Thursday, March 15, 2018

Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia


Sambutan Minggu Kesedaran Garam Sedunia, World Action On Salt and Health (WASH) disambut pada bulan Mac setiap tahun bagi mengingatkan kepada orang ramai supaya pengambilan garam tidak melebihi 5 gram sehari demi kebaikan kepada kesihatan masing-masing.

Minggu Kesedaran Garam Sedunia

Pengambilan garam yang berlebihan boleh meningkatkan risiko kematian pramatang, boleh meningkatkan risiko penyakit hipertensi yang jika tidak terkawal akan menyebabkan penyakit jantung dan strok, seterusnya boleh menyebabkan kematian.

Menerusi kajian pada tahun 2015 (MySalt Study) di kalangan anggota Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan purata pengambilan garam adalah sebanyak 7.15 gram (atau 2.9 gram sodium) sehari.

Kajian ini adalah sebagai proksi yang menunjukkan tahap pengambilan garam dikalangan populasi rakyat Malaysia, hampir dua kali ganda berbanding saranan WHO iaitu lima gram garam sehari.

Kajian ini juga mendapati makanan bermasak seperti nasi goreng, telur dadar, nasi lemak, roti canai, mi goreng) serta sos dan perisa masakan merupakan penyumbang utama kepada pengambilan garam yang tinggi.

Malaysian Adults Nutrition Survey (MANS, 2014) juga mendapati kicap soya merupakan antara 10 makanan utama yang diambil oleh rakyat Malaysia setiap hari.

Banyak makanan di Malaysia mengandungi kandungan garam yang tinggi walaupun tidak berasa masin dan tidak sepatutnya berasa masin.

Salah satu strategi pengurangan garam yang dijalankan KKM adalah bekerjasama dengan industri makanan untuk reformulasi produk makanan bagi menurunkan kandungan garam dari pelbagai kategori termasuk mi segera, serbuk atau kiub perasa, sos, biskut, makanan ringan, daging beku, dressing, teh dan minuman 3 dalam 1 telah dikurangkan kandungan garam berbanding formulasi asal.


Walaupun jumlah dan kategori produk yang dikurangkan kandungan garam ini masih rendah berbanding jumlah produk makanan yang ada, namun usaha ini tidak mustahil dan perlu terus dipertingkatkan lagi.

Pihak industri makanan juga diminta untuk lebih proaktif dan tampil bekerjasama di dalam mereformulasi lebih banyak produk makanan mereka.

Usaha lebih agresif pihak industri adalah sangat penting bagi memastikan masyarakat mendapat lebih banyak pilihan makanan rendah garam sebagai pilihan lebih sihat dan seterusnya membantu mengurangkan pengambilan garam.

Masyarakat disarankan agar lebih peka terhadap pengambilan garam harian dengan mengambil langkah-langkah seperti kenali produk makanan yang tinggi garam dengan membaca label sebelum membeli makanan.

Minggu kesedaran garam sedunia

Makan di Luar, Kurang Masin, Pilihan Sihat
  • Kurangkan pengambilan makanan tinggi garam atau masin seperti makanan ringan (contoh: kerepek dan keropok), makanan terproses (contoh: sosej, nugget, burger, mee segera) dan makanan segera.
  • Hadkan pengambilan makanan segera sebulan sekali.
  • Elak mencampurkan serbuk asam atau garam ke dalam buah-buahan anda. Nikmatilah rasa asli buah-buahan berkenaan.
  • Baca label makanan sebelum membeli makanan. Pilih makanan yang mempunyai label "dikurangkan garam", "rendah garam", "sangat rendah garam" atau "bebas garam" jika ada.
  • Belajar menikmati makanan tanpa penambahan garam, kicap atau sos.
  • Gunakan perencah asli dan rempah ratus sebagai pengganti garam seperti limau nipis, lada hitam, jintan manis dan sebagainya.
  • Elak menyediakan masakan dari makanan yang diawet atau diproses seperti ikan masin, telur masin, sayur masin, makanan dalam tin dan sebagainya.

Pilihlah makanan yang dilabelkan "kurang sodium", "rendah garam", "sangat rendah garam" atau "bebas garam" serta mengurangkan penggunaan kicap, sos, taucu, kiub dan serbuk perasa dalam penyediaan makanan.

Semoga memberi manfaat.

BACA INI JUGA:

-Sentiasapanas.com

Add Comments

TERIMA KASIH KERANA SUDI MEMBERIKAN KOMEN. INSYAA ALLAH SAYA AKAN KOMEN DI BLOG ANDA JUGA.
EmoticonEmoticon