Monday, June 25, 2018

Misteri Pembunuh Berantai Hwaseong


Hwaseong merupakan sebuah bandar yang terletak dalam daerah Gyeonggi, Korea Selatan dan merupakan bandar yang berteraskan perladangan namun, bandar ini juga menyimpan satu kisah hitam.

Misteri Pembunuh Berantai Hwaseong

Antara tahun 1986 sehingga 1991, penduduk negara ini dikejutkan dengan kejadian pembunuhan bersiri yang berlaku di Hwaseong. Ia dikatakan antara pembunuhan berantai terbesar dalam sejarah kes jenayah negara republik itu.

Dalam tempoh tersebut, 10 mayat wanita berusia antara 14 tahun sehingga 71 tahun ditemui dengan corak pembunuhan yang sama.

Mayat-mayat itu ditemui dalam keadaan diikat dengan pakaian mereka sendiri dan didapati telah diperkosa dan dijerut sehingga mati.

Bermula pada 15 September 1986, Hwaseong mula dikejutkan dengan penemuan mayat seorang wanita disebuah kawasan sawah padi.

Mayat itu diikat dengan pakaiannya sendiri. Hasil siasatan mendapati mayat itu telah dirogol dan dicekik sehingga mati. Mangsa dikenali sebagai Lee Wan Im, berusia 71 tahun.

Ketika polis sedang menyiasat kes tersebut, pada 20 Oktober, satu mayat wanita berusia 25 tahun pula ditemui.

Mangsa kedua bernama Park Hyun Sook ditemui dalam keadaan serupa seperti mayat pertama.

Ketika itu, pihak polis mula sedar, satu kes pembunuhan bersiri sedang muncul dan mungkin akan ada wanita lain bakal menjadi mangsa. Jangkaan mereka tepat.

Pada 12 Disember, mayat ketiga ditemui dikenali sebagai Kwon Jung Bon berusia 25 tahun.

Hanya selang dua hari kemudian, pada 12 Disember, mayat keempat pula muncul. Seorang gadis berusia 23 tahun bernama Lee Kye Sook.

Mayat-mayat ditemui dalam keadaan yang sama. Mereka diperkosa, diikat dan dicekik sehingga mati dengan pakaian sendiri.

Kes ini mula mendapat liputan meluas. Rakyat mula ketakutan terutamanya penduduk di bandar Hwaseong.

Siasatan besar-besaran segera dilakukan yang melibatkan lebih kurang dua juta anggota polis bagi menangkap pembunuh bersiri tersebut.

Pun begitu, agak sukar untuk pihak polis mengesan pelakunya memandangkan ketika itu kemampuan penyiasatan mereka masih terhad, apatah lagi ia merupakan kes paling besar dan rumit yang harus ditangani.

Ketika pihak polis masih buntu mengesan penjenayah itu, mayat kelima ditemui pada 10 Januari 1987. Mangsanya ialah gadis berusia 19 tahun, Jong Jin Young.

Selang beberapa bulan kemudian, mayat keenam pula muncul pada 2 Mei yang menyaksikan Park Eun Joo, berusia 29 tahun menjadi mangsa.

Pada 7 September, mayat Ahn Gi Soon, wanita berusia 54 tahun ditemui sebagai mangsa ketujuh.

Tidak sampai 10 hari kemudian, mayat remaja berusia 14 tahun pula ditemui.

Penemuan mayat Park Sang Hee pada 16 September membawa kepada penangkapan seorang pemuda berusia 22 tahun apabila polis menemui rambutnya ditempat kejadian.

Tetapi, dia dibebaskan selepas siasatan yang dijalankan mendapati dia tiada kaitan dengan pembunuhan bersiri tersebut.

Selepas remaja 14 tahun menjadi mangsa, tiada lagi mayat baru ditemui dalam waktu terdekat namun, siasatan besar-besaran masih dijalankan.

Kes pembunuhan bersiri ini bukan sahaja membabitkan anggota polis paling ramai yang terlibat, bahkan telah menahan lebih kurang 20 ribu orang suspek.

Lebih 40 ribu individu telah diambil cap jari mereka, 570 sampel darah dan 180 sampel rambut untuk dianalisis, malangnya ia masih gagal memberi sebarang petunjuk.

Dua tahun kemudian, pada 15 November 1990, mayat remaja perempuan berusia 14 tahun ditemui sebagai mangsa kesembilan.

Corak jenayah yang ada pada mayat Kim Mi Jung sama dengan lapan mayat sebelumnya.

Mayat kesepuluh pula ditemui pada malam 3 April 1991 di kawasan pergunungan Hwaseong.

Mangsanya ialah Kwon Soon Sang, wanita berusia 69 tahun. Mayatnya ditemui dengan lehernya dibelit dengan stokin panjang kepunyaannya.

Walaupun pelbagai cara dilakukan, ia masih gagal memberi sebarang petunjuk siapa pembunuh sebenar.

Pada penghujung tahun 80an, Korea masih diambang teknologi yang lemah terutamanya berkaitan dengan kajian DNA.

Forensik ketika itu hanya mampu mengesahkan jenis darah pembunuh tersebut sebagai kategori 'B'.

Semasa mayat kesembilan dan kesepuluh ditemui, sampel darah dan air mani dari tempat kejadian telah dihantar ke Jepun untuk dianalisis, tetapi tiada satu pun yang sepadan dengan semua suspek yang pernah ditahan polis.

Misteri Pembunuh Berantai Hwaseong
Filem Memories of Murder.

Hasil siasatan hanya sekadar mampu memberi gambaran asas pembunuh tersebut dikatakan seorang lelaki kurus berusia 20an dengan ketinggian lebih kurang 170 sentimeter.

Gambaran itu diperolehi daripada salah seorang mangsa yang berjaya menyelamatkan diri.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan adakah lelaki itu yang melakukan semua jenayah tersebut.

Apa yang menyedihkan, di Korea Selatan, status pendakwaan sesuatu kes akan tamat selepas 15 tahun.

Ini bermakna tiada lagi pendakwaan atau perbicaraan untuk kes ini kerana sudah tamat tempoh, melainkan jika undang-undang baru digubal.

Nasib semua wanita ini tidak dapat dibela sedangkan penjenayahnya mungkin sedang hidup bergembira diluar sana.

Kisah pembunuh bersiri Hwaseong turut menjadi ilham penerbit untuk menghasilkan filem berjudul 'Memories of Murder' pada tahun 2003 yang diinspirasikan daripada kejadian tersebut.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-SENTIASAPANAS.COM

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon