pelan pemulihan secara menyeluruh perlu dilakukan bagi memulihkan penyata kira-kira TH,” tambah beliau.

Inilah yang dilakukan oleh ahli lembaga pengarah dan pengurusan baru TH yang dilantik oleh kerajaan PH mulai Julai lalu.

Banyak lagi yang perlu dilakukan bagi mengembalikan TH ke landasan kewangan dan pengurusan haji yang betul dan lestari.

Pemerhatian

Izinkan saya membuat pemerhatian ringkas. Rasanya amat sesuai bagi kerajaan dan pengurusan TH membaca balik dokumen dan sejarah TH mulai 1963. Ada dua tujuan utama TH ketika itu.

Pertama mengurus pengerjaan haji oleh orang Islam Malaysia dan kedua memudah serta menggalakkan orang Islam menabung.

Pertama, saya tidak pasti apa peranan subsidi haji dan kegiatan pelaburan TH. Apakah kaitan penunaian haji dengan subsidi kalau kewajipan haji adalah ke atas orang yang mampu sahaja?

Kedua, mengenai kegiatan pelaburan yang nampaknya menjadi keutamaan dan kegilaan (obsession) pengurusan TH. Adakah ini matlamat TH?

Harus ada perbezaan di antara menabung untuk mengerjakan haji dengan melabur. Serentak itu, kita tidak mahu orang Islam menabung sekadar untuk melayakkan diri mendapat subsidi.

Justeru itu, isu subsidi haji dan pelaburan ini wajib dikaji semula dan difahami di segi agama dan perniagaan.

Adakah TH agensi perniagaan yang matlamatnya keuntungan atau agensi pengurusan haji dan penabungan?

Pelan pemulihan

Menurut Dr Mujahid, lembaga pengarah TH telah mencadangkan rancangan pemulihan yang membabitkan penubuhan sebuah badan khas – special purpose vehicle atau SPV.

SPV ini akan ambil alih, memulih dan maksimumkan nilai harta TH yang sekarang rendah prestasinya. Dengan itu beban hutang TH dapat dikurangkan atau dimansuhkan terus.

Kata Dr Mujahid, pelan itu telah diteliti dan diberi sepenuh sokongan oleh kabinet. Selaras dengan itu, kerajaan telah bersetuju meletakkan TH dibawah pengawasan Bank Negara.

“Bagi memastikan pelan jangka masa panjang yang mapan, kerajaan telah memutuskan untuk meletakkan TH bawah pengawasan Bank Negara Malaysia secara pentadbiran bermula 1 Januari 2019,” kata Dr Mujahid.

Pengampu

Dulu lain sekarang lain. Sewaktu TH diasaskan pada tahun 1963, niatnya suci dan orang yang dilantik bagi menguruskannya terdiri daripada orang yang berkepakaran dan amanah. Bukan jenis cium tangan.

Masa itu perdana menteri, almarhum Tunku Abdul Rahman Putera, tidak berpura-pura tunjuk alim. Orang Islam pun belum tergila-gila berjubah macam orang Arab. Tetapi mereka ikhlas dan amanah.

Kesimpulannya, dalam kita berusaha memulihkan TH, kita hendaklah kembali ke pangkal jalan bagi memahami dan menghayati tujuan asal penubuhannya.

Kita perlu memastikan sama ada melabur, membuat keuntungan, membayar hibah dan memberi subsidi adalah sebahagian daripadanya.

TH rosak kerana melantik orang yang tidak amanah dan tidak berpengetahuan atau juga kerana terlalu mengejar keuntungan seolah-olah ia adalah badan perniagaan.

Mulai sekarang, lebih baik kita pagar sawah bendang kita daripada asyik marahkan pegar.

Memang tabiat semula jadi burung pegar makan padi. Kalau kita harapkan pegar menjaga padi, memang bodohlah kita.

*Penulis adalah A KADIR JASIN, penasihat media perdana menteri dan pemimpin pusat BERSATU.

Bagaimana kerugian TH Disembunyikan?

Bekas pengerusi Tabung Haji (TH) Abdul Azeez Abdul Rahim mempertikaikan kenyataan menteri agama Mujahid Yusof yang menyebut badan berkanun itu mengalami defisit RM4.1 bilion.

Mujahid, berdasarkan laporan juruaudit bebas PriceWaterhouseCoopers (PWC), semalam berkata TH mempunyai aset RM70.3 bilion dan liabiliti RM74.4 bilion, menjadikan jumlah defisit RM4.1 bilion pada 2017.

Azeez memetik laporan sebuah lagi syarikat audit bebas Ernst & Young (E&Y) yang dilantik pada era BN.

Katanya, aset TH sepatutnya berjumlah RM74.7 bilion dan liabiliti RM74.4 bilion pada penghujung tahun 2017. Justeru, kata Aziz, lebihan RM373 juta telah dicatatkan.

Bagaimanapun, dari mana datangnya perbezaan lebih RM4 bilion antara kedua-dua laporan ini?

Perkara ini dijelaskan oleh semakan kedudukan kewangan oleh PWC yang dibentangkan di Dewan Rakyat.

Menurut PWC, semakan itu mendapati terdapat kerugian RM4.258 bilion dalam bentuk ekuiti, yang sebelum ini disembunyikan melalui perakaunan kreatif.

Manipulasi had ambang

Menurut standard laporan kewangan, sesebuah syarikat harus mengisytiharkan kerugian jika nilai saham yang dibeli jatuh 20 peratus berbanding kos asal secara berterusan dalam tempoh sembilan hingga 12 bulan.

Bagaimanapun, menurut PWC, Tabung Haji menetapkan had ambang ( threshold) 70 peratus untuk tempoh 24 bulan. Angka itu diubah dua kali pada 2017, kepada 85 dan 90 peratus.

PWC berkata jika had ambang ditetapkan pada 70 peratus, TH patut mengisytiharkan kerugian sebanyak RM1.313 billon.

Jika pada 85 dan 90 peratus pula, kerugian patut diisytiharkan masing-masing sebanyak RM171 juta dan RM1 juta sahaja.

PWC berkata penyembunyian kerugian ini bertujuan menunjukkan jumlah keuntungan yang cukup untuk membayar dividen pada 2012. Akta Tabung Haji 1995 tidak membenarkan pengagihan dividen ketika rugi.

PWC berkata jika standard biasa dipakai (had ambang 20 peratus untuk tempoh 12 bulan), jumlah kerugian penuh ekuiti adalah sebanyak RM4.258 bilion.

Selain menyembunyikan kerugian, PWC juga mendapati TH menjual saham-sahamnya untuk melaporkan keuntungan tetapi kemudian membeli semula dengan tambahan kos pembrokeran.

Anak syarikat TH pula dilapor mengisytiharkan dividen yang tinggi tetapi tidak membuat bayaran penuh.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon