Friday, April 20, 2018

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?


Perkara yang sering dicanangkan apabila berbicara perihal jin adalah kononnya hadis yang mengatakan bahawa, "Sebaik-baik jin adalah sejahat-jahat manusia", namun kenyataan ini sangat meragukan kerana tidak pernah dinyatakan asas sandarannya daripada Al-Quran mahupun hadis.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

Asas pertama yang perlu dipegang apabila membicarakan tentang jin dan malaikat ialah keimanan kepada perkara ghaib kerana alam jin adalah alam ghaib yang terhalang daripada alam nyata.

Benarkah Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia?

1. Tidak ditemui sebuah hadith – sama ada sahih atau dhaif – yang menyatakan sedemikian.

2. Al-Quran – Allah SWT menyamakan di antara jin dan manusia dari segi sebahagiannya baik dan sebahagian lagi tidak.. seperti:

Dalam surah al-Jinn, ayat 11, Allah SWT menyatakan kata-kata jin:

“Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan.“

“Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang beragama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar, Adapun yang menyeleweng dari jalan yang benar, maka mereka menjadi bahan bakaran bagi neraka Jahannam."

Bahaya fitnah Syaitan

Manusia tidak boleh berbicara tentang jin kecuali mengikut neraca Al-Quran dan Al-Sunnah.

Firman Allah;

"Wahai anak-anak Adam! janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari syurga, sambil ia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka. Sesungguhnya kami telah menjadikan syaitan-syaitan itu teman rapat bagi orang-orang yang tidak beriman." (Al-Araf :27)

Hanya kedua-dua sumber itu mampu menelah dan menembusi alam jin. Sesiapa sahaja yang ingin mengutarakan buah fikiran mengenai alam jin perlu terlebih dahulu merujuk Al-Quran dan Al-Sunnah supaya umat Islam tidak berpegang kepada asas yang rapuh, tidak berasas atau disuap dengan fakta karut dan khurafat yang tidak banyak membina iman dan minda.

Kenyataan Sebaik-baik Jin Adalah Sejahat-jahat Manusia sebenarnya salah dan bercanggah dengan al-Quran, al-Sunnah dan akal yang sihat. Terdapat banyak hujah yang menyangkal kenyataan tersebut:

1) Seperti manusia, jin juga dipertanggung jawabkan dengan taklif agama

Firman Allah yang ertinya: "Kami hanya akan menguruskan hitungan dan balasan amal kamu sahaja (pada hari kiamat,) wahai manusia dan jin! Maka yang mana satu di antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan?" (al-Rahman[55:31-32]).

Dengan taklif agama mereka akan diberikan ganjaran pahala dan balasan dosa atas semua perbuatan baik dan buruk mereka.

Perbuatan baik pastinya akan diberikan ganjaran syurga, manakala perbuatan jahat akan diberikan balasan neraka di akhirat kelak.

Sekiranya kenyataan di atas diterima, nescaya semua jin walaupun yang soleh akan tetap dihumban ke neraka.

Kezaliman sebegini juga mustahil bagi Allah yang Maha Adil.

2) Allah mengiktiraf ada jin yang soleh dan layak ke syurga

Firman Allah yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (memang maklum) ada di antara kita golongan yang baik keadaannya, dan ada di antara kita yang lain dari itu; kita masing-masing adalah menurut jalan dan cara yang berlainan." (al-Jinn[72:11]).

Juga firman Allah SWT yang ertinya, "Dan bahawa sesungguhnya (dengan datangnya Al-Quran, nyatalah) ada di antara kita golongan yang berugama Islam, dan ada pula golongan yang (kufur derhaka dengan) menyeleweng dari jalan yang benar; maka sesiapa yang menurut Islam (dengan beriman dan taat), maka merekalah golongan yang bersungguh-sungguh mencari dan menurut jalan yang benar." (al-Jinn[72:14]).

3) Allah mengiktiraf para utusan, pendakwah dari golongan Jin

Tafsir Ibn Kathir pada tafsiran ayat berikut, ertinya, "WAHAI SEKALIAN JIN DAN MANUSIA! BUKANKAH TELAH DATANG KEPADA KAMU PARA RASUL DARI KALANGAN KAMU SENDIRI, yang menyampaikan kepada kamu ayatKu (perintahKu), dan yang memberikan amaran kepada kamu tentang pertemuan kamu dengan hari (kiamat) ini?" (al-An’am [6:130]).

Mereka ini adalah generasi awal jin yang memeluk Islam setelah mendengar nabi SAW membaca al-Quran, firmanNya:

Ertinya: "Dan (ingatkanlah peristiwa) semasa Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar Al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): "Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!" Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran Al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran. Mereka berkata: "Wahai kaum kami! Sesungguhnya kami telah mendengar Kitab (Al-Quran) yang diturunkan (oleh Allah) sesudah Nabi Musa, yang menegaskan kebenaran kitab Suci yang terdahulu daripadanya, lagi, memandu kepada kebenaran (tauhid) dan ke jalan yang lurus (ugama Islam). "Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa kamu, dan menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi sakitnya. "Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi, dan dia tidak akan beroleh sesiapapun - yang lain dari Allah - sebagai pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.” (al-Ahqaf [46:29-32]).

4) Generasi awal jin diiktiraf sebagai para sahabat nabi oleh ulama Hadith

Mereka juga menyenaraikan generasi awal jin ini dalam senarai para sahabat nabi.

Antara yang disebut adalah: Zawba’ah, al-Arqam, al-Adras, Hasir, Khasir dan sebagainya (al-Isabah fi Ma’rifat al-Sahabah & Mustadrak al-Hakim dalam tafsir surah al-Ahqaf).

Sekiranya kenyataan tersebut dipakai, nescaya kita akan menghukum para sahabat nabi sebagai makhluk yang jahat, sedangkan para ulama sepakat menyatakan para sahabat semuanya adil. (Dr. Muhammad Abu Layth,’Ulum al-hadith, Asiliha Wa Mu’asiriha, ms 103)

Selain itu banyak sekali ayat al-Quran yang menyokong fakta keadilan para sahabat nabi seperti seperti (al-Tawbah[9:100], al-Fath[48:18], al-Hasyr[59:8-9]).

5) Nabi SAW memuji para sahabatnya dari kalangan jin yang sensitif terhadap ayat Allah ketika mendengar surah al-Rahman

Sebuah hadith menyebut yang ertinya: Rasulullah keluar membaca surah al-Rahman kepada para sahabatnya dari awal sehingga akhir surah. Mereka hanya diam. Baginda lalu bersabda: "Aku pernah membacanya (surah al-Rahman) kepada para jin pada malam jin (malam baginda bertemu dan berdakwah kepada para jin). Reaksi mereka jauh lebih baik berbanding kamu semua. Setiap kali aku membaca (فَبِأَيِّ آلَاءِ رَبِّكُمَا تُكَذِّبَانِ -Maka yang mana satukah antara nikmat Tuhan kamu, yang kamu hendak dustakan - wahai umat manusia dan jin?)*, mereka akan berkata: "Tiada satupun antara ni’matMu wahai Tuhan kami yang kami dustai, maka bagiMu sahajalah segala pujian." (Sunan al-Tirmidhi & Tafsir Ibn Kathir).

Ayat ini berulang sebanyak 31 kali dalam surah al-Rahman.

6) Allah menyediakan syurga untuk manusia dan jin yang beriman

Firman Allah yang ertinya, "Dalam syurga itu terdapat bidadari yang pandangannya tertumpu (kepada mereka semata-mata), YANG TIDAK PERNAH DISENTUH SEBELUM MEREKA OLEH MANUSIA DAN JIN." (al-Rahman[[55:56]).

Ayat ini menunjukkan jin yang beriman dan beramal soleh seperti manusia layak ke syurga. (Tafsir Ibn Kathir &Tafsir al-Qurtubi pada tafsiran (al-Rahman[[55:56]).

Wallahu a'lam.

BACA INI JUGA: 41 Tanda Dalam Badan Anda Ada Jin

sumber: darussyifabbst

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon