Sunday, August 12, 2018

Sejarah Sarawak Rangers Tentera 'Pemburu Kepala' Terbaik Di Dunia


Pesuruhjaya British di Malaya, Sir Gerald Templer pernah menggelar pasukan Sarawak Ranger sebagai Pasukan Terbaik Di Dunia dan untuk mana-mana pasukan tentera yang pernah berkhidmat sewaktu zaman darurat di Persekutuan Tanah Melayu suatu waktu dahulu yang digelar “The Sarawak Headhunter”.

Sejarah 'Sarawak Ranger' Tentera Terbaik Di Dunia

Ketika Presiden Sukarno, presiden Indonesia suatu ketika dahulu pernah berkata di dalam satu ucapannya, "Tentera Iban ini datangnya tidak diundang, saat pergi semua bala tenteraku hilang nyawa. Ramai yang bercerai dari badan dan kepala. Mereka sungguh pantas hinggakan tidak terlihat oleh mata manusia."

Inilah antara kata-kata yang pernah merujuk kepada Sarawak Rangers iaitu satu pasukan separa tentera yang begitu gah dengan kepakaran mereka menjejaki musuh serta keberanian mereka yang tiada tolok bandingnya sehinggakan Sarawak Rangers dulu, kini dan selamanya tetap menjadi kebanggaan Bangsa Sarawak.

Raja Charles Brooke

Sarawak Rangers merupakan satu pasukan separa tentera yang telah dibentuk oleh Raja Charles Brooke iaitu Raja kedua Sarawak pada Oktober 1862.

Pada awal penubuhannya, pasukan separa tentera ini telah dianggotai oleh anak tempatan Sarawak berbangsa Iban seramai 32 orang.

Mereka telah dipilih hasil daripada pemuafakatan Rajah Charles Brooke dengan tuai-tuai rumah etnik Iban yang menyokong kepimpinan keluarga Dinasti Brooke di Negara Sarawak pada ketika itu.

Pemilihan 32 orang ini bukanlah hanya sekadar tangkap muat tetapi etnik Iban 32 orang ini merupakan antara pahlawan etnik Iban yang gagah perkasa serta terkenal dengan selok-belok berperang yang mewakili kawasan masing-masing.

Jadi, apabila ada diantara pahlawan Iban yang sememangnya pandai di dalam taktik berperang ini mendapat kepakaran dan sentuhan daripada mereka yang berpengalaman di arena perang moden yang dibawakan khas daripada Negara Eropah, terhasillah satu pasukan mantap yang sangat digeruni.

Pada ketika inilah, Rajah Charles Brooke telah menggunakan Sarawak Rangers di dalam perang-perang untuk meluaskan empayar jajahan Negara Sarawak pada ketika itu bagi melawan mana-mana mereka yang menentang pemerintahan Brooke di bumi Sarawak suatu ketika dahulu.

Sekitar tahun 1930an iaitu ketika dunia menghadapi kemelesetan ekonomi yang teruk, Sarawak Rangers juga mendapat tempias yang sama apabila pada 29 Februari 1932, Sarawak Rangers telah dibubarkan secara rasmi dan terpaksa kembali ke kampung halaman masing-masing namun ada juga yang dengan rela hati diserap menjadi pasukan Polis Sarawak.

Pada ketika itu, Sarawak telah stabil dan keringat mereka dituntut untuk menjaga keamanan di bumi Sarawak.

Ketika Sarawak di dalam persediaan untuk menghadapi Perang Dunia Kedua, sekali lagi Sarawak Rangers telah dipanggil untuk berbakti.

Pada ketika itu Raja Charles Vyner Brooke telah membentuk Sarawak Rangers kembali bagi tujuan pertahanan dan mereka telah terlibat secara langsung di dalam mempertahankan Lutong, Miri dan Kuching sewaktu pencerobohan tentera Jepun pada Disember 1941.

Ini terbukti apabila Sarawak Rangers adalah pertahanan terakhir sewaktu pertempuran di Kuching yang mana memaksa Sarawak Rangers untuk berundur kerana kekuatan tentera Jepun sewaktu itu begitu kuat sekali.

Seperti kata pepatah lama biar putih tulang jangan putih mata, biarpun mereka telah berundur dan memberikan kemenangan kepada tentera Jepun, namun semangat anggota Sarawak Rangers mempertahankan bumi Sarawak tetap sentiasa ada di sanubari mereka dan akhirnya mereka bergabung dengan Major Tom Harisson, seorang anggota tentera Tentera Komanwel daripada Australia yang melancarkan serangan gerila dikenali sebagai Pasukan “Z”.

Kerana kepakaran daripada Sarawak Rangers ini ramai tentera Jepun telah dibunuh oleh mereka.

Setelah Jepun menyerah kalah selepas pengeboman Hiroshima dan Nagasaki, Sarawak Rangers sekali lagi pulang ke kampung halaman untuk kembali ke penghidupan normal sebagai anak Sarawak.

Di ketika Malaya menghadapi serangan pengganas komunis, pada tahun 1948 yang lebih dikenali sebagai zaman darurat komunis, sekali lagi pahlawan-pahlawan iban ini dituntut kepakaran mereka untuk membantu Malaya pada ketika itu oleh Kerajaan British Borneo Sarawak.

Pada masa ini, 49 penjejak Iban telah dihantar ke Malaya untuk membantu anggota pasukan tentera komanwel menangani pengganas komunis. Kepakaran mereka menjejaki musuh di dalam hutan sememangnya tiada tolok bandingannya.

Sepatutnya mengikut perjanjian, 49 penjejak Iban ini hanya bertugas di Malaya selama 3 bulan dan selepas 3 bulan ada diantara mereka dengan rela hati meneruskan perkhidmatan mereka.

Daripada 49 orang, hanya 24 orang memilih untuk meneruskan perkhidmatan dan 24 orang inilah yang diserapkan di dalam Pasukan Ferret No. 4 yang juga dianggotai oleh tentera Gurkha dan tentera Force 136.

Selepas itu penjejak Iban ini telah datang silih berganti ke bumi Malaya dan dicatatkan sehingga tahun 1952 lebih 1,168 penjejak berkhidmat sebagai Penjejak Iban Sarawak di bumi Malaya.

Mungkin ramai yang tidak mengetahui sejarah ini iaitu penjejak Iban Sarawak yang kali pertama gugur di dalam perkhidmatan mereka di Malaya hanya berlaku pada 12 Mac 1951 iaitu Mendiang Jaweng anak Jugah yang berasal dari Kapit, Sarawak.

Mendiang terkorban kerana ditembak secara tidak sengaja ketika melakukan serang hendap ke atas pengganas komunis. Pada ketika itu mendiang tersilap dikatakan sebagai salah seorang pengganas komunis.

Bayangkan, setelah beberapa tahun berkhidmat di bumi Malaya hanya pada tahun 1951 baru ada penjejak Iban yang terkorban di dalam perang.

Inilah salah satu keisitimewaan penjejak Iban Sarawak Rangers yang sememangnya begitu pakar dalam taktik perang gerila.

Selain itu tercatat satu lagi sejarah di dalam memartabatkan penglibatan penjejak Iban Sarawak Rangers di dalam perang di Malaya apabila Awang anak Rawing, anak iban dari Skrang telah dianugerahkan dengan Pingat George Cross manakala Menggong anak Panggit menerima Pingat George daripada Kerajaan Mahkota Great Britain atas keberanian menyelamatkan pasukan masing-masing sewaktu keganasan komunis berleluasa di bumi Malaya ketika itu.

Unit Sarawak Rangers

Sejarah Sarawak Rangers Tentera 'Pemburu Kepala' Terbaik Di Dunia

Biarpun penjejak Iban Sarawak ini merupakan mereka yang bertugas dengan tentera namun begitu mereka masih lagi tidak mendapat pengiktirafan sebagai anggota tentera sepenuhnya.

Jadi, bagi menjaga kebajikan mereka dari segi hak dan status, setelah permuafakatan antara Kerajaan British Borneo Sarawak, pemimpin masyarakat Iban dan Kerajaan Koloni British, maka pada tangga1 1 Januari 1953, Sarawak Rangers Unit Tanah Melayu telah ditubuhkan secara rasmi dengan pegawai pemerintahnya yang pertama adalah Leftenan Kolonel C.J Baird.

Bermula dari tarikh itu, barulah Sarawak Rangers dengan rasminya menjadi anggota tentera sepenuhnya.

Pada 1 April 1960, Sarawak Rangers Unit Sarawak, Borneo, telah ditubuhkan secara rasmi di bumi Sarawak oleh Kerajaan British Borneo Sarawak dengan pegawai pemerintahnya merupakan anak tempatan yang juga salah seorang penjejak Iban Sarawak Rangers iaitu Leftenan Tomlow anak Isa.

Ini merupakan satu penghormatan yang besar kepada perjuangan anak Iban di dalam Sarawak Rangers memandangkan ketika itu Sarawak masih lagi menjadi tanah jajahan Kerajaan British Borneo.

Sarawak Rangers dengan keberanian dan kepakaran mereka, dituntut di dalam banyak perang di bumi asing contohnya di Malaya dan Brunei, malah Sarawak sendiri walaupun ketika itu Sarawak belum lagi membentuk Gagasan Malaysia.

Ada antara penjejak Iban Sarawak Rangers ini telah gugur di medan perang di bumi asing dan telah disemadikan dibumi asing suatu ketika dahulu dan hanya pada tahun 2011, 21 jenazah penjejak Iban telah dibawa pulang ke tanahair tercinta mereka iaitu Sarawak Bumi Kenyalang.

Antara penglibatan perang mereka adalah seperti berikut:
  1. Kempen mengamankan Sarawak era Rajah Brooke.(1862 – 1942).
  2. Perang Gerila Jepun bersama ‘Reconnaissance Service Department’ (RSD) di Sarawak. (1942–1945).
  3. Darurat Malaya. (1948 – 1960).
  4. Darurat Sarawak (1952 – 1953).
  5. Pemberontakan Brunei (1962).
  6. Konfrantasi Indonesia Malaysia (1962 – 1963).

Batalian Askar Renjer Malaysia

Di dalam perjanjian Penubuhan Malaysia, pihak Kerajaan British telah bersetuju untuk menubuhkan 2 buah batalian Askar Renjer Malaysia dan seterusnya melatih anggota-anggota tentera di peringkat awal dan seterusnya diikuti dengan penubuhan battalion ketiga.

Penubuhan Askar Renjer Malaysia telah diumumkan di Parlimen British (House of Commons) oleh Secretary of State for Commonwealth Affairs pada 18hb Julai 1963. Hanya beberapa hari sebelum Sarawak merdeka secara rasminya pada 22hb Julai 1963.

Ekoran daripada itu, Sarawak Rangers telah dibubarkan secara rasminya dan kemudian pada 16 September 1963, anggota Sarawak Rangers telah diserapkan menjadi Batalion Pertama Regimen Renjer Malaysia.

Batalion Kedua Regimen Renjer Malaysia terdiri daripada anak tempatan North Borneo (Sabah) dan Batalion Ketiga Regimen Renjer Malaysia merupakan anak tempatan Tanah Melayu.

Inilah sejarah panjang Sarawak Rangers dari tahun 1862 – 1963 yang kemudiannya dikenali sebagai Regimen Renjer Malaysia setelah penubuhan Gagasan Malaysia pada 16 September 1963.

Tradisi Ngayau Dalam Era Darurat

Sejarah Sarawak Rangers Tentera 'Pemburu Kepala' Terbaik Di Dunia

Tahukah anda, setelah Darurat Tanah Melayu pada 1948-1960, pasukan keselamatan Komanwel dan pasukan keselamatan Malaya bertempur dengan pengganas komunis melibatkan siri-siri peperangan gerila di hutan belantara Tanah Melayu?

Acapkali menimbulkan masalah bagi pasukan keselamatan adalah terpaksa mengangkut kembali mayat-mayat pengganas dari hutan untuk diletakkan di depan balai polis bagi tujuan pengecaman (serta peranan SB untuk tujuan risikan) oleh sanak saudara dan perang saraf.

Mengangkut mayat-mayat pengganas dari hutan ke pekan-pekan mengambil masa berhari-hari dan amat memualkan apabila mayat mula membusuk.

Dengan penglibatan Sarawak Rangers dari kaum Iban Sarawak sebagai penjejak dalam kempen Malaya, sebahagian pegawai British beranggapan lebih mudah untuk memenggal kepala mayat-mayat pengganas untuk dibawa pulang ke HQ dari mengangkut keseluruhan mayat bagi memudahkan transportasi dan pergerakan infantri Komanwel setelah tamat misi di hutan.

Aktiviti "ngayau" ini yang dilakukan oleh tentera Komanwel dan Sarawak Rangers adalah "rahsia terbuka" (open secret) dikalangan anggota keselamatan Malaya dan tidak ditunjukkan pada media, tapi taktik kejam ini amatlah digeruni oleh pengganas Komunis.

Pada April 1952, akhirnya "rahsia terbuka" itu diketahui ramai di UK dan Colonial Officer pada masa itu terpaksa menangani kejutan dan kemarahan media Britain apabila foto seorang pegawai Royal Marine memegang dua kepala pengganas tersebar luas.

Amat menarik sekali, peranan Sarawak Rangers yang berbangsa Dayak dalam aktiviti "ngayau" di Malaya turut disahkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Gerald Templer yang mencadangkan, "Dyaks should be used not only for tracking but in their traditional role as head-hunters." (Kaum Dayak bukan sahaja harus digunakan sebagai penjejak malah tradisi mereka sebagai pemenggal kepala) sepertimana yang direkodkan oleh Colonial Officer.

Colonial Officer turut mencatat rekod, "Templer thinks it is essential that the practice (decapitation) should continue, although this would only be necessary in very rare cases.” (Ratu memikirkan ia amat penting amalan ini (ngayau) patut diteruskan, walaupun ia hanya diperlukan dalam kes-kes terpencil).

Akibat kegemparan isu "ngayau" ini, Colonial Officer mencadangkan, “It would be well to delay any public statement on this matter for some months.” (Sebaik-baiknya penangguhan memberi kenyataan umum mengenai perkara ini untuk tempoh beberapa bulan).

Namun begitu, akhbar The Daily Telegraph di UK memberi sokongan dan menerusi komentar positif menyatakan, "that the Dyaks would be superb fighters in the Malayan jungle and it would be absurd if uninformed public opinion at home were to oppose their use.” (Kaum Dayak merupakan pahlawan hebat dalam hutan Malaya, dan adalah mengarut jika pandangan orang awam yang tidak tahu apa-apa menentang penggunaan mereka ini).

Colonial Officer sempat memberi amaran mengenai isu ini, "In addition to decapitation, other practices may have grown up, particularly in units which employ Dyaks, which would provide ugly photographs.” (Sebagai tambahan kepada pemenggalan (ngayau), amalan lain berkemungkinan turut diamalkan, terutamanya dalam unit-unit yang melibatkan kaum Dayak, yang mana akan ada gambar-gambar mengerikan).

Dari sudut budaya, ia memenuhi norma adat "ngayau" dan citarasa bangsa Iban dan Dayak. Mesti diingat, kepala-kepala pengganas komunis yang dipenggal oleh anggota Iban Sarawak Rangers yang dikerah British ke Tanah Melayu untuk membantu Askar Melayu memerangi PKM era Darurat juga berperanan sebagai psy-ops juga (perang saraf) masa era Darurat kerana bila pengganas PKM mengutip kembali mayat komrad mereka yang dipenggal itu seolah-olah mengingatkan kembali era kependudukan Jepun dimana gerila MPAJA yang ditawan tentera Jepun akan dipenggal.

Pastinya anggota tentera berbangsa Iban ketika itu gembira mendapat "lesen sementara" dari British untuk "mengayau" kepala musuh setelah sekian lama adat tradisi "ngayau" diharamkan oleh keturunan Brooke di Sarawak lebih dari 100 tahun lamanya.

Mengikut fakta sejarah, adat ngayau yang diharamkan oleh pemerintah Brooke pernah "dihidupkan tanpa lesen tapi mendapat restu British" oleh gerila-gerila Iban dan Dayak lainnya ke atas tentera Jepun semasa penjajahan Jepun ke atas Sarawak.

Ini antara faktor utama British "mengizinkan" ngayau dalam kempen Darurat di Tanah Melayu kepada Sarawak Rangers.

Kebanggaan

Sarawak Rangers merupakan simbol kemegahan bangsa Sarawak dulu, kini dan selamanya dan sejarah tentang mereka seharusnya diketahui secara umum oleh rakyat Malaysia amnya dan Bangsa Sarawak khususnya.

Jasa mereka bukan sahaja untuk Sarawak ibu pertiwi mereka malah turut disumbangkan untuk dalam memastikan kemerdekaan dan keamanan bumi Malaya suatu waktu dahulu malah sehingga sekarang.

Jasa mereka dilupa jangan. Agik Idup Agik Ngelaban.

BACA INI JUGA:

sumber: sabahsarawakmerdeka | mismacammacamhal

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon