Friday, August 31, 2018

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar Kinabatangan


Kewujudan sebuah bukit batu kapur dikenali Tomanggong Besar di kawasan tanjung Sungai Kinabatangan, mempunyai cerita seakan sama seperti kisah batu belah batu bertangkup di Semenanjung.

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Keunikan struktur itu menarik perhatian pengunjung tetapi belum ada usaha dilakukan pihak berkuasa sehingga ini untuk mempromosikannya sebagai lokasi tarikan pelancong.

Bukit batu kapur setinggi kira-kira 50 meter dari permukaan air terletak di Kampung Sukau, dekat sini, dianggap 'keramat' oleh penduduk setempat kerana selain mitosnya, kawasan berkenaan dipercayai sering berlaku kejadian pelik termasuk ribut.

Mengikut cerita penduduk, bukit itu mengambil sempena nama seorang pemuda iaitu Tomanggong yang 'ditelan' batu selepas dipercayai kempunan memakan seekor burung ketika memburu bersama enam abangnya.

Tujuh beradik itu kononnya memudik ke hilir Sungai Kinabatangan untuk berburu dan ketika perjalanan pulang, mereka singgah berteduh dalam gua pada batu kapur itu kerana berlaku ribut.

Selepas ribut reda, tujuh beradik itu keluar namun malang bagi si Tomanggong apabila pintu masuk gua tertutup sendiri sebelum sempat keluar menyebabkannya terperangkap sebelum enam abangnya berusaha mengumpil pintu gua menggunakan sebatang kayu belian tetapi tidak berjaya.

Sehingga kini, penduduk mendakwa kayu belian itu masih wujud di pintu gua berkenaan, namun hanya boleh dilihat ketika air surut.

Biarpun ada pelbagai versi cerita mengenai bukit Tomanggong, penduduk khususnya masyarakat etnik Orang Sungai masih percaya terhadap pantang-larang jika melalui kawasan itu.

Antaranya ialah tidak boleh membawa makanan dalam perahu, jangan berbuat bising dan memberi salam.

Malapetaka seperti ribut, perahu karam, air sungai bertukar menjadi minyak atau serangan buaya berlaku jika pantang larang tidak dituruti.

Mereka yang membawa makanan sama ada daging atau tumbuhan perlu buang sedikit ke batu untuk mengelak perkara tidak baik berlaku.

Dulu (sebelum memeluk Islam), penduduk yang ada hajat, akan pergi ke situ (bukit batu kapur) membawa beras kuning dan mencampakkan duit.

Kalau mahu makan siput, orang tua (ibu bapa) bawa 'sigup kirai' (rokok), sisip pada batu dan tidak lama keluarlah banyak siput.

Kira-kira satu kilometer (km) di hulu Tomanggong Besar, ada sebuah lagi batu kapur setinggi kira-kira 20 meter dari paras air dinamakan Tomanggong Kecil atau dipanggil 'Tomanggong anak-anak' dalam bahasa Sungai.

Disebabkan mitos itu juga, ramai orang luar datang ke bukit batu kapur berkenaan untuk membuat hajat dengan memacak bendera dan menabur syiling.

Walaupun tiada lagi kejadian pelik, penduduk tempatan masih lagi mengikuti pantang larang dan mengelak ke situ pada waktu malam sebab ia tempat keramat.

Kayu Belian

Mitos Bukit Batu Tomanggong Besar

Sementara itu, air surut di Sungai Kinabatangan cuma berlaku dua atau tiga kali sebulan, namun agak sukar untuk menjangka waktunya yang bergantung kepada keadaan cuaca di hulu sungai menyebabkan usaha melihat kayu belian berkenaan sukar.

Orang tua di sini berkata, kalau tujuan datang mahu lihat kayu belian, tak akan nampak, tetapi kalau tiada niat baru boleh nampak.

Berbanding sekarang, bukit batu kapur itu cuma mendapat sambutan penyelidik dari dalam dan luar negara membuat kajian mengenai batu kapur atau pendaki yang berminat meneroka flora dan fauna di kawasan itu.

Kelebihan kawasan bukit berkenaan yang mempunyai banyak flora dan fauna dan asal usul bukit diberi nama sempena dengan seorang pemuda kempunan seekor burung, mempunyai kaitan antara satu sama lain.

Di Kinabatangan, selain Tomanggong Besar dan Tomanggong Kecil, ada dua lagi bukit batu kapur yang kini diwartakan sebagai kawasan pelancongan iaitu Batu Tulug berusia 20 hingga 25 juta tahun setinggi 29 meter yang menyimpan 125 keranda purba kayu balak.

Selain itu, Gua Gomantong mempunyai 27 gua kecil dihuni jutaan burung layang-layang yang menghasilkan sarang burung, terletak kira-kira 30 kilometer dari Kampung Sukau.

Kewujudan bukit batu kapur selain kawasan lembah Kinabatangan yang terkenal dengan gajah Pygmy Borneo dan 10 spesies primat memberi pulangan kepada penduduk yang terbabit secara langsung dalam pelancongan serta pemuliharaan alam sekitar.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon