Tuesday, October 02, 2018

Segi Tiga Emas Asia Tenggara Pengeluar Methaphetamine Terbesar Di Dunia


Benarkah Segi Tiga Emas atau Golden Triangle di sempadan Thailand, Myanmar dan Laos merupakan antara tempat paling berbahaya di dunia? Atau ia sengaja digembar-gemburkan sedemikian rupa oleh pihak yang mempunyai kepentingan.

Segi Tiga Emas Asia Tenggara

Itulah persoalan penting yang sering bermain di benak fikiran mana-mana individu yang berhasrat menjejakkan kaki ke kawasan pengeluaran candu terbesar di dunia itu.

Pertempuran di antara pihak berkuasa dengan pengedar dan penyeludup dadah, pembunuhan penduduk kampung yang terlibat dalam penanaman popi serta pergerakan kumpulan bersenjata api yang dianggap berbahaya seringkali dilaporkan.

Itu belum lagi mengambil kira kegiatan saki-baki bekas penyokong Raja Candu, Khun Sa, yang masih tidak mahu meletakkan senjata sehingga sekarang.

Sedangkan Khun Sa, pejuang pembebasan yang amat diagung-agungkan oleh penyokongnya itu telah meletakkan senjata bersama 15,000 pengikutnya pada tahun 1996 lalu.

Kawasan misteri itu yang memiliki banyak tokong Buddha sememangnya mempunyai banyak kisah yang boleh dibawa pulang terutama tentang budaya serta ragam etnik atau suku kaum yang tinggal di hutan tropikanya.

Baik tentang `wanita zirafah' iaitu masyarakat Paduang (pecahan etnik minoriti Karen) yang mempunyai tengkuk panjang, petani miskin yang sibuk menguruskan ladang popi mahupun mengenai lelaki-lelaki yang sering khayal ketagih candu.

Di samping itu, boleh disaksikan juga kegiatan para petani memproses damar candu selain `mengintai' anak dara etnik Karen dan Lesor mandi-manda di sungai.

Tetapi, keunikan yang ada pada masyarakat Paduang menyebabkan mereka sering mendapat perhatian yang lebih daripada pelancong.

Wanita dan anak-anak gadis Paduang dikatakan telah dipakaikan gelang tengkuk yang diperbuat daripada tembaga sejak mereka berusia lima tahun lagi.

Sukar untuk mengetahui bila tradisi itu bermula, namun yang pasti ia telah diperkenalkan sejak generasi nenek moyang mereka.

Dikisahkan bahawa pada zaman dahulu nenek moyang mereka sering diserang harimau yang menggigit tengkuk mangsanya.

Justeru, untuk mengelakkan lebih ramai penduduk mati akibat serangan haiwan liar itu, mereka memakai gelang tersebut untuk melindungi tengkuk masing-masing.

Segi Tiga Emas terletak di sekitar kawasan pertemuan Sungai Mekong dan Sungai Ruak yang berkongsi sempadan dengan tiga negara iaitu Myanmar, Thailand dan Laos dengan jaraknya dari bandar pelancongan Chiang Rai hanyalah 60 kilometer.

Para pelancong sering menyewa bot laju untuk menyusuri sungai ini bagi melihat dari dekat kehidupan masyarakat di sepanjang tebing sungai di samping meninjau berpuluh buah tokong Buddha yang telah lama dibina di situ.

Seperti yang diduga, nama Khun Sa sering meniti mulut penduduk di situ serta dianggap sudah sinonim dengan Segi Tiga Emas, sehinggakan ada yang menganggapnya sebagai `wajah' kepada kawasan yang mempunyai ladang popi seluas beribu hektar, sedikit mengatasi Bulan Sabit Emas - kawasan sempadan Afghanistan dengan Pakistan suatu ketika dahulu.

Khun Sa, anak kepada Lao Chang atau Khun Sam merupakan lulusan sebuah kolej di Tong Khi, Myanmar.

Sebelum dilantik sebagai kolonel tentera pada tahun 1963, beliau merupakan ketua Ka Kin Yae (Unit Tentera Bersatu Anti-Shan) dan kemudiannya menjadi Ketua Unit Perisikan Myanmar.

Disebabkan pengikutnya mempunyai kemahiran dalam penghasilan heroin selain kemampuan beliau melindungi mereka, ia menjadikan Khun Sa amat berkuasa.

Malah, bekas pegawai kanan tentera itu berjaya menguasai perdagangan heroin, candu, batu jed, permata dan gading gajah di Myanmar dalam waktu yang singkat.

Bagaimanapun, pada tahun 1966 kegiatan haramnya telah terbongkar dan beliau ditangkap di Tong Khi serta dipenjarakan di Myanmar selama tujuh tahun.

Selepas dibebaskan, Khun Sa menyertai Tentera Bersatu Shan menentang rejim junta tentera Myanmar.

Beliau membiayai perjuangannya melalui penjualan dadah terutama candu dan heroin yang banyak dihasilkan oleh etnik minoriti yang tinggal bertaburan di sekitar sempadan ketiga-tiga negara.

Etnik-etnik ini dikatakan mewarisi ladang popi yang luas hasil daripada galakan penjajah Inggeris.

Daripada buah popi yang mengeluarkan bunga berwarna putih, kuning dan ungu itulah mereka menghasilkan candu, heroin serta mewujudkan kilang pemprosesan haram di dalam hutan.

Sejarah menyebut, dadah pada asalnya dibawa masuk ke Myanmar oleh pedagang silam sebagai ubat.

Kemudian apabila Inggeris sampai, ia bukan sahaja menggalakkan rakyat tanah jajahannya menanam popi tetapi juga menghisap dadah.

Hasilnya, apabila Myanmar mencapai kemerdekaan pada tahun 1948, dadah sudah menjadi masalah yang berakar umbi di wilayah Shan dan kawasan sempadan yang terpencil, malah tempiasnya turut dirasai Laos dan Thailand.

Kisah mengenai penanaman dan perdagangan dadah tersebut banyak tersimpan di Muzium Candu, utara Thailand yang turut menjadi lambang komitmen pihak berkuasa negara itu membersihkan namanya daripada kekotoran peninggalan Inggeris tersebut.

PENGELUAR SYABU TERBESAR DUNIA

Kawasan Segitiga Emas yang dahulunya terkenal sebagai pengeluar heroin dan marijuana, namun sejak beberapa tahun ini ia telah mempelbagai pengeluarannya dengan menjadi antara pengeluar terbesar dadah sintetik dunia.

Daripada Yaba (pil gila) hingga Crystal Methaphetamine atau Ice, makmal dadah di wilayah autonomi Shan State atau jauh ke pedalaman hutan Laos boleh menghasilkan ribuan kilogram dadah dalam satu pusingan bagi pasaran di Asia Tenggara dan lainnya.

Usaha membanteras makmal dadah ini dan pengendalinya bukan mudah kerana sindiket Segitiga Emas menjalankan operasi mereka secara tertutup dan amat berahsia tidak seperti sepupu mereka di Amerika Latin dan Tengah.

Di sini, sindiket tidak mempunyai nama dan wajah, tetapi anggota sindiket boleh berada di lima atau enam buah negara pada satu masa, kata Wakil Serantau Pejabat Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Dadah dan Jenayah (UNODC), suatu masa dahulu.

Methaphetamine

Methaphetamine menjadi kebiasaan di Thailand sejak beberapa tahun lalu yang menyaksikan semakin ramai orang menjadi ketagih dengan dadah itu dan sekali gus menyebabkan harganya meningkat.

Oleh kerana Methaphetamine telah menggantikan candu, maka ekonomi dadah di Segitiga Emas turut berubah.

Dadah yang dihasilkan di makmal Segitiga turut dieksport ke negara seperti Australia, Jepun, New Zealand yang harganya boleh mencapai 10 kali ganda.

Keuntungan daripada ekonomi dadah adalah lumayan dan boleh membiayai pelbagai aktiviti dengan perdagangan Methaphetamine antara US$30-US$35 bilion setahun, lebih besar daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) beberapa negara di rantau ini.

Jenayah terancang yang berselindung di sebalik perniagaan dadah ini sentiasa berada selangkah di hadapan pihak berkuasa dan memberi cabaran besar untuk menanganinya.

BATU PERMATA

Tidak jauh dari Segi Tiga Emas terletak Mae Sai, sebuah bandar berhampiran sempadan Thailand dengan Myanmar. Ia terkenal sebagai kawasan paling ideal untuk peminat batu permata membeli-belah.

Di sini turut terdapat sebuah kilang batu jed yang menjadi tumpuan ramai dan batu permata seperti rubi, emerald dan jed memang banyak dijual pada harga berpatutan.

Kilauan batu-batu ini memang memukau, mencerminkan ketelitian buatannya.

Barangan elektrik, elektronik, pedang, pisau berukir, rokok mahupun barangan kraf tangan Thailand, Myanmar, Laos, Thailand dan China turut mudah diperoleh.

Majoriti penduduk Mae Sai menganut agama Buddha sesuai dengan gelaran Thailand dan Myanmar sebagai `Bumi Pagoda'.

Ada juga yang beragama Islam terutama di kalangan masyarakat Rohingya dan Melayu Thai.

Tanpa Mae Sai mungkin Segi Tiga Emas akan terus sepi dan diselubungi misteri yang tidak terjawab.

Lambaian bunga popi yang memikat hati pun belum tentu dapat menggamit pengunjung untuk menjengah wilayah yang masih mempunyai banyak sarang pengedar dadah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: utusan | sinarharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon