Wednesday, May 23, 2018

RCI Kes Pembunuhan Altantuya?


Kerajaan tidak seharusnya melayan permintaan Sirul Azhar Umar dalam usahanya mendapatkan pengampunan berhubung kes pembunuhan Altantuyaa Shaariibuu, kata Anggota Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh.

RCI Kes Pembunuhan Altantuya?

Ramkarpal menegaskan terdapat saksi lain yang masih bebas tetapi aneh, tidak dipanggil untuk memberi keterangan dalam perbicaraan pembunuhan berkenaan.

Mewakili keluarga Altantuya, Ramkarpal berkata tawaran Sirul itu "merupakan penghinaan kepada mangsa dan sepatutnya tidak dilayan sama sekali."

"Tidak ada semacam penyesalan dari Sirul dalam wawancara itu, terutamanya ketika pembunuhan itu dilakukan dengan cara yang sangat keji.

"Dia juga mengatakan telah membunuh yang lain kerana mengikut arahan, bertentangan dengan dakwaannya bahawa pembunuhan Altantuya adalah satu-satunya jenayah dilakukan," kata Ramkarpal.

Pada tahun 2015, Sirul dan Azilah Hadri dihukum mati atas kesalahan membunuh Altantuya.

Wanita berasal dari Mongolia itu ditembak pada 2006 sebelum diletupkan di sebuah kawasan di Puncak Alam.

Kedua-duanya anggota polis elit itu juga merupakan pengawai pengiring kepada timbalan perdana menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Razak.

Mahkamah Persekutuan tidak menyatakan siapa yang mengarahkan pembunuhan tersebut.

Azilah kini berada di penjara dan sedang menunggu hukuman mati, manakala Sirul melarikan diri ke Australia.

Kerajaan BN sebelum ini tidak mengekstradisi Sirul kerana undang-undang Australia yang tidak mengiktiraf hukuman mati.

Ramkarpal berkata, "Dengan mengambil kira keadaan yang luar biasa dalam kes ini, saya berpendapat bahawa hukuman Sirul patut dipenjarakan seumur hidup, di mana dia akan dihantar pulang ke Malaysia dari Australia dan menjalani hukuman di penjara Kajang.

"Apabila dia kembali ke tanah air, dia boleh dipaksa untuk bekerjasama dalam siasatan tersebut atau Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) jika perlu, muncul sebagai saksi terhadap mereka yang mengarahkan pembunuhan Altantuya."

'Saksi utama tak dipanggil beri keterangan'

Bagaimanapun, Ramkarpal menyatakan Sirul tidak mungkin tahu secara peribadi apa yang terjadi pada malam pembunuhan itu atau siapa yang mengarahkannya.

"Ia jelas dari bukti semasa perbicaraan bahawa Azilah memainkan peranan yang lebih besar.

"Tambahan lagi, kemungkinan DSP Musa Safri mengetahui apa yang berlaku tidak boleh dikecualikan sebagaimana disebutkan di sepanjang perbicaraan, tapi tidak dipanggil oleh pihak pendakwa.

"Abdul Razak Baginda juga mungkin menjadi saksi yang berpotensi.

"Dalam keadaan ini, pengetahuan Sirul jika ada mungkin berdasarkan cakap orang dan hanya berdasarkan apa yang dia diberitahu oleh Azilah," katanya.

Ramkarpal mencadangkan kes itu dibuka semula atau RCI ditubuhkan untuk menentukan motif pembunuhan.

"Mereka yang bertanggungjawab untuk mengarahkan pembunuhan mesti dibawa ke muka pengadilan tanpa mengira pangkat atau jawatan mereka jika keterangan penglibatan mereka adalah jelas," katanya.

Bagaimanapun, Ramkarpal berkata mereka yang melakukan perbuatan itu atau arahan juga mesti menerima hukuman.

"Hakikatnya, Sirul dan Azilah membunuh Altantuya dalam keadaan yang paling menakutkan."

Oleh itu katanya, Sirul mesti dihantar pulang ke Malaysia dengan cara seperti yang dicadangkan beliau, sekali gus menutup misteri siapa yang mengarahkan pembunuhan Altantuya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: malaysiakini

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon