Wednesday, November 21, 2018

9 Legenda Dan Mitos Ikan Duyung Diseluruh Dunia!


Selama ribuan tahun manusia telah menulis mengenai ikan duyung. Makhluk ini menjadi begitu terkenal di dalam rancangan televisyen atau filem dan hampir kebanyakan budaya mempunyai versi legenda ikan duyung tersendiri.

Ramai berpendapat penampakan ikan duyung pada zaman dahulu adalah imaginasi para kelasi yang tersalah anggap haiwan seperti dugong, singa laut atau ikan lumba-lumba.

Namun, legenda kewujudan ikan duyung ini masih menarik minat manusia di seluruh pelusuk dunia dan berikut adalah beberapa kisah mengenainya.

1. Jiaorén - China

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam legenda China, Jiaoren adalah ikan duyung yang bukan sahaja cantik malah makhluk ini juga mempunyai kemahiran untuk membuat pakaian dari kain yang dinamakan "tenunan naga" yang tidak basah jika terkena air. Jika Jiaoren menangis, air matanya akan bertukar menjadi mutiara.

Semasa Dinasti Jin, terdapat satu catitan di mana ia menceritakan tentang kemunculan ikan duyung yang menjual kain "tenunan naga" ini kepada manusia.

Jika ada sesiapa yang menawarkannya tempat tinggal, dia akan berterima kasih dengan menitiskan air mata ke dalam bekas tadahan yang kemudian dipenuhi oleh mutiara.

Dalam sejarah, beberapa orang bangsawan China mendakwa mereka mempunyai pakaian yang dihasilkan menggunakan "tenunan naga" ini.

2. Ningyo - Jepun

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Berbeza daripada legenda ikan duyung versi barat yang kebanyakannya dikatakan cantik, versi ikan duyung Jepun ini adalah sebaliknya. Ningyo dikatakan seekor ikan gergasi yang mempunyai wajah manusia, mulut monyet dengan taring keemasan dan juga tanduk.

Makhluk ini dikatakan mempunyai suara seakan-akan bunyi tiupan seruling. Menurut legenda lagi, sesiapa sahaja yang memakan daging Ningyo akan menjadi cantik, muda dan hidup kekal.

Namun, jika makhluk ini ditangkap, akan terjadinya ribut yang sangat dahsyat dan juga akan membawa nasib yang malang kepada seluruh kampung.

3. Iara - Brazil

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Menurut legenda Brazil, Iara adalah seorang gadis yang berani serta pintar dan tinggal di Amazon. Dia mempunyai kebolehan berlawan yang lebih baik dari saudara lelakinya yang lain. Disayangi dan dihormati oleh puaknya membuatkan abang-abangnya cemburu.

Mereka kemudian telah membunuh Iara dan membuang mayatnya ke dalam Sungai Amazon. Ketika itu Dewi Bulan iaitu Jaci berasa kasihan terhadapnya dan telah menghidupkannya semula sebagai seekor ikan duyung.

Setelah dihidupkan semula, Iara telah menghabiskan masanya membalas dendam terhadap lelaki. Setiap kali ada lelaki yang mati lemas di Sungai Amazon, mereka percaya ia adalah perbuatan Iara.

Suatu hari, seorang lelaki bernama Jaraguari bertemu dengan Iara dan mereka berdua telah jatuh cinta. Jaraguari memberitahu ibunya dia telah menemui seekor ikan duyung yang cantik dan ingin bersamanya di dalam kehidupan dalam air. Selepas itu mereka percaya bahawa roh Iara telah menjadi tenang.

4. The Finfolk - Ireland & Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Ireland dan Scotland, mereka percaya bahawa "Finfolk" adalah spesis ikan duyung yang tinggal di kerajaan bawah laut bernama Finfolkenheim. Pada musim panas makhluk ini dipercayai akan berehat di Hildaland, iaitu sebuah pulau yang akan muncul buat seketika waktu sahaja.

Makhluk ini juga dipercayai boleh berubah bentuk kepada ikan atau manusia sepenuhnya. Selain itu Finfolk dikatakan sangat cantik dan akan menggoda manusia supaya mengawan dengan mereka.

Namun, ia sebenarnya berniat untuk mengambil keperawanan manusia untuk kekal hidup selamanya. Jika ada sesiapa yang diculik atau kelasi hilang di lautan, mereka percaya ia adalah perbuatan Finfolk itu.

Walau bagaimanapun, jika Finfolk berkahwin sesama sendiri, Finfolk betina yang dikenali sebagai Finwife akan berubah bentuk menjadi seorang wanita tua yang akan ke darat untuk bekerja bagi mendapatkan wang dan makanan.

5. Mami Wata - Afrika

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Mami Wata adalah dewi ikan duyung Afrika yang mempunyai kuasa menyembuh dan ibu kepada semua hidupan laut. Terdapat banyak kisah penampakannya di tasik, sungai dan laut di benua itu.

Mami Wata sering dilihat memegang ular air di sekitar bahunya dan dia dikatakan boleh berubah bentuk kepada wanita, ikan atau ikan duyung mengikut kemahuannya.

Sehingga hari ini masyarakat di Afrika berasa taksub mengenai legenda Mami Wata. Terdapat banyak patungnya dijual sebagai cendera hati. Di Afrika juga terdapat satu kumpulan yang memuja para dewi dan mereka digelar sebagai "anak Mami Wata".

Mereka mendakwa sering bermimpi didatangi Mami Wata yang memanggil mereka untuk melakukan upacara pembersihan kerohanian.

6. Triton - Greece

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di dalam mitos Greek, Triton merupakan tuhan yang menjaga tasik Tritonis. Dia adalah anak kepada Poseidon iaitu tuhan lautan. Triton dikatakan membawa cengkerang di mana ia digunakan sebagai semboyan dan juga senjata.

Menurut legenda, jika kelasi sesat di tasik itu, Triton akan membantu mereka dengan mencipta sebidang tanah yang kini dikenali sebagai pulau Thera. Pada kelasi yang sesat dapat berehat di situ sementara Triton akan menerangkan kepada mereka jalan kembali kepada lautan terbuka.

Tidak semuanya kisah baik mengenai Triton. Jika terdapat ternakan yang hilang atau kelasi terbunuh di lautan, ia adalah perbuatan Triton. Kerana tidak mampu melawan kuasa tuhan, mereka akan menawarkan minuman keras yang diletakkan di tepi pantai sebagai sembahan kepada Triton.

7. Millalobo - Chile

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Di Chile, terdapat mitos mengenai raja di lautan yang digelar sebagai Millalobo. Ia adalah separuh manusia dan separuh lagi singa laut. Millalobo dikatakan berkahwin dengan manusia dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Pincoy serta 2 anak perempuan bernama Sirena dan Pincoya.

Beberapa orang kelasi mendakwa mereka pernah dibantu oleh Pincoy menunjukkan arah pulang ketika sesat di lautan. Pincoya pula dikatakan sebagai seorang wanita paling cantik di dunia dengan rambut perang serta mempunyai mata berwarna biru.

Pincoya dikatakan akan duduk di atas batu dan gemar menari. Jika dia memandang ke arah lautan maka para nelayan akan mendapat banyak tangkapan dan jika dia memandang ke arah darat maka sebaliknya pula yang akan berlaku.

8. Ceasg - Scotland

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Disebut dengan "kee-ask", ikan duyung dari Scotland ini adalah separuh wanita dan separuh ikan salmon. Legenda menceritakan sesiapa yang berjaya menangkap Ceasg ini akan mendapat 3 permintaan.

Makhluk ini dikatakan menggoda manusia kepada kematian sama seperti legenda Siren. Cara untuk membunuh Ceasg ialah dengan memusnahkan azimat mereka berbentuk cengkerang di mana ia menyimpan rohnya dan disembunyikan agar tidak dijumpai manusia.

Legenda juga mengatakan jika anda berjaya menemui cinta sejatinya bersama Ceasg, mahkluk ini akan bertukar sepenuhnya kepada manusia. Tiada 3 permintaan yang diberikan, sebaliknya anda akan menjadi bertuah sepanjang hidup.

Terdapat beberapa keluarga di Scotland mendakwa mereka adalah dari keturunan pasangan manusia dan ikan duyung yang berkahwin.

9. Melusine - Perancis

Legenda Dan Mitos Ikan Duyung

Legenda mengenai ikan duyung ini banyak diceritakan di dalam kisah dongeng Eropah. Melusine mempunyai bahagian bawah badan menyerupai ekor ular.

Melusine dikatakan seorang wanita garang yang ingin membalas dendam terhadap ayahnya bagi pihak ibunya. Dia dikatakan telah berkahwin dengan seorang bangsawan dan mengenakan satu syarat pelik, iaitu dia ingin bersendirian selama 1 hari dalam seminggu.

Akan tetapi kerana sifat ingin tahu, suaminya telah mengintai Melusine ketika bersendirian dan terkejut apabila mendapati isterinya itu sebenarnya adalah ikan duyung.

Kerabat di raja Perancis dari House of Lusignan mendakwa mereka adalah keturunan dari Melusine. Kini, gambarnya kelihatan di seluruh dunia, terutamanya pada lambang minuman kopi terkenal iaitu Starbucks.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon