Sunday, October 14, 2018

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak), Bernilai Tinggi Dan Cepat Membesar!


Di Malaysia tak ramai orang mengenali pokok Sengon (Paraserianthes falcataria) atau nama lainnya Albazia, Puak, Kayu Mancis, Batai dan Jeungjin yang digunakan untuk menghasilkan kayu bagi industri perkayuan dan perabot.

Untung Lumayan Tanam Pokok Sengon (Kayu Balak)

Ia berasal dari kepulauan sebelah timur Indonesia iaitu Maluku dan Papua yang pada penghujung abad yang lepas, spesis ini mula menyebar ke seluruh Asia Tenggara.

Ciri utama yang membezakan pokok Sengon dengan pokok-pokok kayu balak yang lain ialah kadar pertumbuhan yang cepat.

Pokok ni boleh ditebang pada usia 4-6 tahun dan oleh kerana balak adalah satu produk komoditi, harganya agak stabil dan kompetetif. Pokok Sengon juga mudah ditanam dan memerlukan penjagaan yang minimum.

Gabungan ciri-ciri tersebut seakan-akan menjadikannya lebih menguntungkan daripada getah dan kelapa sawit.

Pokok Sengon terkenal di Indonesia sebagai sejenis pokok balak yang paling banyak ditanam secara komersil. Ianya semakin terkenal semenjak kerajaan Indonesia melancarkan program “Sengonisasi” pada tahun 1989.

Kini terdapat beribu-ribu hektar tanah telah ditanam dengan pokok Sengon yang sebahagian besarnya diusahakan oleh organisasi besar seperti HTI dan Perum Perhutani. Keluasan tanah yang terlibat juga meningkat dari tahun ke tahun.

Ciri-ciri Pokok Sengon

Pokok Sengon mempunyai batang yang lurus, tidak berbanir, kulit berwarna kelabu putih, licin, tidak mengelupas dan tiada cabang sehingga mencapai ketinggian 20 meter.

Pokok ini berbunga sepanjang tahun dan buah Sengon yang dihasilkan mempunyai panjang sekitar 6-12 cm. Setiap buah mempunyai biji diantara 15-30 biji.

Habitat Sengon

Sengon termasuk kategori tumbuhan yang cepat membesar iaitu pada kadar 8 meter setahun, merupakan tumbuhan tropika dan memerlukan suhu sekitar 20-33 darjah selsius.

Ianya sesuai dengan iklim monson dan lembab dengan jumlah hujan diantara 200-2700 mm/tahun dan ssesuai dengan keadaan tanah lempung berpasir dan mempunyai pengairan sederhana.

Kegunaan Sengon

Kayu Sengon mengandungi peratusan selulosa yang tinggi dan ini menjadikannya sesuai digunakan dalam industri kayu dan kertas.

Dengan nilai semasa di antara RM150 – RM1200 per kubik meter, kayu Sengon banyak diusahakan secara komersial untuk memenuhi permintaan industri perabot, pensil, papan dan kertas.

Kaedah Penanaman

Anak pokok Sengon disediakan menggunakan biji benih dan terdapat beberapa spesifikasi jarak penanaman iaitu 4×4, 3×3, 2×3 atau 2×2.

Optimumnya ialah 3×3 yang mana kayu Sengon boleh membesar ke diameter 20 cm–40 cm pada tahun ke 5 atau 6. Saiz ini adalah bersesuaian dengan standard industri kayu lapis, pallet atau sawn timber.

Penggunaan baja-bio sepanjang tempoh penanaman boleh memastikan kadar pertumbuhan yang baik serta tahan penyakit.

Daun dan dahannya agak jarang dan membenarkan jumlah cahaya yang agak banyak ke tanah. Keadaan ini memungkinkan tanaman lain diselang-seli bersama pokok Sengon.

Penyakit

Daripada segi daya tahan penyakit, pokok Sengon adalah tumbuhan yang mempunyai daya tahan yang baik.

Walau bagaimana pun, ianya masih boleh terdedah kepada kerosakan jika menerima serangan serangga perosak dan penyakit secara berterusan.

Keadaan ini boleh mempengaruhi kadar pembesaran malah lebih teruk lagi membunuh pokok tersebut.

Penggunaan baja adalah salah satu alternatif dan ini telah pun dibuktikan dengan menggunakan baja-bio W20 (Bio-Q) pada anak-anak pokok yang diserang penyakit.

4 Jenis Pokok Sengon

1. Sengon Buto (Enterolobium cyclocarpum)

Jenis sengon yang pertama adalah Sengon Buto atau sengon merah, merupakan jenis sengon yang memiliki pertumbuhan sangat cepat berbanding jenis sengon lainnya.

Ciri ciri sengon buto iaitu memiliki tekstur yang lebih kasar pada bahagian kulitnya atau dikatakan agak bersisik dan berbeza dari jenis lainnya.

Warna kulit batangnya kemerah-merahan dan batangnya lebih besar berbanding pokok sengon jenis lain.

Ciri pohon Sengon Buto yang lain adalah kayunya yang mudah patah dan mungkin ini adalah kelemahan utama pokok Sengon Buto berbanding baka sengon yang lain.

2. Sengon Laut (Paraserianthes falcataria)

Jenis sengon yang kedua ini adalah sengon laut atau biasa disebut dengan nama-nama daerah yang berbeza-beza, seperti jeungjing laut, salawaku, salawaku merah dan lain-lain.

Ciri-ciri sengon laut adalah memiliki warna putih kecoklatan, hampir seperti daging pucat, tekstur agak kasar dan memiliki serat lurus.

Pada bahagian permukaan kayu sengon laut agak licin dan berkilap dan aromanya jika masih segar seperti bau petai.

3. Sengon Solomon

Jenis sengon yang seterusnya adalah Sengon Solomon yang banyak ditanam untuk dijadikan papan membuat rumah dan kegunaan dalam pembinaan bangunan dan memiliki ketinggian sehingga 40 meter.

4. Sengon Tekek

Jenis sengon seterusnya adalah Sengon Tekek kerana bentuk permukaan kulitnya yang mirip dengan kulit cicak tokek.

Sengon tekek merupakan jenis sengon yang banyak digunakan dalam pembuatan kertas dan papan plywood.

Nilai Pelaburan

Persoalan paling utama ialah, adakah Pokok Sengon mempunyai nilai pulangan yang tinggi?

Nilai kayu balak ditentukan oleh:
  • Jenis kayu.
  • Diameter kayu. Lebih besar diameter maka lebih tinggi nilainya.
  • Kualiti kayu.

Diameter kayu adalah satu-satunya faktor yang boleh dimanipulasi iaitu dengan menentukan umur pokok yang ditebang dan penggunaan baja.

Dengan menggunakan jarak penanaman optimum iaitu 3×3, satu hektar tanah boleh ditanam 1,100 pokok Sengon.

Pada tahun ke 6, diameter pokok Sengon boleh mencapai diantara 20-40cm dan sekiranya kita mengambil diameter 25cm dan nilai semasa pada RM200 per kubik meter sebagai asas pengiraan, maka 1 hektar boleh memberi lebih RM200 ribu dalam tempoh 6 tahun.

Ini hanyalah perkiraan kasar dan tidak boleh dijadikan asas untuk anda memulakan pelaburan kayu Sengon.

Nilai sebenar mungkin lebih rendah atau lebih tinggi, tetapi apa yang nyata ialah kayu Sengon mempunyai nilai semasa yang tinggi dan kos pengurusan rendah yang mempunyai potensi sangat besar dan lumayan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: 1 | 2

1 comment

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon