Thursday, July 19, 2018

Rahsia Kenapa Pemain Bola Sepak Gemar 'Meludah'


Di sebalik segala keterujaan perasaan, pekikan peminat dan kehebatan pemain menjaringkan bola, terdapat suatu tabiat beberapa pemain bola sepak yang boleh anda contohi untuk lebih berstamina di padang, ‘carb rinsing’ atau kumuhan karbohidrat.

Rahsia Kenapa Pemain Bola Sepak Gemar Meludah
Gambar hiasan.

Pernahkah anda memerhati atlet meludah air sewaktu rehat? Tahukah anda kajian sains mendapati terdapat manfaat tabiat tersebut bagi pemain bola?

Ada apa dengan carb rinsing?

Anda mungkin mendapati ramai pemain meludahkan air sewaktu pertandingan Piala Dunia. Mungkin mereka hanya melembapkan mulut yang terasa kering, tetapi kajian mendapati sebenarnya terdapat kebaikan lebih daripada itu jika anda melalukan air dalam mulut dan meludahkan kembali ketika bersukan.

‘Carb rinsing’ merujuk kepada tabiat berkumuh dengan larutan karbohidrat dalam mulut untuk memperdaya badan agar berfikir bahawa terdapat pengambilan tenaga.

Dengan cara ini, anda dapat memberikan rangsangan kepada otak untuk terus berjaga-jaga dan walaupun bukanlah sesuatu amalan yang biasa dilakukan, tetapi teknik ini semakin meningkat dalam kalangan atlet.

Sepanjang memerhatikan pertandingan Piala Dunia anda pasti menjumpai beberapa pemain kelihatan melakukan perkara ini. Antaranya kapten England, Harry Kane yang acap kali dilihat mengambil air dan meludahnya keluar. Begitu juga pemain tengah Dele Alli, dan pemain Portugal, Cristiano Ronaldo.

Mereka bukan hanya meludah biasa, tetapi pemain membilas mulut mereka dengan air dan mengeluarkan aliran air dan bukan meminumnya.

Mengapa tidak minum saja?

Minuman karbohidrat mengandungi polimer glukosa dan bertujuan untuk menambah simpanan tenaga semasa dan selepas senaman.

Jika meminum minuman karbohidrat boleh menambah stamina pemain, mengapa tidak melakukan sedimikian sahaja berbanding meludah keluar kembali?

Ini disebabkan minum air terlalu banyak boleh menyebabkan kembung, sebaliknya jika anda melakukan carb rinsing, anda memperdayakan badan seolah-olah ada pengambilan karbohidrat dan membuatkan badan lebih berstamina tanpa mengalami masalah kembung perut.

Kesan ini terjadi apabila reseptor di dalam mulut mengesan karbohidrat dan menghantar isyarat ke otak, dengan mengatakan terdapat bahan tenaga yang akan masuk.

Ini menjadikan otot bekerja lebih keras, tanpa kesan negatif daripada minuman karbohidrat seperti senak perut dan kekejangan.

Carb rinsing dalam kajian sains

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2017 dalam European Journal of Sport Science mendapati bahawa carb rinsing meningkatkan prestasi dalam pelbagai aktiviti.

Pasukan penyelidikan dari Coventry University menguji 12 lelaki yang sihat di usia 20-an mereka, dan mendapati selepas carb rinsing mereka dapat melompat lebih tinggi, melakukan lebih banyak tekan tubi, berlumba lari lebih laju dan lebih fokus.

Satu lagi kajian dari tahun 2015, yang diterbitkan dalam International Journal of Sport Nutrition and Exercise Metabolism, mendapati bahawa 12 atlet lelaki yang kompetitif mengalami kurang keletihan selepas carb rinsing.

Dalam satu kajian di Malaysia yang diterbitkan dalam jurnal Applied Physiology, Nutrition, and Metabolism yang membandingkan pelumba basikal yang melakukan carb rinsing sewaktu bulan puasa, mereka didapati mempunyai manfaat lebih dalam perlumbaan berbanding pemain berpuasa yang tidak melakukan carb rinsing.

Carb rinsing rahsia ketahanan pemain bola?

Walaupun carb rinsing didapati memberi kesan positif kepada atlet dalam sukan tertentu tetapi teknik ini didapati tidak memberi kesan dalam sukan yang memerlukan ketahanan diri yang lebih lama.

Carb rinsing didapati lebih memberikan kesan dalam sukan yang laju dan berimpak tinggi seperti lari pecut berbanding aktiviti yang memerlukan ketahanan lama seperti maraton panjang.

Dalam satu kajian dari 2017, yang diterbitkan dalam Journal of Sports Sciences, 15 pelari wanita berlumba selama 60 minit, sekali dengan carb rinsing dan sekali tanpanya. Tiada kesan yang dilaporkan pada pencapaian mereka.

Oleh itu, carb rinsing dalam pemain bola sebenarnya hanya untuk membantu mereka kekal peka dan mengurangkan rasa penat. Apatah lagi setelah hampir 90 minit bermain, bukan mudah untuk kekal fokus dan berstamina.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: sinarharian

1 comment

  1. baru la tahu...

    memang ada benar juga dari segi logik akal

    ReplyDelete

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon