Friday, September 21, 2018

Tentera Sufi Diponegoro Yang Digeruni Belanda


Pangeran (putera) Diponegoro adalah putera Sultan Hamengku Buwono III, Sultan Yogyakarta, beliau dilahirkan di Kraton (istana) Mataram pada tahun 1785 dan sejak kecil, neneknya yang kuat dan taat beragama membawanya tinggal bersama di Tegalrejo agar pangeran Diponegoro jauh dari pengaruh kraton.

Tentera Sufi Diponegoro Yang Digeruni Belanda

Diponegoro kemudiannya mendalami ilmu agama dengan ramai ulama di Jawa dan mendapat bimbingan rohani dari ulama sufi yang bernama Kiyai Mojo.

Pangeran Diponegoro juga mengamalkan tarekat Syattariyah dan Naqsyabandiyah.

Ketika zaman pemerintahan Sultan Hamengku Buwono V, Kraton Yogyakarta dipengaruhi oleh Belanda.

Kekejaman Belanda ke atas rakyat tempatan menyebabkan Diponegoro melancarkan perang ke atas Belanda yang disokong oleh Sultan Yogyakarta.

Maka tercetuslah perang antara pasukan tentera pimpinan Diponegoro menentang Belanda pimpinan Jenderal De Kock yang dipanggil Perang Sabil atau Perang Jawa pada tahun 1825-1830.

Diponegoro melancarkan perang secara gerila yang mana para tenteranya terdiri daripada ulama, pelajar pesantren (santri), pendekar dan rakyat tempatan.

Antara ulama masyhur yang berperang bersama Diponegoro ialah Kiyai Mojo, Syeikh Haji Ahmad dan Syeikh Muhammad.

Beberapa buah pesantren di Bangelen, Kedu, Pajang dan Mataram turut menjadi pusat kegiatan jihad yang mendokong perjuangan Diponegoro menentang Belanda oleh itu, tentera gerila pimpinan Diponegoro ini dipanggil ‘Tentera Santri’.

Pangeran Diponegoro begitu meminati Daulah Uthmaniyah dan menjadikan Uthmaniyah sebagai model ikutannya.

Beliau turut menamakan dirinya dengan nama Ngabdulhamit sempena nama Sultan Abdul Hamid II.

Pangeran Diponegoro membentuk pasukan tenteranya berdasarkan sistem tentera Uthmaniyah.

Para panglima perangnya memakai gelaran ‘Basya’ (Pasha), gelaran yang dipakai oleh para pembesar dan panglima Uthmaniyah seperti panglima tertinggi angkatan jihad Diponegoro iaitu Ali Basya Sentot dan panglima-panglima yang lain seperti Basya Uthman, Basya Raden Prawirodirjo dan Basya Ngabdul Latif.

Diponegoro juga berazam untuk melaksanakan syariat Islam sebagai asas perundangan di Jawa apabila dapat menewaskan Belanda.

Peperangan ke atas Belanda yang dipimpin oleh Diponegoro tidak hanya berlaku di Yogyakarta, malah ianya merebak hingga ke Semarang dan Jawa Timur.

Rakyat Jawa melihat Diponegoro sebagai harapan baru membebaskan mereka dari kekejaman Belanda.

Gua Selarong yang terletak di tengah-tengah sebuah gunung di Bantul menjadi markas utama tentera gerila Diponegoro. Di sinilah majlis-majlis zikir dan mesyuarat merancang strategi perang diadakan.

Pasukan gerila ini begitu ditakuti Belanda kerana beberapa siri serangan mereka berjaya menumpaskan Belanda dan mengorbankan ribuan tentera Belanda termasuk pemimpin-pemimpin tertinggi tentera sehingga mengheret Belanda untuk menawarkan genjatan senjata dan rundingan damai kepada Diponegoro.

Namun, Belanda menggunakan tipu muslihat yang akhirnya membawa kepada penangkapan Diponegoro, Kiyai Mojo dan para pengikut mereka.

Jeneral De Kock yang memungkiri janjinya telah menangkap Diponegoro ketika rundingan damai sedang dijalankan. Betapa baculnya Belanda!

Diponegoro dan orang-orang kanannya di bawa ke Menado dan seterusnya ke Makassar dan dipenjarakan di sana.

Beliau kemudiannya meninggal dunia di penjara pada tahun 1855 ketika berusia 70 tahun setelah dipenjara selama 25 tahun.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: thepatriots

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon