Saturday, March 17, 2018

Asal-usul Dan Sejarah Dikir Barat


Dikir Barat adalah satu persembahan dari negeri Kelantan yang disampaikan secara berkumpulan dan biasanya diketuai oleh seorang Tukang Karut dan Tok Juara yang akan mendahului nyanyian sambil berbalas-balas pantun dan diikuti oleh awak-awak sebagai latar dengan suara yang kuat dan lantang.

Asal-usul Dan Sejarah Dikir Barat

Tahukah anda Dikir Barat adalah satu bentuk persembahan nyanyian, namun asal-usul kewujudannya sehingga kini masih diperdebatkan, walaupun kebanyakan menerimanya sebagai bentuk seni yang datang dari selatan Thailand atau utara Semananjung Malaysia.

Dalam lingkungan masyarakat petani, Dikir Barat dipersembahkan sebagai upacara keagamaan atau sambutan sempena musim menuai.

Kini, persembahan Dikir Barat lebih berperanan sebagai satu bentuk hiburan begitupun, pertandingan antara kumpulan Dikir Barat sering diadakan.

Sehingga kini, Singapura dan dua negeri di Malaysia - Kelantan dan Terengganu adalah antara negeri yang masih mempersembahkan Dikir Barat secara aktif.

Kita memanggilnya Dikir, perkataan yang bunyinya ada persamaan dengan perkataan Melayu zikir yang bermakna doa atau amalan keagamaan, sesuatu yang dilihat oleh penduduk di utara semenanjung Malaysia dan diamalkan orang Thai setiap musim menuai padi.

Barat pula bermakna kedudukan geografi, orang utara dulu menganggap Thailand berada di sebelah barat padahal dari segi kedudukan geografinya, ia berada di utara Malaysia.

Memandangkan nama itu sudah sebati dengan penggunaan, ia kekal sehingga ke hari ini dan tidak pernah diubah.

Budaya Dikir Barat kemudian terus menular ke selatan, Singapura sekitar 1970-an.

Pelbagai pertandingan dianjurkan badan kerajaan setiap tahun dan sambutan terhadapnya begitu baik sehingga ke hari ini, biarpun Singapura kini adalah kota metropolitan yang maju.

Sejarah Dikir Barat bermula dengan tarian

Banyak kajian dilakukan untuk mengesan sejarah sebenar Dikir Barat di Malaysia dan menurut sumber sejarah, Dikir Barat wujud dari sebuah tarian yang dipanggil tarian Patung Inai - tarian yang sangat popular dikalangan masyarakat Siam dan Kelantan sekitar tahun 1800 hingga 1940.

Kemudian, seorang penggiat seni ini yang dikenali sebagai Pak Leh Tapang atau Haji Salleh menukarnya menjadi nama Dikir Barat.

Tarian Patung Inai adalah tarian tradisional yang dipersembahkan ketika majis perkahwinan di mana seorang ketua (Tok Jogha) akan menyanyikan lagu dan diikuti secara beramai-ramai anggota dikir lain.

Muzik Dikir Barat pula punya pengaruh ritma rebab atau rebana Sunda dan aktiviti ini sudah menjadi amalan kebiasaan setiap kali berlangsungnya majlis perkahwinan di perkampungam Melayu.

Dikir Barat juga ada kaitan dengan Dikir Laba atau lebih dikenali sebagai Dikir Punjab yang bermaksud drama dalam bahasa Punjab (Hindustan) dan mempunyai kaitan rapat dengan Qawwali, iaitu budaya popular di kalangan orang India.

Dalam Dikir Laba, anggotanya akan menyanyikan lagu dan cuba mengikuti rentak dengan menggerakkan badan. Mereka juga perlu menyanyi menerusi nada yang tinggi.

Tidak kira apa bentuk dikir sekalipun, Tok Jogha punya tanggungjawab besar untuk menghidupkan lagu yang dipersembahkan itu.

Pada 1948, Pak Leh Tapang mengubah cara tarian Patung Inai iaitu dimainkan dengan mengadaptasi beberapa elemen dari Dikir Laba dan Dikir Punjab.

Perkataan barat diambil dari gelaran yang diberikan orang Kelantan kepada masyarakat Siam. Ada juga pihak memnbawa teori bahawa perkataan barat datang dari perkataan 'Bharat', nama lama kepada benua kecil India.

Ia boleh dikira logik memandangkan pengaruh dari konteks Dikir Punjab.

ASAL USUL DIKIR BARAT

a) Dikir Barat Berasal Dari Selatan Siam

Beberapa pendapat telah diperkatakan tentang asal-usul Dikir Barat. Ada yang mengatakan ianya berasal dari Selatan Siam.

Sebenarnya Dikir Barat ini yang lebih terkenal dengan nama Dikir Karut dibawa dari Negeri Siam ke Negeri Kelantan.

Mengikut orang-orang Kelantan, perkataan Barat bermakna Selatan Siam. Ini tidak dapat dinafikan kerana padaa suatu ketika dahulu Negeri Kelantan pernah diperintah oleh Kerajaan Siam.

Rakyat daripada kedua-dua buah negeri ini selalu berulang-alik dan dengan secara langsung Dikir ini dibawa ke sini dan diterima pula oleh masyarakat.

Ketika dibawa ke Kelantan, ianya adalah dalam bentuk Dikir sebelum ditambah dengan pantun-pantun dan diubahsuai dari segi persembahan dan loghatnya sesuai dengan keadaan sekeliling dan suasana tempatan.

b) Dikir Barat Berasal Dari Pulau Tebu

Ada orang mengatakan bahawa Dikir Barat berasal dari Pulau Tebu kerana pengasasnya ialah Husain Mok Nab Lombong yang berasal dari sana.

Sewaktu beliau memperkenalkan Dikir Barat, ramai orang menganggap Dikir Barat sebagai suatu hasil seni yang baru kerana iramanya boleh disesuaikan dengan irama yang telah sedia ada seperti Rebana Besar.

c) Dikir Barat Berasal Dari Ciptaan Pak Leh Tapang

Bila memperkatakan Dikir Barat, nama Pak Leh Tapang tidak boleh dilupakan. Ramai orang mengenali beliau kerana Dikir Barat.

Pak Leh Tapang atau nama sebenarnya Haji Mat Salleh bin Hj. Ahmad berasal dari Kampung Tapang, Kota Bharu.

Beliau telah mengakui sendiri yang Dikir Barat ini sebenarnya berasal dari Selatan Siam.

Beliau telah mengubahkan permainan ini dengan menambahkan pantun-pantun di dalamnya jadi sebelum itu, ketika Dikir Barat dibawa ke Kelantan ianya adalah dalam bentuk Dikir tanpa pantun.

Semasa pemerintahan Jepun, beliau pernah dipanggil untuk meriwayatkan sesuatu dengan cara berpantun.

Masa itu juga ada satu kumpulan berdikir yang diketuai oleh Jaffar Wakaf Mek Zainab yang memperkenalkan Dikir Barat di kampungnya. Awak-awaknya terdiri daripada orang-orang Melayu Barat (Selatan Siam).

Mereka melagukan lagu-lagu yang dibawa dari Selatan Siam dan Pak Leh Tapang pula yang mengubah dan menambahkan dengan pantun-pantun untuk menyedapkan lagi Dikir Barat.

Fungsi Tukang Karut

Elemen asas dalam kumpulan Dikir Barat adalah dua teraju utamanya, iaitu Juara dan Tukang Karut.

Anggota kumpulan Dikir Barat tidak terhad kepada jumlah tertentu. Di Singapura, ketika berlangsungnya pertandingan, siaz standard kumpulan ialah dua teraju utama - 14 awak-awak dan empat pemain muzik percussion.

Juara ialah penyanyi utama kumpulan dikir dan biasanya berperanan memulakan persembahan diikuti Tukang Karut.

Tidak seperti Juara, Tukang karut akan berinteraksi dengan penonton menerusi gelagatnya. Tukang Karut yang bijak memberikan persembahan menghiburkan sebagai berkesan fungsinya sebagai penghibur. Juara pula biasanya adalah penyanyi yang memiliki suara cukup mendayu.

Awak-awak biasanya akan menyanyikan korus pada dikir. Mereka akan menyanyi dan menari dalam keadaan duduk mengikut irama yang didendangkan oleh dua teraju utama.

Pemuzik percussion pula terdiri daripada ibu rebana, anak rebana, maracas, trambouline, gong dan canang.

Ibu rebana, adalah percussion paling penting. Anak rebana pula berfungsi sebagai penyokong kepada ibu rebana dan lebih kecil dari segi saiz namun memiliki nada lebih tinggi.

Gong dan Canang pula memperkemaskan lagi tempo. Canang adalah gong tradisional Melayu bersaiz kecil yang diletakkan di atas lantai.

Maracas dan Trambouline pula biasanya digunakan untuk kesan bunyi tambahan kepada muzik itu. Trambouline biasanya dimainkan seorang teraju utama ketika anggota lain menyanyi.

Dikir Barat di Kelantan dipercayai dipelopori Pak Leh Tapang, diikuti Pak Ku Mat, Seman Wau Bulan, Husin Gelang Mas, Jusoh Kelong, Daud Bukit Abal, Arifin Ana.

Kemudian generasi baru terdiri daripada penyanyi dikir seperti Halim Yazid, Zaidi Buluh Perindu, Mat Gelemor dan Megat Nordin.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA: Asal-usul Tarian Kuda Kepang

sumber: adisaufi

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon