Thursday, August 30, 2018

Misteri 'Batu Hidup' Di Kampung Pulau Sebang


Lebih 10 batu besar di Kampung Pulau Sebang Selatan, Alor Gajah, Melaka, yang berbentuk seperti binaan batu Stonehenge di Wiltshire, England, didakwa memiliki misteri tersendiri kerana batu itu didakwa "hidup" oleh sesetengah penduduk kerana saiznya dikatakan semakin membesar sejak ia berada di situ berpuluh tahun lalu.

Batu hidup Pulau Sebang

Penduduk kampung sekitar yang ditemui percaya batu yang berbentuk seperti pedang di situ hidup, selain mendakwa ia sebagai kawasan perkuburan lama.

Mereka mendakwa batu itu pada asalnya adalah kecil, tetapi dari tahun ke tahun membesar hingga tinggi seperti sekarang.

Penduduk Kampung Pulau Sebang Selatan yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung itu, Yahya Mulop, 75, berkata cerita mengenai batu hidup itu juga disebarkan di kawasan kampungnya.

Malah, katanya, batu itu dan cerita yang disebarkan itu pernah dikaji ahli sejarah sebelum ini.

"Sekitar tahun 1988 ada kumpulan pengkaji sejarah datang ke sini untuk lakukan kajian terhadap dakwaan batu hidup ini yang dikatakan membesar sebelum kawasan batu hidup berkenaan dipagar dan kerja-kerja menggali dilaksanakan," katanya.

Katanya lagi, mendengar dakwaan bahawa kawasan itu adalah kubur lama, beliau meminta supaya kerja-kerja menggali dilakukan secara teratur termasuk mengikut Islam selain mengadakan majlis tahlil.

"Ketika mendengar ura-ura ia adalah pusara nenek moyang zaman dahulu, saya dan penduduk bimbang juga untuk menggalinya sebelum kerja menggali dilakukan secara kemas dan teliti dengan menyapu bersih permukaan batu hidup berkenaan.

"Selepas kerja menggali dijalankan, ahli pengkaji sejarah langsung tidak menemui sebarang tanda bahawa ia tanah perkuburan kerana tidak menemui apa-apa bukti seperti rambut atau tengkorak mahupun tulang manusia," katanya lagi.

Bagaimanapun, hasil galian itu kumpulan pengkaji sejarah terbabit menemui satu loceng dan menyifatkan kemungkinan batuan hidup itu adalah batu tanda peringatan orang zaman dahulu sebelum beberapa kawasan lain yang berdekatan dengannya juga turut dibersihkan.

"Batu hidup ini juga turut dipamerkan dalam Muzium Negara, namun pada tahun 1990 tiada lagi mana-mana pihak melakukan kajian lanjutan yang mana di Kampung Pulau Sebang Selatan kini mempunyai satu batu hidup paling tinggi adalah 11 kaki (3.3 meter)," katanya.

Yahya berkata saiz batu berkenaan mungkin dilihat seperti membesar berpunca daripada hakisan tanah yang kemudiannya menampakkan pangkal batu itu semakin tinggi.

Bagaimanapun, Kurator Perbadanan Muzium Melaka, Mohd Shukry Abdullah, ketika ditemui baru-baru ini mempunyai pandangan berbeza.

Katanya, kajian mengenai batu hidup atau dikenali sebagai megalith yang mempengaruhi serta merujuk kepada perkembangan tradisi dan budaya masyarakat pada zaman dulu sudah dilakukan bermula tahun 1928, sebelum disusuli kajian semula pada tahun 2011.

"Kewujudan dan kepercayaan terhadap batu megalith ini dipercayai sejak sebelum kedatangan Islam dengan masyarakat pada waktu itu percaya batu ini hidup, meninggi dan berkelip apabila disuluh cahaya pada waktu malam.

"Itu hanya dakwaan masyarakat zaman dulu, namun selepas kajian dilakukan mendapati cahaya berkenaan adalah disebabkan oleh ciri batu jenis granit yang mengandungi silika," katanya.

"Apabila bulan mengambang ia akan kelihatan bercahaya," katanya.

Megalith yang berasal dari perkataan Greek 'mega' membawa maksud besar dan 'lithos' iaitu batu, boleh didefinisikan sebagai batu besar yang didirikan di atas tanah secara bersendiri dan berpasangan.

Mohd Shukry berkata, megalith menggambarkan budaya yang dibawa oleh masyarakat Minangkabau dengan kebanyakan penemuan batu itu boleh didapati di sekitar Negeri Sembilan, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Beliau berkata, antara lokasi tumpuan batuan megalith di Melaka adalah di Cherana Putih, Taboh Naning, selain terdapat juga di Melekek, Pulau Sebang dan Melaka Pindah, Alor Gajah.

"Dari segi pertanian, masyarakat dahulu percaya batu ini mampu memulihkan semangat tanaman mereka.

"Selain menjadi pemulih semangat padi, megalith juga dijadikan penutup keranda zaman dulu, selain tanda tanah perkuburan dan batu penanda sempadan bagi sesuatu kawasan," katanya.

Batu hidup Pulau Sebang

Pengurus Besar Institut Seni Malaysia Melaka (ISMMA), Drs Mohd Nasruddin Rahman, tidak menafikan kehidupan masyarakat dahulu kala menjurus kepada sesuatu kepercayaan hingga ia dijadikan tempat pemujaan oleh masyarakat animisme kerana ia kelihatan pelik.

"Sebenarnya, batu-batu ini tidak membesar tetapi ketinggiannya dilihat semakin bertambah mengikut masa disebabkan oleh hakisan tanah dan mendapan yang berlaku, megalith ini sememangnya wujud namun ia direpeh dan ditanam pada kedalaman yang kukuh.

"Kedudukan megalith rata-rata dijumpai yang besar diletakkan paling hadapan diikuti saiz yang lebih kecil di belakangnya menunjukkan ia sebagai ibu pemujaan atau sebagai pembuka kawasan terbabit selain sebagai tanda bilangan penduduk kawasan itu," katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bharian

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon