Wednesday, November 28, 2018

Kenapa Soviet Union Tewas Peperangan Di Afghanistan?


1980 merupakan tahun yang tidak akan dilupakan oleh rakyat Afghanistan kerana itulah tahun di mana Kesatuan Soviet melancarkan serangan ke atas negara tersebut, menyaksikan pemboikotan Sukan Olimpik 1980 oleh banyak negara termasuk Malaysia sebagai bantahan kepada tindakan Moscow.

Soviet Afghanistan War

Namun, perang yang berlangsung selama sembilan tahun itu mengakibatkan kehilangan nyawa yang ramai di pihak Soviet dan mengundang kos kewangan sebanyak tiga bilion dolar setahun untuk membiayai perang itu.

Akhirnya pada tahun 1989, Presiden Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev menamatkan perang dan membawa kontinjen tentera Rusia keluar dari Afghanistan. Tetapi mengapa ia boleh berlaku?

SEJARAH AFGHANISTAN

Kita kena melihat sejarah negara itu sendiri. Afghanistan sudah diketahui sebagai tempat lintasan empat rantau iaitu Timur Tengah, Asia Tengah, Asia Selatan dan Timur Jauh untuk Laluan Sutera.

Dan untuk abad-abad berikutnya, negara ini menyaksikan konflik empayar-empayar besar yang berebut mahu menguasai India. Maka tidaklah mengejutkan, Kabul menyaksikan siri pertempuran dan penghijrahan berlaku pada abad-abad tersebut.

Dan kerana ini juga, situasi dalam negeri dan polisi luar Afghanistan turut dipengaruhi oleh negara-negara jiran terutama kuasa-kuasa besar yang menjajah atau menjadi jiran negara tersebut.

Abad ke-19 dan 20 Masihi menyaksikan pertembungan Britain dan Rusia di Afghanistan sehinggakan ia digelar ramai sebagai The Great Game.

Bukan sekali dua kedua-dua kuasa besar ini bertembung bukan saja dari segi pengembangan pengaruh tetapi juga cuba mewujudkan rejim boneka pilihan mereka di Afghanistan.

Rusia menunjukkan minat terhadap Afghanistan kerana mahu menjaga soal perdagangan dan akses kepada pelabuhan di mana perairannya panas iaitu Teluk Parsi dan Lautan Hindi.

Sementara Britain pula mahu menjadikan Afghanistan sebagai pelindung kepada India dan menganggap cubaan Moscow itu mengancam kepentingannya di Delhi.

Walaupun kedua-dua kuasa ini cuba mendominasi Kabul tetapi cubaan mereka ditolak oleh rakyat Afghanistan. Britain akhirnya dapat menguasai Kabul tetapi masih gagal mendominasi rantau tersebut, menjadikan Afghanistan sebagai pelindung kepentingan dua kuasa besar terlibat.

Sempadan Afghanistan yang kita ketahui hari ini berpunca daripada keputusan Suruhanjaya Sempadan Anglo-Rusia yang dibuat pada tahun 1895 dan selepas Perang Dunia Pertama, rundingan London-Kabul menyaksikan Afghanistan diberi kebenaran mengendalikan urusan luarnya sendiri.

Selepas Revolusi Bolshevik pada tahun 1917, Moscow mula menjalin hubungan dengan Kabul dengan tujuan mengurangkan kegusaran kepada populasi Rusia yang beragama Islam. Ini menjadikan mereka negara pertama menjalin hubungan luar dengan Afghanistan.

Bagaimanapun, itu tidak menghalang mereka cuba mengukuhkan cengkaman di Kabul melalui Perjanjian Persahabatan Soviet-Afghanistan yang lebih menjurus kepada jaminan keselamatan Soviet.

Hasil dari perjanjian ini, Afghanistan mendapat 12 jet pejuang Soviet untuk digunakan untuk membedil mana-mana puak yang memusuhi kerajaan pusat. Walau bagaimanapun, Kabul lebih bersifat neutral dalam soal urusan dunia.

Pemerintah-pemerintah Afghanistan sedar mereka memerlukan lebih banyak bantuan asing untuk menjana kegiatan ekonomi dan proses pemodenan negara tersebut.

Bagaimanapun, pemerintah-pemerintah awal Kabul lebih memilih kemerdekaan berbanding pertumbuhan ekonomi dan mereka ada sebab kukuh iaitu enggan membenarkan kuasa-kuasa asing mempergunakan Afghanistan sebagai pertukaran kepada bantuan asing yang ditawarkan.

Kemudian, hubungan luar Kabul perlahan-lahan berkembang dengan Soviet membina rangkaian talian telefon pada tahun 1924.

Persahabatan kedua-dua negara ini terus terjalin erat dengan perjanjian anti-keganasan yang dimeterai pada tahun 1926 dan 1931 dan pada tahun 1934, Kabul menjadi anggota Liga Negara-Negara dan mengadakan hubungan luar dengan Amerika Syarikat.

Sepanjang Perang Dunia Kedua, Afghanistan mengekalkan polisi berkecuali terhadap semua negara konflik ketika itu iaitu Washington, London, Moscow, Jerman, Jepun dan Itali. Selepas perang berakhir, Kabul memanipulasi Timur dan Barat untuk mendapatkan akses bantuan asing.

Bagi mengukuhkan hubungan Washington-Kabul, kedua-dua negara memeterai kerjasama berkenaan Projek Lembah Helmand, bertujuan memanfaatkan potensi pengairan dan hidroelektrik yang terdapat pada Sungai Helmand.

Bagaimanapun, projek tersebut dihantui oleh masalah teknologi kedua-dua negara dan hanya siap dibina pada tahun 1950. Salah faham dan curiga yang tercetus akibat projek ini mengakibatkan Washington bermula dengan langkah kiri dalam soal pemberian bantuan asing kepada Kabul.

Dan kalau mengikut logik Washington ketika itu, mereka lebih berminat kepada proses pembinaan semula dan penstrukturan politik di Eropah dan Jepun. Afghanistan bukanlah berada dalam senarai teratas birokrat-birokrat Washington dalam soal keselamatan.

Tetapi semuanya berubah apabila Perang Dingin tercetus. Bagi Uncle Sam, inilah peluang baginya mengekang mana-mana negara asing daripada terjerat dengan pengaruh Soviet, mendorong mereka mengadakan perjanjian pertahanan seperti Perjanjian Pertubuhan Asia Tenggara (SEATO) dan Pakatan Baghdad.

Dan sebagai tukaran kepada tambahan bantuan asing Washington, mereka mahukan Kabul memeterai mana-mana perjanjian pertahanan bersama, satu perjanjian yang ditolak mentah-mentah oleh Kabul.

Akibatnya, Amerika mengurangkan bantuan asing kepada mereka dan menambah bantuan asing kepada negara jiran Afghanistan, Pakistan, berikutan kesediaan Islamabad memeterai perjanjian keselamatan bersama.

Tahun-tahun pasca-WWII ini menyaksikan bagaimana Kabul dilayan oleh Moscow dan Washington.

Moscow melihat Afghanistan sebagai satu lagi negara yang boleh dijadikan eksperimen seperti Korea Utara untuk menguji sejauh mana Washington akan bertindak di negara dunia ketiga itu.

Pada dekad 50-an, hubungan Moscow-Kabul semakin erat menerusi perjanjian dagangan dan bantuan pinjaman jangka panjang, menyebabkan Afghanistan semakin bergantung kepada Kesatuan Soviet.

Pada tahun 1955, sebagai pertukaran kepada sumber petroleum Soviet, Kabul sedia membekalkan bahan mentah yang diperlukan mereka, menyebabkan catuan minyak pada ketika itu dihapuskan dan meningkatkan lagi pembangunan infrastruktur terutama dari segi telekomunikasi.

Antara tahun 1955 hingga 1965 saja, Soviet memberi bantuan asing sebanyak $552 juta kepada Afghanistan dan menjelang tahun 1972, angka tersebut meningkat kepada hampir $1.2 bilion.

Ini menjadikan Soviet pemberi bantuan asing terbesar di Afghanistan sementara Washington pula hanya menyumbang sebanyak 30 peratus bantuan asing Afghanistan.

SOSIOPOLITIK

Bagi memahami suasana politik Afghanistan yang akhirnya menyumbang kepada konflik Soviet-Afghanistan, kita kena melihat perilaku lelakinya. Mereka amat berdikari bukan saja dalam kehidupan peribadi tetapi juga dari segi kehidupan komuniti.

Faktor geografi dan kesusahan hidup turut mendorong kabilah-kabilah di situ lebih memilih mentadbir kabilah mereka dan menolak sebarang bentuk kerajaan pusat sepanjang sejarah negara itu.

Faktor etnik, status dan perbezaan ideologi juga turut menyumbang kepada perpecahan politik tetapi juga aspek kehidupan seharian di Afghanistan.

Dengan 80 peratus populasi tinggal jauh dari bandar-bandar besar dan pengaruh kerajaan, menyumbang kepada pergolakan politik yang dari tahun 1930-an hingga 1960-an saja, ada enam kumpulan pembangkang Afghanistan yang berpangkalan di Pakistan untuk menentang semua polisi dan program kerajaan.

Soviet tidak menubuhkan sebarang parti komunis dan tidak bergiat aktif dalam arena politik Afghanistan sehinggalah tahun 1960-an walau bagaimanapun, penglibatan mereka pada dekad tersebut masih terhad.

Pada awal tahun 1960-an, sebuah parti politik bernama Parti Demokratik Rakyat Afghanistan (PDPA) ditubuhkan. Pengasasnya ialah Nur Muhamad Taraki, seorang pemimpin popular dalam kalangan rakyat.

Kumpulan ini tidak mendedahkan asal-usul fahaman komunisme mereka dan lebih banyak berkempen kerajaan demokratik kebangsaan pada platform mereka. Tetapi secara senyap, mereka amat setia dan berdedikasi pada fahaman Lenin-Marxisme.

Namun, parti tersebut berpecah kepada dua bahagian berikutan masalah perpecahan, rasuah dan prejudis yang membelenggu parti itu.

Dua kumpulan pro-Soviet dalam PDPA ialah Parchami atau bendera diketuai Babrak Karmal dan Khalq atau rakyat diketuai Taraki.

Parchami mendapat sokongan kumpulan intelektual dan berpendidikan, sementara Khalq pula mendapat sokongan dari penduduk pedalaman. Matlamat kedua-dua organisasi juga berbeza di mana Khalq mahu mengikut model revolusi Bolshevik sementara Parchami pula lebih berminat meneruskan revolusi dalam kerangka demokrasi.

Dan latar belakang kedua-dua pemimpinnya juga berbeza. Tidak seperti Taraki, Karmal merupakan anak kepada seorang jeneral tentera. Namun semua itu berubah pada tahun 1973.

Pada tahun itu, sepupu kepada Raja Afghanistan iaitu Zahir Shah, Jeneral Mohammad Daoud yang mendapat sokongan kumpulan Parchami menggulingkan sistem monarki negara tersebut dan mengisytiharkan Afghanistan sebagai sebuah negara republik. Daoud turut menamakan dirinya sebagai presiden.

Tiga tahun selepas itu, Taraki dan Karmal mengetepikan sebentar perbezaan mereka dan kembali bersatu untuk menentang Daoud dan menjelang tahun 1977 dan 1978, penentangan semakin meningkat lebih-lebih lagi selepas pembunuhan seorang editor akhbar berhaluan kiri merangkap ahli jawatankuasa pusat PDPA pada tahun itu.

Ini membawa kepada protes besar-besaran parti tersebut kepada kerajaan semasa upacara pengebumian dan untuk memulihkan keamanan awam, Daoud mengarahkan ramai pemimpin PDPA ditahan termasuk Taraki, Karmal dan bakal presiden, Hafizullah Amin.

Sepanjang enam tahun pemerintahnnya, Daoud cuba mengukuhkan kuasanya sebagai presiden. Kem Parchami dan Moscow mahukan beliau lebih condong ke arah Soviet tetapi tindak-tanduknya bersifat kontra dengan apa yang dimahukan mereka.

Daoud menyingkirkan ramai anggota Parchami dari kerajaannya dan cuba mengurangkan hubungan dengan Moscow. Sebaliknya, beliau mula berbaik-baik dengan India, Iran, Mesir dan paling tidak disangka-sangka, Pakistan.

Namun, pemerintahan beliau tidak bertahan lama kerana pada April 1978, Daoud disingkirkan dan digantikan oleh Taraki. Sementara Karmal pula dilantik sebagai naib presiden Afghanistan.

Pada masa inilah, mereka cuba memperkenalkan reformasi pertanian dan sosial tetapi reformasi tersebut mendapat sambutan negatif dalam kalangan rakyat. Ini kerana reformasi yang cuba dilaksanakan bersifat terburu-buru dan melawan nilai budaya dan etnik warga Afghanistan. Dan ini sekali lagi mencetuskan perbalahan antara Parchami dan Khalq.

Sebagai tindak balas, Taraki menyingkirkan anggota Parchami dari kerajaannya dan mencetuskan situasi huru-hara di Afghanistan. Ramai melihat tindakan Taraki seolah-olah mahu menjadikan Afghanistan satu lagi koleksi dalam koleksi negara satelit yang dikawal Kesatuan Soviet.

Kebimbangan mereka berasas kerana selepas rampasan kuasa pada April 1978, bilangan penasihat tentera Soviet ialah dua ribu orang sementara penasihat awam pula seramai tiga ribu orang.

Bagi mereka, orang-orang Soviet dilihat mendominasi struktur ketenteraan dan awam negara tersebut dan bagi menambah kerisauan Kabul, Taraki turut memeterai Perjanjian Persahabatan, Kejiranan dan Kerjasama dengan Kesatuan Soviet pada Disember 1978.

Perjanjian yang dimeterai selama 20 tahun ini turut mengandungi klausa kedua-dua negara akan berunding dan menggunakan semua kaedah yang ada demi menjamin keselamatan, kemerdekaan dan integriti wilayah terlibat. Klausa inilah yang akhirnya digunakan oleh Soviet sebagai alasan untuk menceroboh Afghanistan.

Sepanjang tahun 1979, pergolakan dalaman terutama di kawasan pedalaman semakin meningkat. Antara insiden yang menarik perhatian ialah penculikan Duta Amerika Syarikat ke Afghanistan, Adolph Dubs.

Dubs kemudian terbunuh dalam satu serbuan polis Afghanistan selepas Soviet mengarahkan pihak tentera untuk menghapuskan pemberontakan tanpa mengambil kira kehadiran individu bernilai tinggi (HVI) dalam tahanan mereka dan sebagai tindak balas, Amerika Syarikat mengurangkan operasi dan bantuan luar kepada Afghanistan.

Selain insiden pembunuhan Dubs, Washington bertindak sedemikian sebagai bantahan kepada tindakan Kabul yang semakin ganas dalam mengekang ancaman pemberontakan dalam kalangan tentera.

Tempoh Julai 1978-Julai 1979 turut menyaksikan kerajaan Afghanistan mengalami rombakan sebanyak lima kali. Ia sebenarnya memberi petunjuk bukan saja pada kemelut politik tetapi juga perebutan kuasa antara Taraki dengan Amin.

Dengan situasi semakin buruk dan pemberontakan semakin meningkat, hubungan kedua-duanya juga semakin tegang terutama berkenaan cara menamatkan pemberontakan dan pada musim luruh 1979, taktik ganas rejim Taraki menambah lagi sentimen anti-kerajaan.

Taraki kemudian mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin Soviet termasuk Leonid Brezhnev, di mana mereka bersetuju pendekatan sederhana merupakan cara terbaik untuk menamatkan pemberontakan di Afghanistan.

Dan dari pertemuan ini juga, Taraki dan Soviet turut merancang membunuh Amin yang ketika itu berkhidmat sebagai Perdana Menteri Afghanistan.

Bagaimanapun, sebelum plot tersebut dapat dilancarkan, Amin merancang dan mengetuai plot rampasan kuasanya sendiri. Akibatnya, Taraki berjaya digulingkan dan terbunuh dalam plot rampasan kuasa itu.

Bagi pihak Soviet, kematian Taraki merupakan satu kehilangan dan kenaikan Amin pula dianggap tidak boleh dipercayai mereka. Ini kerana dalam kalangan rakyat Afghanistan, mereka memandangnya sebagai seorang nasionalis.

Walau bagaimanapun, itu tidak menghalang Soviet dari terus menghantar bantuan dan keperluan diperlukan Afghanistan dan bagi Brezhnev dan Amin, mereka berdua tahu negara itu amat memerlukan bantuan ekonomi dan senjata ketenteraan.

Untuk mengelak situasi Taraki berulang kepadanya, Amin cuba mengukuhkan kedudukan dan meraih undi popular rakyat, namun tindakan Amin menghalau keluar duta Soviet dari Afghanistan menyebabkan kedudukannya tidak lagi selamat. Bagi Soviet, jika Amin terus dibiarkan berkuasa, ia bakal mengancam semua pelaburan yang dibuat di Afghanistan selama ini.

Dan itu mendorong mereka melaksanakan klausa perjanjian sebelum itu dan menyerang Afghanistan pada 27 Disember 1979 dengan kekuatan tentera seramai 50,000 orang.

Dalam serangan tersebut, Amin terbunuh dan kedudukannya digantikan Karmal, pemimpin awal kelompok Parchami. Semasa serangan berlaku, Karmal berada di Moscow untuk mengumumkan rampasan kuasa dan jihad kebangsaan terhadap kerajaan Amin.

Selepas Soviet berjaya menguasai Kabul, Karmal kembali ke Afghanistan untuk bertemu dengan rakyat buat kali pertama, tetapi tanpa diketahui Karmal dan Soviet, babak ini sebenarnya permulaan kepada neraka ciptaan mereka sendiri.

Bagi orang biasa, mereka pasti menganggap tindakan Soviet ini seperti kaki buli yang hanya berminat meneruskan cita-cita imperialisnya, tetapi ia sebenarnya lebih rumit dari itu. Jika mereka tidak bertindak lebih cepat selepas kejatuhan rejim Amin, ia pasti mencetuskan situasi huru-hara dalam Afghanistan.

Dan rejim Amin pasti akan digantikan oleh kerajaan nasionalis di mana dari situ, ia akan mengundang lebih banyak bantuan asing dari Barat terutama dari Amerika Syarikat.

Jika ia dibenarkan berlaku, pasti ia akan mengundang malu yang teramat pada Soviet dan dianggap satu kekalahan dari segi ekonomi.

SEBAB SERANGAN

Motif utama Soviet dalam operasi mereka di Afghanistan ialah mengekalkan kawasan sempadannya yang boleh dipertahankan dan enggan membenarkan mana-mana kuasa asing mempergunakan Afghanistan untuk mengancam kedudukan mereka.

Cita-cita ini dikukuhkan lagi dengan hasrat Dostoevski yang mahu menjadikan Asia Tengah lebih bertamadun., membawa kepada pengilhakan kawasan utara Panjideh yang diduduki oleh puak Turki.

Ini disusuli pula pada tahun 1920-an dan 1930-an apabila Soviet meneruskan obsesi melawan kumpulan Basmachi yang dianggap mengancam kedudukan mereka dan berlindung di utara Afghanistan.

Obsesi Soviet terhadap kawalan sempadan ini berpunca daripada serangan kuasa-kuasa luar ke atas Rusia sepanjang lipatan sejarah. Bukan sekali dua kuasa-kuasa luar menyerang dan menduduki wilayah Rusia dari Genghis Khan hinggalah Napoleon dan rejim Nazi Jerman.

Atas sebab itulah, untuk mengelak situasi itu berlaku, mereka perlu memastikan ia dikelilingi oleh negara-negara yang taat sepenuhnya kepada Moscow dan satu cara terbaik untuk melakukannya ialah menempatkan tentera Soviet di sempadan mereka, seperti apa yang dilakukan di Mongolia, Poland, Jerman Timur, Czechoslovakia dan Hungary.

Mereka tahu kesetiaan rejim komunis di negara-negara yang disebutkan boleh dijamin dengan menempatkan kontinjen besar tentera di negara mereka. Selain itu, ia sebenarnya boleh mengekang pergerakan tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) di sebelah selatan dan mengimbangi pengaruh Ayatollah Ali Khomeni di Iran.

Ini kerana rejim pimpinan Ayatollah Khomeni walaupun tidak menyukai pihak Barat turut mempunyai pendirian anti-Soviet. Ini sekali gus mewujudkan zon penampan yang dapat mencegah pergerakan mana-mana kuasa asing.

Selain itu, serangan Soviet ke atas Afghanistan ini sebenarnya untuk menekan Pakistan, salah satu sekutu Amerika Syarikat. Hubungan dua negara berjiran itu sentiasa tegang terutama membabitkan isu sempadan dan ini mendorong pihak Soviet menyokong pihak Afghanistan.

Krisis diplomatik kedua-dua negara ini hanyalah topeng bagi Moscow untuk mendesak hubungan lebih erat dijalin antara Moscow dengan Islamabad.

Dan berikutan pelaburan yang dibuat pada infrastruktur Afghanistan, ia sebenarnya membuka jalan kepada operasi ketenteraan skala besar Soviet sekiranya diperlukan ke atas Islamabad dan Tehran.

Tidak seperti kedua-dua negara berkenaan, Afghanistan tidak pernah memeterai mana-mana perjanjian pertahanan atau pakatan anti-Soviet yang dipromosikan oleh Amerika Syarikat, mendorong Kabul beralih arah kepada Moscow untuk bantuan kewangan dan ketenteraan.

Ini memberi peluang kepada Soviet untuk menghindar Afghanistan dari menjadi sebahagian daripada sfera pengaruh Barat.

Kehilangan Afghanistan ialah satu kemungkinan yang tidak boleh diterima Moscow kerana jika itu berlaku, rejim boneka Soviet akan digantikan oleh rejim anti-Soviet dan sekiranya rejim tersebut bergabung dengan musuh-musuh serantau seperti Iran, Pakistan dan negara-negara Barat, ia pasti akan memaksa Soviet mempertahankan sempadan yang mempunyai jarak 1,500 batu persegi.

Menurut David Rees dalam artikelnya ‘Afghanistan Role in Soviet’s Strategy’, penguasaan ke atas Afghanistan dilihat ada kaitan dengan agenda mereka menguasai simpanan minyak rantau Timur Tengah.

Menurut Rees, Soviet mahu berbuat demikian demi memastikan pihak Barat dan sekutu-sekutunya tidak mendapat akses pada simpanan minyak wilayah tersebut. Pada ketika itu, mereka sudah mengembangkan pengaruh di Ethiopia, Selatan Yaman, Mozambique dan Angola.

Kesemua negara ini mempunyai satu persamaan iaitu akses pada laluan minyak Tanjung Harapan. Dengan mengadakan kepungan berstrategi menggunakan negara-negara berkenaan, mereka boleh mengecualikan atau memaksa negara-negara Barat berunding.

Di samping itu, mereka turut mendapat akses pada simpanan minyak tatkala usaha melombong minyak di Siberia semakin sukar dan mahal.

Pengaruh Soviet turut meningkat sepanjang rantau Teluk ditambah dengan situasi tidak menentu membabitkan Arab Saudi dan situasi anarki pasca-revolusi di Iran. Sekiranya pihak Soviet menang di Afghanistan, mereka mengukuhkan kedudukan di sebelah utara dan berupaya mengepung simpanan minyak di rantau Teluk, sekali gus bakal mengancam bekalan minyak mereka dan laluan perdagangan di Selat Hormuz.

Bagi Soviet sendiri, serangan ini dilihat mengangkat Doktrin Brezhnev di mana komunisme gaya Moscow perlu dikekalkan dalam lingkungan pengaruh Soviet dan jika ia memerlukan campur tangan luar untuk mengekalkannya, maka ia adalah langkah terbaik.

Ini kerana sebarang rejim komunis tumbang dan digantikan dengan rejim anti-Soviet, ia akan mengakibatkan kehilangan dari segi prestij. Atas sebab itu, mereka mahu menunjukkan imej jiran yang baik bukan saja pada negara-negara komunis tetapi juga pada negara-negara Dunia Ketiga. Namun, situasi perang di Afghanistan sedikit sebanyak mencalarkan imej jiran baik ini.

Sesetengah pihak di Barat berpandangan satu lagi objektif di sebalik serangan Afghanistan ialah meneruskan cita-cita perluasan wilayah semasa era Tsar.

Kebanyakan Tsar terdahulu mahukan akses pada pelabuhan air panas tetapi akses pada perairan berkenaan hanya terdapat di Laut Hitam. Dengan Turki mengawal Selat Bosphorus dan Selat Dardanelles, itulah satu-satunya akses Rusia pada Laut Mediterranean.

Dari situ, mereka boleh sampai ke lautan lepas melalui Terusan Suez atau Selat Gibraltar. Akses kepada pelabuhan sebegini pasti memberi lebih banyak ruang kepada tentera laut mereka beroperasi. Penguasaan Afghanistan bakal membuka ruang kepada pelabuhan di Pakistan atau simpanan minyak Iran.

Sebab-sebab lain yang mendorong campur tangan Moscow di Afghanistan:
  • Melindungi pelaburan ekonomi dan akses bekalan mentah terutama gas asli kepada pihak Soviet.
  • Bimbang dengan peningkatan ancaman golongan fanatik Muslim dan dijadikan inspirasi untuk populasi Muslim di Soviet untuk bangkit memberontak.
  • Menganggap Amerika terlalu lemah untuk memberi respon ketenteraan kepada serangan komunis di Afghanistan terutama selepas situasi tebusan Iran.

PUNCA KEKALAHAN

Soviet Afghanistan War

Sebab saja sudah mencukupi untuk pihak Soviet masuk campur di Afghanistan dan jika melihat kekuatan mereka sendiri, mereka berupaya menang mudah dan tidak akan menghadapi sebarang bentuk penentangan dari warga Afghanistan.

Tetapi perkara sebaliknya berlaku dan Afghanistan menjadi Vietnam versi Soviet pada tentera mereka. Mengapa mereka gagal?

Pertama, Soviet langsung tidak bersedia dengan konflik intensiti rendah dan tiada strategi ampuh untuk menanganinya. Mereka memandang rendah jangka masa perang ini berlaku dan gagal menyedari kesan buruk ke atas aspek politik dan ketenteraan mereka.

Jika melihat doktrin serangan mereka, Soviet masih lagi mengamalkan taktik yang hanya sesuai pada teater perang di Eropah dan mereka cuba melaksanakannya dalam kempen melawan gerila-gerila yang memusuhi pendudukan mereka di Afghanistan.

Ini menyebabkan jentera perang mereka tidak fleksibel, tiada ruang dari segi pergerakan dan tidak berkesan dalam kempen perangnya dan mengejutkan, mereka gagal menggabungkan kekuatan tentera udara dan darat untuk membentuk satu kempen serangan agresif.

Dan berikutan kawalan ketat dari pusat pemerintah, komander-komander perang tidak dapat membuat sebarang keputusan di medan perang dengan bebas. Selain itu, tentera Soviet juga tidak bersedia dari segi fizikal dan psikologi bagi menghadapi keadaan mencabar di Afghanistan.

Selain itu, pihak Soviet turut membuat kesilapan dari segi pemilihan askar dengan memilih tentera beragama Islam dari rantau Asia Tengah. Daripada bertempur dan menghapuskan musuh, mereka sebaliknya mengadakan hubungan persahabatan dan bertukar-tukar pandangan berikutan persamaan dari segi bangsa dan agama.

Ini mengakibatkan moral tentera di barisan hadapan rendah dan mengakibatkan ramai berpaling tadah dan menyertai gerila-gerila ini. Dan ini ditambah kegagalan mereka membentuk satu pasukan yang kuat, sekali gus gagal menangani ancaman gerila Afghanistan.

Dari segi politik pula, Soviet terlalu memandang tinggi keupayaan kerajaan untuk mendapatkan sokongan popular. Mereka bukan saja tidak memahami budaya dan agama orang Afghanistan bahkan, mereka tidak tahu memenangi hati dan akal penduduknya.

Jika sesebuah rejim mahu kekal berkuasa, mereka perlu mendapatkan sokongan popular dan itu sesuatu yang gagal dilakukan oleh Soviet dan rejim boneka mereka. Dan mereka juga gagal menyedari impak serangan dari pandangan masyarakat antarabangsa, serantau dan dunia Islam.

Kalau diikutkan, hanya pihak pembangkang saja meneruskan kempen menentang rejim boneka Soviet tetapi sebaik serangan bermula, lebih 15 juta warga Afghanistan beragama Islam bangkit dan mengangkat senjata untuk melindungi tanah air mereka.

Mereka gagal memahami mengapa dunia Islam bangkit dan cubaan perubahan pada rejim tidak mengubah pandangan mereka terhadap serangan Soviet.

Selain itu, kegagalan pihak Soviet mengawal sempadan mengakibatkan lebih banyak bantuan dihantar ke Afghanistan terutama dari segi senjata api kepada pihak pemberontak. Antara senjata yang dihantar ialah peluru berpandu Stinger yang berkemampuan memusnahkan jet-jet pejuang Soviet.

PENGAJARAN

Stephen Blank, penulis buku Pengajaran Strategik dan Operasi Perang di Afghanistan: 1979-1980 menggariskan tujuh pengajaran yang boleh diambil:
  • Kepentingan menambahbaik unit-unit kecil untuk bertindak lebih bebas semasa di medan perang.
  • Kepentingan menguasai ruang udara dan mematikan sebarang bentuk ancaman yang boleh mengancam dominasi udara pihak yang menyerang.
  • Latihan dan kelengkapan logistik lebih baik bagi menghadapi perang bukan konvensional.
  • Kepentingan moral dan perpaduan dalam kalangan unit.
  • Keperluan mendapatkan penilaian maklumat perisikan lebih baik.
  • Kepentingan belajar pertarungan secara bertahan.
  • Strategi dalam memenangi siri pertempuran kecil seperti menafikan akses keperluan asas dari jatuh ke tangan pihak musuh.

Secara umumnya, sesebuah negara perlu belajar melihat situasi yang berlaku dan menilai semua pilihan yang ada sebelum bertindak melulu. Semua aspek perlu diperhalusi terlebih dahulu sebelum ianya dilaksanakan pada masa sebenar.

Jika tidak, kesilapan yang dilakukan boleh menyebabkan sesebuah negara menanggung padah untuk jangka masa panjang dan krisis di Afghanistan mengakibatkan mereka bukan saja kalah dari segi ketenteraan tetapi juga menanggung kerugian dari segi politik, kewangan dan prestij di peringkat antarabangsa.

Satu lagi pengajaran pahit dari perang ini ialah memahami medan mana yang bakal menjadi tempat pertempuran. Ini kerana medan yang dihadapi di sesebuah kawasan sama sekali berbeza dengan medan pertempuran di tempat lain.

Maka dari situ, perancang taktik perang perlu bersedia beradaptasi dan bijak mengaplikasikan mana-mana taktik yang bersesuaian. Jika gagal berbuat demikian, maka kekalahan besar menanti seperti apa yang berlaku ke atas Soviet semasa kempen mereka di Afghanistan.

Bagaimanapun, perancangan yang baik juga perlu disokong dengan koordinasi, kelengkapan logistik dan sumber tentera diperlukan demi memastikan ia dapat mencapai objektif yang disasarkan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon