Wednesday, May 23, 2018

Perdana Menteri Bubarkan SPAD, Jasa, MaGIC, MPN Dan JKKKP


Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad mengumumkan beberapa agensi dan institusi berkaitan kerajaan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan dan antara yang akan dibubarkan ialah Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Majlis Profesor Negara (MPN), serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Kabinet Tun Mahathir.jpg

“Kebanyakan institusi ini sebenarnya bukan sebahagian daripada kerajaan, yang sepatutnya memberi nasihat kepada kerajaan. Semua perkara ini akan dibubarkan.

“Kita tidak memerlukan kepintaran mereka, saya fikir kita pun ada kepintaran,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat kabinet yang pertama di Perdana Putra.

Tun Mahathir berkata, keputusan memansuhkan agensi dan insitusi terbabit dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet tersebut yang memberi tumpuan kepada hutang negara yang mencecah RM1 trilion, dengan mengurangkan perbelanjaan dalam bajet kerajaan terdahulu.

Mengulas pembubaran SPAD, Mahathir berkata tugas suruhanjaya itu akan dikembalikan semula kepada Kementerian Pengangkutan.

Mengenai rasional pemansuhan MPN dan JKKKP pula, beliau berkata kedua-dua institusi itu dipengaruhi unsur-unsur politik ketika pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Pada mulanya, MPN satu badan yang kita guna untuk dapat maklumat daripada orang yang ada pengetahuan tinggi tetapi akhir-akhir ini banyak unsur politik sehingga mereka dipergunakan untuk mendokong kerajaan.

"Sebab itu kita tidak mahu ulang amalan-amalan tidak baik yang dibuat kerajaan terdahulu,” katanya.

“Kita dapati gaji dibayar kepada JKKKP yang seolah-olah telah menjadi kerajaan tambahan di negeri-negeri, ia banyak berunsur politik dan bukan pentadbiran.

"Sebaliknya kita ada pegawai kerajaan untuk menjalankan tugas itu dan kita tidak akan ganti bayaran kepada JKKP kerana kita tidak ingin amalkan politik seperti kerajaan terdahulu,” katanya.

Ditanya mengenai projek seperti Bandar Malaysia, Tun Razak Exchange (TRX) dan Lebuhraya Pan Borneo, Perdana Menteri berkata, “Kita sedang mengkaji mana satu kita batalkan, mana satu diteruskan, mana satu saya akan tangguhkan sehingga satu tarikh yang akan datang.”

Mahathir berkata langkah memansuhkan institusi dan mengkaji semula projek-projek terbabit dibuat sebagai sebahagian daripada langkah mengurangkan perbelanjaan kerajaan melibatkan nilai berbilion ringgit.

“Kita sudah kenal pasti banyak perbelanjaan dalam bajet yang lama, projek yang lama yang boleh kita kurangkan, jumlahnya berbilion juga tetapi tidak dapat beri secara terperinci.

“Sebanyak mana yang kita dapat kurangkan perbelanjaan kerajaan, sudah tentu ada projek yang mungkin gugur ada yang mungkin kita hentikan ada juga mungkin kita adakan rundingan semula untuk kurangkan kos setakat kita mampu bayar sahaja,” katanya.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

sumber: bernama

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon