Friday, September 07, 2018

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?


Cadangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mengisytiharkan semua restoran terbuka sebagai kawasan larangan merokok dilihat sebagai tepat pada masanya.

Larangan Merokok Di Restoran Terbuka Bakal Dikuatkuasakan?

Perunding Keselamatan dan Kesihatan Awam, Mohd Sofian Osman menyifatkan ia selaras dengan rungutan sesetengah pengguna yang kurang selesa termasuk ketika berada bersama anak kecil di kedai makan.

"Ia pernah dicadangkan sejak 2015 lagi ketika kaji selidik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menunjukkan terdapat 5 juta rakyat Malaysia merupakan perokok dalam kalangan umur 15 tahun ke atas.

"Malah, data menunjukkan 35 peratus kematian di hospital-hospital awam adalah penyakit yang berkaitan dengan asap rokok seperti jangkitan paru-paru, kanser, jantung dan lain-lain.

"Cadangan ini tepat pada masanya selepas ramai yang menganggap hak mereka untuk menikmati udara bersih dicemari oleh perokok," katanya.

Jelasnya, KKM boleh bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan bagi menjalankan penguatkuasaan yang lebih drastik memandangkan kuasa penuh telah diberi melalui Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Di media sosial, ramai mahu kerajaan serius dalam memastikan penguatkuasaan dijalankan dengan teliti agar perokok dikenakan tindakan sewajarnya sekiranya melanggar peraturan yang telah ditetapkan.

PENIAGA TAK PERLU RISAU

Peniaga tidak perlu risau perniagaan merosot disebabkan cadangan kerajaan mengisytiharkan larangan merokok dalam restoran terbuka di seluruh negara.

Ahli Lembaga Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (MCTC), Dr Siti Nurbaya Shahrir berkata, peniaga sepatutnya lebih menjaga golongan majoriti (bukan perokok) berbanding minoriti (perokok).

Menurutnya, beberapa negara luar yang mengamalkan polisi sedemikian membolehkan peniaga mendapat lebih untung kerana jumlah pelanggan makin ramai.

“Sekarang jangan fikir keuntungan menurun atau tidak, buat dulu. Restoran memang perlu jadi kawasan larangan merokok untuk melindungi mereka yang tidak merokok.

“Kalau mereka (peniaga) risaukan pasal keuntungan, negara luar ada yang buat tapi didapati lagi ramai orang datang ke kedai mereka sebab orang yang tak merokok lebih ramai.

“Orang yang merokok kalau datang restoran, mereka duduk lama dan minum saja.

"Kalau berkeluarga, datang sekejap, beli makanan banyak.

"Jadi, pelanggan lebih ramai,” katanya.

Tambahnya lagi, bukan perokok berasa kurang selesa dengan kehadiran perokok di sekeliling mereka dan peniaga perlu juga menghormati situasi tersebut.

“Kami rasa ia mengganggu. Di Malaysia tidak ramai yang merokok, yang merokok hanya 21 peratus. Kenapa nak lebihkan mereka yang merokok dan ketepikan yang tidak merokok.

“Kita memang dah lama nantikan keputusan ini sebab merokok melibatkan umum.

"Ramai wanita dan kanak-kanak yang tidak merokok turut terjejas,” ujarnya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: astroawani | astroawani2

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon