Friday, August 03, 2018

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?


Kita pastinya asyik terfikir, Iblis itu jahat dan menghasut manusia agar membuat kejahatan sedangkan Allah inginkan kita menjadi baik. Jadi kenapa Allah ciptakan juga Iblis?

Kenapa Allah Mencipta Iblis Dan Syaitan?
Gambar hiasan.

Iblis ialah sejahat-jahat kejadian yang diciptakan oleh Allah SWT dan ramai orang secara tidak sedar beranggapan bahawa Allah tidak sepatutnya mencipta Iblis.

Bukankah lebih baik jika Iblis tidak wujud? Maka semua manusia akan lebih cenderung untuk beriman dan taat kepada Allah.

Sebenarnya, mereka mempersoal dan mempertikaikan penciptaan Iblis ini lantaran kejahilan mereka terhadap hikmah kejadian Iblis.

Keadaan ini samalah juga dengan malaikat yang berasa hairan dengan penciptaan manusia pada awal-awal dahulu.

Lalu mereka bertanya kepada Allah tentang rasional manusia yang gemar melakukan kerosakan dan menumpahkan darah itu dicipta sebagai khalifah di muka bumi.

Namun, persoalan malaikat itu bukanlah untuk mempertikaikan perbuatan Allah. Para malaikat itu suci daripada segala bentuk kemaksiatan.

Sebenarnya persoalan mereka itu menunjukkan bahawa malaikat tidak tahu hikmah Allah menciptakan manusia sebagai khalifah di muka bumi.

Tiga Asas Kefahaman

Sebelum perbincangan lanjut tentang hikmah penciptaan Iblis, kita perlu ingat tiga asas berikut:

1. Segala perbuatan Allah sama ada baik atau buruk pada penilaian manusia tidak boleh dipersoalkan kerana Allah mempunyai hak mutlak untuk menciptakan apa sahaja yang dikehendaki-Nya.

Firman Allah yang bermaksud, “Dia tidak boleh ditanya tentang apa yang dilakukan, sedang merekalah yang akan ditanya kelak.” (Surah al- Anbiya ’ : 23)

2. Allah menciptakan manusia di muka bumi adalah bertujuan untuk menguji siapakah dalam kalangan mereka yang paling baik amalannya sebagaimana yang ditegaskan dalam surah al- Mulk ayat 2.

Justeru, penciptaan Iblis adalah sebahagian daripada ujian Allah bagi menilai umat manusia.

3. Allah telah memberi amaran berulang- ulang kali dalam al-Quran dan sunnah Rasul-Nya bahawa Iblis dan syaitan itu musuh manusia yang paling nyata.

Maka kita tiada alasan untuk mengatakan mereka tidak mengetahui musuhnya.

Berikut adalah antara hikmah penciptaan Iblis:

Hikmah 1: Membuktikan Allah Pencipta Mutlak

Berbalik kepada hikmah penciptaan Iblis, antaranya adalah bagi menunjukkan kekuasaan Allah dalam menciptakan segala yang wujud secara berpasang-pasangan dan berlawanan antara satu dengan lain.

Hal ini samalah seumpama Allah menciptakan lelaki dan wanita, jantan dan betina, malam dan siang, baik dan buruk, cantik dan hodoh, Muslim dan kafir, termasuk juga malaikat dan Iblis.

Sebagaimana Allah mampu menciptakan satu makhluk yang tidak pernah ingkar kepada-Nya dan hanya beribadah kepada-Nya semata-mata pada setiap waktu, begitulah juga Allah mampu menciptakan satu makhluk yang paling kuat mengingkari perintah-Nya seperti Iblis.

Semua ini sekali gus menunjukkan kesempurnaan kekuasaan Allah dalam penciptaan sehingga manusia tidak boleh mengatakan bahawa Allah hanya mampu menciptakan benda-benda yang baik sahaja.

Sebaliknya, benda-benda yang jahat seperti Iblis dan syaitan itu berkuasa menciptakan dirinya sendiri bagi menandingi Allah.

Hikmah 2: Membuktikan Kekuasaan Allah

Penciptaan Iblis juga akan menzahirkan dan membuktikan beberapa nama dan sifat Allah seperti al- Qahhar (Maha Gagah Perkasa), al-Muntaqim (Maha Pembalasan), al- ’Adl (Maha Adil), al-Dhar (Maha Memberi Mudarat), Syadid al-'Iqab (Maha Pemberi Azab Pedih), Sari ’ al-Hisab (Maha Pemberi Pembalasan Segera), alKhafidh (Maha Merendahkan), al- Mu ‘iz ( Maha Memuliakan), al- Muzill (Maha Menghinakan), al-Rafi' (Maha Meninggikan) dan lain-lain.

Nama-nama dan sifat-sifat Allah ini tidak akan terzahir dan terbukti sekiranya semua makhluk yang wujud ini bersifat seperti malaikat.

Sebaliknya ia terzahir disebabkan kewujudan makhluk yang menzahirkan penentangan terhadap titah dan perintah Allah.

Hal ini dijelaskan lagi dengan peristiwa-peristiwa Allah memberi pertolongan kepada wali-wali-Nya dan menghancurkan musuh-musuhnya.

Hikmah 3: Menzahirkan Kasih Sayang Allah

Selain itu, kewujudan Iblis juga akan menzahirkan sifat Allah yang Maha Pengampun, Maha Pemaaf, Maha Pengasih, Maha Pemurah dan sebagainya.

Hal ini benar -benar tidak dapat disangkal lagi apabila Allah memasukkan hamba- hamba-Nya yang berdosa ke dalam syurga tanpa mengambil kira secara terperinci segala dosa dan maksiat yang telah dilakukan akibat godaan dan hasutan Iblis.

Jika tiada manusia yang berdosa dan melakukan maksiat, maka tiadalah keperluan untuk Allah menzahirkan sifat - sifat ihsan dan belas kasihan ini.

Hikmah 4: Menyempurnakan Kehambaan Manusia

Al-Imam Ibn Qayyim alJauziyyah menyebut bahawa antara hikmah penciptaan Iblis adalah untuk menyempurnakan tahap-tahap kehambaan kepada Allah sepertimana yang ditunjukkan oleh para nabi dan rasul serta pengikut mereka.

Ini kerana tahap perhambaan ini tidak sempurna kecuali dengan menguji mereka dengan musuh-musuh.

Musuh-musuh Allah akan mengganggu dan memerangi mereka yang berusaha untuk istiqamah dalam agama.

Sekiranya mereka bersabar dan berjihad melawan musuh-musuh Allah dan mengutamakan pahala, maka dengan kesabaran dan kesungguhan itu akan sempurnalah tahap kehambaan mereka kepada Allah.

Selanjutnya Ibn Qayyim mengatakan bahawa banyak perkara yang kita tidak nampak kebaikan dan keutamaannya melainkan apabila dinampakkan lawannya.

Maka proses untuk menampakkan keburukan berlaku menerusi penciptaan Iblis dan syaitan.

Wallahu a‘lam

BACA INI JUGA:

sumber: addeen

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon