Sunday, October 14, 2018

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?


Perjanjian 20 Perkara atau Memorandum 20 Perkara ialah senarai 20 perkara yang dibuat oleh Borneo Utara, mengusulkan syarat-syarat untuk Borneo Utara bersama-sama dengan Persekutuan Tanah Melayu, Sarawak dan Singapura membentuk persekutuan Malaysia, pada 16 September 1963 sebagai negeri Sabah.

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Penerimaan perkara-perkara ini berbeza-beza, ada yang dimasukkan dalam Perlembagaan Malaysia dan ada yang cuma diterima secara lisan sahaja.

Perkara 20, Perjanjian Malaysia dan Perlembagaan Malaysia, adalah fakta dan sejarah, termaktub dan tertulis dengan jelas, sama ada sebagai dokumen memorandum politik atau perjanjian yang menggariskan soal hak-hak rakyat Sabah sebelum, semasa dan selepas bergabung membentuk Malaysia.

Dari sisi undang-undang, Perkara 20 sebagai memorandum perkara-perkara minima untuk perlindungan khas Sabah di dalam Perlembagaan bukanlah dokumen undang-undang yang boleh mengikat atau berkuasa. Ianya cuma relevan untuk menjadi bahan rujukan apabila Mahkamah tidak boleh menafsirkan Perlembagaan Malaysia ataupun Perjanjian Malaysia secara tepat.

Perjanjian 20 Perkara ini dan Perlembagaan Malaysia adalah dua ‘dokumen’ berasingan dan mempunyai matlamat serta justifikasi tersendiri, yang merupakan satu dokumen/memorandum yang sah dan ditulis dalam Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC) Bab 2 Perenggan 14, diwujudkan oleh pemimpin politik Negara Sabah pada ketika itu sebagai mewakili aspirasi rakyat Sabah semasa proses pembentukan Malaysia.

Perkara 20 merupakan memorandum yang dibentangkan oleh pakatan lima parti politik utama Sabah kepada Inter-Governmental Committee (IGC) yang telah ditubuhkan untuk mengenal pasti dan merangka draf Perlembagaan baru, untuk Persekutuan Malaysia yang baharu, dengan mengambil kira perlindungan dan kedudukan khas Sabah dan Sarawak.

Isi kandungan Perjanjian 20 Perkara
  • Perkara 1: Agama
  • Perkara 2: Bahasa
  • Perkara 3: Perlembagaan
  • Perkara 4: Ketua Persekutuan
  • Perkara 5: Nama Persekutuan
  • Perkara 6: Imigresen
  • Perkara 7: Hak Menarik Diri
  • Perkara 8: Borneonisasi
  • Perkara 9: Pegawai-pegawai British
  • Perkara 10: Kewarganegaraan
  • Perkara 11: Cukai dan kewangan
  • Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara
  • Perkara 13: Kerajaan Negeri
  • Perkara 14: Jangkamasa Peralihan
  • Perkara 15: Pelajaran
  • Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan
  • Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan
  • Perkara 18: Nama Ketua Negeri
  • Perkara 19: Nama Negeri
  • Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

SENARAI PERKARA

Apa Itu Perjanjian 20 Perkara Sabah?

Berikut merupakan senarai perkara yang terkandung dalam perjanjian tersebut.

Perkara 1: Agama

Walaupun tiada bantahan terhadap agama Islam sebagai agama kebangsaan Malaysia akan tetapi agama rasmi sepatutnya tidak akan diadakan di Borneo Utara dan segala perundangan mengenai agama Islam yang terkandung di dalam Perlembagaan Malaya tidak harus digunakan di Borneo Utara.

Perkara 2: Bahasa
  • Bahasa Melayu harus dijadikan Bahasa Kebangsaan Persekutuan.
  • Penggunaan Bahasa Inggeris harus diteruskan untuk tempoh sepuluh tahun selepas Hari Malaysia.
  • Bahasa Inggeris harus digunakan sebagai bahasa rasmi Borneo Utara untuk semua tujuan berkaitan dengan negeri dan persekutuan, tanpa had masa.

Perkara 3: Perlembagaan

Walaupun Perlembagaan Persekutuan Malaya diterima sebagai asas untuk membentuk Perlembagaan Malaysia, akan tetapi Perlembagan Malaysia seharusnya dipersetujui oleh pergabungan negeri-negeri bebas dan sepatutnya bukan sesuatu susunan pindaan kepada sebuah perlembagaan yang telah digubal dan dipersetujui oleh negeri-negeri yang berasingan di dalam keadaan yang berlainan sekali. Sebuah perlembagaan baru untuk Borneo Utara sewajarnya amat diperlukan.

Perkara 4: Ketua Persekutuan

Ketua (Yang Di Pertua Negara) Borneo Utara tidak layak untuk dipilih sebagai Ketua Persekutuan.

Perkara 5: Nama Persekutuan

"Malaysia" bukan "Melayu Raya".

Perkara 6: Imigresen

Kawalan ke atas penghijrahan dari luar ke mana-mana tempat di Malaysia seharusnya terletak di bawah kuasa kerajaan Persekutuan tetapi kemasukan ke Borneo Utara sepatutnya juga memerlukan persetujuan Kerajaan Negeri.

Kerajaan Persekutuan tidak seharusnya berkuasa membatalkan kemasukan sesiapa pun ke dalam Borneo Utara jika ia berkaitan dengan urusan kerajaan negeri kecuali atas sebab-sebab keselamatan sahaja.

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas pergerakan seseorang, kecuali mereka yang bertugas di bawah kerajaan Persekutuan daripada tempat-tempat lain Malaysia di Borneo Utara.

Perkara 7: Hak Menarik Diri

Hak untuk memisah atau menarik diri dari Persekutuan seharusnya tidak ada.

Perkara 8: Borneonisasi

Proses untuk melantik orang-orang tempatan ke dalam perkhidmatan awam negeri Borneo Utara seharusnya diwujudkan secepat mungkin.

Perkara 9: Pegawai-pegawai British

Segala usaha harus dibuat untuk menggalakkan pegawai-pegawai Birtish untuk meneruskan perkhidmatan mereka dalam perkhidmatan awam sehingga tempat mereka boleh diganti oleh orang-orang tempatan yang berkelayakan.

Perkara 10: Kewarganegaraan

Tertakluk kepada pindaan berikut, Perenggan 148(k) cadangan dalam Laporan Cobbold seharusnya menentukan hak kewarganegaraan penduduk Borneo Utara di dalam Persekutuan:
  • Perenggan kecil (I) seharusnya tidak mengandungi syarat mengenai penetapan selama 5 tahun.
  • Untuk diselaraskan dengan undang-undang kami, perenggan kecil (II) sepatutnya menyatakan "7 daripada 10 tahun" dan bukan "8 daripada 10 tahun".
  • Perenggan kecil (II) tidak sepatutnya mengandungi sekatan berkenaan dengan kewarganegaraan ibu bapa seseorang yang dilahirkan di Borneo Utara selepas Hari Malaysia semestinya menjadi warganegara persekutuan.

Perkara 11: Cukai dan kewangan

Borneo Utara seharusnya mempunyai kuasa ke atas kewangan, tabung pembangunan dan cukai sendiri.

Perkara 12: Kedudukan khas bangsa asli/bumiputera Borneo Utara

Pada prinsipnya bangsa asli Borneo Utara seharusnya menikmati hak keistimewaan seperti yang diberikan kepada bangsa Melayu di Malaya, tetapi formula yang dipraktikkan di Malaya tidak semestinya digunapakai oleh Borneo Utara.

Perkara 13: Kerajaan Negeri

Ketua Menteri harus dipilih oleh ahli-ahli tidak rasmi Majlis Perundangan. Borneo Utara seharusnya mempunyai suatu sistem kementerian yang sesuai.

Perkara 14: Jangkamasa Peralihan

Sepatutnya tujuh tahun dan dalam masa ini kuasa perundangan mesti diberikan kepada Kerajaan Borneo Utara mengikut perlembagaan dan tidak dipengaruhi oleh kerajaan persekutuan.

Perkara 15: Pelajaran

Sistem pelajaran Borneo Utara yang wujud sekarang harus diteruskan dan dengan itu ia harus diletakkan di bawah kawalan kerajaan negeri.

Perkara 16: Perlindungan kepada Perlembagaan

Tidak ada sebarang pindaan, perubahan atau pembatalan dapat dilakukan oleh Kerajaan Pusat kepada perlindungan-perlindungan yang diberikan khas kepada Borneo Utara tanpa persetujuan kerajaan Borneo Utara. Kuasa ini adalah hak mutlak penduduk negeri ini.

Perkara 17: Perwakilan dalam Parlimen Persekutuan

Ini sepatutnya bukan hanya bergantung kepada jumlah penduduk Borneo Utara tetapi juga kepada keluasan dan keupayaannya, dan dalam mana-mana perkara ia sepatutnya tidak kurang dari jumlah perwakilan dari Singapura.

Perkara 18: Nama Ketua Negeri

Yang di-Pertua Negeri Sabah.

Perkara 19: Nama Negeri Sabah.

Perkara 20: Tanah, hutan, kerajaan tempatan dan lain-lain

Perkara dalam Perlembagaan Persekutuan mengenai kuasa Majlis Tanah Persekutuan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Seperti itu juga, Majlis Kebangsaan Kerajaan Tempatan tidak harus melibatkan Borneo Utara.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: wikipedia

1 comment

  1. Asalam mau baca betul2 ni sejarah melibatkan 20 perkara ni SP.terima kasih infor

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon