Thursday, November 22, 2018

Kisah Seram Hantu Janet Di Sarawak Yang Terkenal Di Seluruh Dunia


Pernahkah anda mendengar mengenai Hantu Janet yang popular suatu masa dahulu di Sarawak sekitar tahun 70-an dan 80-an? Terdapat banyak versi cerita mengenai Hantu Janet yang sering dibualkan, namun ianya mempunyai persamaan di mana ia merupakan hantu seorang wanita yang sering mengganggu orang ramai di Kuching.

Hantu Janet

Janet dikatakan seorang gadis berketurunan Tionghua yang dipercayai telah diculik pada penghujung tahun 60-an. Difahamkan Janet adalah seorang jururawat yang bekerja di Hospital Umum Sarawak (HUS). Ketika kejadian culik itu dia dikatakan baru sahaja selesai bertugas dan dalam perjalanan pulang pada waktu malam.

Ketika itu, kejadian culik kerap berlaku di Kuching dan ramai orang percaya ia adalah disebabkan ritual "korban semah" yang sering dilakukan mengikut kepercayaan masyarakat dulu.

Kebiasaannya ritual ini dilakukan apabila ada sesuatu bangunan atau pembinaan sedang dijalankan dan ritual itu bertujuan untuk mengelak daripada diganggu penunggu.

Ketika itu kehilangan Janet dikaitkan dengan projek pembinaan Jambatan Satok di Kuching di mana terdapat satu pembinaan satu struktur yang besar sedang dilakukan di jambatan itu.

Pembinaan struktur itu tergendala akibat gangguan makhluk halus dan pada ketika itulah mereka yang terlibat dengan pembinaan dipercayai mencari mangsa.

Mereka selalunya akan mencari gadis perawan untuk dijadikan korban dan hanya bahagian kepala sahaja yang akan digunakan. Kepala mangsa biasanya akan dipenggal dan ditanam di dalam struktur binaan seperti tiang konkrit.

Mayat Janet kemudian ditemui tidak lama selepas itu tanpa kepala. Orang tuanya yang sedih dengan kematian Janet telah mengebumikan anak mereka dengan memakai pakaian berwarna merah.

Kaum Cina percaya jika seseorang itu dikebumikan memakai pakaian berwarna merah, roh mereka akan kembali membalas dendam. Mungkin itu yang diingini keluarganya bagi menuntut bela atas kematian Janet.

Hantu Janet Payung Merah

Tidak lama selepas itu Hantu Janet mula mengganggu orang ramai. Banyak cerita mengatakan bahawa wanita berpakaian berwarna merah, berkasut merah dan membawa payung merah sering kelihatan pada waktu malam merayau-rayau seorang diri terutamanya di antara Kampung Kudei dan Kampung Bintangor yang terletak di kawasan Satok.

Hantu Janet juga dikatakan kerap menahan kereta dan meminta untuk ditumpangkan ke sesuatu kawasan. Setibanya di kawasan yang dimaksudkan, wanita berpakaian serba merah itu akan hilang dalam sekelip mata meninggalkan bau yang busuk.

Malah, Hantu Janet juga gemar menahan pemandu lelaki dan akan mengajak untuk tengok wayang tayangan tengah malam kerana dia gemar menonton wayang tengah malam semasa hidupnya.

Ada juga dakwaan lain mengatakan wanita berpakaian serba merah sering kelihatan menaiki feri pada waktu malam untuk merentasi Sungai Sarawak.

Setibanya feri di seberang sungai, wanita itu akan hilang dan duit tambang yang dibayarnya akan bertukar menjadi daun kering ataupun wang kertas palsu yang digunakan kaum Cina untuk dibakar pada upacara kematian dan sehingga ke hari ini, operator feri enggan enggan meneruskan perkhidmatan selepas jam 10 malam.

Ada juga yang memberitahu terlihat Hantu Janet berlegar-legar di kawasan Hospital Umum Sarawak. Sehingga hari ini, penduduk di Kuching takut untuk menyebut namanya kerana dikhuatiri akan diganggu Hantu Janet.

Hantu Janet ini bukan sekadar terkenal di seluruh Sarawak dan Malaysia sahaja malah di negara-negara lain juga.

Ada satu komik Jepun atau Manga telah memuatkan kisah mengenai Hantu Janet ini di dalam komik bertajuk "3 X 3 Eyes" dalam bab "The Red Rain of Malaysia" sebanyak 3 jilid.

Hantu Janet Manga

Ia telah ditulis dan diilustrasikan oleh Yuzo Takada dan diterbitkan dari 1987 hingga 2002 merangkumi 40 jilid. Pada tahun 1993, komik ini telah memengangi Anurgerah Kodansha Manga.

Komik "3 X 3 Eyes" itu mengisahkan tentang seorang lelaki bernama Yakumo Fuuji yang bekerja untuk satu entiti Immortal telah dipanggil ke Sarawak untuk menangkap roh jahat Hantu Janet yang sering mengganggu penduduk dan membalas dendam ke atas kematiannya.

Namun begitu, jalan cerita mengenai Hantu Janet diubah sedikit mengikut imaginasi penulis dan pelukis komik tersebut.

Selain dimuatkan dalam komik Jepun, Hantu Janet juga telah dijadikan sebagai salah satu watak dalam permainan video online "Ghost Trapper".

Di dalam permainan online ini juga, Hantu Janet memakai pakaian serba merah, sama seperti nama permainan ini, pemain dikehendaki menangkap seberapa banyak hantu yang boleh dalam pengembaraan mereka.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: iluminasi

1 comment

  1. nasib baik le baru ni pergi Sarawak tak terserempak dengan hantu janet!, ingatkan buaya je bahaya kat sini, Hantu pun ada!

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon