Monday, August 06, 2018

4 Jenis Buah Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah Dan Sarawak


Borneo sememangnya terkenal dengan keunikannya, baik dari segi kebudayaan, tradisi, adat resam dan kaya dengan pelbagai hasil alam floranya.

Kekayaan hasil bumi ini boleh dilihat dari segi kepelbagaian jenis buah-buahan yang terdapat di Sabah dan Sarawak.

Berikut adalah 4 jenis buah yang enak dimakan dan hanya boleh ditemui di Sabah dan Sarawak.

1. Buah Dabai

4 Jenis Buah Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah Dan Sarawak

Buah dabai yang sudah masak biasanya berwarna kehitaman (berwarna putih sebelum masak). Warna kehitaman itu juga petanda bahawa ia sudah boleh dipetik daripada pokoknya.

Sebenarnya buah dabai ini agak keras, jadi, untuk menikmati buah tersebut, biasanya ia akan direndam dalam air suam untuk beberapa minit bagi melembutkan isinya.

Sesudah itu, ia boleh dimakan dan anda juga boleh memilih untuk mencicahnya dengan garam atau kicap bercampur gula bagi menambahkan lagi rasanya.

Memang sedap dan rasa lemak-lemak manis akan membuatkan anda cukup berselera.

Bahkan di Sarawak terdapat juga menu nasi goreng dabai, itu pun jika musim adanya buah dabai sahaja.

Apa yang lebih menarik tentang buah dabai atau nama saintifiknya Canarium Odontophyllum yang juga punyai jolokan buah zaitun Sarawak, ia didapati kaya dengan kandungan antioksida yang berkhasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Penerokaan potensi buah dabai juga membawa kepada penghasilan dan pengeluaran pelbagai produk komersial seperti ais krim dabai, sos pencicah dabai dan sebagainya.

2. Buah Bambangan @ Buah Mawang

4 Jenis Buah Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah Dan Sarawak

Buah bambangan @ mawang hanya terdapat di Sabah dan Sarawak. Haruman buah bambangan yang sudah masak ini cukup kuat sekali.

Sungguh pun kulitnya belum dikopek, haruman buah yang sudah masak boleh dihidu tatkala masih berada jauh darinya.

Buah bambangan mempunyai kulit yang tebal dan isinya pula berwarna kuning keemasan.

Buah bambangan yang sudah masak boleh dimakan terus. Isinya cukup manis dan harumannya akan berikan kepuasan kepada siapa-siapa saja yang menikmatinya.

Ada juga yang memakan buah ini dengan mencicahnya dengan kicap, garam atau sambal serta dibuat jeruk. Memang sedap!

3. Buah Tarap @ Buah Lumuk

4 Jenis Buah Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah Dan Sarawak

Buah tarap atau buah lumuk sememangnya digemari oleh warga Borneo kerana aroma isi buahnya. Pokok buah ini banyak didapati di Sabah dan Sarawak.

Buah tarap mempunyai lapisan kulit berduri yang menyerupai buah durian, namun, permukaan duri-duri ini sebenarnya lembut.

Ada juga yang mengatakannya menyerupai buah cempedak atau nangka namun, sebenarnya rasa buah tarap dengan buah cempedak atau nangka adalah jauh berbeza.

Permukaan kulit buah tarap yang sudah masak adalah lembut dan ia boleh dikopek begitu saja.

Setelah kulitnya dikopek, isi buah tarap boleh dijamu terus. Biji buah tarap juga boleh dimakan setelah ia digoreng.

4. Durian Merah atau Pakan

4 Jenis Buah Unik Yang Hanya Terdapat di Sabah Dan Sarawak

Sekiranya di Semenanjung Malaysia terkenal dengan durian Musang King, di Sabah dan Sarawak pula kita terkenal dengan durian yang mempunyai isi berwarna oren yang dinamakan sebagai durian Pakan atau durian merah atau durian “ngekak” oleh komuniti setempat.

Durian ini sememangnya menjadi kegemaran anak-anak Borneo dan sentiasa dinantikan setiap kali menjelangnya musim buah-buahan.

Durian Pakan tumbuh liar di hutan dan ia biasanya berbuah serentak dengan musim durian di Sabah dan Sarawak.

Luarannya adalah seperti durian biasa, cuma saiz setiap biji durian adalah lebih kecil daripada durian biasa.

Rasa durian ini pula adalah jauh berbeza dengan durian yang biasa kita makan. Ia mempunyai aroma tersendiri, tidak mempunyai bau “gas” yang kuat seperti durian biasa.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: borneodihati

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon