Wednesday, October 03, 2018

Apa Sebenarnya Pemerdagangan Manusia?


Pemerdagangan orang adalah segala perbuatan yang melibatkan pemerolehan atau pengekalan tenaga kerja atau perkhidmatan seseorang melalui paksaan dan termasuklah perbuatan merekrut, mengangkut, memindahkan, melindungi, menyediakan atau menerima seseorang.

Apa Sebenarnya Pemerdagangan Manusia?
Gambar hiasan.

Pemerdagangan manusia juga adalah perdagangan dan perniagaan melibatkan pergerakan atau migrasi manusia secara haram, termasuk aktiviti buruh secara sah dan secara paksa.

Istilah ini digunakan dalam konteks lebih sempit oleh kumpulan advokasi untuk merujuk kepada perekrutan, pengangkutan, perlindungan, atau pengambilan manusia bagi tujuan perhambaan, pelacuran dan buruh paksa (termasuk melalui ikatan hutang).

Pengeksploitan pemerdagangan manusia termasuk memaksa orang melakukan pelacuran atau bentuk eksploitasi seks lain, buruh paksa, hamba atau amalan yang sama seperti perhambaan.

Bagi kanak-kanak, ekploitasi termasuk untuk tujuan pelacuran, pengambilan anak angkat antarabangsa yang tidak sah, perkahwinan kanak-kanak atau pengambilan kanak-kanak sebagai tentera, pengemis dan tujuan permainan atau untuk tujuan kegiatan keagamaan.

Sementara Penyeludupan Migran ertinya:

(a) Mengatur, memudahkan atau merancang, secara langsung atau tidak langsung, kemasukan seseorang secara tidak sah ke dalam atau melalui atau pengeluaran seseorang secara tidak sah dari mana-mana negara yang orang itu bukan warganegara atau pemastautin tetap sama ada dengan mengetahui atau mempunyai sebab untuk mempercayai bahawa kemasukan atau pengeluaran orang itu adalah tidak sah; dan

(b) Merekrut, mengangkut, memindahkan, menyembunyikan, melindungi atau menyediakan apa-apa bantuan atau perkhidmatan bagi tujuan melaksanakan perbuatan yang disebut dalam perenggan (a).

BEZA PEMERDAGANGAN ORANG DAN PENYELUDUPAN MIGRAN

1. Pemerdagangan Orang

a. Instrumen/undang-undang antarabangsa yang terlibat adalah Protocol to Prevent, Suppress and Punish Trafficking in Persons, especially Women and Children di bawah UN Convention on Transnational Organised Crime.

b. Elemen utama bagi membuktikan sebarang kesalahan berhubung dengan pemerdagangan orang adalah unsur eksploitasi dan ia boleh berlaku di dalam sesebuah Negara tanpa melibatkan aspek rentas sempadan. Ianya boleh juga berlaku di peringkat domestik.

c. Melibatkan elemen eksploitasi, manipulasi, ancaman terhadap mangsa yang terlibat. Eksploitasi berterusan dan berulang.

1. Pemerdagangan Migran

Instrument/ undang-undang antarabangsa yang terlibat adalah Protocol Against The Smuggling Of Migrants By Land, Air And Sea di bawah UN Convention on Transnational Organised Crime.

Elemen penting di dalam penyeludupan migran adalah ianya mesti melibatkan unsur rentas sempadan
Melibatkan kerelaan orang yang diseludupkan dan keuntungan terhadap sindiket penyeludupan manusia. Kegiatan penyeludupan tamat apabila tiba di destinasi.

BENTUK- BENTUK PEMERDAGANGAN ORANG

1. Eksploitasi Seks

Eksploitasi seks adalah jenayah paling kerap berlaku dalam pemerdagangan orang. Mangsa biasanya dijanjikan pekerjaan bergaji lumayan dan dibawa masuk secara sah ataupun diseludup secara haram.

Namun akhirnya, mangsa ditipu dan dipaksa melacurkan diri. Mereka dikawal dengan ketat dan seringkali turut terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dadah.

2. Buruh Terikat

Mangsa yang diseludup secara haram dipaksa melakukan kerja melampaui keupayaan dan sekiranya mangsa menolak akan diugut diserahkan kepada pihak berkuasa.

Mangsa akan dimanipulasi sepenuhnya dan berada di bawah pengawasan ketat. Biasanya akan didera dan tidak dibayar gaji.

3. Pengabdian Domestik Secara Paksa

Mangsa ialah pekerja -pekerja domestik yang dipaksa bekerja di tempat yang tidak formal dan tidak diberi bekerja dengan pekerja yang lain.

Migran asing, biasanya wanita dan kanak-kanak direkrut dari negara-negara yang kurang membangun seperti Asia Selatan, Asia Tenggara, Afrika dan Amerika Latin.

Wanita diarah bekerja sebagai pembantu rumah dan pengasuh manakala kanak-kanak akan dijadikan buruh atau pengemis.

Mangsa akan ditempatkan di negara-negara maju seperti Eropah, Amerika Syarikat, Singapura, Taiwan dan Malaysia.

4. Pemindahan Organ

Pemindahan organ merupakan salah satu daripada aktiviti pemerdagangan orang. Organ kebanyakannya diperoleh dari negara-negara miskin dan mundur.

Kegiatan ini melalui cara mengeksploitasi mangsa di dalam negara ataupun yang diseludup secara haram.

Ia memberikan keuntungan yang tinggi di peringkat antarabangsa. Berdasarkan kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), dianggarkan 10 peratus daripada 70,000 buah pinggang yang dipindahkan setahun mungkin berasal daripada pasaran gelap.

5. Pemerdagangan Bayi

Bayi yang dijual di pasaran gelap juga memberikan pulangan yang lumayan kerana permintaannya yang tinggi (contohnya di Malaysia, bayi dijual antara RM10,000 hingga RM20,000 seorang).

Bayi yang diperdagangangkan biasanya diculik, diseludup atau dibeli oleh individu atau kumpulan yang terlibat dengan sindiket ini. Bayi mendapat permintaan yang tinggi dalam pasaran gelap.

Kementerian Sumber Manusia dengan kerjasama ILO telah mengadakan simposium untuk mewujudkan kesedaran dan sasaran mereka untuk majikan-majikan yang menyediakan pekerjaan kepada pekerja-pekerja asing.

Pada tahun 2008, pemeriksaan telah dilakukan ke atas 50,518 majikan dan sebanyak 15,376 majikan beserta pekerja asing mereka yang terlibat.

Tindakan telah diambil untuk mengetatkan lagi proses dan prosedur pengambilan pekerja-pekerja asing dan untuk mengurangkan permintaan terhadap pekerja asing ini.

PEMERDAGANGAN ORANG DI MALAYSIA

Menurut Pemerdagangan Manusia 2011 keluaran kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, Malaysia menjadi negara destinasi bagi banyak imigran dari luar negara khususnya dari Indonesia, Nepal, India, Thailand, China, Filipina, Burma, Kemboja, Bangladesh, Pakistan dan Vietnam dengan tujuan untuk mencari peluang ekonomi yang lebih besar.

Sesetengah imigran yang dibawa masuk ke Malaysia dipaksa bekerja secara paksa atau bekerja kerana terikat dengan hutang kepada majikan, agen pekerjaan atau perekrut buruh tidak formal.

Ramai pesalah pemerdagangan manusia di Malaysia adalah dari kalangan ahli perniagaan, ia juga didalangi oleh sindiket jenayah terancang yang besar.

Sejumlah besar wanita muda direkrut untuk bekerja di restoran dan hotel di Malaysia, yang mana sesetengah mereka datang dengan menggunakan visa “Pegawai Perhubungan Pelanggan,” namun kemudian dipaksa untuk bekerja dalam industri seks komersial di Malaysia.

Kebanyakan syarikat Malaysia yang merekrut tenaga buruh mengambil buruh berlebihan dari Bangladesh, Vietnam dan negara-negara lain.

Buruh-buruh ini ditahan di gudang-gudang atau lokasi-lokasi lain dan diserahkan kepada majikan yang tidak bertanggungjawab yang memaksa pekerja-pekerja ini menjadi buruh paksa.

Ramai pekerja asing di ladang, tapak pembinaan, kilang tekstil, dan mereka yang bekerja sebagai pembantu rumah di Malaysia menghadapi amalan-amalan berupa pemerdagangan manusia seperti sekatan ke atas pergerakan, penipuan dan fraud dalam pembayaran gaji, perampasan pasport, atau ikatan hutang oleh ejen atau majikan mereka.

Perampasan pasport oleh majikan dilakukan secara meluas dan terdapat laporan bahawa majikan membuka akaun bank bersama sebagai satu bentuk kawalan ke atas pekerja.

Pekerja yang melaporkan teraniya memberitahu bahawa majikan mereka mengawal mereka dengan mengancam untuk menyerahkan pasport bekerja kepada pihak berkuasa imigresen di mana majikan akan mendakwa bahawa pekerja itu telah melanggar syarat-syarat kontrak pekerjaan mereka, jika bersalah boleh mengakibatkan pembatalan visa dan seterusnya pengusiran.

Sesetengah majikan di Malaysia dilaporkan tidak membayar gaji pembantu rumah asing mereka selama 3 hingga 6 bulan. Ia dibuat atas alasan sebagai bayaran balik kepada agensi pengambilan pekerja dan ikatan hutang lain yang dikenakan ke atas majikan.

Ada juga kes dimana majikan secara tidak sah menahan gaji pekerja secara eskrow sehingga tamat kontrak. Ini menjadikan pekerja terus bekerja kerana takut tidak menerima pampasan kewangan jika mereka tidak memenuhi kontrak.

Pelarian, terutamanya dari Myanmar, adalah lebih terdedah kepada pemerdagangan dan rakyat Malaysia daripada masyarakat luar bandar dan kumpulan peribumi juga turut terdedah.

Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (RELA) terus melakukan serbuan yang mensasarkan komuniti pendatang haram dan menahan pelarian, pemohon suaka, dan mangsa pemerdagangan manusia bersama-sama mereka yang didakwa pendatang haram. Namun begitu amalan ini dilaporkan telah berkurangan berbanding tahun 2010.

Walaupun tidak menandatangani Surat Hasrat (LOI) untuk meminda Memorandum Persefahaman (MOU), kerajaan Indonesia dan Malaysia belum meminda atau mengganti MOU tahun 2006 mengenai pekerjaan pembantu rumah (amah) Indonesia di Malaysia, yang membenarkan majikan Malaysia untuk merampas dan memegang pasport pembantu rumah.

Pertubuhan-pertubuhan NGO menganggarkan bagi setiap pembantu rumah yang bekerja secara sah di Malaysia terdapat satu yang bekerja di negara ini secara haram. 90% daripada pembantu rumah (amah) adalah dari Indonesia.

Sebilangan kecil rakyat Malaysia telah dilaporkan diperdagangkan di dalam dan luar negara ke Singapura, China dan Jepun dan mereka dieksploitasi sebagai pekerja seks komersial.

Walaupun Kerajaan Malaysia tidak memenuhi sepenuhnya piawaian minimum untuk membanteras pemerdagangan manusia, ia telah melaksanakan pelbagai usaha dengan bersungguh-sungguh ke arah itu.

Sebagai contoh, undang-undang anti-pemerdagangan manusia yang lebih berkesan dan usaha-usaha perlindungan mangsa telah ditambah baik - Malaysia diletakkan pada Tahap 2 Senarai Pemerhatian bagi 2 tahun berturut-turut.

Walaupun kerajaan meningkatkan bilangan sabitan di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Akta Antipenyeludupan Migran sepanjang tahun laporan dan meneruskan usaha kesedaran awam mengenai pemerdagangan manusia, ia tidak menyiasat dan mendakwa secara berkesan kes-kes pemerdagangan buruh dan gagal untuk menangani masalah penglibatan kerajaan dalam pemerdagangan dan penjagaan mangsa dan kaunseling yang kurang berkesan oleh pihak berkuasa. Penahanan mangsa pemerdagangan di fasiliti kerajaan juga turut membimbangkan

PENGUATKUASAAN DI BAWAH AKTA ANTIPEMERDAGANGAN ORANG DAN ANTIPENYELUDUPAN MIGRAN 2007

Malaysia mengharamkan sama sekali sebarang bentuk pemerdagangan orang melalui Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

Di bawah tanggungjawab Kementerian Dalam Negeri dan dibantu oleh kementerian-kementerian lain menguatkan lagi langkah kerajaan memerangi isu ini di seluruh Malaysia.

Perundangan berkenaan Akta ini bermula pada tahun 2008 dan setelah berlaku pindaan pada tahun 2010, Akta ini dilaksanakan dengan lebih telus dan efisien dalam memerangi kedua-dua jenayah ini.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: abihulwa | moha | wikipedia

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon